Jarang buku pantun baru diterbitkan. Yang seringnya pantun-pantun klasik dihimpun, dibukukan dan diterbitkan. Tidak seperti haiku yang lebih dikenal masyarakat dunia dan sentiasa mengalami penciptaan baru di blog dan laman media sosial yang lain, perkembangan pantun agak perlahan.

Walaupun pengucapan pantun itu sendiri tidak pernah lekang dalam masyarakat Melayu (bahkan masyarakat Malaysia khususnya), tidak ramai yang mencipta pantun baru dan kalaupun ada tidak ada yang berani menerbitkannya dalam bentuk buku.

Sekuntum Pantun dan 99 Kelopak Cinta: Antologi Pantun Cinta Berahi mengisi ruang kosong itu. Ada semacam ghairah daripada mereka yang mengusahakan buku ini demi membuktikan bahawa pantun sebagai bentuk puisi klasik Melayu dapat sentiasa dicipta dengan bahasa, lenggok dan bidalan kontemporari.

Ucap tahniah kepada Obscura sebagai sebuah penerbit buku yang masih hijau atas keberanian menerbitkan antologi pantun ini.

Buku ini mengandungi 132 halaman yang diisi dengan pantun-pantun yang disumbang oleh 9 orang penulis. Mereka: Al-Abror Mohd Yusof, Fazallah Pit, Hazlan Zakaria, Rusnizam Mahat, Fakrul Fadzin, Hafiz Hamzah, Jimadie Shah Othman, Shahrul Nizam Daud dan Tengku Vida Tengku Azlan.

Seperti mana pantun lama, pantun-pantun dalam buku ini ada yang nakal, lucu dan tak kurang juga syahdu. Misalnya seperti berikut:

Kuntum seroja menggoda rasa
kumbang menunggu dalam diam;
harum semerbak setanggi asmara
keranamu bulan nyaris terpadam.

Al-Abror Mohd Yusof


Pisang diselak nampak pucuknya,
harap tak ada tebuan menyengat;
sarong diselak ada inginnya
untung-untung malam menghangat

Hafiz Hamzah


Kacang tidak kuaci pun tidak,
tapi sungguh pinggan dihidang;
sayang tidak benci pun tidak,
tapi tubuh enggan merenggang.

Jimadie Shah Othman


Nasi ayam nasi kerabu,
tak cukup lauk gorenglah keli;
Hari Valentine aku cemburu,
Tiada pasangan bercumbu geli.

Tengku Vida Tengku Azlan

Untuk pembelian dan pengedaran hubungi obscura.malaysia@gmail.com. Untuk penerbitan Obscura yang lain sila lawati http://obscura-malaysia.tumblr.com/

 

 

 Editor: untuk penerbit yang ingin memaklumkan penerbitan buku baru mereka boleh emel ke editor@jalantelawi.com.