“Bersatu kita teguh
bercerai kita roboh
yang berat sama dipikul
yang ringan dijinjing sama”

Siapa yang boleh lupa propaganda Mahathir dengan lagu Raihan di atas, disandingkan dengan petikan video beliau sedang menunaikan haji di Mekah sewaktu Pilihanraya Umum 1999? Video klip yang ditayangkan saban hari di peti televisyen tersebut ingin memujuk orang Melayu untuk kembali bersatu atas platform agama. Orang Melayu yang saat itu masih marah dengan pemecatan secara tidak sah Anwar Ibrahim rata-ratanya nyata sudah muak dengan “Mahafiraun”, lalu satu inisiatif perlu segera diwujudkan. Dan wadah apa yang lebih mudah untuk mengolah persetujuan massa selain melalui muzik dan video?

Lagu-lagu nasyid kontemporari arus perdana, yang cenderung kepada lirik-lirik ketuhanan, sememangnya neutral sifatnya. Jarang sekali partisan (kecuali dahulu Nada Murni yang jelas manhaj al-Arqamnya). Tetapi bila dikontekstualkan dalam bingkai politik Melayu-Islam, sudah tentu ianya berniat untuk memberi manfaat pada Umno. Lalu ujaran untuk bersatu daripada kumpulan pujaan ramai ini telah di-hijack begitu saja buat menambah undi BN. Namun, keputusannya kita tahu. Mahathir masih menjadi PM selepas itu, walau hilang Kelantan dan Terengganu.

Lagu memang boleh dijadikan senjata. Ia alat melawan. Sama ada secara sedar atau tidak sedar. Melalui lirik yang jelas dan nyata politikal, atau berselindung ala Anak Kecil Main Api. Paling kurang, struktur muziknya. Paling tidak semangatnya.

Siapa sangka lagu “Rock Around The Clock” nyanyian Bill Haley & His Comets telah menyebabkan rusuhan dan huru-hara di kota-kota Amerika dan England sekitar ’55-’56? Lagu ringkas dengan innuendo seks berlapik itu langsung tidak berteriak revolusi ataupun seruan kebangkitan walau sepatah pun. Ianya salah satu daripada lagu yang tanpa sedar sebenarnya lagu melawan: lagu-lagu letusan spontan dari nurani anak muda yang semangatnya mahu bebas; bebas dari kongkongan golongan tua. Bebas dari caragaya lama – irama lama, lirik lama, fesyen lama – dan meraikan kemudaan yang hanya sekali. Walhasil revolusi rock and roll tersebar keseluruh dunia.

Begitu juga genre muzik Jazz lebih awal dari itu. Muzik yang kini sinonim dengan golongan kaya (baca: kaki lepak di Mont Kiara-Chulan Row dan pengunjung bar seperti Alexis, Groove Junction, dsb) itu asalnya diperdengarkan di pub-pub terceruk orang kulit hitam Amerika yang rata-rata miskin. Teknik improvisation yang secara nakal melanggar hukum muzik itu memang sengaja dicipta untuk melawan struktur muzik dan kebiasaan melodi berulang-ulang yang boleh diduga — melodi dan struktur yang, kepada pemuzik virtuoso kulit hitam, semacam suatu kebosanan. Lahirnya jazz memang suatu manifestasi kepada kebencian perkara yang rutin, kerana itulah ia dipeluk kuat-kuat oleh para penulis Beatnik seperti Kerouac, Ginsberg dan rakan-rakan. Genre garda depan ini biasa tidak berlirik namun semangatnya semangat melawan.

“It’s rebel music”. Muzik cari gaduh.

Penulis memang berminat dengan lagu-lagu Rage Against The Machine. Band rap-rock-funk ini memang terkenal dengan slogan dan cogankata yang politikal dan sangat kritikal kepada establishment. Dan minat serta iltizam mereka bukan suatu kepura-puraan – walaupun pernah dikritik sebagai sell-out kerana bernaung di bawah korporat besar Sony Music – kerana sampai ke hari ini, teraju utamanya Zach de La Rocha masih aktif menjadi aktivis dan konsisten dengan isu-isu yang dekat dengan masyarakat.

Begitu juga dengan pemain gitar mereka Tom Morello yang terkenal dengan efek gitar antara lain bunyi “scratch”nya yang nyata tak-pernah-terfikirkan sebelumnya; dia juga tidak lekang dan begitu vokal dalam kempen anti-Perang Iraq dan anti-Bush. Lagenda gitar yang dianggap Tuhan oleh sesetengah peminatnya ini jangan dikira sebagai seorang populis atau kiri-lekeh – beliau seorang intelektual awam lulusan Harvard, dengan pengkhususan sains politik.

Sebenarnya muzik yang bersifat politikal telah lama berkumandang. (Sesetengah pihak malah merasakan semua muzik sebenarnya politikal). Daripada Reggae-nya Bob Marley, kepada Ska, Black Flag-nya Punk, hinggalah kepada Hip Hop. Tidak salah jika kita katakan yang kebanyakan daripada korpus lagu orang kulit hitam itu memang lagu melawan. Lagu penentangan. Stim-stim reggae yang sinonim dengan ganja pun dikira melawan.

Dan yang kulit putih melawan juga dengan melangkah keluar melampaui rock and roll menjadi hard rock, punk dan metal mereka. Band-band otai seperti Megadeth dan Iron Maiden memang selamanya anti-establishment. Apatahlagi band metal yang terkemudian seperti System of A Down. Frontman Serj Tankian bersama-sama dengan Tom Morello malah berganding bahu melahirkan sebuah NGO, Axis of Justice. Dan punk memang penuh dengan tradisi melawan. Sebelum ada The Clash, MC5 sudah lama menjerit revolusi sekitar ’64 lagi. Pemuzik Punk Rock lain si Dead Kennedy’s misalnya, sering mengkritik Ronald Reagan dalam persembahan mereka. Jello Biafra penyanyi utamanya malah bertanding pilihanraya!

Semenjak-dua ini demonstrasi jalanan sudah menjadi kebiasaan. Bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Di Timur Tengah yang sebelum ini perkataan demonstrasi langsung tak masuk dek akal hingga ke kemuncaknya Arab Spring, juga gerakan Occupy yang melata di kota-kota besar mengesahkan trend ini. Dulupun tidak pernah terjadi dalam skala seagung ini; sekerap dan seluas capaian seperti sekarang. Seolah-olah tiada jejak tanah yang terlepas daripada aksi massa sebegini. Demonstrasi bukan lagi monopoli negara maju. Kini kita juga boleh tersenyum ia juga bukan asing dengan negara-negara Islam.

Dekad-dekad yang lalu boleh dilihat secara bersiri bagaimana demonstrasi kecil-kecilan awal 50-an menjadi sesuatu yang menggegarkan seluruh Amerika dengan terhapusnya dasar pemisahan kaum, kemudian revolusi mahasiswa Perancis ’68 terus kepada demonstrasi anti-vietnam 70-an. Sering setiap zaman punya lagu melawan yang tersendiri, sama ada rock and roll, punk, atau apa saja (Dangdut sewaktu Reformasi Indonesia ’98, mungkin?).

Penulis sudah tidak lagi mengikuti perkembangan muzik popular Arab (serentak dengan sindrom kejengkelan penulis kepada fenomena Maher Zain), tetapi terfikir muzik apa yang melatari Arab Spring. Apakah melodi yang terngiang-ngiang di telinga sewaktu sedang duduk bantah di Dataran Tahrir? Lirik lagu apa yang, mungkin, memberikan mereka semangat untuk terus bangun melawan saat diterajang para Mukhabarat? Sewaktu Revolusi Islam ’79, lagu-lagu seperti Iran Iran dan Bahmane Khoonin selain slogan-slogan yang membakar semangat meniti di bibir para demonstran di seluruh Iran. Bagaimana dengan Bersih 3.0? Sudah punya lagu tema?

 iFirdaus, bekas lulusan bidang Kepintaran Buatan yang kini sedang buat pintar dengan berkerja sebagai Perunding A di syarikat B.