Aktivis OccupyDataran di Dataran Merdeka © Shahril Badri

Kami sedang melepak di suatu tempat di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman apabila ratusan manusia sedang bergerak beramai-ramai menuju ke arah kami untuk ke Dataran Merdeka.

Ratusan manusia ini adalah generasi muda Malaysia yang seperti ditunjukkan melalui kain rentang yang tertera kata-kata seperti “Mansuhkan PTPTN,” dan sebagainya. Dalam celah-celah keramaian itu, dua pemuda berbangsa India menjulang potret Najib dan Khalid Nordin yang dikalungkan bunga, simbolik sebagai matinya demokrasi. Apa yang matinya demokrasi itu aku tak pasti, bukan kerja aku mengeledah demokrasi versi mereka.

Sampai di Dataran Merdeka, khemah telah didirikan dan fahamlah aku mereka yang menggelar diri sebagai mahasiswa ini akan menduduki Dataran Merdeka sehingga entah-bila.

I – Geli dengan ‘pejuang mahasiswa’

Sebenarnya aku dah terlampau bosan dengan golongan yang selesa dengan gelaran ‘pejuang mahasiswa’ ini. Apa yang mereka perjuangkan, walau bunyi dan hujah mereka itu berbaur meraih simpati (atau populis) sifatnya, tetapi hakikatnya ‘perjuangan’ mereka itu kabur.

Tidak lama dahulu heboh menuntut mansuhkan AUKU. Sekarang pula mendesak kerajaan memansuhkan PTPTN pula. Terfikir pula dalam kepala aku yang tuntutan memansuhkan PTPTN itu agak melampau – langsung menunjukkan tahap ‘kecendekiawan pejuang mahasiswa’ ini yang dangkal, cetek, emosi tak bertempat yang hanya untuk kepentingan jangka singkat semata-mata.

Kunci utama dalam sistem ekonomi yang cuba diliberalkan di Malaysia ialah pasaran bebas. Jadi, daripada memansuhkan PTPTN dan membiarkan hanya sebuah entiti sahaja memberi wang kepada mahasiswa ini, adalah lebih baik memperbanyakkan lagi institusi seperti PTPTN. Dengan wujud lebih banyak ala PTPTN, sudah tentu persaingan antara pemberi pinjaman akan lebih sihat malah akan menguntungkan peminjam kerana perlu berlumba menawarkan kadar bunga yang lebih rendah kepada peminjam. Bayangkan persaingan MAS dan AirAsia, sebagai contoh.

Memang, aku pandang serong dan berbulu terhadap mereka, bukan atas faktor peribadi, tetapi atas faktor yang mereka ini kaum bebal dan cuma-tahu-nak-marah kerajaan sahaja. Pejuang mahasiswa ini hanya tergerak, terbangkit dek bunyi-bunyi dan isu-isu yang dihebahkan parti-parti politik semata-mata.

Pelik juga, apabila terfikir mahasiswa yang mendapat pendidikan di institusi pengajian tinggi, tidak dapat berfikir hal semudah ini. Sebaliknya tindakan mereka itu langsung tidak mencerminkan kebijaksanaan manusia yang mendapat pendidikan yang tinggi. Mungkin kata-kata Bukowski boleh dipinjamkan kepada mereka;

“The problem with the world is that the intelligent people are full of doubts while the stupid ones are full of confidence.”

Yang mana satu yang bodoh, yang mana yang cerdik? Kalau betul lah menggelar diri sebagai pejuang mahasiswa, sediakan sebuah idea yang segar bugar kepada semua rakyat Malaysia. Mulakan dengan menulis rencana-rencana dan mulakan perdebatan kritikal kamu kepada orang ramai. Kalau setakat kenyataan media, nak hentam kerajaan sahaja memanjang, simpan sahaja lah untuk ditertawakan anak cucu kamu nanti.

II – Mandom mahasiswa mandom.

Punca terjadi sifat bebal dan cetek akal untuk membuka atau mengembangkan idealisme mereka ini sangat mudah difahami. Aku cuma perlu duduk 15 minit tengah panas terik melihatkan seorang pemuda berbaju batik membuat sidang media di Dataran Merdeka sahaja.

Sebahagian besar mereka (ya, sebahagian besar pejuang-pejuang ini mengikut rekod dan pemerhatian) terlampau yakin dan tidak memahami apa yang mereka buat. Tidak yakin dengan diri sendiri untuk mencabar diri untuk kebebasan berfikir.

Sifat bebal mereka ini sangat berkait rapat dengan pembentukan dan pembangunan ilmu yang selama ini tertutup rapat (ditutup sama ada oleh ‘yang di atas’ atau diri sendiri).

Kalau betul mahukan sebuah masa hadapan negara yang lebih indah umpama syurga, asasnya tekankan kepada kebebasan akademik secara total. Sebagai permulaan, si pejuang-pejuang lebih baik perjuangkan kebebasan akademik dengan mendesak untuk mewujudkan mata pelajaran falsafah, contohnya.

Simpan air liur itu, perahkan sedkit otak dan pengalaman ilmu yang kamu dapat dari institusi pegajian tinggi (kalau ada lah) dan mulalah menulis sesuatu yang ilmiah dan mudah untuk disampaikan kepada semua rakyat di Malaysia.

Setakat carian internet saya, tidak lagi lah terjumpa tulisan-tulisan oleh si pejuang-pejuang ini. Mungkin sibuk berceramah rasanya.

Jika sistem pendidikan akademik yang bebas, adil dan terbuka serta peluang sama rata mengikut merit dapat dijadikan budaya, bayangkan berapa ramai cendekiawan muda Malaysia dapat dilahirkan?

Malangnya, yang menggelar diri pejuang mahasiswa, tetapi haram tak menulis (tolak ketepi kenyataan media, Facebook atau Twitter). Tidak beza sangat perangai antara mereka ini dengan samseng yang buat kecoh di Dataran Merdeka baru-baru ini – dua-dua tak menulis rencana.

Sekadar mengambil contoh Soe Hok Gie, terbayang juga apa yang timbul dalam benak kepala ‘pejuang mahasiswa’ Malaysia ini. Adakah kisahnya yang diriwayatkan melalui filem Riri Reza itu membekas kepada si pejuang mahasiswa Malaysia ini sebagai si penyair bermuka jambu, atau adakah akan mengenang Gie sebagai pejuang mahasiswa yang banyak menulis, mengkritik tajam sampai naik merah telinga sang pemerintah yang mana risalah dan ratusan naskhah tulisan Gie dan rakan-rakan diterbit dan diusahakan sendiri oleh mahasiswa?

Yang di atas itu contoh negara jiran, tetapi tidak kurang menarik juga di Malaysia suatu masa dahulu, sebelum ‘pejuang mahasiswa’ ini dibenakkan dengan AUKU, mahasiswa-mahasiswa sebermula 1960-an aktif menerbitkan majalah sendiri melalui gerakan-gerakan pelajar di universiti. Ahh, pejuang mahasiswa oi, aku yakin kamu lebih maklum dengan  sejarah perjuangan mahasiswa Malaya dan Malaysia. Tetapi pelik ya, sesetengah pejuang ini tidak nampak atau buat-buat tak nampak kepentingan medium penulisan sebagai penyebar idea dan gerakan massa?

Oh ya, memang sesetengah manusia lebih terpukau dengan filem aksi letup meletup sehingga terlupa naratif/analisis cerita. Pun begitu, bila samseng-samseng menyerang, semua pakat gelabah, walhal kalau tak silap aku Fahmi Reza dan banyak lagi NGO dah berbuih mulut bercakap tentang persediaan dan kemungkinan yang bakal berlaku dalam situasi seperti itu, melalui ratusan bengkel-bengkel.

III – Si Pejuang Mahasiswa x Occupy Dataran

Hari ini masuk hari ke-lapan geng pejuang mahasiswa itu bergabung dengan Occupydataran. Semakin hari, semakin ramai yang menyertai memberi sokongan kepada mereka. Dari golongan seniman, gelandangan kota dari Chow Kit, makcik-pakcik, dan lain-lain, makanan dan minuman disumbang oleh orang ramai.

Berbeza dengan pejuang mahasiswa yang entah diwakili mahasiswa bijak pandai yang mana satu (atau mungkin mereka ini diperkudakan parti politik?), OccupyDataran pula ,aku dan rakan-rakan aku perasan lebih masuk akal berbanding yang satu lagi itu. Setiap hujung minggu diadakan wacana digelar sebagai Sidang Rakyat untuk membincangkan pelbagai topik dari isu keselamatan berhubung kemungkinan gangguan oleh pihak berkuasa sehinggalah kepada hal-hal seperti Islam dan demokrasi. Terbuka untuk semua.

Walau pun begitu, aku sebenarnya kesal juga dengan OccupyDataran ini memandangkan, setelah hampir setahun mereka menduduki Dataran Merdeka ini, mereka ini juga seperti geng ‘pejuang mahasiswa’ yang aku sebut di atas tadi – tiada sebarang naskhah seperti zine atau pun buku yang memuatkan tulisan-tulisan. Tolak ke tepi lah brochure yang menerangkan prosedur-prosedur Sidang Rakyat itu.

Bagaimana pun, kredit harus diberikan kepada Occupy Dataran, isu yang dibangkitkan, perdebatan dan perbincangan mereka jauh  lebih segar dari laungan pejuang mahasiswa yang tidak ketahuan punca itu. Walau tiada rencana, tetapi segala yang diperbincangkan di Sidang Rakyat itu tetap dimuatkan di Facebook dan Twitter.

Mungkin kegagalan terbesar Occupy Dataran ialah tiadanya Jean Paul Marat, sang penulis yang menggerakkan gerakan rakyat Paris menentang ketidakadilan?

IV – ‘Dak aih, orang muda memang suka pakai baju batik’

Akhir kata, tolonglah wahai mahasiswa-mahasiswi (termasuk mamat yang pakai baju batik biru waktu sidang media di Dataran tempoh hari), tolonglah hasilkanlah sekurangnya rencana, berita kerana di situlah penghubung antara pemikir dan masyarakat umum, masyarakat awam yang jauh dari kota-kota. Apa sangatlah idea itu jika tidak dapat direncana, difahami, dan menggerakkan masyarakat?

Senang sahaja untuk menyimpulkan bahawa golongan pejuang pelajar ini tidak lebih sekadar boneka, boneka kepada isu. Tergerak dengan isu yang dimainkan di media, berbanding menggunakan pemikiran sihat dan kritikal untuk bergerak dan mengemukakan idea sendiri. Kalau kau betul-betul mahasiswa, kenapa tidak menebarkan jala-jala idealisme kamu dengan menuntut hal-hal yang lebih besar, yakni sebuah kebebasan akademik, sebuah akar yang kukuh, yakni perkara paling asas dalam manusia iaitu ilmu.

 

Amaluddin Zhafir, hanya seorang penulis gelandangan.

 

Amaluddin Zhafir Charles Bukowski Fahmi Reza Jean Paul Marat Occupydataran politik Soe Hok Gie

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan