Amy beraksi di pentas ketika konsert Fenomena Search 30 Tahun. © Dzulhelmi Mohd Razali

Untuk jadi sebuah band rock—walau celah mana pun rentak atau genre rocknya—selama 30 tahun—waima di Amerika Syarikat mahupun Eropah—bukanlah enteng. Turun naik, timbul tenggelam; diuji masa; tahan lasak tak lekang oleh panas dan hujan; sekejap pernah dilupa, kemudian dikenang; sampaikan ikon band Indonesia seperti Dewa sekalipun tidak punya hayat seutuh Search.

Baru sahaja tempohari band Dewa, misalnya, bahkan banyak band-band seberang ‘mengganyang’ Malaysia; kelmarin “branding” berkenaan pun bungkus; diganti dengan nama “Triad”, dan satu lagi di bawah syarikat rakaman sama adalah “Mahadewa”.

Nah! Search, yang lahirkan album pertama, Cinta Buatan Malaysia (CBM: 1985), masih berkelibat untuk tempoh tiga dekad. Sesungguhnya Search yang awal, terbentuk lebih lama daripada tarikh kelahiran album sulongnya pada 1981 di Johor Bahru; sementara Amy sebagai penyanyinya adalah pengganti kepada penyanyi asal: Zainal. Zainal meninggalkan Search, menubuhkan “Rampa”, dan tidak begitu berjaya.

Sabtu, 17 Disember 2011, Search kembali ke panggung konsert terbesar di KL. Media rata-rata menghitung sekitar 13 hingga 15 ribu orang memenuhi dewan Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), di Sri Kembangan. Sekitar jam 9 malam, dewan pun bergaung sampai tengah malam dengan 32 lagu. Konsert ini adalah antara siri jelajah “Fenomena 30 Tahun Search” yang bermula di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang (19 November) dan Johor Bahru 14 hari sebelum di ibukota.

Rock tak boleh dibuat-buat. Bagi budak-budak band atau disebut “band boys”, ia datang dengan “attitude”. Tanpa kepribadian sebagai rocker, jawabnya banyaklah kugiran-kugiran mati kering tengah jalan. Rukun “Rock N Roll” bukan sahaja sering menolak, bahkan mengejek hipokrasi… gua begini maka beginilah gua, katanya.

Rockers patut tak peduli dengan establishment sebab ia perlu tetap di sudut yang bertentangan. ‘Iman’ rockers dicatat M Nasir pada sekujur lirik dalam sebuah lagu yang dia nyanyikan berduet bersama Amy dalam konsert Sabtu lepas:

Aduh dara, jangan rasa terhina
Bukan maksud membuat engkau malu
Biarpun rambut ku panjang
Pakaian lusuh tak keruan
Tapi bukan munafik
Macam sesetengah orang

Amy: Sang Penyampai (baca: penyanyi) dan sebagai orang depan Search, dari mula-mula muncul begitulah adanya dia: seluar ketat, tali pinggang kepala besar, t-shirt, rantai leher dan gelang tangan besi, sapu tangan “key” (selalunya warna merah) yang dijuntai dari poket belakang, sesekali terjulur dari kocek depan macam di kulit album “CBM”, ada waktu diikat di peha, dan; sampai “Konsert 30 Tahun” itu, begitulah Amy tak banyak berubah walaupun disarung dengan jaket ala prajurit klasik.

Selain melodi, susunan lagu dan lirik, penampilan dan kedegilan Amy yang flamboyant banyak bantu Search kekal bertahan dan ada tarikan komersial—biaya promosi untuk siri jelajah kali ini sahaja khabarnya RM1 juta. Dia berkeyakinan luar biasa untuk bawa watak di pentas, di dalam sesi-sesi foto bahkan penampilan umum di pasar raya sekalipun. Sementara Yazid [Ahmad] a.k.a “Abang” yang berdentum di set drum juga tak dapat tidak mengekori gaya kawan-kawan yang terkehadapan baik Kid (nama sebenarnya Hamzah Mohd Taib) si gitar ‘goreng’, Nordin (gitar utama) dan Nasir [Daud], pemetik gitar bass.

