Mulanya hendak menulis skrip. Tadi sehabis menonton The Untouchables dengan Sofia. Tapi tergendalalah pulak. Silap aku buka Facebook.

“Lain kali kalau ada kerja jangan buka buku bergambar itu lagi”, cetus hati ku berkata. Lagi-lagi macam itulah cara marahkan diri sendiri, meskipun nanti bakal aku lakukan serupa itu juga di lain masa. Tahukah bahayanya apa laman serupa itu?

Ia buat kita lalai. Sibuk baca hal terkini orang. Sampai hala sendiri pun gelinciran. Appalam! Lainlah kalau ada tujuan. Macam bikin entri untuk tulisan yang baharu (macam ini). Susah juga hendak didik diri gunakan kemajuan ini bagi faedah bersama. Apalagi untuk anak-anak kelak. Wajiblah dipupuk dari sekarang.

Dah letih surfing tanpa arah, aku pun tak boleh tidur macam biasa. Baharu lagi aku kembali nikmati tidur malam yang aman. Ini dah serupa balik macam dulu-dulu. Tadi aku dah tutup dah notebook sebab rasa macam dah nak muntah. Dunia ini ada macam macam kejadian yang aneh setiap detik.

Bila aku baring, fikrah aku tak berhenti berfikir. Sebenarnya, aku masih memikirkan skrip yang tergendala. Aku sudah punya idea, juga cerita. Pokok persoalannya juga sudah masak. Paradigma pun terdiagram baik dalam kepala otak. Bukan ada apa lagi yang berlobang. Hanya menunggu masa dicurahkan saja. Apapun, sebelum berhasil menulisnya, ada perkara mustahak yang ingin aku kongsi. Sebab itu aku menulis curahan hatiku ini.

Kos pembuatan filem di tanah air ini makin meninggi. Ia mencecah jutaan ringgit. Itupun belum tentu cukup dalam memastikan filem itu berhasil. Sebagaimana yang dimahukan. Banyak hal berbangkit yang akan dibangkitkan seusai penggambaran; kerana nyata Kurosawa, “bikin filem itu di meja suntingan”. Jadi bagaimana, haruskah dilayan perasaan ini lagi?

Masih belum tidur. Hatiku pula berkata, “der, kita tak ada pilihan, hanya dengan pembikinan yang sempurna baharulah filem dapat diputarkan ke pawagam. Ini filem untuk pawagam der, bukan macam jual minyak urut”. Ya, kebetulan urat di kepala pun sengal. Jadi aku bubuh minyak geliga kat situ macam taruh losen lagaknya. Bila kepala pun dingin, baharulah dapat berfikir balik dengan nyaman.

Bagi aku, kalau gua produser, ikut asas kira-kira, mestilah jutaan duit yang telah dilaborkan buat bikin filem hendaknya mencari untung. Hey, ada pulak yang sibuk nak pakai Merc atau cari itu dan ini selepas baharu sekali bikin cerita. Ini cerita apa pula? Macam biasalah! Dunia ini ada saja macam-macam kejadian yang aneh setiap detik. Pergi lantaklah kalau mereka mabuk. Yang penting aku. Tapi aku bukan produser. Mengapa pula yang resah aku? Sebab, di sini masalah. Di perkampungan filem kita yang terpencil ini, semua beban akan berbalik kepada sutradara. Mengapa, tak percaya?

Pada sesiapa yang nak dengar curahan hatiku ini, dengarlah baik baik. Fikirlah sampai masak kalau hendak masuk ke dunia peperangan ini. Bak kata Kamarool Haji Yusuff, “ini meja Tuhan dik!!” Nanti hari berlalu, masa muda mu bakal dihabiskan di meja kopi yang tak terjumpa solusi. Jam itu baharu kau tahu harganya. Kalau tak buat macam ini, masaklah kalau semua masalah nanti datang pada seorang kita. Sebelum terkena baiklah bersedia.

Sebab kenyataannya sudah banyak. Aku sendiri pernah mengalaminya. Habis bikin filem aku jadi driver pula. “Woit!! Respeklah sikit. Aku ini direktor bukan operator!” Ada pula yang pernah terjadi parah lagi. Sutradara dan pereka produksi kena cuci tandas di lokasi. Ia disebabkan mamat propman sudah lupa diri kerana merasakan dirinya artis setelah diberi peluang menjadi ekstra. Barang diingat, sutradara dan pereka produksi merupakan dua karyawan yang tertinggi di dalam sesuatu produksi filem. Semasa penggambaran berlangsung, suara mereka lebih berkuasa dari siapa jua termasuk produser. Di Hollywood dua jawatan ini diberi tempat yang teratas sangat. Selari dengan kebutuhan mereka untuk berfikir idea-idea dahsyat yang difikirkan dari luar kotak kebiasaan kita berfikir.

Sebagai contoh, Steven Speilberg hanya akan datang ke kerusi direktornya kala semua organ-organ produksi sudah sedia untuk merakam (shoot). Habis shoot dia pun balik semula ke kabin atau tempat yang telah disediakan untuknya menjernihkan otak. Orang akan kata tak wajarlah aku membandingkan cara kita bekerja dengan sistem yang telahpun kukuh diamalkan di Hollywood.

Inilah masalahnya, sebab kita hanya suka membandingkan mutu karya filem kita dengan dunia luar khususnya Hollywood. Namun bila bekerja kita tak mahu pun menerapkan cara kerja yang betul bagi menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Haiya, masaklah, dunia ini ada macam-macam kejadian aneh setiap detik. Jadi, bagi sesiapa yang pernah bermimpi hendak menjadi direktor cuba bayangkan. Di manakah kamu sekarang untuk menghadapi semua kenyataan ini?

