Wahai para pembaca,

Sudah berapa kali kamu berkata atau mendengar orang lain berkata bahawa orang Mesir tidak sesuai untuk demokrasi? Berapa kerapkah kamu memasang telinga kepada orang-orang yang mendakwa rakyat Mesir perlu diajar untuk melaksanakan hak-hak politik mereka, atau kamu juga  di antara yang berkata begitu?

Saya mendengar dakwaan ini berpuluh-puluh kali dari dalam dan luar Mesir, setiap kali saya ingin menjelaskan bahawa sejarah moden Mesir membuktikan rakyat Mesir sentiasa menunjukkan kesedaran politik. Negara ini terdiri daripada berjuta-juta orang yang mungkin mempunyai latar belakang sosial atau budaya yang berbeza, tetapi akhirnya berkongsi perasaan dan mentaliti kolektif yang sama bagi membolehkan mereka untuk menerima pakai pendirian yang satu, yang biasanya betul, pada detik-detik yang kritikal. Rakyat Mesirlah yang menyemarakkan setiap revolusi Mesir.

Saya masih ingat peristiwa 25 Januari 2011 ketika beribu-ribu penunjuk perasaan tiba di Tahrir dari kawasan kelas pekerja Imbaba. Mereka yang terdiri daripada marhaen yang miskin inilah yang melindungi para penunjuk perasaan daripada serangan Angkatan Keselamatan Pusat. Kalaulah bukan kerana mereka, revolusi tidak akan berjaya.

Lebih 16 bulan, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera melaksanakan pelan yang teliti untuk menggagalkan revolusi 25 Januari – dengan mengabaikan hal keselamatan, mencetuskan pertentangan sektarian, menakut-nakutkan orang Islam dan Kristian Koptik, menjelmakan krisis sehari-hari, bekerja secara sistematik untuk memburuk-burukkan revolusi, dan menjalankan pembunuhan beramai-ramai berturut-turut terhadap para penunjuk perasaan.

Rancangan ini adalah untuk meletakkan tekanan terhadap rakyat Mesir untuk membuat sesiapapun percaya bahawa yang dapat memulihkan hal keselamatan ini adalah hanya pihak tertentu. Oleh itu, pentas telah disiapkan untuk Ahmad Shafiq, yang secara politiknya terlindung daripada 35 dokumentasi tuduhan rasuah dan Undang-undang Isolasi Politik. Maka diumum diumum pencalonan beliau. Apabila keputusan pusingan pertama pilihan raya berpihak kepada Shafiq berbanding Muhammad Mursi, kesemua penunjuk memihak kepada Shafiq. Ikhwan telah kehilangan simpati daripada para para penunjuk perasaan kerana gagal mempertahankan revolusi, dan daripada sektor-sektor besar penganut Koptik.

Di samping itu, sisa-sisa bekas rejim membelanjakan jutaan dollar untuk menyokong Shafiq, yang mewakili harapan terakhir mereka untuk mengawal pemerintahan. Semua aparatus pemerintah menyokong Shafiq, dari menteri senior di Kementerian Dalam Negeri dan pegawai-pegawai Keselamatan Negeri sehingga kementerian lain, pihak berkuasa kerajaan dan media yang dikendalikan oleh kerajaan, yang kembali kepada kebiasaan lama mereka iaitu berbohong. Malah media swasta milik alhi- ahli perniagaan bekerja untuk mempromosikan Shafiq bagi mempertahankan kepentingan mereka.

Pada masa itu, beberapa orang, termasuk diri saya, membuat keputusan untuk memboikot pilihan raya membantah pencalonan Shafiq. Kemenangan Shafiq tidak dapat dielakkan, kami sangkakan begitu. Walau bagaimanapun, ia adalah kejutan bagi kami.

Ikhwan telah menggerakkan 5 juta pengundi dalam pusingan pertama, tetapi terdapat pertambahan 8 juta rakyat Mesir yang bukan dari golongan Ikhwan memutuskan untuk pergi mengundi dan menyokong Mursi, setelah menyedari kebangkitan semula rejim lama, yang diwakili  Shafiq sebagai calon presiden. Ini adalah gugatan terhadap revolusi Mesir.

Rakyat Mesir telah menggagalkan rancangan jahat untuk merosakkan revolusi apabila berjuta-juta rakyat mengundi untuk Mursi. Merasai masalah yang bakal timbul, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) mengeluarkan satu Pengisytiharan Perlembagaan tambahan untuk menyekat kuasa presiden tidak lama selepas pengundian ditutup pada malam terakhir . Kemudian pengumuman rasmi keputusan telah ditangguhkan selama beberapa hari, meningkatkan kebimbangan bahawa aura kejahatan muncul dan menyebabkan beribu-ribu turun ke jalan-jalan untuk mengawal sebarang percubaan memanipulasikan keputusan undi.

Suatu hari nanti sejarah akan mendedahkan dengan terperinci tentang yang berlaku di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya Presiden sebelum keputusan diumumkan. Dari cerita-cerita yang tersebar menjelaskan bahawa walaupun sistem kehakiman Mesir menurut perintah kuasa eksekutif, kita mempunyai hakim-hakim bebas yang mempunyai keberanian dan prihatin untuk mengatakan yang benar, walau apa pun terjadi.

Zakaria Abdel Aziz dan hakim-hakim yang lain membentuk kumpulan “Hakim untuk Mesir” memantau pilihan raya dan mereka mengesahkan bahawa Mursi menang dalam pilihan raya itu, dengan margin kemenangan hampir satu juta undi. Zakaria, yang saya kenal secara peribadi, tidak berpegang kepada ideologi Ikhwan, tetapi dia adalah seorang hakim yang jujur, yang tidak mengatakan melainkan yang benar. Laporan mereka adalah satu inisiatif berani yang mencabar mereka yang telah biasa memalsukan kehendak rakyat.

Revolusi Mesir telah mencapai kemenangan paling bermakna dengan menurunkan Shafiq dan memilih Mursi. Tanpa mengira perbezaan politik saya dengan dia, Mursi adalah presiden pertama yang dilantik rakyat dalam sejarah moden Mesir. Kemenangan demi kehendak rakyat Mesir ini juga akan memberi momentum kepada proses perubahan di negara-negara Arab yang ingin menyingkirkan diktator mereka.

Kita patut mengucapkan tahniah kepada Mursi untuk jawatan presiden tetapi juga mengingatkan beliau tentang beberapa perkara:

1. Bukan hanya undi Ikhwan Muslimin yang memberikan kemenangan untuknya; sebenarnya, undi mereka sahaja tidak cukup untuk membantu beliau menang. Ia adalah undi berjuta-juta rakyat Mesir yang percaya sokongan kepada Mursi adalah satu-satunya cara untuk menyingkirkan rejim Mubarak.

Presiden Mursi bertanggungjawab terhadap semua rakyat Mesir dan kami menuntut bahawa dia memutuskan semua hubungan organisasi dengan Ikhwan Muslimin serta-merta seperti mana janji beliau sebelum ini. Beliau juga perlu membentuk kerajaan campuran yang membawa bersama-sama menteri yang tergolong dalam kem revolusioner dari seluruh spektrum politik.

Lebih setahun setengah, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) tidak mencapai matlamat revolusi dan menolak apa-apa perubahan kepada struktur rejim Mubarak. Sekarang Mursi telah dilantik sebagai presiden, perubahan tidak boleh ditangguhkan.Kami berharap Mursi dapat membantu menggubal Undang-undang Badan Kehakiman untuk membolehkan sistem keadilan bertindak bebas daripada pihak berkuasa eksekutif. Kami berharap agar beliau membatalkan Perisytiharan Berperlembagaan tambahan, yang meletakkan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) dengan kuasa yang berlebihan.

Setiap orang yang dituduh rasuah perlu dibawa ke mahkamah, bermula dengan Shafiq. Aparatus polis perlu dibersihkan daripada pegawai rasuah, pendera dan pembunuh para penunjuk perasaan. Badan Keselamatan Negera perlu dimansuhkan bersama-sama dengan semua perkakas negeri yang menindas. Orang awam tidak harus dibawa kepada perbicaraan tentera dan semua 12,000 rakyat Mesir yang ditahan di penjara tentera patut dibicarakan semula di hadapan mahkamah awam.

Gaji maksimum dan minimum perlu ditetapkan dan kemiskinan dan pengangguran patut dibanteras. Revolusi ini dilancarkan untuk mencapai kebebasan, maruah dan keadilan sosial; presiden baru sama ada kredibilitinya menang atau kalah bergantung kepada sejauh mana keikhlasan beliau terhadap matlamat revolusi.

3. Sekitar 1,200 rakyat Mesir mati dalam revolusi, 1,000 lagi masih hilang (kemungkinan besar mati) dan beribu-ribu lagi cedera demi Mursi menjadi presiden. Kalaulah bukan kerana pengorbanan mereka, kita tidak akan menyaksikan detik ini. Mursi perlu mendatangkan hukuman yang adil kepada keluarga para syahid revolusi dan menyediakan rawatan perubatan yang dibiayai oleh kerajaan kepada yang tercedera. Yang tercedera ketika revolusi tidak seharusnya bergantung kepada belas kasihan untuk penjagaan kesihatan, dan mereka yang membunuh para penunjuk perasaan itu tidak harus dibiarkan kekal dengan kerja mereka.
4. Presiden baru perlu memilih sama ada untuk mencapai matlamat revolusi atau kepentingan Ikhwanul Muslimin melaluirundingan dengan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). Saya berharap agar Ikhwan Muslimin tidak akan mengulangi kesilapan sejarah mereka, sejak penubuhannya, kumpulan itu telah menganggap kepentingan sendirinya sama dengan kepentingan rakyat. Ini telah menyebabkan kumpulan tersebut membentuk kesepakatan dengan orang yang berkuasa yang akhirnya menganiaya negara. Perhitungan salah mereka yang lalu adalah kesepakatan mereka dengan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) selepas revolusi, yang telah melambatkan penggubalan perlembagaan baru.

Misi Mursi tidak akan menjadi mudah kerana dia akan berdepan dengan rejim Mubarak yang sangat kuat menentang perubahan. Dalam perhitungan menghadapi rejim lama, Mursi memerlukan sokongan semua rakyat Mesir yang hanya akan menyokongnya jika dia berjuang untuk berkhidmat demi kepentingan Mesir dan bukan Ikhwan.

5. Mursi telah berulang kali berjanji untuk mengekalkan sifat kerakyatan negeri ini. Walau bagaimanapun janji ini adalah terbuka kepada beberapa tafsiran yang berbeza. Negeri awam mempunyai empat tunggak, iaitu:

a. Hak kerakyatan

Rakyat Mesir sepatutnya menikmati hak-hak mereka sepenuhnya tanpa mengira agama mereka. Hak Koptik, yang telah terjejas pada zaman Mubarak, perlu dipulihkan dalam era baru, seperti yang sebenarnya diajarkan Islam.

b. Perlindungan kebebasan individu seperti yang termaktub.

Salah satu manifestasi kerakyatan di Mesir adalah bahawa rakyat sendiri perlu menentukan gaya hidup mereka dalam lingkungan had undang-undang. Jika kebebasan peribadi dikekang di bawah alasan untuk melaksanakan program moral, maka ini akan menjadi satu pusingan kembali kepada zaman gelap.

c. Perlindungan terhadap kebebasan pemikiran

Kami memberi amaran kepada presiden untuk tidak mendengar kata- kata para ekstremis yang curiga terhadap budaya dan seni, kerana Mesir sememangnya telah menjadi ibu kota kesenian dan pemikiran di Timur Tengah .

Kami tidak akan menerima sekiranya kreativiti dipantau oleh fikiran dogmatik kerana ini akan membazirkan warisan budaya kita dan membasmi kreativiti. Idea perlu dihadapi dengan idea. Ini adalah pedoman penting untuk memelihara kebudayaan Mesir.

d. Pelaksanaan hukuman syariah perlu ditangguhkan

Sebarang percubaan untuk melaksanakan hukuman Syariah akan memecahbelahkan masyarakat Mesir . Mursi tahu dengan cukup baik bahawa hukuman dalam Syariah tidak boleh dilaksanakan sebelum penghapusan kemiskinan, buta huruf dan penyakit. Inilah prinsip kemanusiaan dan juga prinsip perundangan.

Mesir menaruh kepercayaan yang tinggi kepada Mursi dan akan menyokong kuat beliau selagi beliau bekerja untuk manfaat Mesir dan terhadap pencapaian matlamat revolusi.

 

Alaa Al-Aswani adalah novelis Mesir dan penulis/penganalisis politik.

 

Tulisan yang dimuatkan dalam Egypt Independent diterjemahkan daripada bahasa Inggeris oleh Muhammad Zihni Khalid.