Hapus hutang PTPTN, dan hutang—ada yang guna hujah agama—perlu dibayar. Ia wajib dibayar balik kerana namanya “hutang”. Betapa teliti kita dengan isu ini?

Skim PTPTN ini dirangka—sepertimana juga projek penswastaan lainnya—adalah untuk mengalih beban pemerintah (kerajaan) kepada rakyat.

Sebelumnya, yang membara sebagai semangat asas Perlembagaan Persekutuan mengenai pelajaran ialah jangan sampai pendidikan jadi barang niaga oleh Negara. Atau oleh sesiapa pun… Lantaran itu disebutkan agar kerajaan menyediakan dana yang cukup untuk pelajaran. Namun sepertimana undang-undang dasar di mana-mana negara sekalipun yang lazim ditulis sebagai konsep, di dalam Perlembagaan Malaysia bukan sahaja disebut sebagai “biasiswa”, tapi juga ada istilah “danasiswa”.

Harus diingat, Dr Mahathir Muhamad yang memperkenal skim PTPTN. Dia adalah orang yang sangat mahir Pelembagaan. Dia tahu ‘kuat-lemahnya’ Perlembagaan Persekutuan. Di mana dan bagaimana untuk di antara celah-celah istilah itu, boleh dimanipulasi. Misalnya ada contoh lain, iaitu pemberian lesen dan permit kepada bumiputera.

Apabila muncul isu lesen mengimport kereta (AP)—di era Dr Mahathir—boleh sahaja beliau dilihat tidak melanggar Perlembagaan. AP masih diberikan kepada golongan bumiputera. Tetapi tak terlepas persoalan ialah bumiputera mana yang mendapat bahagian besar AP? Tentulah hanya beberapa nama korporat Melayu yang memperolehi lesen itu, dan nama-nama berkenaan sering terkait rapat dengan tokoh penguasa politik.

Begitu juga dengan pemberian lesen teksi atau kenderaan perdagangan lainnya, yang jadi bahagian daripada hak bumiputera dan Melayu—juga sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan. Sekali lagi, hanya syarikat bumiputera tertentu, yang terkait dengan pak menteri, mendapat sebahagian besar lesen teksi.

Di sinilah semangat Perlembagaan sesungguhnya telah dikhianati. Dikhianati tanpa ‘melanggar’ mana-mana fasa di dalam Pelembagaan itu sendiri. Sama dan kembali kepada isu PTPTN; semangat untuk mewujudkan sistem pendidikan berkualiti, yang murah (kalau pun tidak sepenuhnya percuma) tak wujud lagi. Tidak wujud apabila mahasiswa terikat dengan pinjaman untuk pelajaran mereka. Biasiswa sudah hampir tidak wujud…

Hujah Dr Mahathir, atau Mahathiriun (ada yang menyebutnya dengan “Mahathirisme”) ialah siswa yang cemerlang tak perlu membayar. Pada peringkat ini, pinjaman beralih menjadi biasiswa.

Hujah dengan logik mudah sebegitu, hari ini semakin dilihat tidak logik sama sekali. Ia hanya putar belit kata-kata. Barangkali, samalah dengan hujah untuk Dr Mahathir ketika diserang apabila beliau mahu membikin projek Bakun. Kononnya murah sebab guna sumber air, namun akhirnya menjadi sangat mahal apabila terpaksa menggunakan kabel dasar laut untuk kuasa eletrik itu dapat disalurkan ke Semenanjung.

Satu lagi contoh logik ala Dr Mahathir yang bermasalah ialah projek [penswastaan] lebuhraya bertol. Dulu kata Dr Mahathir, tol akan berjaya mengurang atau mengapuskan kesesakan lalu lintas. Mantan menteri jalanraya, Sammy Vellu juga guna hujah sama. Akhirnya, yang jadi kenyataan ialah plaza tol rupa-rupa yang menyebabkan kesesakan di lebuhraya.

Tidak munasabah sama sekali apabila di tengah-tengah jalan, ada bangunan untuk kutip wang! Kita juga menemukan jawapan mudah untuk menyelesaikan masalah itu, iaitu, perlulah lebuhraya tanpa tol… lebuhraya tanpa bangunan yang menghalang lalu-lintas.

Oleh itu, apakah PTPTN menyebabkan mahasiswa menjadi cemerlang? Soalan sama seperti apakah lebuharaya bertol menyebabkan tak berlakunya kesesakan lalu lintas?

Keseluruhan kerangka sistem pendidikan di pusat pengajian tinggi di negara ini tidak memungkin hal itu terjadi. Lebih-lebih lagi dengan segala bagai kekangan dan kongkongan. Hambatan paling tak masuk akal ialah dengan wujudnya Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Auku) yang telah menjadikan universiti laksana “penjara tanpa jeriji besi”.

Dalam kira-kira mudah, kalau pun 30 peratus golongan yang cemerlang dapat diwujudkan dan diketepi daripada membayar hutang, ada lagi 70 peratus yang terpaksa berhutang dengan keputusan tidak layak untuk mendapat pelepasan. Jumlah 70 peratus ini tak akan berkurangan sampai waima sampai kiamat dan di negara paling maju sekalipun, mustahil untuk mendapat sasaran 100 peratus pelajar cemerlang dapat dicapai. Malah 50 peratus pun mustahil!

Arakian, golongan 70 peratus itu adalah “mangsa keadaan”: mangsa kepada satu sistem yang memakai topeng “hukum pasaran bebas” atau “liberalisasi ekonomi”. Kedua sistem itu dibebel-bebelkan hanya sebagai penutup pekung kepada kelemahan asas sistem pendidikan seperti yang saya sebut tadi, selain yang lebih penting bagi mengabsahkan sifat tamak elit penguasa untuk ‘merompak’ kekayaan negara. Pernahkah kita bertanya, ke manakah perginya wang RM48 bilion selama ini yang telah dijimatkan daripada tanggungan kerajaan?

Pada tahap ini, nasib mahasiswa yang terpaksa berhutang adalah sama seperti nasib pemandu teksi yang dinafikan hak mendapat permit teksi (dengan alasan mudah kononnya mereka malas) atau peniaga kereta yang tulin, tetapi tak mendapat AP dengan alasan mereka menjual AP.

Untuk melangsaikan beban kewangan ini, ia perlu masa. Namun persetujuan awal yang perlu dicapai ialah, sama ada perlu atau tidak PTPTN itu sendiri dihapuskan dalam erti kata “tabung” itu bukan lagi bertindak sebagai bank komersial. Tidak sepertinya wang Petronas menjadi sasaran untuk penghapusan hutang berkenaan, kerana jalan penjimatan oleh kerajaan sendiri antara pilihan yang ada bilamana saban tahun sejumlah RM20 bilion wang lesap akibat rasuah dan tiris.

Kesan paling musibat apabila wujudnya jumlah yang besar di kalangan anak-anak muda—siswa dan siswazah—yang muflis secara langsung dan tidak akibat sistem hutang PTPTN. Cerita bahawa mereka tak dapat ke luar negara misalnya, kini jadi rahsia umum. Kesan fasa kedua yang sedang perlahan-lahan memamah ialah produktiviti negara yang lemban. Lemban apabila golongan pemiutang itu hari ini adalah tenaga profesional paling besar dalam negara.

Sepertimana yang diperingatkan oleh Ibnu Kaldun (penulis buku Mukadimah), beban psikologi terhadap hutang dan cukai yang tinggi akan hanya menjadi bola besi pengikat kaki: melambatkan kemajuan sesuatu bangsa. Adalah aneh dan jenaka apabila hutang dengan jumlah ratus juta kepada hanya seorang-dua individu atau syarikat dapat dihapuskan, tetapi hutang kepada majoriti golongan muda yang profesional, mahu dikekalkan.

Hendak seribu daya… sistem PTPTN seakan-akan memperlihatkan mahasiswa yang berhutang. Sesungguhnya daripada semangat perlembagaan yang awal, pemerintah jualah yang sudah terhutang selama beberapa tahun kepada mahasiswa apabila wang yang sewajarnya diberikan kepada lapangan pendidikan, telah diseleweng entah ke mana-mana. Pilihan yang ada akhirnya cuma dua… satu: kekayaan negeri yang harus dikembalikan kepada rakyat, atau kedua: kita perlu terus mengizinkan segelintir elit yang kaya bertambah kaya.

Saya sendiri membayar hutang pelajaran. Tidaklah menjadikan saya bahagia andai generasi akan datang, yang masih belum membayar hutang seperti saya, kelak menderita sepertimana yang pernah saya rasa. Yang saya kesalkan, mengapalah saya dilahirkan di era Dr Mahathir Muhamad sehingga tertipu dan tidak berdaya keluar daripada gelap pembodohan ini, sebegini lama.

 

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

 

Mahathirisme Malaysia Perlembagaan politik PTPTN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan