“kepercayaan mereka pada bakat
hanyalah satu retorika
ini alam pedih yang menyurih warna cereka
kebijaksanaan itu debu di hujung cerita
bila tidak menguntungkan kita.”

-Petikan puisi Sajak untuk Penulis Cerita, terbit dalam majalah Dewan Sastera, Januari 2012.

Kumpulan sajak bertajuk Badrul Bambi oleh Raihani Mohamad Saaid

Pada hari saya menulis artikel ini, fenomena 901 sedang beransur-ansur mengendur di luar sana. Dimaklumkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan tidak bersalah, maka, sekurang-kurangnya ia turut melancarkan kembali aliran trafik jalan raya bahkan kepada draf penulisan artikel ini. Sebagaimana negara-negara lain di dunia, susunan drama politiking di sini tidak kurang menariknya. Hanya menunggu tarikh rasmi bilakah PRU13 bakal berlangsung dan pihak manakah seterusnya berada di Putrajaya.

Sungguh tidak benar bahawa penulis karya kreatif, kononnya dianggap unik, duduk terperuk dalam bilik studio dengan kaca mata tebal dan bermuka penyendiri, tidak mengambil hirau suasana siasah, sosial mahupun keputusan perlawanan bola sepak antara Harimau Malaya menentang Timnas Indonesia, misalnya. Malah memilih untuk menjadi penulis bukan suatu alternatif menyenangkan dalam sesebuah negara seperti Malaysia.

Setiap tema penulisan yang mengangkut persoalan kepekaan sesuatu kaum, agama, budaya dan gaya hidup, tidak dibolehkan terlalu terang lukisannya. Ada garis merah yang tidak dibenarkan untuk dilintasi. Kita belum bersedia sepenuhnya menerima karya kreatif yang membenarkan para penulis menjadi seorang realis. Maka, para penulis terpaksa terus-menerus menulis tentang langit jingga, bulan dan bintang sebagai simbolisme. Soalannya, apakah ia tidak meletihkan?

Kumpulan cerpen bertajuk Terminus A Quo oleh Raihani Mohamad Saaid.

Saya sekadar mengambil contoh, Emile Zola, penulis yang merakam realisme di Perancis, menjadi ikon terbaik betapa berkesannya mata pena seniman kreatif membawa tanggung jawab sosial sebagai penyebar kesedaran masyarakat akan hak mereka sebagai manusia. Wah! Hebat bunyinya. Peranan sedemikian turut disedari di Malaysia dalam pelbagai jalur ekspresi seni.Sehingga sekarang, ada beberapa pihak kurang bersetuju kerja penulisan SN A. Samad Said dalam novel klasiknya Salina kerana pemaparan jalan cerita, watak utama dan dunia gelap yang menjadi atmosfera novel tersebut. Jika anda berasa muak dan kecewa kerana gagal menulis kenyataan, maka, tulislah sebuah dunia fiksyen di mana kenyataan dan dongeng dipadukan untuk mengejek realiti sebenar yang disembunyikan oleh para manusianya sebagaimana dilakukan Orhan Pamuk.

Mari saya memperkenalkan nama penulis muda ini, barangkali ada yang masih kurang mengenali Siti Raihani Mohamad Saaid. Dalam kalangan penulis generasi baharu, dia mengaku belum cukup tersohor sebagaimana penulis novelis popular seperti Ain Maisarah, sebagai contoh kecil. Diam-diam dia sudah pun memiliki tiga buah buku malah sering diundang sebagai deklamator untuk membaca puisi di Rumah PENA atau di beberapa acara. Bahkan turut ditawarkan untuk mengendali bengkel penulisan kreatif.

Namun, siapakah wanita makhluk ciptaan Allah yang tidak setia bertudung mengikut gaya 80-an dan sering menulis status-status nakal dan sinis di laman Facebook itu? Cantikkah dan bolehkah dia menyediakan hidangan nasi briyani dengan ayam masak masala sekali? Mengapakah dia kurang dikenali berbanding bakat penulisannya?

Untuk soalan itu, saya akan menulis ulasan atau pandangan berkaitan dua buah buku bertajuk Badrul Bambi dan Terminus A Quo karya sepenuhnya oleh Siti Raihani Mohamad Saaid (akan ditulis Raihani sahaja selepas ini). Sebagai sahabat, saya kadang-kadang terkilan apabila kurangnya nama dan karya-karya tulisan Raihani disoroti dalam media. Mungkinkah kerana dia seorang penulis wanita? Alangkah kolotnya kedengaran jika saya menyoal demikian. Dan berapa orangkah penulis di Malaysia mengenali Emily Dickinson?

Bagaimanakah kita secara jujur menilai sesebuah karya kreatif jika tidak bersandarkan pada ukuran kualiti penghasilannya? Apakah kita secara tidak disengajakan memenangkan sesebuah karya atas ukuran sebaliknya? Misalnya kerana individu tersebut menyisir rambut dengan kemas berbanding seorang lagi individu yang berseluar jean lusuh malah tidak fasih berbahasa Inggeris, misalnya?

Sudah tentu ada perbezaan gaya kerja penulisan yang dihasilkan oleh dua penulis tetapi hanya akan ditentukan ukuran yang sama. Iaitu kualiti. Semua orang bersepakat bahawa tiada sebarang kelas dalam karya penulisan antara karya beraliran pop mahu pun seni. Sekali lagi, ukuran bagus dan tidak bagus yang memisahkan sesebuah kerja penulisan kreatif.

Dan apakah penulis bernama Raihani dianggap berbakat atau sekadar suka-suka menulis kerana tiada hobi lain pada petang hari? Namun, sekiranya anda belum lagi mengenali penulis bernama Raihani, segeralah mendapatkan ketiga-tiga buah buku tulisannya. Kerana untuk artikel ini, saya hanya akan menulis serba ringkas dua buah buku Raihani yang ada di atas meja tulis saya sekarang.

Buku Badrul Bambi merupakan himpunan sebelas buah cerpen manakala dalam buku terbaharu beliau, Terminus A Quo menempatkan lima puluh tiga buah puisi. Sungguh panjang kronologi masa penciptaan yang tercatat di bawah karya-karya di dalam kedua-dua buah buku tersebut. Ini kerana dia hanya memilih karya-karya terbaik untuk dibukukan sebelum diedarkan kepada para pembaca budiman.

Kedua-dua buah buku tersebut diterbitkan atas dana sendiri sebelum berita pemberian dana sejumlah berjuta-juta oleh PM kita, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merangsang industri penerbitan karya dalam kalangan penulis muda baru-baru ini. Terima kasih PM. Sayangnya, Raihani terlanjur awal menerbitkan sendiri buku terbaharunya, Terminus A Quo dan terlepaslah beliau untuk merasai nikmat dana yang diperuntukkan RM1 juta kepada PENA yang diumumkan sedikit lewat ketika proses percetakan kali kedua buku Terminus A Quo buat masa ini.

Kedua-dua buah buku tersebut memperlihatkan karakter Raihani yang menyingkir tema keselesaan. Cerpen-cerpennya bernuansa moden sebagaimana puisi-puisinya tidak bergambarkan pohon nyiur melambai-lambai di tepi pantai. Apakah ia tema keselesaan? Apakah pula tema yang boleh dianggap selesa dalam penulisan karya kreatif? Dan apakah bezanya karya bersifat bawah tanah? Raihani melalui karya-karya yang terhimpun dalam kedua-dua buah buku tersebut menulis dengan pendekatan “berjenis” dan tidak berhasrat terikut-ikut dengan aliran penulisan yang kurang (digemari) mencabar bakat seninya.

Dia pengekor fenomena masyarakat bahkan politik semasa sekali gus. Inilah dimensi yang menarik apabila memperkatakan tentang kepengarangan Raihani. Kedua-dua buah buku masing-masing dalam genre cerpen dan puisi itu juga merupakan buku pertama daripada Raihani secara persendirian. Bertentangan dengan usia dan aliran penulisan para penulis muda lain, Raihani cenderung menekankan aspek pemikiran berkat rejim pembacaannya yang dipesona oleh gaya pengucapan intelektual SN Muhammad Haji Salleh.

Dan puisi di atas yang saya petik pada awal artikel ini, memperlihatkan bagaimana Raihani memadatkan diksi untuk disesuaikan dengan pemikiran yang ingin disampaikan. Jika aliran penulisan karya kreatif dalam kalangan penulis generasi baharu cenderung memilih gaya menulis berterus-terang, maka, Raihani memilih dengan kaedah sekolah lama. Kerana dia tidak perlu menjadi orang lain semasa menurunkan ayat-ayatnya. Dia bercita-cita memperbaharui peranti berkias dengan cita rasa moden.

Kesan pemerhatiannya terhadap isu-isu yang membelenggu atau membodohkan masyarakat tidak pernah surut dalam setiap karya kreatifnya. Dia menghapuskan dekorasi bahasa tipikal kewanitaan apabila kita gagal melihat tema-tema romantis dalam sesebuah puisinya. Sebaliknya dia menulis kehitaman hati manusia dan kecurangan dunia sebagaimana terakam dalam puisi bertajuk Fait Accompli.

Sama ada dalam genre cerpen malahan puisi, suara sinikal Raihani dibentuk membayangi semangat Hang Nadim justeru mewakili suatu sikap dan pemikiran baharu dalam menilai gejala bejat dalam negaranya. Oh! Ya, bahasa Raihani memang sarat berkias. Andai kata anda terasa sedikit lambat untuk sekurang-kurangnya memahami separuh daripada isi cerpen atau puisinya, sila ulang baca dan padankan dengan isu-isu di luar yang melanda masyarakat.

Dia bangun mempersoalkan sesuatu isu besar kebangsaan dan jalan paling sulit dicipta dalam sebaris puisi dan naratif apabila beliau harus memindahkan pendapat dan ejekan beliau menjadi metafora. Saya tidak akan mengulas segala struktur kerja penulisan Raihani melalui aplikasi teori sastera.

Ayat-ayatnya tebal dan dramatik ketika menampung muatan makna serta amanat kepada para pembaca. Sungguh tidak komersial konotasinya. Cerpen-cerpennya tidak menawarkan kisah kebahagiaan mengikut hukum happy ending. Perkara paling sukar bakal menunggu pembaca karya-karya kreatif Raihani ialah sejauh mana kepekaan imaginasi dan kecerdasan intuisi mereka apabila berhadapan dengan perlambangan dan kiasan dalam tulisan beliau.

Siapakah yang boleh memahami kemelut sahsiah dalaman negara di sebalik cerpen Peran Teraju yang berkisar tentang persediaan sebuah skrip pementasan? Apakah perlambangan sedemikian hanya sekadar khayalan fiksyen sahaja? Dalam sebuah puisi bertajuk, Muda Jauhari, Raihani menulis dilema dalamannya:

Bagaimana akan kita tulis kembali
tafsir baharu dalam kamus bangsa
bagaimana kita yang memilih kata
dan menyisih dusta

Ada beberapa sebab mengapa seseorang melibatkan diri dalam bidang penulisan. Sama ada bercadang menyatakan perspektif dan suara mereka untuk didengar masyarakat atau ingin memiliki banglo tiga tingkat dengan kolam mandi berkilauan di halamannya. Sekarang, penulisan bolehlah dianggap suatu industri yang menguntungkan jika subjek ditulis menepati selera golongan terbesar masyarakat.

Jika anda berbakat mencipta sebuah dunia fiksyen paling digemari pembaca remaja (panggillah dengan istilah gedik sekalipun), maka itulah kelebihan anda yang tidak dimiliki oleh penulis yang menulis subjek serius atas nama seni kesusasteraan. Golongan penulis kreatif tidak perlu lagi berpakaian aneh di khalayak ramai. Bersikap anti sosial atau hanya mengunjungi kedai buku dan berlagak seperti orang tua yang menghukum generasi mudanya melalui laman sosial Facebook.

Apabila Raihani tidak memilih untuk menebalkan dompet duit dengan jalan segera, sudah tentu ada sebab kuat mengapa jalan berliku dan kurang lumayan menjadi pilihan tema penulisannya. Raihani menjadi bad boys dalam senario sastera Malaysia menerusi pendekatan khasnya. Tidak perlu menggunakan kata-kata kesat atau bercampur-aduk dengan bahasa asing untuk menunjukkan tahap keurbanan seseorang penulis. Pemilik ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan dari Universiti Malaya ini tidak bersetuju adanya diskriminasi gender dalam dunia penulisan. Dengan mentaliti sedemikian, Raihani tidak membenarkan tanggapan umum bahawa penulis wanita berasa lebih selesa menulis hal-hal kewanitaan. Barangkali dia turut terpengaruh dengan corak tudung semasa atau filem-filem terbaik di pawagam.

Pada karya-karya kreatifnya, dia memilih isu-isu pergelutan masyarakat, perselisihan sahsiah yang tidak mungkin kunjung selesai, jatuh bangun nasib bangsa dan masa depan negara ke dalam karya-karya kreatif dan tidak menulis tetek bengek cinta remaja untuk menaikkan namanya.  Apakah dia serius dua puluh empat jam dan tidak menonton siri animasi kartun SpongeBob Square Pants, misalnya?

Malah, jika ingin melihat sudut berbeza kerja penulisannya, jangan lupa mendapatkan majalah In Trend untuk membaca catatan dengan gaya berhumor yang cerdas daripada Raihani. Jarang seseorang penulis yang dianggap serius dalam setiap karya penulisan mereka mampu menulis secara lucu sebagaimana  bakat yang dimiliki Raihani. Komedi ialah suatu cara untuk mengendurkan keseriusan. Mampu menciptakan suasana komedi juga memerlukan kecerdasan bakat.

Tidak mengejutkan, Raihani menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan seawal pembabitannya dalam bidang penulisan kreatif. Dia matang lebih awal daripada usianya. “I’ve always said one ages faster in photographs than in real life” bak kata Gabriel Garcia Marquez dalam cerpen Bon Voyage, Mr. President. Maaf, jika perumpamaan yang saya kutip itu tidak semakna dengan status kedewasaan Raihani pada awal usianya dalam penulisan. Tetapi itu realiti.

Nah, di situ gelombang kontroversi pernah mengganggu seketika dunia kesusasteraan Malaysia. Tetapi tidak ramai pula masyarakat mempersoalkan akal cerdik yang dimiliki Hang Nadim ketika Temasik dilanggar ikan todak. Lebih menyokong tentang isu sebegitu, berita kejayaan penulis wanita bernama Tea Obreht dari Serbia, baru berusia dua puluh lima tahun memenangi anugerah Orange Prize, bahkan mengetepikan beberapa nama penulis wanita senior wajar dijadikan contoh bahawa usia tidak pernah menjadi isu dalam dunia penulisan.

Apakah benar beliau yang menulis tanpa sentuhan tangan lain? Ewah! Mengapa Raihani tidak main masak-masak, contohnya, ketika masih berusia awal belasan tahun? Bukan kerana beliau dilahirkan dalam keluarga penulis, tetapi kekuatan yang datang dari mata penanya sendiri diragui oleh segelintir komuniti penulis. Raihani dibesarkan dalam sebuah keluarga di mana bondanya sendiri merupakan seorang penyair wanita terbaik negara, iaitu Dr. Zurinah Hassan.

Dia membaca buku yang tidak mungkin dibaca oleh kawan-kawan sebayanya. Saya, sebaliknya, datang dari sebuah keluarga yang tidak tahu-menahu tentang kesusasteraan moden. Saudara-mara saya lebih mengenali Noh si vokalis kumpulan muzik Hujan berbanding novelis Baharuddin Bekri. Kedua-duanya kelahiran negeri Sarawak, seperti juga saya. Dalam rumah saya di Sarawak tidak ada rak buku sastera serius kecuali beberapa buah muqaddam dan Al-Quran.

Masyarakat sastera mempersoalkan kemampuan Raihani pada ketika itu yang masih muda remaja menulis. Peliknya masyarakat kita! Penulis kelahiran Kuala Lumpur ini menerima pelbagai hadiah sastera dan yang paling istimewa sudah tentu apabila tiga buah puisi beliau terpilih untuk penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2002-2003, 2004-2005 dan terbaharu pada tahun 2010. Kita tidak adil kepada bakat seni seseorang dan membiarkan sastera menjadi tempat sebagai medan polemik sia-sia.

Sejak bila individu peminat haruman pewangi dan cenderung berpenampilan ranggi ini menulis? Apakah beliau sudah mengenali karya-karya berat pada usia masih muda seperti kelaziman para penulis tersohor yang lain? Maka dengan itu, secara di bawah sedar membina gaya pemikirannya yang menggamamkan beberapa penulis dewasa yang terlebih dahulu makan garam.

Haruslah dibeli buku-buku beliau, kerana di dalam prakata untuk buku kumpulan puisi Terminus A Quo, didedahkan pada usia baru lima belas tahun, Raihani berkemampuan menulis puisi. Bukan puisi cintan-cintun atau tentang atmosfera kanak-kanak sebaya di sekolah. Tetapi teks puisi yang seakan-akan wajib dipilih oleh para peserta pertandingan deklamasi puisi Hari Kebangsaan setiap tahun.

Saya tidak bertujuan menganalisis karya-karya kreatif Raihani dalam kedua-dua buku tersebut secara satu-persatu. Memadai di sini, saya menulis latar belakang kepengarangan Raihani, barangkali belum terlambat kepada anda untuk mengenali siapakah beliau sebelum tarikh rasmi PRU13 nanti. Dia menulis sesuatu peringatan dan pesanan daripada generasi baharu yang berasa perlu didengari suara-suara mereka. Sebagaimana katanya sendiri dalam prakata buku Terminus A Quo: “Jika tidak berjumpa yang indah, carilah yang bermanfaat.”

Roslan Jomel, seorang cerpenis. Antologi cerpennya yang pertama bertajuk Namaku Epal Kuning diterbit Dewan Bahasa dan Pustaka.