Bersediakah kalian untuk menyatakan kebenaran? Berubahkah dunia media baharu, yang sedang kita khayal-khayalkan tika dan sebelum ini? Jangan pula nanti tarik diri kala intelektual kamu ditanggapi dengan cara yang memalukan. Masa itu, ingatlah pesan orang-orang tua dulu, “sekali air bah, sekali pantai berubah.”

Justru peningkatan kos pembikinan filem (yang mencecah jutaan ringgit itu) membuatkan tidak lahirnya produser yang berani. Paling daring adalah produser, penulis dan juga sutradara U-Wei Haji Saari, yang memberi nafas baharu kepada sinema Melayu dengan karya-karyanya yang bercorak personal. Memang ada beberapa orang produser indie yang membangggakan. Mereka punya prinsip dan pegangan berdasarkan ilmu perfileman yang dipelajarinya sekian tahun.

Sayangnya mereka tak mampu pergi jauh. Kerana tak dapat bersaing secara macho lantaran industri filem tanah air kita dikuasai kaum pemodal yang mencekik. Inilah masalah yang aku hadapi sekian tahun dalam usaha menempatkan diri di arena perfileman arus perdana. Beberapa kali aku diundang untuk pitching idea dan membentangkan skrip.

Pada mulanya, aku rasa terpanggil juga untuk turut sama memenuhi undangan seperti itu. Memandangkan sejauh yang aku tahu, selain bikin filem artistik, Teguh Karya dan Lino Brocka ada juga bikin filem komersil untuk memenuhi selera penerbit yang telah banyak melaborkan duit untuk mengangkat nama mereka di persada dunia. Berdasarkan semangat itu aku mencubanya. Bila sekali aku pergi, rasanya macam terjebak. Sayang panggang berada sangat jauh dari api. Teruslah aku bertaubat sampai sekarang.

Bila sudah insaf, baharulah boleh nampak apakah peranan sebenar pembikin filem muda seperti aku di tanah air ini. Kita bercakap tentang jutaan ringgit untuk bikin itu dan ini, tapi sedarikah bahawa kehidupan kita sebagai rakyat marhein terkebelakanglah amat. Berapa ramaikah adik-adik kita yang tak mampu menikmati hidup ini seperti orang lain termasuk keciciran sekolah!

Apa yang mereka ada selain rumah lusuh di setinggan? Saudara, mereka tak punya apa-apa, apalagi bermimpi hendak membeli tiket wayang sebanyak sembilan ke lima belas ringgit untuk menonton filem di pawagam. Kasihan tahu kalau dikenang-kenangkan.

Aku berfikir lagi. Apakah ada alternatif yang dapat aku suarakan dalam curahanku ini. Mungkin ada. Sebab aku berfikir, selain penontonan filem di pawagam, Astro First membuka panggungnya di rumah dengan belian semurah lima belas ringgit untuk dua hari. Kini Hyyp TV menawarkan pakej penontonan filem yang lebih manusiawi iaitu sebanyak lapan ringgit untuk dua hari.

Dengan teknologi kelajuan tinggi jalur lebar kita dapat menonton filem yang telah dimuat ke dalam YouTube tanpa buffer. Untuk ini semua, meskipun kita hendaklah melanggan Astro atau Unifi namun rasanya kita sudah dapat menonton filem di rumah bagaikan percuma. Fikirlah cara bagaimana untuk membantu orang susah. Mereka juga butuh hiburan tok.

Lagi, aku terfikir satu benda. Ghairah perihal teknologi zaman ini, jangan pula kita lupakan tradisi. Suatu masa dulu, kala zaman emas filem Melayu menjadi nyata adalah disebabkan sokongan rakyat marhein pada masa itu di tahap luar biasa sungguh. Mereka ke panggung wayang menonton filem Melayu kerana pada masa itu tiket wayang berapa kupanglah sangat.

Zaman aku dulupun masih tiga ringgit setengah untuk kelas bawah. Hendak duduk kelas atas cuma lebih lima kupang. Berdasarkan hakikat sejarah, aku fikir bagus dibangunkan semula sinema rakyat ini balik. Agar filem kita dapat dinikmati oleh semua orang tanpa driskriminasi. Kan banyak dewan orang ramai atau balai raya yang ashik memanjang terbengkalai. Bolehlah sinema ini dibuat macam banyaknya kedai-kedai rakyat yang dibuka sekarang.

Aku berfikir di situlah ruang untuk filem yang dibikin dalam format digital dapat bersaing secara sihat dengan filem-filem layar lebar di pawagam pawagam komersil. Kos membikin filem digital memerlukan modal asas lima ribu ringgit sahaja seperti yang pernah aku buat untuk Freedom Film Fest di tahun 2008 dahulu. Filem aku itu terbang sampai ke London tahu.

Lagi pula untuk proses adunan akhirnya tak perlulah dihantar ke makmal-makmal pemrosesan filem yang hanya ada di Chennai, Bangkok atau Hong Kong sebab kita sendiri tak punya peralatan secanggih mereka di makmal sedia ada. Aku diberitahu studio editing di Finas sekarang ini miliki peralatan yang terbaik. Bukan sahaja di negara ini bahkan antara yang termahal di dunia. Entahlah, aku tak pernah tahu pula.

Maka, sampailah masa aku mencuba satu eksperimen baharu. Aku sudah tiga puluh lima tahun. Boleh dah kalau nak direct filem cereka pertama untuk pawagam komersil. Baliklah pada tujuan pokok, aku kena sudahkan penulisan lakonlayar yang tergendala tadi. Sebenarnya aku ada banyak cara untuk memfilemkan cerita itu kelak. Buat masa ini, biarlah ia masih menjadi rahsia.

Abror Rivai merupakan penulis dan sutradara filem pendek Le Diable.