Tidak! Saya tidak mahu bernostalgia. Hanya saya dengar ada yang kata, “IKD ‘diserang’.”

Tidak! Saya tidak pernah secara rasmi makan gaji dengan badan ini, sungguhpun nama saya sering dikaitkan dengannya—atau mungkin sahaja saya memang secara rasmi tidak pernah makan gaji dengan mana-mana organiasi… Begitu selepas 1998, atau lebih tepat sejak 2001, saya dan beberapa teman (yang kemudian menggelarkan diri sebagai “Komuniti Jalan Telawi”) memang cuba membantu program-program IKD. Sekaligus untuk kami cari duit poket.

Waktu itu waktu ‘susah’. Susah apabila badan yang sebelum ini dengar ceritanya mendapat dana sokongan daripada Pemerintah, sudah tidak lagi. Adat orang miskin, tak siapa mahu dekat. Namun perit di poket atau ikat perut bukan persoalan berat anak-anak muda yang mahu ‘bebas’ seperti kami.

Saya lantas percaya bahawa inilah yang harus dilakukan oleh anak-anak muda yang punya kesedaran sepertimana yang ditiupkan ramai penulis bangsa ini dalam naskah himpunan puisi “Jiwa Merdeka”. Lalu tak lain hanya di IKD ada ruang di mana apa yang kami percaya sebagai benar, dapat tercurah.

Mungkin atas alasan berkenaan maka anak-anak muda itu, termasuk saya, menempek di IKD dan antara lain, kami jatuh terkasima melihat longgokkan buku-bukunya. Ada yang masih tersusun di rak-rak warna cokelat tua.Ada yang bertimbun-terbarai di lantai kerana [kemudiannya baru saya tahu] pejabat di Jalan Telawi itu pernah diumpil dan diselongkar polis selepas Anwar Ibrahim ditangkap.

Dan IKD rupa-rupanya—juga saya tahu agak terkemudian—adalah sebuah badan pemikir kepada Anwar sewaktu Anwar berada di dalam kerajaan Mahathir. Sepertimana juga badan-badan pemikir lain yang bagi saya membosankan kerana hanya menyumbang (baca: menyumbat) angka-angka untuk ucapan atau polisi kerajaan, ada beberapa program IKD seperti “Asian Renaissance” atau usaha untuk mengangkat karya Jose Rizal yang lebih menambat hati.

Bagi saya, dua projek itu projek penting. Sesetengah orang berkuasa, gagal melihat kepentingan idea ini—idea yang tadinya saya sebut sebagai “projek”. Masakan tidak, di sana setidak-tidaknya ada usaha untuk menjawab persoalan asas, iaitu: apakah sesungguhnya guna politik-kekuasaan itu?

Orang yang berkejar siang-malam dan kemaruk dengan kuasa, tidakkah mereka pernah tertanya di dalam hati kecil, “untuk apa aku berkuasa?” Jawapan seperti yang selalu kita dengar, iaitu “untuk membela rakyat”, “membela bangsa” atau “mengangkat darjat agama” mulai terdengar poyo di telinga. Jawapan seumpama itu tidak lebih hanya untuk menyenangkan kelompok elit sendiri. Dalam kata mudah, untuk memperkayakan mereka. Lagi dan lagi.

Sedangkan di dalam sesebuah negara, tak semua orang mampu atau mahu menjadi kaya. Tak semua orang berpeluang menjadi pemimpin di tampok kuasa. Ramai yang tidak di sana. Mungkin sebab tidak mahu kesana. Misalnya, ramai sekali yang hanya mahu menjual goreng pisang, berniaga pasar malam, jadi cikgu dan kerja-kerja biasa sahaja. Daripada sudut dan kaca mata politik-kekuasaan, apakah golongan paling ramai ini tidak punya hak untuk bahagia hanya semata-mata mereka tidak mahu ikut serta dalam Wawasan mega Pemerintah?

Di sinilah titik gagalnya “politik pembangunan”. Mantra yang begitu kuat sekali dijeritkan di era Dr Mahathir Muhamad; yang sebenarnya mulai tumbuh selepas Merdeka lagi. Fikiran yang percaya kepada pembangunan sebagai jalan mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat juga lantang terdengar di negara-negara Asia Tenggara lainnya. Malah di banyak negara Dunia Ketiga.

Eropah pernah melalui kesilapan ini; kesilapan apabila seluruh watan dipaksakan menerima wawasan pembangunan pemerintah. Contoh paling ketara tak lain tentulah Jerman di era Nazi.

Waktu itu, sekian rakyat Jerman harus menerima kaedah pembangunan Hitler. Hanya dengannya, barulah seseorang itu dianggap telah bekerja demi negara. Di luar lingkungan, atau yang tidak menyumbang ke arah wawasan pembangunan pemerintah, boleh sahaja dianggap ‘tak berguna’ kepada negara. Dalam contoh yang ekstrem, mungkin dikatakan “pengkhianat”.

Konsep kerajaan besar; kerajaan birokrat, pun bermula. Sedangkan, hanya tiga tahun selepas Malaysia merdeka, debat kepresidenan Amerika Syarikat antara JF Kennedy dan Nixon telah membicarakan akan konsep “kerajaan terhad” atau “limited government”. Iaitu, pemerintah harus menyedari bahawa dia tidak boleh menyusun semua hal. Sesungguhnya pemerintah tidak tahu semua perkara.

Dalam riuh-riuh IKD diserang konon membawa faham liberalis dan pluralisme, Perdana Menteri Najib Razak sendiri berkali menyebutkan perkara seumpama; bahawa kerajaan tidak tahu semua. Titik inilah titik beza besar antara Najib-dengan-Mahathir. Sepanjang pemerintahan Dr Mahathir, saiz kerajaan membesar dan memberat. Aparat seperti polis diberi kuasa banyak sementara media dikongkong sampai ke leher. Namun malang sekali kalau di ketika Najib cuba untuk mengecilkan kembali peranan kerajaan kepada saiz yang ideal, hal-hal asasi pula dikorbankan.

Hal-hal asasi yang tak boleh dijual beli seperti asas pendidikan berkualiti, soal kesihatan dan pertahanan negara misalnya, dalam kerajaan yang paling terhad sekalipun, tetap mengambil tanggungjawab itu. Maka isu tabung pendidikan PTPTN yang menggelegak tempohari sesungguhnya telah membongkar persoalan bagaimana pemerintah telah hilang imbangan antara konsep kerajaan terhad-dengan-konsep pasaran bebas.

Mungkin Najib dan beberapa pemimpin kanan di dalam kerajaan gagal menyedari perimbangan demi kembali mendapatkan “saiz yang ideal”. Sebabnya bagi saya kerana bangsawan-bangsawan itu jauh atau tidak mempunyai tradisi pemikiran yang cerdas. Najib, bahkan ketua pemuda partinya yang tiba-tiba mahu menjadi jaguh liberal-demokrasi tidak pernah punya sehelai pun tulisan atau karya pemikiran. Jauh lagi menulis buku-buku.

Apa yang dilakukan cukup tidak bermaruah iaitu sekedar meniru konsep-konsep yang sediakala dilontarkan Anwar dan orang-orangnya. Atau, di sudut lain, tak kurang ramai orang-orang Pakatan Rakyat, bahkan Parti Keadilan sendiri juga turut tidak melihat persoalan sepertimana yang saya tuturkan di atas sebagai sangat asas dan penting. Paling tidak, tak pernahkah kembali difikirkan secara serius oleh sang politikus di Malaysia di zaman ini, untuk apakah mereka perlu berkuasa?

Kalau IKD diserang—sepertimana juga di Temasek satu ketika dahulu apabila terdengar suara teriak “Temasek diserang todak!”—mungkin kami akan sama-sama menjawab bahawa kami OK-OK sahaja. Moga-moga nasib bangsa ini tidaklah terlalu malang adanya.

 

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

Anwar Ibrahim Hitler IKD Institut Kajian Dasar Jerman JF Kennedy Jose Rizal Najib Razak Nazi Nixon politik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan