Vaclav Havel ketika menghadiri konsert The Plastic People of the Universe di Palac Akropolis, ibu kota Czech, Praha. © Rollingstone.

Bagaimana (?) hendak dijelaskan tentang lelaki yang bernama Václav Havel: dia dikebumikan Jumaat lepas, 24 Disember 2011. Meninggal dunia lima hari sebelum itu, di ibukota Czech: Praha. Bagaimana hendak aku sampaikan bahawa Havel adalah antara contoh terbaik yang ada di zaman kita; contoh mengenai apa yang disebut sebagai “politik hati nurani”.

Pada suatu waktu, begitu dia tuliskan di dalam “Václav Havel, or Living in Truth” (pertama kali diterbitkan Rowohlt Taschenbuch Verlag GmbH: 1987), dia ke sekolah dengan melintas sebuah perkampungan. Antara rumah dengan sekolah, berjarak lah sebuah kampung.

Di kaki langit, hampir setiap pagi itulah,Havel lihat kepul-kepul besar asap cokelat pekat keluar dari corong-corong tinggi. Dari kilang-kilang perusahaan. “Setiap kali menyaksikannya, saya mempunyai perasaan yang sangat kuat bahawa ada sesuatu yang salah iaitu manusia mengotori langit,” tulisnya.

Di mata Havel, keladak asap itu tak sama erti dengan “kemajuan”: “kelihatan manusia bersalah dalam hal bahawa mereka telah menghancurkan sesuatu yang penting dan dengan sewenang-wenangnya merosakkan tatanan yang alamiah”.

Dengan latar ini,Havel—anak daripada keluarga konglomerat dan terhormat, bahkan bapanya ada studio filem—mendewasa. Sesuatu yang kita bilang sebagai “idealisme”, dapat kita temukan berputik dari sana.

Bagaimana dapat diceritakan semuanya tentang Havel, tika lepas lebih seminggu ini, berita tentangnya tak dapat tempat di dalam laporan surat-surat khabar di Malaysia? Seperti selalu, fikiran orang Malaysia ditambat oleh berita yang tak bisa jadi panduan untuk kita menilai antara politik manusiawi dengan yang haiwani.

Di dalam masyarakat yang tertawan oleh hal dan unsur-unsur haiwani, maka bercakap benar tak diperlukan bukan sahaja oleh pemerintah, tetapi seakan-akan kelihatan tak diperlukan juga oleh rakyatnya.Havel menyebutkan keadaan seumpama ini sebagai “hidup dalam kebohongan”. Orang lebih senang membaca dan mendengar gosip, misalnya, daripada ambil peduli dengan masalah yang bersangkut dirinya sendiri.

Surat panjang Havel bertanggal 8 April 1975 yang dikirim kepada Setiausaha Agung Parti Komunis Czechoslovakia, dengan nada keras, dia mengecam, “jiwa manusia jauh lebih daripada hanya tong untuk menumpahkan ke dalamnya semua yang dapat ditumpahkan”. Dr Husak, sang Setiausaha Agung, tersinggung.

Havel ditangkap. Dia dilihat telah benar-benar menentang penguasa, mempersenda ideologi pemerintah. Atas kata-kata dan surat itu—yang kemudiannya tersebar dan turut mencetus kesedaran rakyat untuk keluar daripada “hidup dalam kebohongan”—Havel pun dipenjara empat tahun. Dari 1979 sampai 1983.

Tentu yang menakutkan penguasa bukan sahaja lembar surat Havel, namun tulisan-tulisan, esei-esei, bahkan skrip teater yang Havel tulis. Walaupun selepas “Revolusi Velvet” [atau dikenali juga sebagai “Prague Spring”] yang terjadi enam minggu pada pertengahan November sampai hujung Disember 1989, Havel diangkat sebagai Presiden pertama sebuah negara demokrasi: Czechoslovakia. Tapi, dia sesungguhnya bukan seperti orang politik biasa yang melambak di pasaran politik Malaysia hari ini.

Havel adalah seorang pemuisi-budayawan-seniman; yang bertahan hampir sepanjang hayatnya untuk mengamati keliling, termasuk dunia politik, dengan hati kemanusiaan—justeru di banyak negara, termasuk Malaysia, seniman dan penulis cuba dijauhkan meski daripada anak tangga kekuasaan yang paling bawah sekalipun.

Pemuisi, misalan, perannya tak lebih hanya untuk ‘menghiburkan’ dan ‘menyenangkan hati’ orang atau penguasa politik. Darjatnya telah diletakkan setara “selibriti” bagi penguasa sahaja—penghias media. Karyawan, seniman dan pemikir ramai yang persis gundik dan dayang-dayang istana dulukala.

Di dalam sebuah tulisan oleh James Sullivan, majalah Rollingstone (19 Disember 2011) untuk mengenang kematian Havel, diceritakan bagaimana Havel juga penggemar kugiran rock Plastic People of the Universe. Band itu ditubuh pada 1968: dikatakan Havel sangat terinspirasi daripada lagu-lagu rock band itu untuk kemudiannya menuliskan manifesto mustahak untuk demokrasi yang dikenali sebagai “Charter 77”. Revolusi 1989 juga didorong oleh dua band rock lain iaitu Frank Zappa dan Velvet Underground.

Havel juga telah mewakili semangat mat-mat rock yang menyanyi untuk kemanusiaan dan perubahan; diberi kepercayaan lebih daripada politikus yang melalak untuk kekuasaan. Selepas Czechoslovakia pecah akibat rusuhan dua kaum, Republik Czech pun terbentuk. Havel yang sebelumnya presiden Czechoslovakia dipilih pula jadi presiden pertama Republik yang baru itu daripada 1993-2003.

Semakin liar dan binasanya politik-kekuasaan, semakin manusia perlu suluhan batin dan pencerahan. Sebab itu perlu muzik, sastera, teater, esei dan karya seni lainnya. Di sini,Havel bukan sahaja mata pena tajam dan pembangun kesedaran; tetapi sosoknya juga bererti hujung tombak untuk menentang penindasan. Havel tak perlu melalak setiap selepas maghrib di pentas ceramah. Dia lebih kreatif daripada itu.

Nah! Apakah dapat kita temukan karyawan yang memberi inspirasi, sekaligus dilihat sebagai sosok perlawanan? Di Malaysia, sebuah pemisahan selalu diwujudkan apabila, misalnya penulis tak dilihat sebagai hujung tombak politik kerakyatan. Orang politik dan penguasa tak mahu dicabar—sama ada dengan cara halus dan apatah lagi terang-terangan.

Keadaan tambah parah andai karyawan sendiri termakan dengan momok-momokan untuk menjauhkan diri daripada politik-kekuasaan. Sebelum Havel, apakah pernah terfikir untuk kita mengangkat sosok yang tak murah-murah menagih undi, sambil berkata, “pilihlah aku sebagai pemimpin”. Yang kemaruk dengan sokongan dan undi—seperti Dr Husak, agaknya—disisih. Di sini pernah ditunjukkan Havel, pendamba kuasa yang lazimnya tak kreatif dan iseng-iseng mengatasnamai perjuangan “rakyat”, layak diabaikan sahaja. Mereka ini telah mengotori langit…

Kala mengenang Jan Patocka, seorang cendiakawan bangsanya yang mati pada 1977, dalam karangan Kekuasaan Mereka yang Tidak Berkuasa, Havel melihat bagaimana rakyat didesak bersatu, tapi entah untuk apa? Dia mempersoal tabiat peniaga di kedai sayur dan buah-buahan yang meletakkan sepanduk kecil dekat tingkap di atas kotak berisi bawang dan kentang: tertulis, “Kaum buruh sedunia, bersatulah!”

“Saya kira cukup ada alasan kalau kita mengira bahawa majoriti terbesar pengurus kedai tidak pernah memikirkan semboyan yang mereka letakkan di jendela kedainya,”

Merenung dan belajar daripada pengalaman itu,Havel telah memberi pengertian baru selepas Perang Dingin bahawa politik-kekuasaan tak semestinya dengan semboyan nyaring dan tokoh politik seperti yang banyak di pasaran. Sebuah dikotomi pun pecah. Bagaimana kemanusiaan dan “politik hati nurani itu” tetap akan kembali mengambil posisinya ketika rakyat tak rela lagi “hidup dalam kebohongan”.

Havel telah memberikan gagasan dan menunjuk jalan. Dia meninggal dunia pada umur 75 tahun.

 

 

czechoslovakia Hasmi bin Hashim Jan Patocka Kolum politik Vaclav Havel

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan