Adonis, penyair terhebat di dunia Arab saat ini, mendahului saya sepanjang kami berjalan di koridor yang seperti labirin ini di sebuah bangunan besar tidak jauh dari Champ Elysees. Pejabat mewah ini kepunyaan seorang ahli perniagaan kelahiran Syria. Beliau mendanai projek terbaru penyair itu—sebuah jurnal kebudayaan berbahasa Arab yang disuntingnya. Adonis mengambil manuskrip tebal untuk isu ketiga ‘The Other,’ dengan bangga dia meletakkan ke atas meja kopi. Kebanyakan para penyumbang daripada “Barat dan Timur” adalah generasi cucunya. Dia akan berumur 82 tahun pada bulan ini. Matanya memancarkan sinar: “ Kami mahukan bakat baru dengan idea baru.”

Adonis, seorang penyair, pengkritik dan esais kelahiran Syria, dan juga seorang sekularis tegar melihat dirinya seperti seorang “nabi jahiliyyah.” Adonis telah menulis puisi hampir 70 tahun. Dia memimpin revolusi modenis pada separuh kedua abad ke-20 dengan meluasnya pengaruh beliau terhadap puisi Arab sebanding dengan apa yang dilakukan oleh T.S. Eliot di dunia anglofon. Pada umur 17 tahun, dia mengambil nama dewa kesuburan Yunani untuk mengejutkan para editor dengan bakatnya yang hebat dan dengan ilham-ilham pra-Islam dan pan-Mediterraniannya. Selepas kematian penyair Palestin, Mahmoud Darwish pada tahun 2008, sukar untuk dicari penyair lain yang mempunyai kedudukan tertinggi di dalam satu budaya sastera di mana puisi adalah bentuk yang paling berprestij dan dalam masa yang sama juga popular.

Dia pindah ke Paris pada tahunn1985, dan dianugerahkan Order of Arts and Letters pada tahun 1997. Tahun lepas beliau adalah penulis Arab yang pertama memenangi Hadiah Goethe di Jerman. Setiap kali musim bunga namanya sering tersenarai sebagai calon pemenang Hadiah Nobel untuk sastera—satu-satunya penulis Arab yang menerima Hadiah Nobel ialah Naguib Mahfouz pada tahun 1988. Walaupun Adonis adalah pilihan Ladbroke untuk tahun di mana berlakunya kebangkitan Arab ini, Adonis tidaklah berasa cemburu dengan anugerah yang diterima oleh penyair Sweeden, Tomas Tranströmer. Dia memperkenal Tranströmer kepada khalayak ketika lawatannya ke negara-negara Arab. Apabila kebangkitan rakyat berlaku di Tunisia dan Mesir tahun lalu, dia menulis “beberapa buah sajak untuk meluahkan rasa gembira dan bahagianya”. Namun kegembiraan membawa kepada kewaspadaan dan amaran kepada sebuah tragedi. “Generasi muda Arab yang mencipta kebangkitan ini dan inilah kali pertama orang Arab tidak meniru Barat—ini suatu yang luar biasa,” katanya.” Bagaimanapun para Islamis, peniaga dan orang Amerika yang mengaut hasil daripada revolusi ini.” Kesangsiannya itu telah menimbulkan kejengkelan untuk ramai orang dan diserang dengan luas: Sinan Antoon, seorang penyair, novelis dan pembantu professor di New York University asal Iraq, mengatakan bahawa Kebangkitan Arab telah “menghantar Adonis, yang mengaku revolusioner itu menjadi tidak relevan lagi.”

Kata Adonis, “Ada kecenderungan untuk para penyair dan pelukis di dunia Arab untuk terlibat dalam politik. Banyak hal yang perlu diperjuangkan: hak asasi manusia dan rakyat Palestin; dan menentang kolonialisme; kediktatoran Arab dan pemikiran tertutup kalangan fundamentalis. Saya tidak menentang keterlibatan mereka atau menentang mereka—tetapi saya tidak seperti mereka. Seorang pencipta sentiasa perlu bersama dengan sesuatu yang revolusioner tetapi tidak harus menjadi seperti para revolusioner itu. Dia tidak boleh bercakap dengan bahasa yang sama atau berkerja dalam suasana politik yang sama.” Tambahnya lagi beliau “sangat-sangat menentang kekerasan—saya bersama dengan Gandhi, bukan Guevara.”

