Dewasa ini, kedudukan minoriti beragama di Malaysia begitu membimbangkan. Apatah lagi, dalam terang-terangan, terdapat pula sebahagian dari kalangan majoriti beragama yang menganggap perbezaan adalah musuh besar kepada kemanusiaan dan kewarganegaraan.

Memang, tampaknya kita tidak belajar dari sejarah. Kita lupa, bahawa berlapang dada menerima perbezaan adalah tuntutan dalam kehidupan sebuah masharakat majmuk. Kemuncak dari kegagalan mengurus perbezaan ini termanifestasi dari peristiwa 11 September 2001. Ternyata, peristiwa bersejarah tersebutlah yang akhirnya memangkin Islamophobia, terutamanya di Barat. Kini, Islam dan Muslim dimomok, sehingga ke tahap yang mencemaskan. Semuanya gara-gara bermula dari keengganan untuk menerima perbezaan.

Pada tahap ini, “terrorisme” dan “perang atas terrorisme”, masing-masing tidak lagi mengenal harga manusia dan sempadan negara. Inilah akibat yang paling dashyat dari kerakusan untuk menseragamkan iman. Walau bagaimanapun, 11 Semptember bukanlah seluruhnya khabar buruk. Rupa-rupanya, peristiwa tersebut terselit juga harapan baru. Setidaknya, peristiwa tersebutlah yang kemudiannya mendorong penilaian-kembali terhadap projek sekularisme. Jürgen Habermas adalah antara yang serius mengutarakannya.

Menerusi Philosophy in a Time of Terror: Dialogues with Jürgen Habermas and Jacques Derrida, Habermas mengungkapkan betapa 11 September 2001 tersebut berlaku kerana Barat telah menguncilkan fungsi agama dalam ruang awam. Ini sebetulnya sebuah pandangan yang menarik. Memang, dalam sejarah Eropah moden, agama sering saja dianggap sebagai tidak berfungsi dalam ranah politik. Tapi, di tangan Habermas, agama telah difikirkan sebaliknya. Kerana itu, akhir-akhir ini, filsuf Jerman tersebut begitu gigih memperkenalkan idea masharakat pasca-sekular (post-secular society).

Dalam idea masharakat pasca-sekular ini, Habermas menunjukkan betapa agama adalah sangat penting untuk diajak berdialog. Baginya lagi, kalangan beragama dan kalangan sekular, masing-masing punya hak yang setara, yang keduanya dapat dihubungkan lewat wacana. Berdiri atas semangat pencerahan, Habermas yakin dan percaya bahawa gagasan komunikasinya mampu untuk meredam ekstrimisme, sama ada dari kubu agama mahupun dari kubu sekular.

Namun, yang jadi inti kepada idea pasca-sekular tersebut sebenarnya adalah penekanannya mengenai keadaan epistemik (epistemic situation). Menurut Habermas, ini adalah sebuah keadaan di mana kalangan beragama dan kalangan sekular dituntut untuk bersikap saling-belajar (mutual learning), dan saling-memahami (mutual understanding). Sebab, secara kognitif, Habermas dengan cemerlang menunjukkan bahawa setiap manusia memang ada kemampuan untuk melakukan peminjaman perspektif antara sesamanya.

Walau bagaimanapun, kita mungkin bertanya: apa kaitan perbahasan keadaan epistemik dengan perkembangan di Malaysia? Tentu sekali boleh dikaitkan. Sebab, di sini kita boleh menggunakan perbahasan Habermas ini untuk menyorot kembali kedudukan minoriti beragama di negara kita ini.

Seperti kita sedari, lebih-lebih lagi mutakhir ini, kelompok minoriti beragama di Malaysia sering saja dilanda kemelut tatkala berdepan dengan kekuasaan politik (pemerintah, mithalnya), mahupun berdepan dengan kelompok majoriti beragama (Ahli Sunnah wal Jamaah, mithalnya).

Sebagai contohnya, kelompok Shia, Ahmadiyya, dll, sering mengalami kesulitan untuk memiliki kepercayaan mazhab yang berbeza. Kesannya, hak mereka sebagai manusia dan sebagai hak mereka sebagai warga, diancam. Malah, lebih teruk lagi, terdapat sebahagian dari kalangan majoriti beragama di Malaysia seolah memberi gambaran bahawa kalangan minoriti beragama ini hanya ada dua pilihan: bersama majoriti, atau siaplah untuk menderita. Gambaran ini yang sering dipaparkan, sama ada lewat media massa, lewat propaganda agama pemerintah (insitusi-institusi agama), dll.

Persoalannya sekarang: apakah merupakan satu dosa bagi seorang manusia sekiranya memilih berlainan mazhab? Hanya mereka yang fanatik mazhab saja akan berfikiran demikian. Demikian juga, sekiranya memilih mazhab yang berlainan, apakah itu mengikis haknya sebagai seorang warganegara Malaysia? Pasti tidak. Hak sebagai manusia, dan hak sebagai warga, seharusnya tetap terjamin selamanya. Inilah yang sering kita lupakan dalam keta’asuban kita saat berdepan dengan kalangan minoriti beragama.

Justeru itu, berdasarkan kepada perkembangan negatif ini, eloklah kita meminjam wacana keadaan epistemik dari Habermas ini dengan menggesa sebuah sikap saling-belajar dan saling-memahami bagi mendamaikan ketegangan antara mazhab di Malaysia ini.

Untuk kalangan minoriti beragama, penting bagi mereka menempatkan iman-nya dalam konteks kenegaraan. Jadi, sebarang idea dan tindakan yang mereka kemukakan dan lakukan, haruslah dibatasi dengan hukum negara.

Walau bagaimanapun, mereka mestilah dibenarkan untuk memiliki dan mewacanakan imannya tersebut. Ini adalah sebuah hak yang seharusnya bersifat universal, dan dijamin secara perlembagaan. Bahkan, adalah lebih baik lagi sekiranya kalangan minoriti tersebut dapat menampilkan sumbangan positif mereka bagi pembangunan negara dan masharakat. Dengan itu, masharakat secara umumnya akan dapat belajar sesuatu dari mereka.

Manakala, bagi kalangan majoriti beragama pula, mereka pula haruslah siap untuk menerima perbezaan. Mereka harus sedia untuk berkongsi hidup dalam negara kecil ini, dengan membenarkan kelompok minoriti beragama untuk terus berada, berbeza-iman, serta beroganisasi, selagi mana mereka mematuhi hukum.

Sungguhpun begitu, hukum yang dimaksudkan di sini tidak harus difahami secara ketat, seperti anjuran faham demokrasi liberal. Sebab, sekiranya sesuatu hukum yang sedia ada itu dirasakan telah mendiskriminasi kalangan minoriti beragama, maka hukum tersebut perlulah dinilai-kembali. Maksudnya, jika ada larangan terhadap hak-hak minoriti beragama untuk berpendapat, berwacana, dan beroganisasi atas nama mazhab minoriti mereka, maka larangan tersebut boleh saja dirombak. Inilah anjuran dari demokrasi deliberatif yang dikemukakan Habermas.

Dengan itu, kalangan minoriti beragama sangat berhak untuk mengungkapkan pengalaman diskriminasi mereka, supaya kalangan majoriti beragama dapat belajar sesuatu di sini. Dari situ, sebuah hukum yang lebih harmoni dapat digubal-semula, dan sekaligus dapat mendamaikan ketegangan antara mazhab. Maka, sebuah ketundukan menerima perbezaaan epistemik ini haruslah disemai, sama ada secara pendidikan, kempen dari pemerintah dan NGO, ataupun menerusi perlaksanaan hukum, dll.

Malangnya, kesedaran inilah yang luput dari pengalaman beragama di Malaysia. Agama di Malaysia, sering saja dijadikan senjata politik sama ada dari kalangan pemerintah mahupun dari kalangan pembangkang. Ini adalah sebuah perkembangan yang mencemar nilai-nilai demokrasi. Kerana itu, kita dapat melihat bagaimana isu-isu minoriti beragama ini selalu dimanipulasi, demi untuk memastikan kelangsungan kekuasaan yang sedia ada. Natijah, lahirlah demokrasi semu.

Sehubungan dengan itu, jalan dialog seperti penegasan Habermas, tentunya adalah cara terbaik untuk melakukan perubahan tanpa-kekerasan (non-violent).  Lewat dialog juga, hak sebagai manusia dan hak sebagai warga dapat dihurmati dengan sebaiknya. Meskipun ada yang memilih untuk berbeza iman, tapi tetap saja hak-hak mereka sebagai manusia dan sebagai warga, terjamin dan terus melekat pada diri mereka. Inilah yang kita sering terlupa saat berdepan dengan kalangan minoriti beragama. Kita, sebagai kelompok majoriti beragama, sering terlupa bahawa ‘sesesat’ manapun iman mereka, tetap saja mereka itu adalah seorang manusia, dan seorang warga.

Justeru, jika garis pemisah ini kita sedari awal-awal, maka sebenarnya untuk hidup berbeza tidaklah sulit manapun. Namun, andainya dimensi kemanusiaan dan dimensi kewarganegaraan ini dipandang enteng, maka kita sebagai kelompok majoriti beragama sebetulnya sama saja perangai dengan Barat. Tatkala Barat dengan Islamophobianya, maka kita pula dengan mazhab-phobia.

Jadi, apa bezanya kita dengan Barat? Lalu, apakah kita layak untuk mengecam diskriminasi Barat atas Muslim, di kala kita sendiri sedang mendiskriminasi minoriti Shia, Ahmadiyya, dll? Atau, apakah kita layak untuk mengaku menjunjung demokrasi, sedangkan kita terus-menerus melakukan tirani ke atas minoriti beragama ini?

Sama sekali tidak layak. Malah, paradoks tersebutlah yang kemudiannya memalukan harga diri kita sebagai manusia yang bermaruah, dan sebagai warganegara yang beradab.

 

Aqil Fithri boleh dihubungi lewat aqilfithri@gmail.com