“Ahhhh!”
Dia menjerit sebaik membuka mata. Terperanjat yang sungguh-sungguh. Bukan main-main.

Berkali-kali digosok kelopak matanya agar pemandangan di hadapan berubah tetapi tetap begitu juga. Masih seperti dia mula-mula terjaga dari pengsannya tadi. Matanya dibeliakkan untuk meninjau sekeliling yang gelap. Mujur cahaya dari unggun api itu memberi sedikit bantuan penglihatan. Unggun api? Dia bingung memikirkan siapa pula yang menyalakan unggun api itu dan berapa lama ia sudah menyala. Tubuhnya berpeluh walaupun udara sekeliling terasa dingin. Bahang unggun api sedikit membantu menghangatkan tubuh kerempengnya. Dia meraba dengan tapak tangan pipinya yang tajam-tajam dek tunggul-tunggul jambang yang mula meliar tumbuh.

“Di mana aku ni?”

Bau hancing tahi kelawar yang mencucuk hidung cukup tidak menyelesakan. Dia masih gagal mendapat jawapan bagaimana dirinya boleh tercampak di dalam gua sempit empat penjuru seluas tujuh kali tujuh rantai itu. Puas ditekan ubun-ubunnya mengharapkan jawapan boleh meleleh keluar dari otak tapi paling akhir ingatannya boleh sampai ketika dia mula membuka matanya tadi.

Ingatan masa lampaunya dirasakan bak kad memori yang dicabut dari mesin ingatan. Gua apakah ini? Di daerah mana? Kenapa di sini? Semua soalan semakin bertimbun seperti fail-fail di rak yang kosong.

“Amir? Hey Amir!” Dia spontan menjerit ke suatu sudut sebelah kirinya apabila terlihat seorang lelaki boyak duduk bersila tegak di atas sebuah batu besar kira-kira sepuluh langkah dari tempat dia duduk. Segera dia berlari mendapatkan Amir, rakan sepermainannya sejak kecil. Dalam gelap begitu dia masih boleh kenal kawannya yang hidup mewah hari ini hasil laba bergiat dalam politik.

“Kat mana kita ni Amir?” Tanyanya sambil terkerenyin menahan sakit terpelecok kaki sewaktu berlari tadi. “Macamana kita boleh kat sini Amir?”. Soalan bertalu-talunya tidak dihiraukan Amir yang hanya bersila dan memandang selorong ke hadapan. Dia pongah. Geram dengan tingkah ganjil Amir tidak seperti biasa. Dia mencangkung dan menangis teresak-esak.

Perasaannya bercampur baur antara geram, sedih dan bingung. Ubun-ubunnya sekali lagi ditekan-tekan dan kali ini lebih kuat. Dia menumbuk bertubi-tubi dinding gua mengharapkan jawapan segala persoalannya keluar dari dinding itu. Gagal. Yang terdengar bunyi ketawa mengekek kelucuan kelawar yang seolah terhibur dengan telatahnya.

Amir bangun dari silanya, meletakkan kedua tapak tangan ke atas sebuah batu besar, menggosok debu batu dan menyapukannya ke muka dan anggota indera. Amir berdiri dengan tangannya mendakap tubuh. Seketika dia membongkok, kemudian merendahkan tubuh menyentuh tanah dengan dahinya dan kemudian duduk. Dia melopong memerhatikan perbuatan Amir. Dia lalu ketawa berdekah-dekah. Amir menoleh ke arah dia.

“Kau buat apa tu Amir? Hahaha! Kau ada Tuhan rupanya. Aku ingat selama ni kau sudah sesat? Sibuk dengan duit, kuasa dan entah apa-apa. Ada Tuhan rupanya.” Dia terus ketawa mengejek.

Amir cuma tersenyum.

“Kau selalu kecoh hal orang lain. Kau siapa sebenarnya?” Sindir Amir. Dia terjelepuk. Tersedak. Sindiran itu seperti prahara datang menggulung benaknya, suara Amir bak jarum mencucuk gegendang telinga dan tengkuknya entah mengapa tiba-tiba sakit bagai ditetak beluti. Bedebah! Permainan apakah ini? Dia langsung tidak boleh mengingat namanya sendiri. Dia meraung.

“Siapa nama aku Amir?” Dia bangun merapati unggun api. Dia terkejut tiada bayang tubuhnya tersimbah di dinding gua. Tidak seperti Amir. Dia memejamkan matanya rapat cuba membayangkan wajahnya sendiri seperti yang dilihatnya selalu di dalam cermin. Tidak dapat. Dia gagal mengecam wajah sendiri. Dia meraung sembari berlari keliling ruang empat penjuru gua. Tidak tentu arah. Meraung lagi dan lagi. Itu sahaja yang boleh.

“Kita ini siapa sebenarnya Amir? Dari mana kita ini?” Tanyanya macam orang sasau.

