Faizal Hussein sebagai Ilham dalam Bunohan © Apparat Productions

 

Cahaya berada tidak jauh dari kegelapan malam. Dan tadi suara tapak kaki yang bergerak itu adalah dua orang kampong yang biasa dipandang kolot. Mereka menuju warong. Tengah jalan budak-budak motor bersidai. Tak ada siapa peduli. Dekat sini buatlah apa pun. Selamba saja cakap ikut sedap mulut. Fikir ikut rasa. Masakan orang orang desa itu kolot? Sedangkan orang kota yang jahil.

Dain Said mungkin bercakap pada dirinya sendiri. Entah menyalahkan atau menyedarkan kurang pastilah. Sukar baginya untuk mengerti tentang apa yang dicarinya selama ini. Apakah ia berupa musik atau jalan cerita? Kehidupan yang benar bukanlah seperti yang dilakonkan. Benda macam pusaka ini bukan boleh dibuat main. Bukannya seperti yang dilihat dalam TV!

Dari dalam TV orang bercakap tentang tiga orang pelakon. Mereka adalah Pekin Ibrahim, Faizal Hussein dan Zahiril Adzim. Tapi mereka hanya pelakon yang sudah atau pun baru dikenali. Sedangkan ceritanya nanti bukan tentang lakonan mereka semata-mata. Ceritanya lebih dari sekadar perwatakan yang dikenali dengan nama Bakar (Pekin Ibrahim), Ilham (Faizal Hussein) dan Adil “Bunga Lalang” (Zahiril).

Macam mana rumitnya kata orang tentang filem ini, bagi aku tidak. Ia terang lagi bersuluh. Bunohan adalah cerita yang sempurna dalam mengaitkan pertalian darah antara tiga adik beradik dalam sebuah keluarga yang tampak sunyi tapi sebenarnya tonggang-langgang. Ia terjadi setelah lebih dari dua puluh tahun Bakar, Ilham dan Adil menghilangkan diri dari kampong mereka di Bunohan.

Sebelum itu, kemajuanlah yang datang lebih awal. Kemajuan tidak semestinya pencerahan. Tetapi pencerahan itu adalah salah satu tanda kepada kemajuan berfikir. Sejak di warong itu lagi kita sudah nampak Bakar berurusan dengan Jolok (Husyairi Hussin) dan barua-baruanya. Terkemudian semua sudah masuk dalam rencananya. Dalam apa situasi sekali pun Bakar tidak goyang dan pasti menang. Tapi Bakar yang tampak bijak mungkin tidak perasan di belakangnya masih ada semangat yang pasti akan terus mempertahankan warisan turun-temurun yang telah dibunohnya. Bakar ini sangat kejam dan jahat tapi bertindak halus.

Ketika Bakar sampai di Bunohan, kampong ini gerimis dan sering mendung. Lautnya bergelora dan pantainya sunyi. Aku tidak pernah sampai ke kampong ini bahkan tidak pernah mengetahui ujudnya ia sehinggalah filem ini terbit. Namun dari apa yang aku nampak, ia sebuah kampong yang jauh entah di pedalaman mana. Orang masih tinggal di tepi-tepi paya bersendirian dengan kehidupan masing-masing yang penuh misteri. Bahkan ada yang tinggal dalam kapal lama yang tersadai di darat.

Memang pelik apalagi jika ditelusuri kehidupan Pok Eng (Wan Hanafisu) yang sepi dengan patung-patung wayang kulitnya. Dia bersendirian di rumah itu sehinggalah Bakar balik konon ingin menjaganya. Pok Eng selalu ingatkan Adil dan mengharapkan anaknya pulang. Pok Eng mahu memberikan tanah seluas tiga puluh ekar dekat tepi laut itu pada Adil kerana ia adalah haknya. Tanah itulah sebenarnya yang Bakar mahu dapatkan. Itulah tujuannya Bakar kembali ke Bunohan.

Sedangkan Adil kembali ke Bunohan sebab sudah tak punya pilihan. Dia diburu oleh gengster Siam yang didalangi Deng setelah kalah teruk (sehabis adegan gocoh pertama di dalam filem ini) lalu dilarikan supaya keluar dari sempadan. Tempat paling selamat adalah kembali ke kampong asalnya dan di situ dia dipertemukan semula dengan Pok Wah (Namron) yang bakal merungkai misteri asal usulnya.

Kali pertama menonton Bunohan, aku merasakan filem ini agak ganas dan menyakitkan. Lihat saja pada adegan Ilham membunuh mangsa-mangsanya dengan menggunakan Lawi Ayam atau Kerambit. Ini sungguh kering hati. Namun kali kedua menonton Bunohan perasaan aku berbeza.

Sebenarnya realiti di Bunohan itu menyedihkan. Sedih melihat seni dan tradisi Melayu yang lesu dan akhirnya dibunoh oleh rakusnya pembangunan. Sedih melihat kepincangan sebuah keluarga yang hidup bertemankan dosa silam dan rapuhnya ikatan kasih sayang sesama mereka. Sedih melihat bagaimana sukarnya masyarakat desa yang ingin maju kerana dibelit oleh hutang lama dan dendam. Dan paling sedih apabila mengetahui Adil sebenarnya adalah anak haram setelah Ilham mengaku tanah tiga puluh ekar dekat tepi laut itu adalah tanah ibunya.

Betul Bunohan adalah filem terbaik di permulaan tahun ini. Harapnya lebih banyak lagi filem sepertinya muncul di pertengahan ke penghujung tahun ini. Kerana Bunohan juga bukan sekadar cerita tentang pembunuh upahan yang datang semula ke kampungnya setelah mengembara jauh ke pelusuk dunia lain lebih dari dua puluh tahun. Tapi Bunohan sebenarnya lebih merupakan kisah pencarian tentang siapa diri kita yang sebenar. Ia tampak dari perjalanan hidup Ilham yang hilang fokus terhadap kerja membunuhnya setelah menemui peti lama yang masih menyimpan foto ibunya yang telah lusuh. Ilham mahu mencari di manakah kubur ibunya yang telah pun dipunggah oleh orang orang Bakar yang berkepentingan sebaliknya.

Kata Pok Wah pada Adil, semua orang harus dipimpin oleh ibunya untuk mendapat sentuhan yang istimewa dan harus berusaha dengan dirinya sendiri untuk berjaya, Jika ada kedua-duanya sekali, alhamdulillah. Ilham tidak pernah miliki semua itu. Malah dari bapanya sendiri. Tidak ada satu adegan dalam filem ini menemukan kembali Ilham dan bapanya Pok Eng. Berbeza dengan Bakar yang konon menjaganya dan Adil meskipun cuma tiga minit. Tapi Ilham punya jiwa yang luar biasa sakti, yang menemukan semula maruah ibunya setelah mendapatkan kembali tengkorak dari kubur ibunya yang dipunggah oleh budak-budak Jolok atas arahan Bakar.

Dan bagi aku Ilham adalah simbol pembebasan jiwa. Di mana dia rela melepaskan adiknya Adil meski pun tahu akan taruhan nyawanya sendiri. Ilham pembunuh yang tak punya perasaan sebenarnya. Apalagi pada mulanya dia menyangka Adil hanya seorang adik tiri yang tidak perlulah dipedulikan. Namun setelah misteri itu terjawab Ilham bertukar sebaliknya. Ilham berpaling tiga ratus enam puluh darjah di persimpangan hidup itu. Takdirnya Ilham kembali untuk mati di Bunohan.

Tidak ada siapa pun yang hidup di akhir cerita dalam keluarga ini kecuali Bakar. Adil diracun oleh Jolok meski pun dia menang dalam adegan gocoh yang terbesar dan terakhir di dalam filem ini. Pok Eng dibunuh dengan kejam oleh Bakar di sebalik kelir Wayang Kulit yang tercarik meski pun yang tampak hanyalah bayang-bayangnya saja. Mek Yah (Tengku Azura) dan Mek Ani sememangnya tidak pernah hidup secara fizikal meski pun Mek Yah pernah kembali menemui anaknya Adil dan Ilham dalam bentuk separuh manusia dan separuh buaya.

Jadi yang tinggal hanya Bakar. Dia dibiarkan untuk terus bebas dan berleluasa. Tak lain dijadikan sebagai gambaran seorang manusia yang terus bergantung hidup dengan jasadnya sahaja tanpa mempedulikan bahawa adanya komponen satu lagi yang bakal melengkapi hidup ini. Sedangkan jasad itulah sebenarnya yang akan mati dan kerana adanya ruh yang tetap hidup itulah tradisi itu akan terus diwarisi.

Jika aku boleh rumuskan Bunohan hanya dengan satu shot, itulah yang terpakai dalam tajuk ulasan aku tentang filem ini: Yang biru itu langit, Yang keruh itu air. Aku menemukan shot itu di antara bebarapa ratusan shot yang terdapat di dalamnya. Teruslah membaca dan menggalinya lagi kerana aku percaya filem ini harus ditonton lebih dari sekali untuk mencapai atau mengerti tentang lebih banyak lagi maknanya.

Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Pernah menemuramah Pierre Rissient – lelaki Perancis yang terawal menonton filem-filem agung dari Asia dan merupakan wakil Festival Filem Cannes bagi Asia Pasifik – pada tahun 2004 di Carcosa Seri Negara. Lagi satu, dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir, new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: Cinta, Islamique & Filem Digital. Dia juga adalah sutradara kepada filem Le Diable.