“Filem bermula dengan DW Griffith dan berakhir dengan Abbas Kiarostami…”

Jean-Luc Godard

 

Life, and Nothing More (1992) adalah kelanjutan dari road movie-nya yang pertama iaitu Where Is The Friend’s Home (1987). Life, and Nothing More atau dalam judul aslinya, Zendegi va digar hich yang dibikin pada tahun 1991 ini telah diundang untuk ditayangkan dalam sektion Un Certain Regard sewaktu berlangsungnya Festival Filem Cannnes pada tahun 1992.

Tepat sebagaimana yang pernah dibilang Akira Kurosawa iaitu setelah Satyajit Ray tiada, kekosongan itu diisi Kiarostami. Bagi aku sendiri, belum ada trilogi yang dibikin sebaik Apu arahan Satyajit Ray sehinggalah Kiarostami membawa dunia mengembara dengan trilogi Kokernya. Dari Quentin Tarantino pula dapat dipetik berkata, Abbas Kiarostami merupakan salah seorang pengarah filem dunia yang teragung saat ini sebagai komen ringkasnya kepada filem ketiga dari trilogi Koker, Through the Olive Trees (1994).

Ceritanya sempoi habis. Maksud aku Life, and Nothing More atau ada juga yang membilangnya, …and life goes on. Setelah beberapa tahun, pengarah filem ini kembali ke Koker, sebuah desa terpencil di pinggir utara Iran (yang pernah menjadi lokasi atau setting untuk filem terdahulunya Where Is The Friend’s Home) bagi mengetahui sama ada pelakon utamanya dalam filem itu dulu iaitu Ahmadpoor terselamatkah atau masih hidupkah dia dari bencana selepas gempa bumi melanda Guilan, barangkali dua tahun sebelum itu.

Filem separa fiksi ini diangkat berdasarkan kejadian sebenar tentang mala petaka tersebut, iaitu gempa bumi yang telah meragut lebih dari tiga puluh ribu jiwa manusia di utara Iran. Menariknya dari penceritaan ini, Kiarostami telah memfiksikan wataknya sendiri dengan menujukkan seorang pengarah filem yang dimainkan oleh Farhad Kheradmand yang sedang dalam perjalanan ke Koker dengan sebuah kereta bersama anaknya Puya lakonan Buba Bayour.

Filem ini mengingatkan tentang masa depan dan nasib anak anak yang kehilangan keluarga dan saudara mara. Filem ini menyedarkan kita tentang tanggungjawab sosial setiap warga untuk mempastikan budak-budak yang kehilangan ibubapa dan saudara itu tadi diberi perhatian oleh semua pihak yang berkemampuan. Untuk mencari penghasilan dari tinjauannya tentang keadaan sebenar di lokasi mala petaka ini, pengarah filem muncul untuk pergi sendiri melihat dan bertanyakan orang bagaimana semua ini terjadi.

Ia satu perjalanan yang sukar kerana banyak lebuhraya yang telah terputus hubungan, terutama jalan menuju Koker. Namun sekali-kali ia tidak membuatkan sang sutradara mengalah, sebaliknya bersama Puya, mereka meneruskan perjalanan ke utara. Barangkali, ada beberapa hari sebelumnya sang sutradara sudah cuba mencapai perjalanan menuju Koker (menerusi perbualannya dengan juru tol bagi menanyakan keadaan di lebuhraya itu). Namun kita hanya mengira perjalanan ini hanya pada detik filem ini bermula sahaja.

Setelah filem bermula dengan lebih yakin, sebahagian besar, barangkali lebih dari separuh filem, bercerita menerusi perjalanan di dalam kereta sang sutradara bersama Puya. Aku kira dari awal ia sudah menunjukkan tanda-tanda yang sangat kabur tentang ke manakah perjalanan ini akan berakhir. Meskipun sudah dijelaskan bahawa sang sutradara sedang menuju Koker namun menerusi maklumat-maklumat yang didapatinya dari bertanyakan orang, jalan perhubungan menuju ke Koker hampir semuanya masih belum dapat ditembusi.

Tapi, sang sutradara nampaknya tenang saja dan Puya, anaknya itu memang bijak. Puya berkata pada ayahnya, sang sutradara itu: “…kalau kita tunjuk kepada mereka gambar kawan kita dan kita cakap yang kita akan pergi untuk membantunya, macam mana?” Meskipun tengah berfikir macam-macam perkara dalam kepalanya, sang sutradara bilang bahwa cadangan anaknya itu bukanlah idea yang teruk, malah boleh dipakai.

Oh, di sebalik kisah ini ada cerita-cerita kecilnya sebagai latar. Sekarang sedang berlangsung kejohanan bolasepak dunia dan semasa gempa bumi tempohari Scotland berdepan Brazil.

Di sini aku hendak huraikan garis-garis besar yang menunjangi penceritaaan Life, and Nothing More. Aku kira inilah isi-isi penting yang merupakan intipati utama kisah ini dikarang dan difilemkan untuk menjadi bahan fikiran dan renungan masyarakat di Iran dan dunia lain. Ada beberapa adegan yang penting diberi perhatian. Antaranya, dalam satu babak ketika kereta mereka ditumpangi Pak Ruhi yang mahu meneruskan perjalanannya ke Poshteh (sebuah desa yang berjiran dengan Koker) telah menceritakan pendapatnya tentang mala petaka ini yang menurutnya dalam setiap masa pada fikirannya, jika terlalu banyak insan yang tak berdosa, anak-anak, wanita, jika hampir semua orang pun telah kehilangan tempat tinggal mereka, lalu jika dia kekal berhubung dengan Tuhan, ia bermakna bahawa Tuhan akan bersamanya. Nampaklah apa pegangannya dan bagaimana mungkin dia menempuhi mala petaka ini yang digambarkan persis serigala.

Dalam satu babak lain yang aku kira sangat menarik ketika Puya duduk lepak dengan dengan seorang makcik, diceritakan bahawa barangkali makcik itu sangat kecewa dengan mala petaka yang kejam dan jahat sebegini meski tidak dizahirkannya. Dia kehilangan anak perempuannya yang sulung yang tinggal bersama bapanya sewaktu terjadinya gempa bumi. Anak-anaknya yang lain yang tinggal bersamanya terselamat. Puya merasakan makcik itu sangat bertuah kerana dia dan anak-anaknya yang lain itu terselamat.

(Barang diingat, ungkapan tentang perasaan watak di dalam filem ini ditampilkan secara mendalam dan bukan secara luaran, ia menunjukkan perasaan marah dengan mewujudkan kesangsian dan pertentangan dalaman meskipun luaran tidak nampak). Makcik pasrah kerana baginya Tuhan mengkehendaki anak-anaknya kembali.

Puya menyoal apakah Tuhan suka membunuh hambanya. Kalau bukan Tuhan, siapakah lagi yang lebih layak untuk membunuh hambanya, bilang makcik. Bencanalah yang telah membunuh anaknya kata Puya. Puya rasa dia tahu makcik masih ingatkan anak perempuannya yang terkorban dan berasa kasihan kepada anak itu kerana dia seorang pelajar yang sangat baik. Sekali lagi disebut, kali ini oleh Puya sendiri bahawa gempa bumi ini persis serigala yang lapar, dialah yang telah membunuh anak-anaknya dan setiap orang yang terkena lingkaran mautnya. Di tempat yang lain, yang terlepas dari lingkaran maut gempa bumi itu, dia tidak membunuh dan begitu juga bagi yang tidak kelihatan oleh sasarannya.

Kerana orang-orang yang terlepas dari diragut nyawanya oleh sang gempa, barangkali mereka itu bertuah kerana tidak merentasi lingkarannya sewaktu terjadi tanah runtuh. Gempa bumi itulah yang telah membunuh anak makcik. Anak makcik itu bertuahlah dia kerana telah mati. Jadi dia sudah bebas dari tugasan dan kerja-kerja sekolahnya. Puya yakin yang makcik pernah mendengar pada satu waktu dulu tentang sirah Nabi Ibrahim, yang harus mengorbankan anaknya dengan pisau kerana Tuhannya telah memerintahkan sebegitu.

Bila Nabi Ibrahim hendak tetak leher anaknya dengan pisau tersebut dengan niat untuk menyerahkan sepenuh dirinya kepada perintah Tuhannya, saat tetakan itu hendak dihentaknya dengan pisau itu, malaikat membawa seekor biri-biri dan berkata: korbankan ini menggantikan anakmu. “Dah makcik tanya bagaimana Tuhan boleh membunuh anak perempuanmu makcik, sewaktu dia baru bermula hendak menjalani kehidupan?” Bilang Puya dan berkata lagi: aku percaya jika seseorang manusia itu mati, dan kemudian dibangkitkan semula, mereka pasti menghargai kehidupan ini.

Dan juga aku percaya bahawa semua anak-anak yang terselamat ini, pasti akan menghargai juga kehidupan ini. Dan mereka mahu jadi lebih baik dari sebelumnya, dan mereka pasti hendakkan kamu juga menyayangi mereka lebih baik dari sebelum ini. Makcik yang sejak tadi sudah kaget mendengar Puya bijak bercakap bertanya: mana dan bila kamu belajar tentang semua ini? Kata Puya, separuhnya dari buku sejarah, separuhnya lagi dari Pak Ruhi dan separuh lagi dari dirinya sendiri.

Dalam satu babak lain pula, sebagaimana yang diperhatikan oleh sang sutradara dalam lawatannya ke tapak bencana untuk menyaksikan sendiri kemusnahan di samping menyiasat tentang Ahmadpoor ialah kisah suami-isteri dan kehidupan berumah tangga yang baru bermula. Si suami bertanya isterinya: nampakkah stokinnya atau di manakah ia diletakkan. Isterinya tidak tahu, dia suruh tengok dekat tempat yang biasa ianya diletakkan. Si suami turun tangga dan dia menemui stokinnya di dalam kasut, tempat di mana dia biasa meletakkan kasutnya.

Di situ dia duduk berdekatan sang sutradara yang dapat membaca yang mereka kelihatan seperti baru saja berkahwin. Lalu sang sutradara bertanya langsung sebaik si suami itu duduk berdekatan dengannya di kaki tangga. Ya, mereka baru lima hari mendirikan rumah tangga, iaitu sehari setelah terjadinya gempa bumi. Mereka pasangan suami-isteri yang masih muda yang telah kehilangan keluarga dan saudara mara disebabkan mala petaka. Sebagai jawapan kepada kehilangan adik beradik mereka itu, mereka telah memutuskan untuk terus hidup dan berkahwin. Babak yang bersangkutan dengan pasangan ini adalah pokok penceritaan penting dalam filem ketiga dari trilogi Koker, Through the Olive Trees.

Iya, sebuah trilogi itu berangkai-rangkai. Lebih istimewa bagi trilogi Koker ialah berkenaan naratifnya yang simbolik. Seringkali kita menonton kesinambungan yang lebih langsung, di mana Bahagian 2 akan bermula di mana Bahagian 1-nya berakhir. Filem seperti itu meskipun indah tapi sangat mudah difahami seperti trilogi The Godfather, Lord of the Rings dan lain-lain produk Hollywood. Berbeza di sini kerana di antara Where Is the Friend’s Home, Life and Nothing More dan Through the Olive Trees hampir saja dilihat sebagai tiga buah filem yang berasingan namun dikaitkan oleh perasaan, simbolisme, falsafah dan latar geografinya yang sangat unik, iaitu denai zig-zag yang menjadi penyambung antara dua desa iatu Koker dan Poshteh. Perwatakan antara ketiga-tiga trilogi ini terkait secara tidak langsung sahaja dan acapkali tersembunyi rahsianya.

Aku pernah menulis ulasan tentang filem dari trilogi Koker yang pertama Where Is The Friend’s Home di majalah Siasah sekitar tahun 2003 yang lalu. Jadi tulisan ini juga merupakan kesinambungan dari ulasan aku tentang trilogi Koker. Pasti, selepas ini aku bakal mengulas pula tentang Through the Olive Trees yang dianggap klasik dan kemuncak kepada kerjaya perfileman Kiarostami sebagai salah seorang pembikin filem yang teragung di dunia, saat ini. Kerana usai trilogi Koker, filem filem Kiarostami terus terpahat di mana-mana festival filem yang paling berprestij di dunia sebagai yang terbaik. Dengan sebiji kamera dan alat rakaman suara dan tidak lupa cermin mata gelapnya, dia adalah ikutan generasi muda pembikin filem, tak terkecuali aku.

Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Pernah menemuramah Pierre Rissient – lelaki Perancis yang terawal menonton filem-filem agung dari Asia dan merupakan wakil Festival Filem Cannes bagi Asia Pasifik – pada tahun 2004 di Carcosa Seri Negara. Lagi satu, dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir, new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: Cinta, Islamique & Filem Digital. Dia juga adalah sutradara kepada filem Le Diable.