Dain Said © Apparat Production

Pejabat Apparat Production tidak jauh daripada Tasik Titiwangsa.

Daripada depan pintu pagarnya yang sederhana kelihatan bangunan berbongkah segi empat yang tidak sama daripada rumah kediaman di kawasan ini.

Dain Said, pengarah filem Dukun dan Bunohan, juga pemilik syarikat produksi Apparat memilih untuk menyewa di sini, di sebuah bangunan lama 70-an dengan ciri Bauhaus yang kuat.

Bangunan ini seperti sebuah wisma yang kecil. Di tengah bangunan itu ada susur kecil membawa ke bahagian belakang yang mempunyai bilik yang dijadikan pejabat Apparat.

Jam kurang lebih jam 3. Masa yang diberikan untuk JalanTelawi mewawancara pengarah Bunohan itu. Kelihatan beberapa orang wartawan daripada pelbagai media sedang menemuramah Dain. Di pejabat itu beberapa orang sedang menjalankan urusan masing-masing, termasuk penerbitnya yang tinggi lampai, Nandita Solomon. Kata mereka Dain baru pulang dari Indonesia setelah menjalankan penggambaran dokumentarinya di sana.

Bunohan telah ditayangkan di banyak festival filem besar antarabangsa seperti Toronto, Taipei, Sao Paolo, Rotterdam dan Palm Spring. Sebagai pengarah sudah tentu Dain menjadi orang yang paling sibuk di dunia.

Selesai satu sesi temuramahnya itu, Dain masuk ke pejabat. Kami bersalaman dan berkenalan.

Dia meminta lima minit untuk minum. Kedengaran seorang wartawan bergurau mengatakan wajahnya ada iras Loloq. Dia hanya ketawa, katanya dia kenal rapat dengan arwah penulis lirik itu.

Dain bertanya tentang JalanTelawi. Dia sedikit pelik bagaimana kami boleh mendapat domain itu. Saya bercerita pendek tentang IKD, KsJT, Majalah Siasah dan sudah tentu Jalan Telawi sebagai latar atau mungkin juga salah satu ‘watak’ kepada cerita-cerita itu.

Dain jenis yang tidak duduk diam. Mungkin untuk menyegarkan dirinya setelah ditemuramah media sejak pagi lagi. Dia ke dapur mengambil air kemudian datang dengan menghisap rokok. Dia bersembang dengan seorang staf. Suaranya yang lantang kedengaran jelas di seluruh bilik itu bila di saat dia bercerita.

Seperti seorang pencerita yang berpengalaman yang tahu bahawa semua telinga terarah kepadanya, dia mula menerangkan dengan terperinci tentang fenomena apokalips, ramalan tahun 2012 dan hubungannya dengan kalendar Maya. Juga tentang sebuah planet bernama Nibiru yang bersaiz lebih besar daripada bumi yang sedang bergerak pada orbit yang melintang orbit bumi. Jika lintasan itu berlaku pada titik yang sama bumi berada maka akan hancurlah bumi. Tidak pasti kenapa dia bercerita tentang hal ini.

Dain lebih senang diwawancara di bilik satu lagi yang juga dijadikan kediamannya.

Kami duduk di sebuah meja kayu di serambi di bahagian luar yang menghadap laman kecil dengan pepohonan dan rumput hijau. Soalan pembuka yang agak klise tetapi tetap penting ditanya: bagaimana boleh menjadi pembikin filem? Dengan pantas dan yakin dia menjawab bahawa sejak kecil lagi dia sentiasa tahu dia akan menjadi seorang pengarah filem.

Walaupun minatnya terhadap kesusasteraan dan lukisan dibentuk oleh ibu bapanya sejak kecil tapi dia tahu bahawa suatu hari nanti dia akan membikin filem.

Dain memang telah menjadi pembikin filem dalam ertikata yang sebenar. Dia membikin Dukun sebelum ini. Filem itu telah siap namun kandas separuh jalan dan tidak akan ditayangkan. Dain berat untuk menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Tetapi yang pasti bukan soal kontroversi yang melibatkan keluarga Mona Fendi atau Datuk Mazlan Idris.

Menurut Dain dia sendiri dan pihak produksi telah bertemu dengan kedua keluarga itu. Permintaan mereka adalah untuk menonton filem itu sebelum filem itu ditayangkan kepada umum. Produksi Dukun setuju dengan syarat itu.

Cuma yang menyekat filem itu untuk ditayangkan adalah masalah dalaman yang berlaku. Apa yang disayangkan adalah penonton tidak dapat melihat kemahiran lakonan yang luar biasa daripada pelakon-pelakon seperti Faizal Hussein, Umie Aida, Sofi Jikan dan Namron.

Dain Said di lokasi penggambaran Bunohan. © Apparat Production.

Dain meneruskan cerita.

Dia lahir di Kuala Lumpur dan kemudian membesar di Tumpat, Kelantan. Pekan hantu menurutnya. Pekan di mana berhujungnya landasan keretapi. Imajinasinya dibentuk sejak kecil itu. Tentang layar tancap, tentang Cina yang datang dengan van menyebarkan ‘sirkula’ iklan filem yang akan ditayangnya, tentang filem hitam putih yang dipancarkan projektor ke layar yang tergantung di pokok, tentang buku-buku yang diberikan ibunya yang juga aktif dengan teater RTM di masa muda, menggalakkannya untuk membaca dan menulis.

Dain tidak membesar sepenuhnya di Tumpat. Dia ikut ibu bapanya mengembara. Dari kampung yang paling kampung, dia ke kota yang paling kota: London.

Semasa bersekolah di London, cerita Dain, dia kerap ponteng kelas Latin pada waktu tengahari. Bahasa yang menurutnya telah mati dan tiada orang yang menuturkannya. Rex Cinema menjadi destinasi. Suatu hari dia menonton sebuah filem Jean-Luc Godard. Pembikin filem dalam kelompok New Wave di Perancis. Filem itu membuatnya bengang kerana dia tidak dapat memahami apa yang hendak disampaikan Godard. Dia bertekad untuk faham.

Di sebuah kedai buku terpakai yang sering dikunjungi dia mula mencari dan membaca buku-buku filem dan teorinya. Peristiwa itu membuka cakrawala baru kepadanya. Dia menonton lebih banyak filem dan berazam untuk menjadi pengarah filem suatu hari nanti.

Selepas sekolah tinggi dia sambung pelajaran ke sebuah sekolah filem di Politeknik Central London (sekarang ini dikenali sebagai Westminster University).

Memori membesar di Tumpat dan dibentuk budaya Pantai Timur dengan wayang kulit, main putri dan mak yong-nya tidak pernah lekang dari ingatan Dain. Sewaktu kecil dijaga makciknya dia sering dibawa menonton semua itu. Setelah kemudian menjadi dewasa di London, keinginannya tetap kuat untuk kembali ke Malaysia dan buat filem. Itu cita-citanya.

Dia kembali Malaysia kemudiannya. Sudah tentu jalan tak sentiasa indah untuk orang kreatif sepertinya. Dia bermula dengan terlibat dalam penerbitan untuk televisyen. Baginya itu pengalaman yang hebat untuk seorang anak muda. Apa yang dipelajari secara teori dapat diterapkan secara professional dan praktikal.

Baginya semasa kita muda kita berkerja bertukus lumus pun tidak mengapa asalkan nama naik dan hasil yang kita buat itu betul dan keluar dalam televisyen. Dain juga pernah terlibat dengan tim produksi sitkom Jangan Ketawa. Namun apabila sketsa-sketsa komedi yang telah dipersetujui dan selesai dibuat kemudiannya tetap dikerat disana-sini selepas itu Dain muda merasa kecewa.

Setelah diperkenalkan seseorang dalam dunia pengiklanan, Dain berhijrah ke bidang itu. Dia belajar kraf bidang itu, dia belajar tentang peralatan teknikal, professionalisme dan selok belok industri dan semua aspek penerbitan. Pun begitu kata Dain akhirnya siapa yang akan mengingati sekeping cokelat? Tetapi orang mengingati P. Ramlee.

Keinginan untuk bikin filem berformat penuh semakin menjadi-jadi. Dia bermula sekali lagi dengan membantu membuat instalasi video untuk seorang seniman di Sydney Bieanalle. Selepas itu dia ditawarkan oleh penerbit filem, Dominique Hee untuk menjadi pengarah filem Dukun.  Skrip Dukun ditulis Huzir Sulaiman.

Walaupun Dukun secara teknikalnya adalah filem pertama Dain tetapi dia seperti lebih senang untuk menyatakan Bunohan sebagai filem pertamanya yang ‘sebenar’. Lagipun idea tentang Bunohan itu telah dibawa di dalam kepalanya lama sebelum mengarah Dukun lagi. Berbeza dengan DukunBunohan yang menjadi manifestasi kepada cita-citanya sebagai seorang filmmaker. Dia menulis skrip, dia mengarahnya dan dia terlibat dari alif sampai ya produksi filem itu.

Dukun banyak mengajarnya dan juga mengenalkannya dekat pelakon-pelakon berbakat Malaysia. Dain benar-benar mengagumi bakat mereka. Mungkin kerana itu beberapa orang pelakon yang pernah terlibat dalam Dukun juga terlibat dalam Bunohan. Mungkin ada yang prejudis terhadap bakat pelakon Melayu, tetapi menurut Dain mereka salah. Ada barisan generasi pelakon muda yang menjanjikan di dalam Bunohan: Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Amerul Affandi, Soffi Jikan dan Bront Palarae

Kami langsung berbicara soal kualiti skrip di Malaysia.

Dia bersetuju tidak banyak skrip yang bagus di negara ini. Skrip yang kuat, kata Dain, membolehkan pelakon meregang perwatakan dan teknik lakonannya dengan lebih luwes dan luas. Skrip yang baik dengan dialog yang kuat memberikan bahan kepada pelakon untuk membentuk perwatakannya.

Skrip dengan cerita yang lemah dan dialog yang tidak tajam akan membataskan bakat pelakon. Kata Dain, umpama tangannya diikat satu di belakang kemudian disuruh berkerja. Bukan sekali dia mendengar rungutan daripada pelakon-pelakon di Malaysia tentang soal skrip yang lemah itu.

Bunohan memulakan penggambaran pada Oktober 2010. Beberapa bulan sebelum itu masing-masing daripada pihak produksi melakukan persiapan lokasi dan peralatan, manakala pelakon-pelakon pula menjalani latihan fizikal, teknik koreografi tomoi dan juga ada yang turut belajar ‘kecek Kelate’. Sudah tentu akan menjadi tidak kena kalau Dain memilih bahasa Melayu baku apatah lagi bahasa lain untuk watak-wataknya.

Ketika ditanya soal penggunaan loghat Kelantan di dalam wawancara di News Straits Times, Dain mengambil contoh siri drama The Wire yang menggunakan telo dan lingo Baltimore sehingga orang Amerika sendiri terpaksa membaca sarikata untuk memahaminya. Sudah tentu soal bahasa itu hanya menjadi masalah kepada orang yang tidak mahu berusaha untuk faham.

Pada asalnya hendak diberikan Bunga Lalang sebagai tajuk filem itu. Sempena nama gelaran watak Adil, dilakonlan Zahiril Adzim yang merupakan seorang peninju tomoi. Tajuk itu bertukar kepada Bunohan selepas Dain mendengar daripada seorang pemandu teksi tentang sebuah kampung bernama Bunohan yang bersempadan dengan Narathiwat. Sesuai dengan namanya, banyak cerita-cerita heroik tentang kampung itu. Misalnya tentang peperangan dengan Siam, tentang pembunuh upahan dan bagaimana kampung itu menjadi persinggahan watak-watak hitam.

“Cerita yang saya buat ini saya ambil lokasi adalah salah satu watak. Maknanya dengan cuaca musim tengkujuh, cahaya yang redup dan gelap. Kita gabungkan semua itu dengan watak-watak lain untuk membentuk sebuah cerita yang utuh daripada semua segi,” kata Dain.

Bagi Dain filem adalah adalah medium ekpresi visual. Kita perlu membentuk satu semesta agar watak-watak yang dibuat dapat hidup di dalamnya.

“Saya,” sambung Dain,” kenal dengan watak-watak itu daripada pengalaman. Saya pernah berjumpa dengan orang-orang begitu.

” Di Kelantan, katanya sempadan itu cair, tidak ada garis yang tetap. Orang membahasakan Thailand itu sebagai ‘sebeghe’. Dan itulah yang membentuk identiti dan budaya yang memberi tema dan warna kepada cerita ini.

Dain Said dan Faizal Hussein di set penggambaran © Apparat Production

Jelas daripada bicara Dain itu kita dapat melihat bahawa ada suatu idea besar yang menjadi tunjang cerita Bunohan ini. Apakah pandangan Dain tentang filem sebagai medium kritik sosial? Adakah ukuran filem yang bagus itu perlu punya kritik sosial?

“Tak semestinya. Ada banyak cara untuk melihatnya. Secara peribadi saya memang suka filem yang mempunyai kritik sosial. Sudah tentu critique lebih luas daripada hanya ‘mengkritik’ seperti yang difahami.

Bagaimanapun kita tidak boleh lari daripada seni budaya dalam membincangkan filem. Daripada segi analisa ataupun kritik itu memang menjadi tugas mereka yang membaca sesuatu filem itu untuk melihat bagaimana ia mencerminkan budaya masyarakat. Cuma, ia boleh dibaca dengan tegas atau tersirat.”

Jadi bagaimana dengan Bunohan? Apa yang tersirat dan apa yang tegas?

“Naratif dalam Bunohan adalah tentang tiga beradik yang bergaduh tentang tanah. Tetapi ia turut disulam dengan cerita-cerita kecil yang lain. Dunia tomoi misalnya memberi lambang tentang korupsi, kuasa, tamak, ghairah pada kuasa dan wang, juga pengkhianatan.

Tetapi tema yang besar, menurut Dain adalah tentang kehilangan yang dialami masyarakat hari ini akibat modenisasi. Ada dua sisi kehilangan: satu kehilangan alam semulajadi fizikal dan satu lagi hilangnya aspek tradisi yang spiritual.

“Walaupun saya tidak tunjuk secara jelas tentang tradisi-tradisi yang hilang dalam masyarakat seperti Mak Yong dan Main Puteri, tetapi semangatnya ada dalam beberapa babak dalam Bunohan.”

“Saya masukkan unsur itu dalam naratif. Misalnya tentang primadona Mak Yong yang menjadi buaya putih. Kalau kita ke mana-mana di negara ini kita akan dengar tentang mitos buaya putih ini. Secara simboliknya buaya putih adalah tentang hilangnya sesuatu dalam masyarakat.”

“Mak Yong dan Main Puteri merupakan satu elemen yang boleh menyembuhkan masyarakat dan tanah. Jadi tema-tema ini bersangkut-paut dengan identiti kita, siapa sebenarnya kita dahulu.” jelas Dain.

Jadi bagaimanakah untuk kelaskan Bunohan? Apakah kategori genrenya?

Jawab Dain: “Untuk saya filem arthouse, cultural content, commercial cinema dan mainstream cinema tidak eksklusif. Kalau kita tengok sekarang filem Korea misalnya dalam satu filem itu ada lima genre sekaligus.

Begitu juga filem Gonzales Inarritu, Amores Peros, ia menghiburkan dan bergerak dengan laju tetapi juga mengandungi unsur budayanya.

Saya pernah tonton filem-filem yang dikatakan betul-betul mewakili idea arthouse cinema. Sepuluh minit babak yang diambil oleh Tarkovsky atau Sukorov, adalah satu karya seni yang hebat. Tetapi di tangan orang lain ia hanya babak sepuluh minit.

Seperti mana ada sampah dalam filem komersial, begitu juga ada sampah dalam arthouse cinema. Tak akan terlawan kamu dengan Kiarostami atau dengan Jia Zhangke dengan dokumentarinya ‘24 Cities‘. Dia memecahkan sempadan antara fiksyen dan dokumentari.”

Kalau begitu adakah Bunohan dapat dikategorikan sebagai filem bergenre hibrid?

“Boleh sahaja dikategorikan sebagai hibrid atau cross-over. Apa yang saya tahu ialah saya ingin membuat filem yang bagus. Yang sedikit berbeza sudut pandangnya. Saya tidak ada masalah dengan orang yang membuat filem untuk dapat duit. Cuma pada saya, saya tidak mahu mengulang apa yang sudah ada.”

Apa pandangannya tentang perkembangan filem di Malaysia dalam satu-dua dekad ini?

Dain tidak mahu mengulas panjang, walau sudah tentu katanya ada banyak yang dapat diperkatakan.

Katanya tidak ada budaya kritikal di Malaysia. Orang mudah untuk mengambil kritikan sebagai suatu hal yang peribadi. Sedangkan karya mereka itu sudah berada di ruang publik dan perlu diberi ruang untuk dikritik. Kita sepatutnya dapat bercakap dengan terus-terang tentang karya, filem masing-masing dan juga isu-isu lain. Jadi konteksnya di sini ialah tidak ada critical culture.

Bahkan di kalangan orang yang mendakwa diri mereka sebagai kritikal?

“Ya, itu masalahnya. Kadang-kadang saya elak untuk membincangkan soalan begini. Bukan soal saya tidak berani, tetapi soal masa yang sesuai,” kata Dain.

Dain menyukai karya U-Wei Hj. Shaari dan juga Yu Hang. Salah satu filem Yu Hang, Raindogs baginya adalah filem yang layak dihormati. Begitu juga filem Chris Chong, Karaoke yang bukan sahaja filem tapi satu kritik.

Satu soalan lagi: tema dan subjek yang diterokai oleh pembikin filem kita tidak luas. Apa komen Dain?

“Seperti yang dikatakan oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin dalam responnya terhadap kritikan Mahathir yang mengatakan filem sekarang tak baik untuk orang Melayu sebab semuanya filem seram. Kata Dr. Asri kalau kita tak buka kepada ruang dan memberi kebebasan kepada pembuat filem untuk menyentuh pelbagai isu termasuk sosio-politik maka tidak ada isu besar yang akan diketengahkan. Kalau subjek perbincangan terbatas apa lagi yang mereka hendak buat. Kita tidak boleh menuduh mereka semata-mata.

Ruang diskusi yang terbuka maknanya akan memberikan cerita-cerita yang penuh dimensi dan mempunyai kemungkinan yang luas untuk diteroka. Ini boleh memberi bukan sahaja semangat bahkan membuka minda. Kalau kita lihat perkembangan di Indonesia tidak ada masalah untuk itu. Kita lihat filem Sang Penari. Bagaimana ditunjukkan pembunuhan orang-orang yang dituduh komunis. Ini jelas sebagai kritik kepada masyarakat itu sendiri.

Baru-baru ini, Eros Djarot, pengarah filem Indonesia membuat filem tentang pembunuhan massa tahun 1965. Sampai ada kelompok yang membantah dan berdemonstrasi. Ada kelompok Islam juga yang membantah kerana filem itu menceritakan keterlibatan gerakan Islam masa itu yang membunuh orang komunis juga mereka yang dituduh dan disyaki komunis. Dalam hal ini pemerintah tidak melarang walaupun di belakangnya kita tidak tahu. Apa yang saya maksudkan adalah perlunya open society untuk segala hal didebatkan dan didiskusikan. Tak ada yang salah untuk berdebat dan berbincang.”

Soal realisme magis dalam Bunohan, ada yang melihat ini sejenis eksotisime semata-mata?

“Biar mereka menonton dulu. Saya tidak mahu jawab. Saya mengambil cerita dongeng daripada tempat itu dan apa yang dialami oleh masyarakat. Anda boleh katakan apa pun. Tapi saya tidak letak orang bercakap Inggeris dalam sawah padi. Kita boleh berdiskusi bagaimana tentang pembentukan cerita dan dramanya. Jadi kalau dia boleh memahami dan memberi analisa kritis, kita boleh berdebat. Kalau kita masih tidak bersetuju, kita boleh katakan kita ada pandangan yang berbeza. Tapi kalau sekadar tuduhan, siapa pun boleh melakukannya.”

“Saya tidak buat perkara itu secara sensasi. Tidak ada CGI, tidak ada tampalan atau cut and paste. Semua itu dijalinkan dalam satu cerita. Saya cuba membuatnya secara alami sedaya mungkin,” simpul Dain.

Hampir satu jam berlalu.

Di hujung perbualan, Dain optimis kepada kepelbagaian yang wujud dalam bidang ini. Apa pun aliran dan bentuk filem yang dibawa. Dengan kemudahan teknologi baru akan datang lagi generasi-generasi pembikin filem muda. Itu sesuatu yang sihat.

 

Bunohan sedang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.