“Apa yang kau maksudkan kita ini dari mana? Kita yang zahir atau kita yang batin?” Tanya Amir semula macam nak main aci lut.

“Zahir ke batin ke aku tak peduli. Maksud aku sekarang ni kita di mana?” Dia terasa seperti diperbudakkan.

“Kita sibuk dengan di mana kita berada sekarang tapi tak pernah mahu tahu dari mana kita dan ke mana nak pergi walhal itulah kunci segalanya. Kunci pintu kedamaian, kesejahteraan dan kejayaan yang hakiki.” Ah! Amir si politikus cuba nak berfalsafah pseudo, getus dia.

“Sibuk mengejar kilau kilat manikam tapi tak sedar itu semua kaca. Terpesona dengan kilau tapi tak mahu pegang barangnya.”

Dia semakin bosan dengan Amir. “Aku tak peduli semua itu. Yang aku mahu tahu kita di mana sebelum ini. Di rumah engkau atau rumah aku? Jangan main teka-teki, Amir! Aku tak ada masa.”

“Oh! Sebelum ini kita tiada, sekarang ada dan lepas ini tiada.” Amir menjawab dengan selamba sambil mengibas-ngibas badannya membuang debu pasir yang melekat pada pakaiannya yang serba putih.

“Kau gila Amir! Kau culik aku buat apa? Aku bukan orang kaya, aku bukan sesiapa! Kita kawankan? Sampai hati kau buat aku begini. Betullah kata orang, kau memang tak guna. Orang politik macam kau memang sial!” Dia merepek entah apa-apa. Makin bingung. “Aku nak balik Mir, bawa aku balik!” Dia terus meraung macam budak kecil. Siap berhingus.

“Kau nak balik ke mana? Sedang kau sendiri tak tahu siapa diri kau sendiri? Nama kau pun kau tak boleh sebut.” Sergah Amir.

“Habis tu, bagitahulah siapa namaku? Tolonglah!” Dia merayu betul-betul.

“Nama kau pun Amir. Kerja kau seorang penghantar surat. Surat rahasia dari tuanmu.” kata Amir. Dia terdiam. Dia, ‘si Amir juga’ semakin tak faham.

“Penghantar surat rahasia? Tuan? Siapa tuan aku? Aku bekerja dengan siapa? Nak hantar surat ke mana?” Tanya dia, ‘si Amir juga’ kepada Amir.

“Itulah kau. Tidak jujur. Tak menjalankan tugas satu hal, kau kotorkan surat itu pula. Tuanmu suruh kau baca isi surat itu, menggali rahasianya dan sesudah faham kau mesti pulang berjumpa tuanmu membawa surat itu. Itu tugasmu. Tapi kau lalai, hagas dan berlengah-lengah.” Amir marah kali ini. Dia, ‘si Amir juga’ pelik dengan Amir sang politikus yang salah dinilainya selama ini. Dia salah menilai batin Amir sang politikus.

“Kau kena pulangkan surat itu semula.” Amir mengulang-ulang pesanan itu.

“Apa isi surat itu?” Tanya dia.

“Mana aku tahu surat engkau. Itu antara engkau dengan tuanmu. Aku dengan aku.” Jawab Amir.

“Tuan kita tak samakah Amir?” Tanya dia. Keliru.

“Aku tak tahu apa yang kau faham dengan ‘sama’ itu. Mungkin sama. Saksama.” Amir menjawab dengan suaranya seperti bergema melantun-lantun. Dia terperanjat melihat Amir yang seakan terapung. Tubuh Amir tiba-tiba menjadi seperti lutsinar dan bercahaya. Cahayanya menerangi ruang gua tersebut. Terlalu terang, silau sehingga dia tidak nampak lagi Amir yang bergabung dengan cahaya-cahaya itu.

“Amir! Kenapa kau? Nak kemanakah kau? Jangan tinggal aku!” Dia menjerit merayu Amir agar terus menemaninya.

“Aku nak balik jumpa tuanku.” kata Amir yang semakin meresap dalam cahaya.

“Tapi kau tak bawa surat kau?” Jerit dia. Sebenarnya dia mencari helah agar Amir tidak meninggalkannya seorang di situ.

” Tak perlu. Semuanya di sini.” Dia tak nampak Amir menunjukkan dadanya dengan jari telunjuk.

“Aku macamana? Aku nak balik juga!” jerit dia.

” Kau cari nama kau dulu.” Dan Amir lenyap bersama cahaya itu. Gua tujuh kali tujuh itu gelap seperti tadi. Hanya unggun api menemani ‘si Amir juga’ yang kebingungan berkelintau ke sana ke mari mencari dirinya yang tenggelam dalam gelap pekat selepas unggun api itu padam.


Ronasina, kartunis yang juga menulis di MerdekaReview.