Seperti VS Naipaul, kawannya yang pernah memujinya sebagai “Sasterawan Agung zaman ini”. Adonis juga adalah seorang kontrarian walaupun dia tidak mempunyai kelancangan dan perengus seperti Naipaul. Bagi pengkritik, kenyataannya tentang “kepupusan” budaya Arab atau “minda Arab” adalah palitan sisa kotor orientalis. Tetapi penterjemahnya Khaled Mattawa, seorang penyair Arab-Amerika, melihatnya sebagai ikonoklasme yang disengajakan: “Dia menentang dengan hebat unsur-unsur tidak toleran yang berakar di dalam pemikiran Arab, tetapi juga meraikan daya-daya kebangkitan semuala dalam budaya Arab.”

Walaupun terjemahan Inggeris sajak-sajaknya lambat dibandingkan dengan bahasa Perancis, sejak sedekad yang lalu sudah ada lima buah antalogi: yang diterjemahkan Mattawa, Adonis; Sajak-sajak Terpilih memenangi hadiah untuk anugerah penterjemahan Arab Saif Ghobash-Banipal. Adonis akan datang ke London untuk acara penganugerahan bulan depan, dan juga dia akan terlibat dalam program dua bulan meraikan karyanya, “A Tribute to Adonis”, di Mosaic Rooms di West London bermula pada 3 Februari. Beberapa lukisannya juga akan dipamerkan. Dia mula membuat kolaj kecil menggunakan kaligrafi Arab sejak sepuluh tahun dahulu, ketika mengalami saat tersekatnya daya tulis beliau. “Saya menemukan cara yang lain untuk meluahkan apa yang saya rasa terhadap sesuatu, melainkan terhadap kata.” Dia menggunakan kertas-kertas dan perca-perca kain, “cebisan yang terbuang. Saya jarang menggunakan warna; saya suka benda yang terkoyak,” dengan meletakkan fragmen-fragmen puisinya, juga puisi Arab klasik “sebagai satu penghormatan” katanya.
Bulan Jun yang lalu, ketika pertumbuhan darah disebabkan oleh kebangkitan rakyat Syria, Adonis menulis surat terbuka kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad di sebuah akhbar Lebanon, al-Safir-“sebagai seorang warganegara,” tekannya. Menyebut Syria sebagai sebuah negara polis yang ganas, dia menyerang parti Ba’ath, yang memerintah Syria. Dia menuntut supaya  mereka meletak jawatan, dan memberi amaran “kamu tidak dapat memenjarakan seluruh rakyat ini”. Dia bagaimanapun dikritik kerana memanggil seorang diktator sebagai seorang presiden yang dipilih, dan dia mengkritik “kecenderungan ganas” penentang-penentangnya. “Kerana itu saya katakan saya tidak seperti para revolusioner itu,” katanya “Saya bersama mereka, tetapi saya tidak bercakap dalam bahasa yang sama. Mereka seperti cikgu sekolah yang mengajar kamu untuk bercakap, dan untuk mengulang ayat yang sama. Padahal saya meninggalkan Syria pada tahun 1956 dan saya berada dalam konflik dengannya lebih daripada 50 tahun. Saya tidak pernah bertemu dengan Bashar Assad [atau ayahnya Hafiz]. Saya antara yang terawal menentang parti Ba’ath kerana saya menentang ideologi yang berasas pada idea yang tunggal.

Apa yang benar-benar tidak masuk akal ialah mereka yang menentang diktator itu sendiri enggan dikritik; ia adalah sebuah lingkaran ganas. Jadi seseorang yang menentang kezaliman dalam semua bentuk tidak boleh bersama  dengan regim atau dengan mereka yang menyebut diri mereka sebagai pembangkang. Pembangkang adalah regim avant la lettre. Tambahnya: “Dalam tradisi kami, malangnya, setiap perkara berdasarkan kepada kesatuan—keesaaan Tuhan, kesatuan politik dan rakyat. Kita tidak akan sampai pada demokrasi dengan mentaliti sebegini, kerana demokrasi adalah berdasarkan kepada memahami yang lain walaupun berbeza. Anda tidak boleh berfikir hanya anda seorang mempunyai kebenaran, dan orang orang lain tiada.”

Ibunya, berumur 107 tahun, masih menetap di Syria. Selama 20 tahun selepas dia meninggalkan negara itu (apabila dibebaskan daripada setahun penjara kerana menganggotai sebuah parti pembangkang), dia tidak dapat menemuinya. Sejak 1976, dia melawat ibunya setiap tahun sehinggalah dua tahun kebelakangan ini apabila “seorang kawan berkata ia mungkin merbahaya”. Tetapi dia tegas mengatakan bahawa keadaan keluarganya tidak pernah “menghentikan beliau daripada mengatakan apa yang difikirkannya’. Kepada orang yang menuduh beliau lewat dan mengelak untuk mengkritik regim Syria, dia berkata dengan jerih, “Saya telah menulis banyak artikel—sebuah buku saya setebal 200 muka surat akan terbit tak lama lagi. Mereka ini tidak membaca.”

Beliau tinggal di pinggir Paris, di luar la Défense, dengan isterinya, Khalida Said, seorang pengkritik sastera. “Bagi saya dia pengkritik yang hebat, salah seorang yang terbaik. Kadang-kadang kami bersetuju, kadang-kadang tidak.” Mereka mempunyai dua orang anak perempuan: Arwad, yang merupakan pengarah Dewan Budaya Dunia di Paris; dan Ninar, seorang seniman yang membahagikan masanya antara Paris dan Beirut. Adonis tidak menunjukkan tanda yang jelas bahawa beliau telah menghabiskan masa tujuh bulan di Beirut berehat untuk pulih daripada dua pembedahan besar. Sebelum itu, beliau mengumumkan persaraan daripada menulis puisi tatkala menulis sebuah sajak panjang melawan monotheisme, “Concerto for Jerusalem’. “Jerusalem adalah sebuah Bandar dengan tiga agama monotheistik,” katanya. “Jika Tuhan itu satu, ia seharusnya cantik. Namun ia adalah sebuah bandar yang paling tidak manusiawi di dunia ini. Saya berkata saya berhenti menulis puisi sebagai satu pengingkaran’. Tetapi, dengan merujuk kepada muse-nya, dia berkata: “Dewi-dewi pra-monotheistik tidak membenarkan saya bersara.”

Beliau dilahirkan dengan nama Ali Ahmad Said Esber pada tahun 1930, di Qassabin di barat Syria, sebuah kampung miskin yang terpencil di pergunungan”. Kedua ibunya adalah petani, dan dia tidak melalui persekolahan awal yang rasmi. “Saya tidak pernah melihat kereta, elektrik atau telefon sehinggalah saya berumur 13 tahun. Saya sering bertanya kepada diri sendiri bagaimana saya dapat menjadi seorang yang lain sekarang ini; adalah suatu yang hampir-hampir ajaib.” Kecintaannya pada puisi dipupuk oleh bapanya, dan ketika di sekolah al-Quran. Pada umur 13 tahun, dia telah membuatkan presiden pertama republik Syria kagum dengan sajaknya. Hadiahnya ialah biasiswa untuk bersekolah di Perancis. Dia belajar falsafah di Universiti Damsyik dan kemudian menamatkan kedoktoran di Lebanon.

Ketika setahun di Paris pada tahun 1960, dia menemukan suaranya di dalam sajak Mihyar dari Damsyik: Nyanyinya (1961), dengan gema Nuh, Adam, Ulysses dan Orpheus. Manakala baginya, puisi dan agama adalah saingan, mistisisme Sufi adalah daya untuk pembaharuan. Sufisme dan Surrealisme—tajuk bukunya pada tahun 1995—terkumpul di dalamnya idea, seperti yang ditulis dalam sebuah sajak, bahawa realiti “hanyalah kulit yang luluh setelah anda menyentuhnya”. Beliau juga tertarik dengan pandangan mistik bahawa identiti itu tidak tetap: “Seorang manusia mencipta identitinya menerusi karyanya.” Namun sufisme adalah lebih dalam daripada surrealisme atau eksistensialisme, katanya, ”kerana ia mempunyai idea yang revolusioner—bahawa yang lain itu adalah aku; bahawa aku adalah yang lain. Jika aku mencari diriku, aku perlu melalui yang lain.”

Ini bukanlah satu kesantunan falsafah. Keluarganya adalah daripada kelompok minoriti Syiah, Alawi, dan kadangkala dikatakan inilah sebab dia berasa terasing. “Bukanlah kerana saya ini Allawi yang memberikan rasa berbeza,” dia membantah, “tetapi keadaan semasa dunia Arab yang mebawa kepada rasa itu. Seorang bukanlah Protestan, Katolik, Sunni atau Syiah sejak lahir; melalui pembentukan dan jalan-jalan hidup yang membentuk seseorang itu Syiah atau Alawi. Saya tidak pernah percaya kepada soal itu.” Beliau menyertai parti Sosialis Kebangsaan Syria yang melawan penjajahan dan pemecahan Syria, “sebahagiannya adalah untuk keluar daripada konsep minoriti dan majoriti”. Beliau telah dipenjarakan semasa khidmat tentera di pertengahan tahun 1950an. Semenjak dia keluar daripada parti pada tahun 1960, dia tidak menyertai mana-mana parti politik lagi. “Saya hanya berumur 14 atau 15 ketika menyertainya—seorang budak lagi. Kemudian, saya berkata saya tidak boleh menjadi seorang penyair dan terlibat dalam politik ideologi sekaligus. Ideologi bertentangan dengan seni.”

Beirut, tempat dia melarikan diri bersama isterinya ke dalam buangan pada tahun 1956, adalah satu “kelahiran kedua’. Dia bersama mengasaskan sebuah majalah berpengaruh, Shi’r (Puisi) dan Mawaqif (Posisi), merangkul bahasa basahan Arab dan menentang nasionalisme Arab dan puisi sebagai propaganda. TS Eliot adalah salah seorang penyair pertama yang diwawancara mereka. Adonis berkerjasama dalam menterjemah The Waste Land, juga karya-karya Ezra Pound, Stephen Spender, Philip Larkin dan Robert Lowell. Beliau menggabungkan sumber-sumber baru dengan pembacaan yang ensaiklopedik dan “murni” terhadap klasik Arab. Penciptaan yang benar, katanya, “sentiasa moden kerana ia bercakap kepada kita—Ovid, Heraclitus, Homer, Dante. Apa yang tidak moden adalah para peniru. Dalam puisi Arab klasik, anda perlu tahu membezakan siapa yang hebat dan siapa peniru mereka.”

Sajak panjangnya, This is My Name (1970) tercetus daripada kejutan kekalahan Arab pada tahun 1967. Book of Siege (1983) terbit daripada peristiwa perang saudara Lebanon yang bermula pada tahun 1975, dan pada tahun 1982 pencerobohan Israel ke atas Lubnan pada ketika dia berada di sana sebelum berpindah ke Paris. Seperti ditulisnya dalam baris pembukaan: “Bandar-bandar larut, dan bumi adalah keranjang yang sarat dengan habuk./Hanya puisi tahu bagaimana untuk memasangkan dirinya ke ruang ini.” Perang enam- hari itu “begitu mengerikan, tetapi saya tidak sedar sifat tragisnya pada ketika itu sehinggalah tahun 1982,” katanya.

Pada mulanya dia mengalu-alukan revolusi Iran pada tahun 1979, tetapi kemudian dengan pantas menolak arah reaksionari yang terjadi. Bukunya The Fixed and The Changing (1974) tentang pergulatan antara kreativiti dan toleransi di dalam dunia Arab, mengenalpasti sebagai sakit “lampauisme” (masa lalu yang gemilang), yang didefinasikan sebagai melihat masa lalu sebagai “sumber di mana anda perlu kembali, walaupun sungai mengalir bersama waktu. Anda tidak boleh melakukan revolusi untuk kembali kepada masa lalu.”

Ketika kebangkitan Arab semakin merebak, Adonis berkata di dalam wawancara TV bahawa dia tidak dapat terlibat dalam revolusi yang muncul daripada masjid-masjid. Beliau dituduh menyebelahi regim, dan tidak mengetahui keadaan pemberontakan yang teruk itu. Ditanya jika dia menyokong protes aman, dia menggerakkan kedua tangannya seperti sedang bermain konsertina: “Jika anda mempunyai petisyen, saya akan menandatanganinya.” Adakah dia bimbang dengan kata-katanya yang berbunyi seperti diktator-diktator Arab yang meletakkan diri mereka sebagai benteng melawan Islamis? “Tetapi dengan suatu yang berbeza,” katanya. “Saya menentang rejim Ben Ali dan Assad, dan menentang pembangkang Islamis, kerana saya tidak mahu melawan satu kezaliman demi kezaliman yang lain… jika kita tidak memisahkan agama daripada negara, dan membebaskan wanita daripada undang-undang Syariah, kita akan mempunyai lebih ramai pemerintah zalim. Kediktatoran tentera mengawal minda anda. Tetapi kediktatoran agama mengawal minda dan tubuh anda.”

Bagaimana pula dengan kuasa Islamis menerusi peti undi? “Dalam kes ini, demokrasi tidak akan menjadi kriteria kemajuan, jadi idea demokrasi ini perlu difikirkan semula. Kebenaran tidak sentiasa berpihak kepada demokrasi—apa boleh buat?” Beliau akui bahawa demokrasi, “dengan segala macam kegagalannya, adalah kurang buruk daripada kediktatoran”. Pemerintahan Islamis yang dipilih secara demokratik mungkin, “benar-benar lebih baik—tetapi saya akan menentangnya.”

Dengan Syria yang berada hampir kepada prang saudara—dan bercakap sebelum Presiden al-Assad menolak seruan Liga Arab supaya meletak jawatan—Adonis tidak berbelah bagi dalam pandangannya bahawa “rejim sekarang ini perlu pergi. Parti Ba’ath juga perlu pergi, dan rejim baru yang menggantikannya haruslah yang sekular, demokratik dan pluralis.” Namun dia menolak sebarang kebangkitan bersenjata dan campur tangan luar. “Senjata api tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Jika semua orang mengangkat senjata, perang saudara akan terjadi.” Campur tangan tentera luar “telah memusnahkan negara-negara Arab, daripada Iraq ke Libya”. Tetang misi kemanusiaan mereka, “ia tidak benar—tujuannya untuk menjajah. Jika orang Barat benar-benar ingin mempertahankan hak asasi manusia orang Arab, mereka harus bermula dengan mempertahankan hak orang Palestin.”

Seruan agar ada campur tangan di kalangan negara-negara Arab “adalah salah; ia tidak masuk akal. Bagaimana anda boleh membina asas-asas sebuah Negara dengan meminta bantuan daripada orang yang sama menjajah negara-negara itu sebelum ini? “Dalam sebuah syarahannya bulan ini di Dewan Puisi di Paris, beliau mengangkat sebuah gambar yang diterbitkan di al-Quds menunjukkan tentera-tentera Amerika menghina mayat-mayat. “Tentera-tentera Amerika mengencingi mayat orang Iraq,” kata beliau dengan marah. “Jadi ini adalah orang yang sama yang mereka mahu panggil untuk membebaskan orang Arab, dan mengencingi orang yang masih hidup?”

Namun di Barat itu sendiri, katanya “ada banyak Barat—menurut Rimbaud, Eliot, dan juga menurut Bush, Sarkozy dan Cameron.” Menjelaskan pandangannya tentang budaya Arab yang pupus, dia berkata: “Apa itu tamadun? Ia adalah ciptaan sesuatu yang baru, seperti sekeping lukisan. Suatu bangsa yang tidak mencipta akan menjadi pengguna kepada produk-produk orang lain. Jadi itu yang saya maksudkan dengan orang-orang Arab sudah pupus—bukan sebagai bangsa, tetapi dari segi keberadaan kreatifnya.”

Adonis tidak mempunyai sebarang harapan bahawa puisi dapat mengubah masyarakat. Untuk melakukan hal itu, “anda haruslah mengubah struktur-strukturnya—keluarga, pendidikan, politik. Kerja-kerja itu tidak dapat dilakukan oleh seni”. Namun dia percaya ia dapat mengubah “hubungan antara benda dan kata, supaya suatu imej baru dunia dapat dilahirkan.” Berteori tentang puisi adalah “seperti bercakap tentang cinta. Terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dijelaskan. Dunia ini bukan dicipta untuk difahami tetapi untuk direnung dan dipersoalkan.”

Terjemahan Ikram Hamid dari tulisan Maya Jaggi di Guardians yang terbit 27 Januari 2012. 

 

 

 

 

 

Adonis Arthur Rimbaud Bashar al-Assad Che Guevara Dante Ezra Pound Gandhi Heraclitus Homer James Cameron Khaled Mattawa Khalida Said Mahmoud Darwish Maya Jaggi Mesir Naguib Mahfouz Nicholas Sarkozy Ovid Philip Larkin Robert Lowell Sastera Sinan Antoon Stephen Spender T.S. Eliot Tomas Tranströmer Tunisia VS Naipaul

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan