Haruki Murakami menghargai kota Tokyo mungkin hanya untuk satu sebab agaknya; kerana dia mampu untuk terus menghuni kota berkenaan tanpa dihiraukan orang – sebagai seorang anonymous. Selebihnya, dia tentu sekali amat tidak menyenangi ibu kota moden negara kelahirannya itu (Murakami dilahirkan di ibu kota lama Jepun, Kyoto).

Hanya dengan cara itu, saya fikir, dia boleh menjadi seorang pemerhati yang cekap; menangkap hal-hal yang selalu terlepas pandang akibat kebantutan imajinasi orang yang hidup sehari-hari di sekelilingnya untuk diceritakan.

Tokyo, kepada orang yang tidak dijanjikan apa-apa tentu saja cukup menyesakkan. Tetapi, untuk orang yang mencuba-cuba ingin membuka diri kepada keriuhannya, kecelaruannya serta kekuatannya, pasti akan berhasil, walau dalam kadar yang tak disedari.

Dari kota inilah benih-benih mimpi dilahirkan. Mengasyikkan, kadang-kadang menakutkan. Murakami bangkit dari tidur, dan kemudian memasuki mimpi-mimpi yang pada kebanyakan masa – yang sudah lama disedarinya – menjadi semakin luas. Dan dia boleh pusing ke arah mana saja yang disukainya. Di dalam negeri seperti inilah dia menemukan cintanya, kerana dia faham soal bahasa.

Pada musim bunga tahun ke-22 dirinya, Sumire jatuh cinta buat pertama kali dalam hidup. Cinta yang tegang, dipenuhi puting beliung yang melanggar dataran – menggondolkan setiap yang ada di laluannya, melambungkan benda-benda ke udara, merobek segala hal untuk disiat-siat, menghempas semua jadi serpih.

Baris ini adalah pembuka sebuah mimpi, mimpi yang dipanggil Sputnik Sweetheart oleh Murakami. Ada kekuatan luar biasa pada rangkap pemula ini, yang cuba menangkap perihal kegilaan sebuah cinta.  Tentang ketekunan pemahaman bahasa, pada sebuah novel oleh seorang penulis kontemporari, yang diharapkan ramai orang dapat memahaminya; keberkesanan bahasa yang menjadi tunjang untuk menangkap dan kemudian meluahkan semula setiap keresahan yang didepani watak-wataknya, atau penulisnya sendiri. Dan saya fikir, ini bukan soal acah-acah.

Sumire pada usia muda awal 20an enggan meneruskan pengajian. Dia berjanji dengan ibu bapanya; sehingga usia 28, sekiranya dia masih belum berhasil menjadi manusia seperti yang diingininya, setiap perbelanjaan hidup yang selama ini ditanggung akan diberhentikan. Dan terserah selepas itu bagaimana dia mahu membayangkan hidupnya.

Si perempuan muda yang namanya bermaksud Violet itu pergi, mencari sebuah bilik kecil untuk menetap di pinggir Tokyo dan berusaha untuk menjadi seorang penulis dan hidup bersendirian. Berkawan, dan bercinta tetapi masih meragui penulisannya. Gagal sebagai penulis, kerana terlalu risau tentang ketidak-mampuannya menulis seperti idola-idolanya (mungkin).

Tetapi, pada saat dan ketikanya dia menulis perkara yang dekat dengan dirinya, tentang pergolakan emosi dalaman dirasai seorang, kecanduan imajinasi terhadap orang lain (walaupun di dalam kes ini kerap yang berlaku adalah imajinasi seksual – yang disampaikan dalam tingkat minimal), orang menjadi terpanggil. Tidak perlu risau kalau hanya ada seorang sahaja yang membacanya seperti cerita dari dalam laptop Sumire, yang hanya pernah dibaca oleh ‘K’ dan tak ada orang lain. Kerana, suara yang akan bermunculan dari lembar kertas ketika orang membacanya adalah suara yang mulus. Kesanggupan penulis, untuk mendalami bahasa lidah dan bahasa akalnya, bukan satu pilihan. Ia adalah keperluan, dan ini dirasai tanpa sedar oleh Sumire.

Saya berpendapat, kekuatan Murakami untuk membayangkan yang aneh-aneh sebagai cerminan daripada kehidupan manusia jatuh ke tempat sekunder. Saya masih ingin percaya, walaupun mungkin ada yang enggan, bahawa yang menjadikan Murakami itu sebuah nama yang rasaksa ialah penguasaan, dan kefahaman dia tentang bahasa yang digunakannya untuk menggarap  apa saja imajinasi yang ada untuk kemudiannya muncul sebagai novel, atau cerita. Walaupun dia sendiri gagal untuk menjelaskannya ketika ditanya. Kerana bahasa, seperti udara, ada di situ. Ada di setiap tempat, tetapi tidak meminta untuk ditemukan. Kita hanya perlukannya.

Seperti yang ditunjukkan oleh Sumire yang mendengar suara hati yang kemudiannya menulis diam-diam. Bahasa tak ingin hadir pada mereka yang berpura-pura sekadar minta dipuji. Dan bahasa, mengalir dalam getar yang berbeza di antara naluri yang menginginkannya,  akan menjauhkan dirinya pada ketika orang-orang merasai sudah mampu menakluknya, tetapi akan hadir dengan wajah berseri ketika mereka yang cuba  berdamping, tanpa rasa lelah dan tetap menunggu tanpa putus asa, untuk memahami bahasa.

Bagaimana bahasa digunakan untuk menterjemah mimpi-mimpi Murakami ini, sukar dijelaskan. Membaca bahasanya juga belum tentu akan membolehkan kita memahaminya. Kerana, barangkali, Murakami sendiri khuatir bagaimana itu boleh berlaku. Tetapi, dari novel ini misalnya, paling dinikmati adalah bagaimana secara tidak sedar pengarangnya cuba menyelongkar cara bagaimana seseorang itu cuba menemukan bahasanya. Untuk menulis, atau paling utama, untuk meluahkan. Kerana menulis itu hanya satu daripada jutaan pekerjaan yang berurusan dengan bahasa.

Walaupun Sumire hilang di pergunungan Greece, dan K cuma meluruskan perasaannya terhadap perempuan itu menjelang ulang tahun ke-23nya yang pada waktu itu menggilai seorang wanita lain dalam usia yang lebih tua dan walaupun cerita ini tak disampaikan hingga bertemu penamat, komplikasi imajinasi melalui cerita ini tidak begitu meresahkan saya. Tetapi, ketekunan dan disiplin bahasa Murakami lebih mengasyikkan untuk diteladani.

 

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.