Kepada Nasir bila ditanya sebentuk cincin di jarinya, cincin yang berupa belalang, dia jawab “ini pelesit kota”.

Masing-masing ada keras kepala untuk berlumba-lumba punyai gaya dan imej sendiri. Keras kepala ini penting. Mereka sedar, mereka adalah “rockstar” sedari mula. Memang mereka mahu begitu, maka jadilah… itulah yang dikatakan sebagai attitude. Kemudian, ter-terjemah kepada bunyi dan pembawaan muzik.

Bagi yang berbondong ke “Konsert 30 Tahun”, mereka boleh lihat ada peminat yang datang dengan keluarga. Seakan rock bukan lagi muzik atau budaya yang anti-keluarga atau lawan emak-abah.

Aduh mama, jangan marah padaku
Aduh mama, jangan rasa tak tentu
Aku tahu kau tak setuju
Rock N Roll pilihanku
Tapi apa boleh buat
Hanya rock yang ku tahu

Ibu-bapa yang bawa anak-anak kecil atau anak bujang nonton konsert; duduk bersimpuh bersama di ruang legar dewan macam tengah berkelah tepi tasik. Di dalam dewan, sesekali mereka menyanyi bersama-sama antara keluarga.

Aduh papa, jangan rasa gelisah
Kata orang jangan cepat terima
Janganlah tuduh melulu
Aku bukanlah kacang hantu
Kalau nak gelar
Gelarlah aku Mat, Mat, Mat Rock

Fantasia Bulan Madu‘ yang jadi lagu penutup mungkin sahaja lagu wajib selain ‘Isabela‘; bukan kepada Search, tetapi apakala seni katanya dihafal oleh dua-tiga lapis generasi sampai ke larut-larut masa. Betapa begitu banyak lagu-lagu Search yang terus menghijau sampai hari ini dirakam di studio tanpa teknologi MIDI atau digital seperti sekarang; layan 16 track dan masih gunakan tape berukuran 2 sentimeter.

Album-album awal Search juga dihasilkan dalam tempoh singkat, antara dua minggu ke satu bulan lebih kurang… tak macam hari ini yang satu-satu album melalui proses rakaman kadang-kadang sampai 2-3 tahun entah buat apa? Bukan sebab penyediaan lagu, tapi selalu sahaja penyanyi jadi selebriti untuk program-program lain macam drama dan filem. Pekerjaan utama penyanyi, adalah menyanyi… simple!

Aku lihat, aku yang berdiri di tengah-tengah kerumunan orang dapatlah jadi saksi, hampir tak ada yang tak menyanyi bagi beberapa “lagu kuat” itu dikumandangkan; antaranya ‘Melayar Bahtera‘ dan ‘Bisa‘. Aku juga jadi saksi bahawa hadirin datang daripada pelbagai tingkat umur, bukan hanya seangkatan aku yang 30an, yang mendewasa dengan lagu-lagu Search; tapi yang lebih tua dan lebih muda malahan—bilakah sesungguhnya mereka layan dan terpengaruh dengan Search?

Susah untuk digolongkan pengikut Search datangnya daripada satu-dua golongan semata. Fenomena band ini merembah hampir tiap segmen masyarakat daripada profesional dan elit atasan, sampai ke kutu-kutu bawah; lelaki tua dan perempuan tua; anak muda dan gadis-gadis comel yang pada telahanku, dia orang lebih minat dengan lagu-lagu ballad mat salleh; bukannya mat rock tempatan. Rupanya tidak.

Bangsa-dengan-muzik memang tak perlu pura-pura; itu lebih baik sehingga gelar berkonotasi menghina macam “rock kapak’ sebenarnya mencemuh diri bangsa sendiri dan bukannya muzik itu sahaja. Konsert 30 tahun dengan riuh suara belasan ribu orang yang rela kopak RM69 per-tiket untuk hadir dalam dewan—bukan lagi macam dulu-dulu yang harga tiket cuma 10-15 ringgit cuma—bagaikan meniup ruh baru kebangkitan muzik Malaysia.

