Kulit depan DVD filem Chandramukhi.

Ah, filem Amerika sedang menuju ke zaman dekadennya. Sangkakala yang dimainkan dalam adegan kota Babylon dalam Intolerence sedang berkumandangSi koboi, Hans Solo dan Harry Potter kini berada di tengah-tengah labirin majal. Mengaku sahajalah, Hollywood ketandusan cerita.

Seperti mana-mana negara berbudaya, Amerika ligat mengadaptasi drama televisyen, novel-novel, komik-komik dan permainan komputer (dan apa sahaja) sebagai medium filem. Kadang-kadang, dua filem klasik terdahulu dicampur aduk, atau filem yang tidak dikenali ramai dikitar semula, filem yang pernah lesu dijelmakan kembali, dua hingga tiga genre dicambah menjadi suatu filem berorientasi untuk pelbagai citarasa. Pascamoden menjadi alasan bermunasabah untuk penemuan percambahan sebegini. Yang nyata jadi tidak nyata dan “Anything Goes” nyanyi Kate Capshaw dalam filem “campur aduk” Indiana Jones and the Temple of Doom.

Baru-baru ini penonton dunia sempat melihat tayangan Avatar(2009), yang dikecam oleh penonton tegar wayang sebagai mencedok plot cerita dan struktur Dances with Wolves(1990) karya Kevin Costner (filem adaptasi daripada novel Micheal Blake) dengan memenuhi fantasi Red Indian di luar bumi membalas dendam terhadap koboi dan peminat berpeluang melihat Sigourney Weaver bogel sekali lagi (kali ini dalam warna biru CGI) sedari Alien. Reel Steel(2011) pula secara lazimnya adalah Rocky (dengan isu perhubungan ayah-anak yang sama dalam francais Stylvester Stalone tersebut) bertemu Robot Jox(1990) dengan tambahan punggung seksi Hugh Jackman.

Mengecualikan sekuel, sebuah lagi “industri” yang mampan dilakukan oleh Hollywood, suatu lagi “skim cepat kaya” mereka adalah menerajui filem bisem (bikin semula) yang kelihatan, akhir-akhir ini, berlambak disajikan oleh Pak cik Sam kepada umat dunia yang sentiasa tertawan akan gemerlap papan tanda di atas Gunung Santa Monica. Tiga genre yang selalu dikunjungi sekali lagi dan sekali lagi (kerana genre  inilah yang paling digemari di seluruh dunia) adalah seram, sai-fai (fiksyen sains dan fantasi) dan komedi.

Baru-baru ini aku menonton The Thing(2011), sebuah filem “prekuel” yang diselamatkan oleh pembikinnya daripada mengikut buah kata penerbit akan filem “klasik seram” tersebut untuk turut dimuat dalam kitaran filem bisem. Filem itu menarik daripada sudut mengenal pasti keberadaan dan titik asal bagaimana makhluk yang cukup Lovecraftis itu sampai ke pangkuan Kurt Rusell dan kawan-kawan dalam versi asal John Carpenter.  Tetapi “dosa” yang dikecam di dalam filem itu, serta dalam mana-mana filem yang ingin “menggali lubang” filem-filem yang sudah tersedia “berdiri utuh” adalah: walaubagaimana dekat si pembikin cuba untuk kembali dan mengembalikan keagungan filem itu dahulunya, ia tidak akan sama dan tidak akan dapat mencapai mutu piawaian yang sudah ditempa oleh filem asal. Filem John Carpenter tersebut cukup rencah paranoia (malah dititip dengan kaitan keadaan perang dingin Amerika Syarikat dengan USSR pada waktu itu), dengan detik-detik senyap yang tersusun untuk diokestrakan kepada babak-babak seram yang mengancam tempat duduk penonton.

Hal inilah yang susah hendak “ditiru” oleh Matthijs van Heijningen Jr apabila memperakui penampilan CGI (walaupun berkesan dalam beberapa babak) untuk mewakili makluk tersebut dan terlalu menunjukkan kengerian tanpa detik-detik subliminal dan sunyi yang lebih menggugat dalam filem asal.  Semuanya dibuat dengan latar stereo kuat berdentum tanpa betul-betul memperkenalkan watak yang kita sudah tentu akan menjadi mangsa seterus si makhluk seperti dalam filem slasher dengan ritma Sepuluh Budak Hitam. Hanya suatu yang dipuji terhadap filem ini, The Thing versi baharu sekurang-kurangnya menjadi “adik angkat mendengar kata” terhadap karya asalnya, serta menghormati status kultusnya.  Sesuatu yang tidak berlaku dalam filem-filem bisem secara lazim.

Mungkin masalah terbesar dalam pembikinan bisem di Amerika Syarikat adalah kerana budaya popular francais dan globalisasinya yang terlalu berpengaruh secara sarwajagat, anda sudah tahu apa yang anda akan dapat (mantra fofular kita yang menyembah burger McDonalds dan kangkang pop Lady Gaga). Ikatan utama yang mengikat produk globalisasi Amerika ini adalah bahasa Inggeris. Ini menghegemonikan lagi sikap penerimaan kita terhadap produk-produk Amerika. Seperti makanan yang kita pesan di depan kaunter makanan segera, hidangan tersebut akan cukup dengan bentuk bulat, disarung dengan kertas lembut lembap kuning dan keklisean rasa yang sekata dengan tompokan sos cili yang kita tahu kelazimannya. Kita sudah dapat menjangka apa yang akan berlaku.

Mungkin sebab itu, ianya lebih mencabar dan lebih memberi kita kepuasan jika kita mengkaji dan meneliti dunia bisem filem-filem dari India.  Secara fakta, India adalah masala budaya dan bahasa (bukan dialek) yang pelbagai dan berlapis, walaupun dominan agama yang menyelusuri India bertunjangkan Hinduisme. Malah agama Hindu itupun (yang sebenarnya jika dikaji, tidak pun dinamai sebagai agama yang mewakili satu hegemoni kepercayaan) disusuri dengan pelbagai dewa, wali, guru dan cara untuk menemui dan berbuat bakti terhadap tuhan, setiap satunya dengan kaedah dan penakrifan yang berbeza-beza dan kompleks, malah mengikut latar pecahan daerah hingga ke desa.

Daripada kepelbagaian ini yang tidak bertepilah, kepelbagaian intepretasi yang dapat disampaikan terhadap sesebuah karya yang dipinjam dan dibisem. Dan India amat kaya dengan budaya peminjaman lantas melokalkan karya tersebut sebagai kepunyaan tempatan mengikut latar setempat (beberapa filem Melayu zaman Jalan Ampas secara ironi turut membisem filem-filem dari India khusus Tamil dan Hindi dengan acuan tempatan dan kemelayuan).

Ini dapat dilihat dalam industri Bollywood dan Kollywood (dua industri perfileman terbesar India) yang wujud di tengah-tengah Mumbai dan Chennai, bagaimana filem-filem Hollywood dan negara Barat (dan Timur khususnya Hong Kong) dicedok, dibisem dan dipakejkan sebagai filem tempatan. Latar-latar dan watak-watak akan ditempatankan, dengan motivasi dan dilema tempatan, cukup dengan komersialisme yang popular terhadap penonton tempatan.  Sememangnya, apa-apa yang dapat memberi eskapisme setara pemahaman dan pengalaman massa akan laku dan ditayangkan, kadang-kadang sehingga 500 atau 600 hari.

Sistem bintang, terutamanya seperti Shah Rukh Khan dan Rajnikanth, antara nama antarabangsa dan besar dari India perlu terhadap mimikan tandatangan lakonan, kesesuaian perwatakan dengan cerita (sifat perwatakan pelakon yang dikenali akan dilakon dan dilakonlan sekali lagi) dan paling penting, menjadi “tatapan sanjungan” massa (antara formulanya, hero tidak boleh gagal di akhir cerita). Dengan ciri-ciri ini, seorang bintang boleh diminati sehingga tahap “dewa”.

Ambil contoh filem ngeri psikologikal-seram Malayalam, Manichitrathazhu(1993) arahan Fazil dan ditulis oleh Madhu Muttam. Filem tersebut membawa tema yang jarang-jarang dibikin oleh industri filem Malayalam (satu daripada industri perfileman India Selatan yang luas). Filem tersebut mengisahkan sepasang suami isteri (Nakulan dan Ganga) yang baru berpindah ke sebuah rumah agam lama yang dipercayai berhantu kerana mengunci dua “hantu berdendam” yang disumpah di sebalik sebuah bilik lama, seorang penari istana, Nagavalli dan seorang pembesar zalim, Sankaran Thampi.

Mengikut legenda, pembesar zalim itu telah mengambil Nagavalli dari Tamil Nadu untuk dijadikan gundiknya. Tanpa diketahui, penari itu sudah mempunyai kekasih, lantas kekasihnya datang ke istana pembesar itu untuk membawa lari penari itu. Sankaran mengetahui plot kekasih Nagavalli, lantas membunuh kekasihnya di depan Nagavalli dan membakar Nagavalli hidup-hidup. Aktiviti seharian di rumah itu menjadi “berhantu” tiba-tiba apabila Ganga membuka bilik berkunci itu dan menjumpai barang peribadi Nagavalli. Banyak perkara pelik berlaku di rumah tersebut, dan masyarakat kampung mempercayai, hantu Nagavalli sudah kembali untuk membalas dendam terhadap isi rumah baru itu.  Sedangkan seorang psikatris, Dr. Sunny Joseph, kawan Nakulan, merasakan, semua kejadian pelik di rumah itu disebabkan oleh isteri Nakulan sendiri.

Sebagai sebuah filem yang menceburi genre “misteri” dan “ngeri”, filem ini mendapat pujian pengkritik kerana garisan halus yang dipamerkan, menggariskan kepercayaan tahyul dan jawapan rasionalisasi sains (khusus bidang psikologi) yang terpendam dalam budaya Malayalam. Seperti pemahaman psikologi terhadap Main Puteri dalam alam budaya Melayu, filem ini juga memaparkan bagaimana “kepercayaan” dirasuk hantu sebenarnya merupakan eskapisme si pesakit untuk menyelubungi “penyakit jiwa” yang dihadapi.  Di dalam filem ini, Ganga (lakonan berkesan Shobana) sedikit demi sedikit memaparkan dirinya “dirasuk” oleh roh dendam Nagavalli. Dr. Sunny (lakonan baik Mohanlal) memeriksa sejarah hidup Ganga dan menemui bukti, Ganga seorang yang taksub terhadap ketahyulan dan pernah mengalami personaliti berbelah bagi (split personaliti).

Untuk mengeluarkan “hantu” dari diri Ganga, Dr. Sunny serta seorang bomoh kenalannya telah merancang sebuah ritual tantrik pembuangan hantu dan mainan  “wayang” yang memberi peluang hantu Nagavalli “dalam” diri Ganga menuntut bela terhadap Sankaran. Lantas “drama” yang dipentaskan disediakan untuk “teraju” Ganga “membunuh” Sankaran. Sepertimana dalam Main Puteri yang juga berlandaskan “mainan wayang” sebagai penceritaan terhadap pembuangan semangat negatif dan memasukkan semangat baik, simbolisme tantrik dan lakonan pembunuhan “membaik pulih” Ganga kerana perangkap ketahyulan yang wujud di dalam jiwanya.

Keunikan filem ini telah menjadikan satu-satunya filem Malayalam yang paling berjaya secara komersial dan turut mencapai anugerah National Film Awards (majlis anugerah filem paling berprestij di India) buat sinematografi dan Shobana yang memegang watak utama, Ganga dan Nagavalli.  Filem ini tidak ada efek khas berlebihan, malah pergerakannya minimalis dan bergerak dengan daya psikologikal dan drama yang baik. Permulaannya sendiri menandakan itu apabila Pak cik Thampi (pemilik rumah berhantu tersebut) memasuki rumah tersebut, berjalan ke setiap ruang dan bilik (sebagai perkenalan ruang kepada penonton) sambil si pak cik “membebel” kepada pekebunnya yang menjaga rumah. Babak ini dibuat tanpa lagu dan bergerak bersahaja, kamera mengikut perjalanan Thampi pada setiap ruang.

Filem ini seakan-akan sebuah filem art house pada awalnya. Kemudian, sentuhan subliminalnya. Dalam satu momen, Thampi tanpa disedarinya menolak kerusi goyang apabila naik ke tingkat satu. Di tingkat satu, Thampi “merasakan” dikacau kerana pintu tiba-tiba terbuka dan tertutup sendiri. Thampi berlari hingga ke bawah, lantas gerun melihat kerusi goyang tiba-tiba bergoyang sendiri.  Momen-momen sebeginilah (seperti juga perkembangan Shobana sebagai Ganga yang makin menampakkan pembahagian jiwanya, yang bergerak bersahaja tetapi yakin) yang membuatkan filem ini sebuah filem yang jelas menarik, tanpa terlalu mengikut konvensi suntingan dan runut bunyi yang mengada-ada yang lazim dalam filem komersial India.

Selepas kejayaan filem ini, lantas bermulalah keperluan bahasa dan daerah lain di India melakukan bisem filem ini. Dalam masa 20 tahun bermula filem ini diperkenalkan, sudah lebih enam buah filem yang dibikin semula berdasarkan filem asal ini; Aaptamitra(2004) dari Kannada, Chandramukhi(2005) dari Tamil (versi bisem ini adalah versi yang paling dikenali) dan Telegu (alih bahasa daripada Tamil), Rajmohol(2005) dari Bengali, Bhool Bhulaiya(2008) dari Hindi, dan Nagavalli(2011) dari Telegu (filem ini dinyatakan sebagai sekuel kepada versi Telegu, tetapi sebenarnya merupakan pembikinan semula “sekali lagi!” terhadap kitaran cerita filem ini dengan beberapa perubahan struktur cerita).

Semua filem tersebut (kecuali versi Hindi) menggerakkan struktur cerita yang berlainan daripada versi asal, menggunakan adat resam dan kelaziman hidup yang setempat, dan menumpukan perkembangan terhadap beberapa watak sampingan yang tidak dibuat oleh filem asal. Mengejutkan, kesemua filem tersebut menjadi sangat popular dalam kalangan daerah masing-masing, tiga daripada versi bisem (Malayalam, Kannada dan Tamil) yang dibikin di Selatan India mendapat pengiktirafan pelakon wanita terbaik mengikut daerah mereka (Shobana, Soundraya, Jyothika Saravanan).

Dalam kesemua versi, mungkin Chandramukhi arahan P. Vaasu (yang turut mengarahkan versi Kannada dan Telegu) dalam Tamil yang menarik untuk dibicarakan (sebenarnya, versi Kannada P. Vaasu adalah filem dasar yang digunakan untuk membikin filem versi Tamil ini), lebih-lebih lagi dengan penambilan bintang besar, Rajnikanth sebagai teraju utama filem tersebut.  Daripada permulaan yang kecil, filem tersebut “menjadi besar” dengan kehadiran bintang tersebut.

Perkembangan watak Rajnikanth sebagai Dr. Saravanan lebih dipertimbangkan, walaupun masih tidak melupakan dua watak suami isteri yang menunjangi konflik filem tersebut. Semuanya lebih “gah”, lebih berdentum, dan paling kurang disenangi, memenangkan bukti ketahyulan latar “hantu” Chandramukhi dengan motif ular senduk besar, gambar dan unsur pantang-larang yang menebal.

Jika dibandingkan, memang filem asal Malayalam masih tidak boleh dikalahkan dengan cara persembahannya yang terlalu bersahaja tetapi diikat rapi dengan nada yang minimalis tetapi cukup kuat psikologikalnya.  Filem-filem seterusnya terlalu “mengangkat” pelakon-pelakon tertentu (untuk versi Hindi, Akshay Kumar menjadi terajunya) dan terlalau melebih-lebihkan jalan cerita kekeluargaan dan watak-watak sampingan, yang kadang-kala menampakkan lewahan cerita.

Tetapi untuk versi Tamil, babak nyanyian “Raa Raa” di mana Ganga sudah sempurna menjadi “Chandramukhi” di dalam bilik berhantu adalah babak paling berkesan dalam menampilkan persembahan lagu dan imej yang sungguh menawan mengikut pembudayaan tradisi Tamil dalam tarian dan nyanyian.  Malah detik ini yang menyebabkan filem versi Tamil ini diingati sebagai antara bisem yang berjaya sekurang-kurangnya memberi kelebihan daripada versi asalnya.

 

Salah satu babak dalam filem Manichitrathazhu.

Esensi Bisem

Selalunya filem bisem (bikinan semula) dibikin kerana pembikin selanjutnya menemukan kaedah yang lebih baik dalam penciptaan kesan khas serta penggunaan teknologi penggambaran terbaharu untuk persembahan filem, mendapat belanjawan yang lebih tinggi untuk membikinnya, situasi mutakhir setempat yang membolehkan filem tersebut diintepretasi dengan perspektif baharu (selalunya filem luar yang diadaptasi untuk bikinan semula), pelakon baharu yang kelihatan layak untuk filem tersebut dilawati sekali lagi, dan paling penting, ianya selamat untuk dibikin kerana  ia tentu membawa pulangan yang sudah diuji pasaran. Di bawah ini merupakan senarai filem bisem yang teguh tidak lapuk ditelan zaman dan kenyataan amaran jika ada yang mahu membikin beberapa filem yang sudah mencapai adikarya:

Lima Filem Bisem Yang Mesti Tonton

The Ten Commandments(1956) – Apabila Cecil B. DeMille mendapat “lambakan wang” untuk membikin semula apa-apa filem yang pernah dibuatnya pada zaman filem bisu, beliau memilih untuk membikin semua filem bisu 1927nya yang bercerita tentang perjalanan epik Nabi Musa menyelamatkan kaumnya dan juga mendepani tragedi kaumnya. Filem ini sebuah contoh klasik filem yang mendapat perbelanjaan yang tinggi (buat zaman itu) dengan aspek teknikal dan penggambaran yang terbaik untuk merealisasikan sesuatu yang menyebabkan orang Barat masih mempercayai Charles Heston itu Musa.

Excalibur(1981) – walaupun boleh diperdebatkan jika filem arahan John Boorman ini benar-benar sebuah filem bisem, sudah terdapat lebih sepuluh versi sedari 1904 yang menceritakan tentang Raja Arthur dan kesatria meja bulatnya di layar putih.  Filem-filem tersebut tentu menjadi dasar pembikinan filem penuh mistik dan gaya tersendiri ini yang sangat dikenali kerana pemakaian “O Fortuna” Carmina Burana sewaktu momen Raja Arthur berserta kesatrianya menunggang ke medan perang.  Dan, oh ya, siapa yang tidak dapat lupa dengan Merlin berketayap besi? Magik dan seni tidak akan sesubliminal seumpama ini lagi.

The Blob(1988) – Sebelum Frank Darabont terkenal dengan The Green Mile dan The Shawshank Redemption, beliau bermula dengan menulis skrip, seperti filem bisem arahan Chuck Russel ini dari filem sai-fai ngeri 1958 lakonan Steve McQueen. Ini adalah sebuah contoh terbaik di mana filem bisem melampaui filem klasik awal yang didasarkan. Babak yang sangat ditunggu-tunggu adalah babak dalam pawagam wayang di mana blob muncul memakan penonton di depan layar putih sambil penonton masih menonton Texas Chainsaw Massacre (entah ke berapa), ini adalah lawak sinis filem ini: wayang pun boleh makan penonton!

The Magnificent Seven(1954) – Filem western arahan John Sturges ini adalan contoh sebuah filem bisem yang dipinjam daripada filem asing yang besar dan mempunyai kekuatannya yang tersendiri, Seven Samurai(1954) arahan Akira Kurosawa yang juga merupakan filem samurai terinspirasikan genre western. Kitaran demi kitaran ini menghormati antara satu sama lain, membuatkan filem ini kukuh berdiri sebagai sebuah adikarya genre koboi dan machismo Barat, dengan himpunan para pelakon lelaki yang handal pada zaman itu dan diingati kerana dialog dan penampilan karisma mereka. Filem ini bukan sahaja menghormati filem asalnya, ia dapat berdiri kukuh sebagai antara filem bisem yang terbaik pernah dibikin.

Ran(1985) – Jika Hollywood meminjam Jepun, Akira Kurosawa turut meminjam sekali lagi dunia Barat dengan pengintepretasian semula King Lear dengan latar era peperangan saudara Sengoku. Ini adalah contoh pembikinan seorang pakar dalam bidang meminimalkan pemahaman “bisem” dan menjadikan filem tersebut keseluruhannya sebagai representasi seni dirinya dan negaranya.  Sebuah filem perang epik yang terus berpengaruh hingga sekarang.

Lima Filem Yang Haram Dibikin Semula

2001: A Space Odyssey(1968) – Walaupun efek khas, teknologi perfileman dan CGI makin menggila zaman sekarang, ianya suatu hal yang mungkar untuk membikin semula filem arahan Stanley Kubrick ini yang cukup jelas menjauhi zaman dari segi kandungan serta gaya.  Filem ini menandakan, walaupun tahap kesan khas belum mencapai kematangan (buat masa itu), sebuah filem besar boleh dibuat dengan kesungguhan dan sedikit kegilaan seni.

Lawrence of Arabia(1962) – Epik dieja dengan nama David Lean pada zaman 60-an, dan filem ini merupakan contoh tahap epik yang terunggul pernah direalisasikan oleh manusia. Filem ini sebuah contoh bagaimana T.E. Lawrence didefinisikan oleh Peter O’Toole dan lagu Arab Hollywood hanya boleh direalisasikan oleh Maurice Jarre. Cubaan untuk membikin filem ini adalah jawapan kepada bunuh diri.

The Exorcist(1973) – Dalam mana-mana senarai filem seram dan filem rasukan syaitan terbaik, filem arahan William Friendkin ini tentu berada di tampuk teratas, membuktikan usah lagilah filem ini cuba disalini atau dibikin semula.  Termasuk dalam sumpahan “kau takkan berjaya ikut aku” adalah sekuel dan prekuel filem ini, walaupun dibarisi oleh pengarah dan penulis skrip tersohor Hollywood.

Singin’ In The Rain(1952) – Filem muzikal arahan Stanley Donen dan Grace Kelly ini menunjukkan filem muzikal adalah filem definitif ciptaan unik 1950-an yang boleh dikunjungi berkali-kali tetapi tidak pernah boleh dibangunkan semula pada zaman lain. Magis zaman itu tidak boleh lagi disentuh, walaupun beberapa pengarah muzikal cuba menghidupkan kembali genre ini pada alaf baharu. Klasik adalah klasik.

Star Wars(1977) – Kau nak mampus?! (juga rujuk trilogi Lord of the Rings arahan Peter Jackson)

Salah satu babak daripada filem Lawrence of Arabia.

Trivia Tempatan

Filem Melayu/Malaysia turut dan pernah dibikin semula. Legenda Mahsuri, Raja Bersiong, Si Luncai adalah di antaranya, dan televisyen atau filem saling menggunakan kepelbagaian medium untuk melakukan bisem ini. Antara yang boleh diingati sebagai bisem yang menarik adalah Appalam, sebuah filem Tamil tempatan arahan Afdlin Shauki, filem bisem yang didasarkan daripada komedi keluarga Papadom. Ada juga yang akan mendebatkan bahawa Abang 92 arahan Rahim Razali adalah contoh bisem terawal. Tetapi filem itu lebih kepada penjelmaan semula daripada pembikinan semula, kerana struktur, watak dan jalan cerita yang amat berlainan dengan klasik asal.

Untuk tahun akan datang, kita akan dapat menonton beberapa bisem yang akan keluar, Gila-gila Remaja yang amat kultus dengan lakonan Faizal Hussein itu, Azura yang dimuzikalkan oleh Aziz M. Osman, Adik Manja, dan Bukit Kepong, projek terbaharu ayah-anak Yusof Haslam dan Shamsul Yusof.

 

Fadli Al-Akiti, editor majalah Dewan Sastera.