Selepas bertemu dengan Muhammad Iqbal, Asad terlibat secara langsung dengan pembentukan negara Pakistan © Mischief Films

Kawan-kawan seangkatan,

Ini ada sepotong kata-kata Muhammad Asad yang mencemeh, yang menjolok hati orang yang tahu diri, iaitu: “Masyarakat kita”, kata Asad, “merupakan masyarakat yang terbodoh pernah selamanya wujud”: “Our community is the stupidest community that has ever existed”. Asad, sang pendiri bersama negeri Pakistan kini, mungkin bukan cuma marah-marah, tetapi dia benar-benar kecewa ketika di usia senja.

Saudara-saudari sekalian,

Kita tidak tahu, siapa yang dituduh Asad sebagai “terbodoh” itu, atau “yang paling bodoh”? Apakah orang Moroko (negeri yang pernah dia ‘singgah’ sebagai persona non grata), atau, Pakistan; negeri yang tadinya dia turut sama wujudkan; atau, Amerika Syarikat [New York adalah kota dia juga pernah tinggal]; atau, cemuhan kepada kaum Yahudi [iaitu darah keturunan ibu-bapanya], atau orang Eropah, atau orang Asia, atau kepada Muslim [Islam: agama yang dia peluk ketika berumur 26 tahun kalamana bertemu kakek yang juga seorang Yahudi di Jerussalam], atau seluruh tamadun manusia adab ke-20? Saudara, kita takkan tahu arah cemuhan Asad; kita takkan pernah tahu sekiranya kita, seperti kata sang penulis buku “Road To Mecca” itu, “tidak berfikir”.

Begitu juga politik. Begitu juga politikus, yang dicerca akibat tidak tahu apa perlunya jejak sebagai seorang pendamba kuasa; lalu menjadi hilang maruah; melakukan fitnah, korup, kemaruk helah dan intrik, tikam belakang makan kawan; politik yang tidak berasaskan gagasan dan idea adalah yang “terbodoh itu”. Lalu beranilah menggunakan akal sendiri; beranilah berfikir. Slogannya: Separe Aude, Separe Aude, Separe Aude

Quran, Suruh al-An’aam hujung ayat 50:

Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir? — afala-tata’fa-karun.

Hanya apabila seseorang itu berfikir, maka dia akan percayarasional menanam iman; termasuklah kepercayaan kepada sesebuah parti, atau kepada sesebuah perjuangan, atau kepada sesuatu agama sekalipun. Tanpa berfikir, keyakinan hanya palsu. Iman hanya mainan.

Kawan-kawan,

Beberapa minggu lalu, dalam satu debat dua pemimpin daripada dua parti, saya mendengar nama tokoh besar Abdul ar-Rahman bin Muhammad Khaldun. Disebutkan dalam debat itu percikan gagasan Ibnu Khaldun, yang dipetik daripada buku tebal “Mukadimah”, tentang apa perlunya (?) pemerintah mengekal dan mengenakan cukai yang relatif rendah. Isu di belakang persoalan cukai adalah isu PTPTN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara.

Di pihak Parti Keadilan [dan Pakatan Rakyat], mahu dihapuskan hutang dan PTPTN, dengan objektif mewujudkan pendidikan bermutu. Di pihak Umno dan BN, Ketua Pemudanya tidak bersetuju. Hujah Pemuda Umno; dengan pemberian subsidi penuh kepada pendidikan [yakni pendidikan percuma!] negara akan muflis. Contoh terbaru yang dilambung adalah kes studi hutang terhadap pendidikan tinggi di Amerika Syarikat.

Apakah persoalan RM30, RM40, atau RM50 bilion—atau berapa pun yang sudah dibelanjakan; dipinjam daripada institusi kewangan komersial dan beberapa agensi pemerintah seperti KWSP—yang jadi persoalan mengapa tabung itu harus dihapus atau dikekalkan? PTPTN bukan soal angka. PTPTN adalah ujian kefahaman politikus dan penguasa mengenai asas persoalan: atas apa negeri ini dan masa depan anak bangsa kita hendak diletak?

Sebab kita tidak mahu meniru kesilapan Amerika jualah, maka dituntut agar Tabung itu dihapuskan; diberi pendidikan percuma. Secara ringkas, ia sepertimana seorang bapa membiaya pelajaran anak-anak. “Negara” dalam hubungan ini adalah “bapa”, dan rakyat adalah “anak”.

Usahlah menjadi bapa yang menggunakan ‘wang anak-anak’ untuk joli-joli sakan sebelum melontar cabaran agar si anak pula perlu pandai mencari duit untuk masuk sekolah. Ini hujah orang sasau.

Bagi saya, hujah yang kandas kewarasannya itu sama sahaja seperti kenyataan apabila banyak negara-negara yang pernah meminjam wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika ekonomi gawat sekitar 1997-98 dahulu; kini negara-negara itu muncul dengan memacu pertumbuhan lebih kencang.