Awas sahaja… konsert yang didatangi ribuan, belasan ribu dan puluh ribu orang itulah—seperti di era 1990an—pernah mendatangkan cemburu kalangan kaum atau orang yang tak berbakat. Misalnya orang politik dan birokrat agama. Peristiwa ugut dan mendesak Amy dan Awie (Wings) memotong rambut macam yang pernah terjadi dahulu tak lain adalah manifestasi kepada kecumburuan orang politik terhadap mat-mat rock. Mereka ada kuasa, tetapi mereka lupa… mereka takkan pernah dapat memiliki atau kuasai masa.

Orang kata kita tak betul
Kerana cinta pada Rock N Roll

Selepas lebih 20 tahun kenangan digondol rambut panjang Amy dan Awie di RTM, disiarkan langsung ke seluruh negara, menteri berkenaan bagaikan dilupakan zaman. Dia tak ada lagi; cuma sifat cemburu dan pandang serong sebegitu mungkin sahaja akan berulang kalamana industri muzik Malaysia nanti akan kembali memuncak. Dahulu sebelum ada Facebook atau Twitter, konsert antara tempat untuk jumpa minah cun atau balak ragged. Kini tak lagi sepenuhnya begitu… konsert jadi tempat untuk betul-betul melihat persembahan dan nyanyi-nyanyian.

Aku secara personal di suatu waktu tak teragak-agak mengatakan yang lembannya industri muzik Malaysia sejak lebih sedekad lalu memang antara lain atas kehendak hati Sang Penguasa. Apa sahaja yang membantu dan mendorong rancaknya industri muzik, akan mereka jatuhi hukum haram-maram sesedap mulut dan sepertimana mat rempit, rockers selalu jadi kambing hitam terbaik untuk menutup kecurangan pemerintah, politikus dan birokrat lainnya termasuklah para agamawan.

Selepas ditekan-tekan, anak-anak muda angkat Search semula! Ini harapan generasi yang sedang pelan-pelan cuba mendukung dan mengangkat industri muzik Malaysia selepas diabai lama. Ini fenomena baru, sepertimana ramai yang mulai kembali membeli tiket untuk ke stadium menonton bolasepak, atau ke panggung menonton wayang.

Peri mustahak jualan album kembali meningkat kerana hanya dengan cara itu, maka golongan penyanyi termasuk band-band rock dan band boys bukan sahaja dapat hidup, tetapi dapat menundukkan penguasa termasuk dua-tiga kerat media yang sombong dan menindas. Yang selalu mereka angkuh-angkuhkan, di jari merekalah hidup-matinya para artis ini; juga syarikat telco yang meraih keuntungan besar daripada hasil muat turun lagu-lagu di HP. Artis hanya dicampak peratus royalti terkecil sekali.

Di sinilah signifikannya kejayaan konsert Search tempohari untuk membuka lembaran baru apabila kita tahu muzik adalah makanan jiwa manusia; lirik lagu rock Melayu juga sekian lama mencecah persoalan kebenaran yang berkerak di benak manusia.

Orang kata kita tak betul
Kerana cinta pada Rock N Roll
Tapi aku tak peduli
Aku akan rock sampai tua

Cabik-cabik frasa lirik yang aku tabur sepanjang tulisan ini, bertajuk ‘Mat Rock’.

Amy Search Awie Wings Dewa Hasmi bin Hashim Malaysia Musik Muzik Rampa RTM Search

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Ulasan yg amat baik…zaman yg dtg hanya sekali dan bg yg lalui pasti tinggal kenangan plng manis..tak lupa jua panggung anniversary-tasik perdana & pesta pd 😉

  2. Aku membesar bersama rock n roll. Yg nyata, kebanyakan insan berguna dan ikhlas hari ini majoritinya berlatarbelakangkan pengaruh rock n roll.