Malam 13 April lalu, lagu hasil karya puisi Tawfiq Zayyad, ‘Unadikum’ berkumandang dalam teater Metropolitan di Morgantown, West Virgnia. Persembahan itu dilakukan oleh pelajar kelas bahasa Arab sebagai salah satu persembahan acara Spring Spectacular yang dianjurkan oleh West Virginia University. Acara ini memaparkan persembahan-persembahan daripada pelajar dalam bahasa-bahasa antarabangsa seperti Rusia, Jepun, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Walaupun lagu tersebut ditujukan kepada rakyat Syria yang sedang ditindas rejim pemerintah negara tersebut, ‘Unadikum’ merupakan lagu popular diambil daripada puisi sebagai gambaran ketabahan pejuang-pejuang rakyat Palestin dalam penindasan rejim Israel. Pada dasarnya puisi tersebut merupakan puisi inspirasi kepada rakyat yang sedang ditindas.

Rakyat Amerika sebenarnya masih tidak mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin walaupun mereka setuju dengan revolusi rakyat Syria.  Ironinya, secara tidak langsung pada malam tersebut mereka tidak tahu  yang mereka telah mengiktiraf lagu untuk pejuang rakyat Palestin, iaitu lagu musuh rakan baik mereka sendiri.  Pelajar kelas bahasa Arab yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Amerika itu sendiri mengalunkan ungkapan ‘Unadikum’ di atas pentas.

Dua hari sebelum acara tersebut merupakan kali pertama penulis mengenali lagu tersebut. Semasa raptai acara, penulis yang mewakili persembahan bahasa Jerman menyaksikan raptai persembahan kumpulan bahasa Arab. Dendangan Unadikum dimainkan diiringi dengan gambar mengenai kesengsaraan rakyat Syria di atas skrin.

Kali pertama mendengar, penulis yang tidak fasih berbahasa Arab hanya dapat menangkap perkataan Unadikum yang diulang-ulang dalam lagu tersebut. Penulis bernasib baik kerana lirik lagu tersebut diperjelaskan oleh rakan penulis, Fatimah, salah seorang peserta dalam persembahan tersebut. Fatimah menerangkan yang ‘Unadikum’ itu membawa maksud ‘Aku seru pada semua’ sebagai ekspresi panggilan terhadap dunia untuk menyedari tahap kesengsaraan mereka.

Bagi penulis, lagu ‘Unadikum’ ini amat mudah menjadi tarikan kerana rentak dan alunan liriknya sangat sesuai dengan tema perjuangan revolusi. Ditambah lagi dengan pengetahuan tentang liriknya, lagu itu akan mudah terukir dalam hati sesiapa yang mendengarnya. Puisi tersebut berbunyi:

Aku seru pada semua:
Ku ambil tanganmu dan genggamnya erat.
Ku cium tanah di mana kakimu pijak.
Ku tahu untukmu ku sanggup beri nyawaku.
Nyawaku akanku beri padamu.

Aku tawarkan padamu sinar mataku,
Api dalam hatiku:
Untuk kesakitan yang ku alami
Hanyalah sebahagian kecil daripada kesakitanmu.

Aku tidak pernah menjual negaraku,
Dan aku kan sanggup berbakti,
Untuk hadapi penjajah dengan azam dan berani,
Seorang yatim sanggup untuk mati.

Memikul bangsaku atas bahuku,
Kau akan lihat panjiku dikibarkan tinggi,
Dan sebuah gunung disarung dalam hijau dahan zaitun,
Untuk zuriat seterusnya.

Aku seru pada semua’
–       Tawfiq Zayyad

Jika ada penindasan, pasti adanya kesengsaraan dan melalui kesengsaraan, rintihan mangsa pastinya bergema-gema menyeru bantuan. Unsur-unsur itulah yang membawa kepada terhasilnya puisi ‘Unadikum’ yang dijadikan sebagai lagu inspirasi kepada pejuang-pejuang rakyat Palestin. Hasil karya Datuk Bandar Nazareth ini  mengungkapkan tragedi rakyat Palestin semasa perampasan tanah mereka daripada rejim Zionis. Beliau memang sangat terkenal dengan ‘puisi protesnya’.

Sebagai penyair yang agung, Tawfiq telah berjaya menghasilkan beberapa puisi perjuangan yang telah diwarisi daripada bentuk perkataan kepada lagu dan kemudian diabadikan dalam hati setiap pejuang-pejuang umat Islam.

Lagu Unadikum telah dialunkan pada setiap tahun sebagai hari untuk memperingati tragedi rakyat Palestin yang dikenali sebagai ‘Nakba’. Ianya juga telah diterjemahkan kepada banyak bahasa dan dipersembahkan sebagai lagu di mana Ahmad Qaboor, Bosnian Orchestra dan Darg Team berjaya membuktikan keabadian lagu Unadikum.

Tawfiq Zayyad hidup dalam kesukaran. Untuk tinggal di Palestin, dia dipaksa untuk menerima dirinya sebagai seorang rakyat Palestin yang memakai kewarganegaraan Israel. Melalui tindakan ini barulah Tawfiq dapat mempertahankan kewujudan rakyat Palestin dalam bahagian Palestin yang telah diumumkan sebagai negara Zionis pada tahun 1948.

Pada jangka masa tersebut, Zionis hampir berjaya untuk meyakinkan kebanyakan dunia untuk menerima helah mereka iaitu ‘tanah yang tidak didiami orang adalah untuk orang yang tidak mempunyai tanah’. Hanya disebabkan keteguhan dan kesabaran rakyat Palestin yang masih bertahan untuk tinggal di dalam Palestin berdekad-dekad dengan hukuman dan diskriminasi yang dilaksanakan terhadap mereka barulah dunia sedar tentang kewujudan rakyat Palestin.

Kebanyakan aktivis Palestin yang tinggal dalam jajahan takluk Zionis hanya dapat membantu Palestin secara dalam iaitu melalui penglibatan dalam sebuah parti Komunis. Parti Komunis merupakan parti yang diterima sebagai parti dalam kerangka politik Israel. Tawfiq merupakan pelajar sastera di Rusia dan telah dilantik sebagai Datuk Bandar Nazareth selepas beliau pulang ke Palestin. Pelantikan tersebut adalah hasil daripada kemenangannya sebagai ketua dalam sebuah parti komunis, Rakah. Ternyata kemenangan tersebut telah mengejutkan rakyat Israel itu sendiri.

Sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar Nazareth, rejim Israel berasa terancam dengan prospek Tawfiq untuk dilantik sebagai Datuk Bandar. Mereka sendiri telah memberi amaran kepada penduduk Nazareth yang mereka akan menghentikan bantuan kerajaan kepada komuniti tersebut jika Tawfiq dilantik. Namun begitu, pelantikan Tawfiq ternyata membuktikan bahawa beliau sangat popular dan dihormati oleh penduduk disitu.

Kebijaksanaan Tawfiq terserlah apabila dirinya mampu untuk mengatasi tindakan Israel yang menghentikan bantuan kepada bandar tersebut dengan mencipta kem kerja musim panas di Nazareth. Keberkesanan kem ini sudah terbukti kerana sehingga ke hari ini ia berjaya membawa beribu-ribu anak muda daripada serata dunia setiap tahun untuk menjalani khidmat komuniti dan melaksanakan tugas-tugas awam untuk bandar tersebut.

Tawfiq dikatakan fasih dalam bahasa Inggeris, Arab dan Rusia. Walaupun beliau menjadi ahli parlimen Israel, beliau kurang fasih dengan bahasa Ibrani. Pada masa tersebut, bahasa Ibraninya dikatakan sangat teruk sehinggakan apabila ditanya media Israel di mana beliau belajar bahasa Ibrani, jawabnya: ‘dalam penjara-penjara anda’. Beliau juga telah berjaya meletakkan tekanan hebat terhadap kerajaan Israel untuk mengubah polisi terhadap bangsa Arab tidak kira di dalam Israel ataupun di kawasan jajahan Palestin. Tawfiq Zayyad merupakan tokoh yang sukar untuk dilupakan.

Puisinya yang sering berkumandang ternyata sudah memadai sebagai sumbangan yang besar terhadap Palestin, tetapi jasanya dalam politik Palestin setaraf juga dengan sumbangan puisinya terhadap perjuangan Palestin. Walaupun dengan penglibatannya dalam politik dalaman untuk membantu Palestin semasa jadi ahli parlimen Zionis, mungkin terdapat sebahagian rakyat Palestin yang masih sukar untuk menerima pilihan Tawfiq Zayyad dalam menerima kewarganegaraan Israel. Namun, tanpa rakyat Palestin di kawasan jajahan Zionis seperti Nazareth dan Haifa, ternyata pergelutan rakyat Palestin menjadi lemah.

Selain itu, tindakan beliau untuk bersetuju dengan Yasser Arafat dalam mempertahankan penyelesaian ‘dua-negara’ yang menjamin kedua-dua Israel dan Palestin sebagai sebuah negara menunjukkan beliau sebagai penyair dan juga seorang realis kerana merasakan kedua-dua Palestin dan Israel perlu belajar untuk menerima kewujudan satu sama lain.

Penyair ‘Unadikum’ ini meninggal dunia pada 5 Julai tahun 1994 akibat daripada kemalangan kereta dalam perjalanannya untuk bertemu dengan Yasser Arafat di Jericho.  Walaupun sudah hampir 18 tahun selepas kematian beliau, idea revolusinya masih terus berkembang dan siapa sangka ianya telah dinyanyikan di atas pentas dalam sebuah acara universiti di Amerika Syarikat.

 

Unadikum versi rap oleh DARG Team