Indonesia mencatat pertumbuhan KDNK sedekad lalu lebih tinggi berbanding Malaysia. Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan lebih 6 peratus tahun ini. Malaysia pula sekitar 5 peratus pun belum tentu. Itu belum lagi disebut negara-negara seperti Thailand dan Korea Selatan. Tidakkah pemerintah kita malu? Tidakkah mereka malu apabila selepas sekian lama mereka memomokkan IMF sebagai dakyah politik domestik; namun yang berlaku hari ini sebaliknya.

Ya! Ini bukan persoalan angka atau buku kira-kira. Kita sudah lihat siapa yang kecundang untuk memahami falsafah kenegaraan dan politik; dan siapa pula yang gagal merenung isu dengan mendalam serta gopoh?

Walaupun tidak ada huraian jelas pada malam debat tersebut, barang diingat bahawa Mukadimah oleh Ibnu Khaldun adalah sebuah karangan yang bukan sahaja mengenai membangun sebuah “negeri”, tetapi ia adalah selembar persoalan membangun sebuah “tamadun”. Saya ulang… membangun sebuah tamadun!

Tidak ada ertinya negara dibangunkan kalau di dalamnya hanya selaksa “wilayah penderaan” terhadap manusia. Penderaan yang kadang-kala lebih buruk dan lebih zalim ketimbang penjara.

Atas sebab itu, pendiri negara Amerika Syarikat, Thomas Jefferson ketika menuliskan draf Undang-undang Dasar atau Perlembagaan negeri baru yang hendak diciptakan telah memasukkan hal asasi iaitu hak anak negeri untuk mencapai kebahagiaan. Maknanya, itulah tujuan Negeri Tuan Jefferson diwujudkan.

Jefferson… siapa dianya Jefferson ini? Dia tidak lain dikatakan adalah antara ‘pewaris’ kepada gagasan Pencerahan Eropah. Sebuah negeri berdiri dari angan-angan, dari pelayaran kapal pasukan laut, dari korban nyawa, dari perang, dari kesilapan dan keinsafan. Gedung parlimen Amerika, yang dipanggil sebagai Capitol Amerika Syarikat, yang dibangunkan pada penghujung abad ke-18, jelas nyata ciri-cirinya cuba mengambil semangat era Baroque dengan imbauan kejatuhan kota Athena.

Kawan-kawan lihatlah kubahnya! Lengkung yang cuba-cuba meniru kubah bangunan yang direka-bentuk oleh Christopher Wren. Dia mendirikan Cathedral St Paul pada 1675; siap pada 1710… bayangkan sebuah bangunan untuk 35 tahun. Lapan puluh tiga tahun kemudian, Amerika menirunya untuk bangunan Kongres mereka tadi iaitu United States Capitol. Sebagai perbandingan, Malaysia mempunyai kesempatan jauh lebih baik berbanding Amerika kerana kita adalah negeri yang baru lahir; baru merdeka setengah abad.

Sejarawan mana sekalipun, yang memerhati binaan awal Abad Renaissance pasti mengakui bahawa tidak pernah di dalam sejarah Eropah—apatah lagi kemudiannya Amerika—di mana gereja atau parlimen, membubuhkan kubah di atasnya. Pengaruh Arab-Islam-dan-Andalusia itu mencabar pemikiran Barat untuk merekabentuk kubah: batu-batan yang bentuknya separuh spera. Ia menakjubkan; yang tak terfikir, apatah lagi dilakukan meski di bawah empayar Yunani atau Athena sekalipun.

Terasa sekali betapa dari runtuhan kota Athena, mereka dirikan negara Amerika. Kawan-kawan, bangsa kita boleh sahaja menjadi bangsa yang besar andai kita orang-orang Timur ini juga merasa dan insafi bahawa keruntuhan Athena dan Yunani di Barat adalah sebahagian daripada keruntuhan kita. Keruntuhan Andalusia juga sebahagian keruntuhan kita. Seraya pada waktu itulah, maka kita akan punya jiwa nan besar untuk disamping berpegang kepada kekuatan tradisi sendiri, kita akan juga mampu menggali dan belajar dari tamadun Barat dan negeri-negeri Utara.

Sekali lagi saya sebutkan Andalusia: tamadun yang tumbuh dan berkembang ketika Eropah dalam gelap gelita. Negara yang wujud dek rampasan perang oleh Tariq Ibnu Ziyad, yang kemudiannya diambil alih oleh Abdul Rahman I yang melantik dirinya sebagai “khalifah” pertama. Dia mengisytihar Andalusia yang merdeka; bebas daripada mana-mana empayar Muslim di mana pun. Sayang seribu kali sayang apabila “bayangan syurga” itu hanya dapat bertahan kurang daripada lima dasawarsa.

Yang ditinggalkan, yang disambut di bawah kekuasaan raja-raja Katolik abad ke-16 dan 17 tetap sahaja semangat Madina Al-Zahra, Kardoba, al-Hambra dan Granada abad ke-9, 10 dan 11; walaupun barangkali di sisi yang ‘mengerikan’, iaitu sisi penjajahan.

Dunia menyaksikan bagaimana Empayar Raja-raja Katolik kemudiannya menawan wilayah-wilayah Eropah yang jauh dari kota dan tanahair mereka; termasuklah Rom yang pada ketika itu jatuh di bawah jajahan takluknya. Reaksi balas dari Rom tidak lain—dan pasti juga diingat—adalah meledaknya revolusi gerakan Baroque: ianya adalah gerakan pemikiran seni-budaya yang pertama yang telah ‘menawan’ seantero Eropah. Baroque ‘menyerang’ dengan muzik, dengan senilukis, dengan senibina. Ia akhirnya mengubah bukan sahaja seni-budaya, tetapi juga paradigma tata rakyat dan politik Eropah.

Ibnu Rushd tidak dapat melihat semua itu. Beliau di hujung hayatnya dibenci dan dimusuhi oleh khalifah. Namun, di mana-mana sahaja, baik di Rom sampai ke England, wajah Ibnu Rushd dilukiskan orang. Begitu di dalam sebuah lukisan siling di dalam dewan Rumah Jamuan; The Banqueting House; di London.

Lukisan oleh Peter Paul Ruben iaitu pelukis yang berasal dari Rom menggambarkan Ibnu Rushd, atau Averroes dilukis di bahagian kanan atas siling dewan, dengan aksi sedang menutupkan dengan kain tubuh seorang Inggeris yang telanjang bulat. Lukisan itu memberitahu kita betapa Ibnu Rushd, yang besar pengaruhnya kepada kebangkitan Eropah, juga sudah sampai ke Britain: wilayah yang ditandakan sebagai paling lewat menerima Zaman Kebangkitan. Rushd, sepertimana dia di Sepanyol, dia di Rom dan hari itu dia di England adalah ibarat imam Mahadi, atau lebih tepat “juru selamat”. Dia telah membawa kebaikan kepada England.

Namun Ibnu Rushd, barangkali juga seperti Asad, mereka disisih oleh masyarakat (atau raja, atau pemerintah/kerajaannya) sendiri. Lagi tentang tragedi. Mungkin sahaja amaran Ibnu Khaldun di dalam Mukadimah itu benar, iaitu kekuasaan itu enak, maka orang mahu mendapat kuasa bukan untuk membangun tamadun, tetapi hanya untuk bersedap-sedapan sahaja.

Dengan hati lara, pada 1987, dari Moroko Asad berpindah ke Sepanyol—tanah Ibnu Rushd.

Saudara-saudara seangkatan,

Saya ini mungkin bukan seorang politikus ‘tulen’; mungkin juga bukan seorang seniman, waima penulis sekalipun bukan… saya hanya seorang pemberi tahu. Bahawasanya, membangun tamadun itu adalah matlamat politik generasi kita. Asad kecewa barangkali kerana politikus yang diberi peluang berkuasa gagal memahami hal ini. Sepertimana Yahudi, di bawah alam fikirnya, Asad rindukan akan sebuah negeri. Tapi, kita ada negeri itu sekarang. Iaitu Malaysia. Bukankah ini petuah Burhanuddin al-Helmi:

Dari robohan kota Melaka;
Kita dirikan jiwa merdeka.

Barang diingat, politik yang tidak dengan kesedaran membangun tamadun, hanya akan sia-sia. Kesia-siaan itulah sekali lagi seperti kritik yang ditinggalkan Asad dengan katanya, “today we’re the lowest of the low; hari ini kita adalah yang terkebawah di kalangan yang bawah; ‘We’, I always say ‘we’; my criticism of my community… comes out of my love for it”.

Sesiapa pun memang tidak pernah punya waktu yang terlalu lama. Empat tahun di Granada, Asad meninggal dunia: tahun 1992. Umurnya 92.

Sekian. Terima kasih.

Jalan Telawi,

Kuala Lumpur.

 

Tulisan ini asalnya bertajuk “Pencerahan kepada Negeri yang Baru” adalah teks ucapan sesi tingkatan 3 Sekolah Politik, Institut Kajian Dasar (SP-IKD) Hotel Quality, Shah Alam, Selangor; 2 Jun 2012 (Sabtu) 8:30 malam.

Burhanuddin al-Helmi Ibnu Rushd Malaysia Muhammad Asad Peter Paul Ruben politik Tariq Ibnu Ziyad Thomas Jefferson

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan