Michelle Yeoh sebagai Aung San Suu Kyi di dalam sebuah babak filem The Lady © Produksi The Lady

Kehadiran filem ‘The Lady’ arahan pengarah prolifik Perancis, Luc Besson tepat pada masanya. Filem yang ditayangkan di seluruh dunia sejak September lalu, adalah bio-pic mengenai perjuangan aktivis pro-demokrasi Burma Aung San Suu Kyi, lakonan Datuk Michelle Yeoh.

Bagi pejuang dan pencinta demokrasi di Malaysia, filem ini dikategorikan sebagai “filem wajib tonton” – bagaimana ia menceritakan pengalaman, suka duka anak perempuan hero kemerdekaan Burma – Jeneral Aung San – yang menuntut hak demokrasi dari pemerintah junta tentera yang berkuasa sejak 1962 di negara itu.

Perjalanan hidup serta perjuangan Suu Kyi yang dikisahkan di dalam filem ini dibahagikan kepada beberapa period tertentu. Bermula ketika  bagaimana ayahnya dibunuh oleh seteru politiknya pada 19 Julai 1947 sehingga kejayaannya memimpin massa untuk menang pilihan raya pada tahun1990. Kemenangan itu menguatkan tekanan dan intimidasi ke atas dirinya dan keluarga sehingga pemerintah mengenakan tahanan rumah ke atas beliau. Malah berlanjutan sehingga demonstrasi para sami pada November 2007.

Filem ini tidak terlepas daripada menggunakan teknik flashback dan flashforward – sebagai cara untuk merumuskan semua ‘momen’ penting dalam sejarah perjuangan aktivis yang dicintai rakyat Burma itu. Bermula babak pembunuhan ayahnya, filem ini dengan teknik flashback, menceritakan kehidupan Suu Kyi di United Kingdom bersama suaminya Micheal Aris (David Thewlis) dan dua anak lelakinya – Kim dan Alex.

Jiwanya tidak pernah lekang daripada mengingat tanah tumpah darahnya. Suu Kyi sentiasa mengikuti perkembangan politik di Burma. Footage laporan berita di televisyen mengenai kekerasan dan keganasan junta terhadap rakyat Burma khususnya mahasiswa yang menuntut demokrasi serta berita dari kampung menyatakan ibunya sakit tenat, meruntun jiwanya untuk pulang ke tanah air.

Berita kepulangannya mula tersebar sejak tiba di lapangan terbang yang dipenuhi dengan ‘mata-mata’ junta. Beredar dari mulut ke mulut, berita itu sampai ke pengetahuan diktator General Ne Win. Lalu mengarah supaya gerak geri aktivis pro-demokrasi itu diperhatikan dan dipantau setiap masa.

Kempen parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) bermula apabila sekumpulan ahli akademik datang ke rumahnya meminta beliau menimbang agar memimpin demokrasi di Burma kerana rakyat mahu beliau melengkapkan kemerdekaan rakyat yang dicapai oleh mendiang ayahnya sebelum itu.

Pada mulanya Suu Kyi keberatan, tetapi akhirnya beliau bersetuju seterusnya mengumumkan hasratnya memimpin NLD. Seluruh cerok dan pelusuk kampung dan kawasan hulu dilawatinya sehingga berjaya dalam pilihan raya umum pada 1990 dan bakal dinobatkan sebagai perdana menteri Burma. Bagaimanapun haknya dan hak rakyat dinafikan.

Sekalipun, beliau menang 392 kerusi berbanding 10 oleh pemerintah, menyebabkan Suu Kyi dihalang memberi ucapan kepada penyokongnya. Dari situ hukuman tahanan rumah terhadap dikekalkan sekalipun berjaya dalam pilihan raya.

Malah, rakan-rakan, penyokong dan pengikut setia ditekan, diseksa, dipenjara bahkan dibunuh dengan kejam bagi melemahkan atau melumpuhkan perjuangan Suu Kyi dari menuntut demokrasi di Burma. Tindakan kejam itu hasil cemburu ‘iblis’, iri hati dan rasa tergugat di kalangan pemimpin junta.

Daripada naratif perjalanan filem ini akhirnya memberi kesan terhadap keluarga Suu Kyi, anak-anaknya rindu akan belaian kasih sayang ibunya. Dipaparkan juga bagaimananya kesetiaan suaminya Dr Michael Aris turut menggunakan kesempatannya sebagai profesor di Universiti Oxford untuk memohon pertolongan tokoh tertentu menuntut mereka memberi tekanan terhadap junta Burma dan Suu Kyi dibebaskan. Dr Michael juga membantu melobi untuk anugerah Noble Keamanan untuk Suu Kyi. Akhirnya Suu Kyi berjaya meraihnya pada 1991.

Filem ini berakhir dengan demonstrasi besar-besaran sami di Burma yang menuntut pembebasannya pada November 2007. Mereka yang berarak dari sebuah kuil ke kediaman Suu Kyi. Kini Suu Kyi sudah bebas dan terbaru beliau menang dalam pilihan raya kecil parlimen di Burma apabila menang 43 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

***

Walaupun pelbagai kekangan dan tekanan dihadapi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), mereka tetap bertegas untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini seperti mana yang dirancang sebelum ini. Sekalipun kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan tempat alternatif, mereka masih mahu berhimpun di situ kerana berpendapat tempat itu “adalah milik rakyat”.

BERSIH 2.0 mendakwa daftar pemilih dan sistem pilihan raya penuh dengan kelemahan. Sekalipun keputusan Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung Penambahbaikan terhadap Sistem Pilihan Raya (PSC) telah diumumkan, gabungan itu masih bertegas supaya kerajaan bersungguh-sungguh mereformasi sistem pilihan raya yang ada sekarang.

Mereka menuntut ruang demokrasi yang lebih adil dan baik untuk rakyat memilih pemimpin negara ini. Memandangkan kerajaan didakwa belum menunaikan sepenuhnya tuntutan mereka, maka mengadakan perhimpunan itu sekali lagi sebelum pilihan raya umum akan datang, dilihat satu keharusan, sekaligus memperkukuhkan pengamalan demokrasi di negara ini.

Bagi pemimpin Pakatan Rakyat pula, mereka sering melaung-laung Burma antara negara yang dilihat semakin terbuka dalam sistem pilihan raya, termasuk mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal. Bahkan hal itu telah diamalkan sewaktu Suu Kyi mahu bertanding dalam pilihan raya umum di negara itu pada 1990. Semuanya ada dalam filem ‘The Lady’.

Persoalan yang kini bermain dibenak rakyat, apakah Malaysia tidak mahu menjadi seperti Burma yang dilihat bersikap terbuka dalam sistem pilihan rayanya walaupun diperintah oleh junta tentera yang pernah mengenakan tahanan rumah ke atas pemimpin pro-demokrasi Daw Aung San Suu Kyi?

***

Cakap-cakap kedai kopi berbunyi, “Kalau Bersih 1 tumbangnya lima negeri kepada Pakatan Rakyat, bagaimana harapan BERSIH 2.0 dan 3.0? Apakah bakal mempengaruhi rakyat menukar sebuah kerajaan yang diterajui BN (dahulu Perikatan) yang memerintah sejak kemerdekaan lagi”?

Persoalan bakal terjawab 28 April nanti. Tarikh itu dikatakan bakal penentu situasi politik dan mood rakyat menjelang pilihan raya umum yang dijangka berlangsung Jun depan. Sementara menunggu tarikh itu, tengok dulu filem ‘The Lady’ – kisah pejuang pro-demokrasi rakyat Burma, Daw Aung San Suu Kyi.

A Sabri, 31, penulis dan penggemar filem Eropah dan Amerika Latin. Menulis karya kreatif seperti cerpen, skrip drama pentas dan artikel.

 

Aung San Suu Kyi Burma Filem General Ne Win Luc Besson Malaysia Michael Aris Michelle Yeoh politik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan