Faizal Hussein, memainkan watak pembunuh upahan, dalam satu babak filem Bunohan. © Apparat Production

Minit-minit pertama amat meresahkan. Saya tak ingat mana-mana filem terakhir yang membuatkan saya merasa begitu – semacam perkenalan awal yang tak diinginkan. Panggung malam Selasa itu tak penuh, seperti biasa (mungkin), kalau memainkan filem-filem yang sukar dibayangkan melalui judulnya.

Babak awal yang melempar orang ke sebuah teluk perasaan yang aneh; dengan lapis-lapis perbualan dan visual yang tak berfokus. Saya fikir itu cukup menarik. Memulakan sebuah filem dengan menerbitkan pertanyaan besar dari dalam hati orang yang menonton, walaupun sudah memberi sedikit petunjuk.

Sela minit seterusnya, sepasang tangan di dalam kain sarong. Tepat pada bahagian sulit lelaki, agaknya. Sepasang tangan lagi (mulanya hanya tangan sebelah kanan di dalam bingkai kamera) nampak sedang merenyuk alas tilam, dan suara mengerang. Ini, perkenalan yang agak aneh untuk sebuah watak pembunuh upahan dengan hati kering (yang membunuh hanya dengan kerambit).

Dan, pada watak ini jugalah setiap kelembutan ditempatkan oleh sutradaranya, Dain Said. Saya tak pasti sama ada itu dilakukan dengan sedar atau tidak. Tetapi Ilham, sang pembunuh, memiliki dua sisi ekstrim itu dengan penuh warna, yang disalur melalui suara lembut dan luah emosi yang kerap tenang. Semuanya kontradik, bertembung tetapi dengan cantik (walaupun pekerjaannya cukup menjadikan watak itu durjana, tetapi itu tidak berlaku).

Faizal Hussein yang membawakan watak itu, seperti menemukan semula jiwa lakonan, terutama ketika bergelumang di dalam arus banal filem-filem industri di Malaysia, yang diserap masuk ke dalam tubuh dan terus-menerus memberikan persembahan dan tenaga yang bagi saya, cukup indah. Ini watak durjana yang tidak menunjuk samseng, tetapi melakukan kerja-kerja jahat tanpa belas dan tegas.

Tentang keindahan, Bunohan ada sebahagian besar semua itu. Dari bahasa filem (saya tidak merujuk semata-mata kepada bahasa loghat Kelantan yang digunakan sepanjang filem ini, tetapi kualiti bahasa komunikatif yang digunakan oleh filem itu sendiri dengan audiens), penekanan dialog perbualan yang pada kebanyakan masanya bijak dan mungkin juga perlu disebutkan, keprihatinan mata sutradaranya untuk membawa mata-mata audiens melihat perincian yang selalu difikirkan tak penting oleh filem-filem industri umumnya.

Membawa kita memasuki nyawa alam, dengan paparan-paparan fotografi yang kerap luas dan payah untuk diperoleh sekiranya tak ada usaha-kudrat tubuh dan keupayaan imajinasi. Di dalam setiap bingkai visual yang berjalan itu, audiens tak putus-putus memasuki pengalaman di daerah asing (perasaan, alami atau geografi) yang mungkin selama ini tak diketahui boleh sampai ke sana atau tidak.

Simbolisme abstrak, kalau saya boleh menyebutnya begitu, terentang di sana-sini untuk ditemui dan dikutip sepanjang 1 jam 40 minit Bunohan berjalan. Menonton Bunohan perlu dilayar pawagam. Menonton Bunohan adalah pengalaman menonton yang aktif.

Saya teringatkan perbualan saya, dengan seorang jurufoto tempatan Sabah, ketika kami sedang duduk-duduk merenung langit malam dan bintang-bintang di pantai Pulau Mabul. Kata dia, untuk menghidupkan satu bingkai foto (sebuah gambar), yang perlu diberi perhatian dan dirakam adalah perubahan hal-hal yang hidup dan bukan hal-hal yang kaku. Yang dimaksudkan adalah manusia, cuaca, perjalanan matahari (cahaya) dan perjalanan masa (detik), antaranya. Kerana itulah nyawa-nyawa yang menghidupi.

Dan, di dalam Bunohan, saya menjadi semakin faham dengan sembang santai berkenaan. Lihat, seperti apa awan mendung mengarak pekat, memberikan tunjuk rasa kepada bintik-bintik hitam dalam hati manusia. Lihat juga, bagaimana alam – walaupun di dalam filem ini selalunya kelam – tetap minta dihormati, dan sebagai balas, akan memberi sejahtera kepada makhluk lain. Daripada Bunohan, kedua-dua visual dan dialog adalah tertumpu kepada hal-hal seperti itu. Ini antara lain, amat jarang berlaku dalam filem.

Setiap watak yang diberi nama di dalam filem ini, masing-masing menjadi tunjang kuat. Setiap satu, tanpa gagal. Saya tidak terlalu menghiraukan sudut pandang kamera (camera shot / angle) yang pada beberapa tempat mirip filem-filem Iran, misalnya The Song of Sparrows (2008), kerja tangan Majid Majidi. (Saya merujuk babak Adil dan temannya meredah paya semak. Kerja kamera yang sama digunakan Majidi, ketika watak utamanya merentas tanah ladang yang kontang, memikul daun pintu biru sendirian). Kerana itu hal-hal permukaan, bukan hal-hal roh filem. Roh Bunohan barangkali adalah keunikan Kelantan dengan bahasanya, kelibat main puteri dan wayang kulit dan, untuk saya, tentu sekali paparan mimpi-mimpi manusia bejat yang disampaikan dengan sentuhan yang halus.

Walaupun tulang ceritanya amat cliché; berebut tanah pusaka untuk dijual kepada pemodal bagi mengaut laba cara singkat. Itu saja soal ceritanya. Tetapi, yang diolah dan dipersembahkan di dalam Bunohan bukan dengan cara mandom dan malas. Tak keterlaluan jika ingin menilai Bunohan sebagai sebuah filem yang sangat mengkagumkan, dari banyak sudut.

Sayup-sayup, di hujung filem ini, kita akan merasa seperti mengenali kampung yang dipanggil Bunohan itu. Kita juga terpaksa untuk mengenali dan mengakui hakikat kewujudan manusia, kalaupun ada yang tak mahu bersetuju.

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.