Saya membaca “Masalah hanya selesai melalui ‘kerajaan terhad‘” (19 Disember 2011, Malaysiakini) seperti yang dikemukakan oleh Medecci Lineil, Eksekutif Kanan, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) dengan penuh minat, juga dengan penuh teliti. Saya percaya, seruan untuk membataskan kuasa pemerintahan tersebut merupakan azimat dari faham Libertarianisme. Untuk itu, saya fikir usulan tersebut perlu mendapat tanggapan serius.

Idea pemeritahan terbatas, sepintas lalu, memang dapat dilihat sebagai penyelesaian akhir kepada beragam masalah urus-tadbir yang terdapat dalam sistem politik negara kita mutakhir ini. Kononnya, dengan membataskan pemerintahan, itu mampu membataskan juga peluang untuk melakukan salah-urus tadbir, mengefektifkan birokrasi, juga sepertinya dapat mengelakkan barah rasuah. Mungkin juga, dengan idea pemerintahan terbatas ini, kalangan Libertarianisme beranggapan bahawa sistem politik negara dapatlah diurus dengan lebih mudah, di mana setiap kemungkinan sudah terjangka secara mekanistik dan positivistik.

Walau bagaimanapun, saya fikir idea pemerintahan terbatas tersebut punya beberapa masalah, yang kalangan Libertarianisme kurang tekuni. Masalahnya adalah, idea tersebut telah memisahkan secara ekstrim seluruh unsur terpenting, antara bahagian masharakat dengan bahagian sistem (politik).

Mari melirik kepada konsep politik moden, yang membahagikan dua sisi penting, iaitu masharakat dan sistem. Untuk bahagian masharakat, itu terhadap bermacam unsur-unsur, seperti agama-agama, etnik-etnik, bahasa-bahasa,gaya hidup-gaya hidup dan sebagainya. Semua unsur-unsur ini, boleh kita kategorikan sebagai ragam pandangan-alam. Jadi, bahagian ini, ternyata masharakat kita memiliki pelbagai pandangan-alam yang berbeza, hatta bercanggah, yang masing-masing bergantung kepada unsur-unsur yang diyakini tersebut.

Selain dari bahagian masharakat, terdapat pula bahagian sistem. Dalam bahagian sistem, itu adalah jelas merujuk kepada politik, yang menjadi landasan kebersamaan bagi masharakat tersebut. Di sini, sistem juga merupakan pentas buat masharakat yang memiliki pelbagai pandangan-alam tersebut, untuk bersatu. Maka, dengan kepelbagaian pandangan-alam yang terdapat dalam masharakat, itu dapat diikat lewat sistem tersebut. Jadi, dalam nama lain, sistem ini adalah negara –sebagai sebuah wadah bersama.

Justeru, pertanyaannya kini ialah: apa perkaitan pembahagian antara masharakat dan sistem ini dengan idea pemerintahan terbatas? Kaitannya adalah: idea pemerintahan terbatas bukanlah sebuah idea yang “turun dari langit”, seolah itu merupakan “lampu ajaib” yang dapat menyelesaikan seluruh kemelut masharakat dan kebejatan sistem. Tidak semudah itu. Ini kerana, sebelum kita boleh melaksanakan pemerintahan terbatas, kita harus terlebih dahulu memerlukan legitimasi dari masharakat. Legitimasi inilah yang terabai dalam idea pemerintahan terbatas.

Namun, sejauh mana pentingnya untuk diperakukan legitimasi dari masharakat ini? Pada saya, legitimasi ini mampu menjamin kestabilan sistem, serta dapat memastikan setiap keputusan politik itu kelak beroleh dukungan perlaksanaan dan pematuhan dari masharakat, sekaligus memugar kebersamaan masharakat itu sendiri. Sebab itu, gagasan “pemerintahan dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat”, itu tidak lain adalah cerminan dari tuntutan legitimasi tersebut. Ini juga adalah sebuah konsep pemerintahan terbuka, yang siap bergulir (lagi) menurut kehendak legitimasi tersebut.

Manakala, idea pemerintahan terbatas seperti yang ditawarkan itu pula cenderung kepada konsep pemerintahan tertutup, yang dengan mengkal menyangka bahawa pengecilan saiz kuasa pemerintahan dapat bertindak sebagai sebuah “tongkat sakti” kepada setiap kemelut dan kebejatan yang kita alami tersebut.

Tidak cukup dengan itu, kalangan Libertarianisme berandaian lagi bahawa idea pembatasan pemerintahan ini mampu meredam segala hal yang mahu menggugat sistem; seperti rasuah, salah urus-tadbir, dan sebagainya tersebut. Walhal, dalam bahagian sistem ini, kita harus sedar, bahawa terdapat dua musuh utama yang harus kita perhatikan baik-baik. Dua musuh tersebut adalah: pertama, percubaaan untuk memanipulasi birokrasi (negara) dan kedua, usaha untuk menguasai pasaran secara sepihak. Bagaimana untuk menjelaskan hal ini?

Sebaik saja pemerintahan dibatasi, maka yang sebetulnya muncul bermaharajalela adalah pasaran. Maka, dengan pasaran inilah, elit-elit (cukong, politikus dll) berpeluang untuk mengambil jalan pintas dalam mempengaruhi birokrasi (negara). Lantaran itu, ruang awam akan mulai tercemar. Ini mithalnya dapat kita cermati dengan budaya konsumerisme, di mana dengan kerakusan penguasaan konglomerat, dengan keserakahan cukong dan sebagainya. Keadaan sendeng inilah yang cukup dibimbangi oleh Hannah Arendt sewaktu menekuni masharakat Amerika Syarikat.

Memang, kalangan Libertarianisme tentu akan berhujah bahawa kuasa pasaran juga dapat membantu masharakat untuk menolak elit-elit tersebut. Itu benar. Walau bagaimanapun, kalangan Libertarianisme ini tetap gagal untuk melihat kesannya ketika mana elit-elit yang “turun dari langit” tersebut dan mengolah persetujuan masharakat. Kerakusan dan keserakahan kapitalisme ini dilakukan dengan berusaha membentuk lebih awal perspektif masharakat. Ini lebih-lebih lagi, jika mereka dibantu dengan oleh pemilikan media yang meluas –buat menebar kepentingan mereka tersebut. Ketika perkara ini terjadi, maka ruang awam yang autentik-lah yang seharusnya menjadi persoalan pokok. Bukannya idea pemerintahan terbatas.

Sebab itulah, kita harus membezakan antara ruang awam yang tercemar dengan ruang awam yang autentik. Untuk ruang awam yang tercemar, itu adalah tanda betapa ruang awam tersebut telah dimanipulasi oleh kepentingan-kepentingan elit tersebut; di mana, “yang peribadi” (elit) telah mencekik “yang awam”. Akhirnya, kepentingan autentik masharakat –yang harus jadi keutamaan bersama– kian terhakis akibat rongga yang sangat lapang diberikan kepada kepentingan elit tersebut.

Jadi, usah kita hairan, tatkala kalangan Liberatarianisme menyerang habis-habisan totalitarian-nya Maoisme, sebetulnya mereka juga adalah sebentuk totalitarianisme yang sama, cuma berlainan jubah. Mengapa? Kerana dengan idea pemerintahan terbatas, itu menatijahkan kesempatan kepada elit-elit tersebut untuk mengigit masharakat, seluruhnya. Jadi, sama saja fasis keduanya. Sebab itu, Max Horkheimer dengan benar berkata: barangsiapa yang berdiam diri pada kapitalisme, bererti mereka juga berdiam diri pada totalitarianisme.

Lantas, bagaimana untuk mengatasi keadaan ini?

Untuk mengatasinya, bukan dengan berkaca kepada pemerintahan terbatas. Tapi, itu menuntut proses pemberdayaan ruang awam, yang bertujuan untuk membersihkan krisis-krisisnya. Ruang awam yang autentik inilah yang harus diselamatkan, dimerdekakan, serta dibangunkan. Ini dilakukan bukan dengan pasaran “dari atas”, sebaleknya dari pasaran “dari bawah”.

Makanya, masharakat warga (civil society) mestilah diperkasakan sesungguhnya. Ini kerana, masharakat warga dapat berfungsi untuk mengawasi segala percubaan yang mahu mencekik kepentingan khalayak tersebut. Jadi, dengan memilih idea pemerintahan terbatas, seperti yang dikemukakan kalangan Libertarianisme tersebut, itu sama sekali tidak membantu kepada memberdayakan ruang awam tersebut. Malah, lebih berpotensi untuk memusnahkan lagi ruang awam, yang sepatutnya ruang ini menjadi harapan dalam menangani krisis-krisis dari konsep negara-moden.

Di samping itu, saya juga ingin menambah, bahawa idea pemerintahan terbatas ini juga tidak lebih dari cara berfikir mereka yang malas. Saya kata demikian, kerana kalangan Libetarianisme berkira-kira bahawa idea pemerintahan terbatas ini mampu menyelesaikan segala masalah dalam masharakat dan sistem kita. Pada saya, langkah berfikir seperti ini adalah tidak bertanggungjawab, berlepas tangan, dan petanda kepada kegagalan berfikir sempurna. Kenapa? Kerana, sebetulnya banyak unsur-unsur dalam masharakat yang boleh kita majukan lagi bagi membantu memperkuatkan sistem (politik) kita.

Mithalnya, antara yang boleh membantu memperkuatkan sistem adalah agama. Tapi, apa sikap Libertarianisme terhadap agama? Mereka, jelas sekular yang eksesif, yang dalam erti mahu memisahkan terus wilayah agama dengan wilayah sistem. Kononnya, agama sama sekali tidak boleh campurtangan dalam sistem. Pada saya, pandangan ini sudah sangat klasik, dan sangatlah bermasalah. Banyak penyelidikan psikologi, sosiologi, falsafah, dll yang telah menunjukkan betapa selama mana pun agama diasingkan dari sistem, itu tidaklah dapat mengelak dari berlakunya patologi modeniti. Bahkan, lewat idea pasca-sekular, dapat ditemukan pula betapa, agama rupa-rupanya sangat berperanan ke arah memperkuatkan sistem.

Jadi, sebenarnya jalinan antara masharakat-sistem ini memberi membawa makna yang besar kepada kita. Itu memberi makna, setidaknya pemisahan terus antara masharakat dan sistem bukanlah sebuah idea yang bagus. Lantaran itu, idea untuk menyambungkan kembali dinamika masharakat dengan kestabilan sistem itu yang sewajarnya lebih disoroti. Sebab itu, saya melihat kalangan Libertarianisme adalah sekelompok mereka yang pemalas. Mereka bukan saja malas untuk melakukan tugas bagi menyambungkan kembali antara masharakat dan sistem, bahkan mereka malas untuk memikirkan kemungkinan bagi menghasilkan sebuah sistem yang mengorganisasikan-dirinya-sendiri.

Lantas, dengan kegagalan mereka untuk menyambungkan antara masharakat dengan sistem ini, maka mereka telah mengambil jalan pintas: yakni, putuskan saja sambungan antara masharakat dan sistem; lalu, jalankan saja pemerintahan terbatas; maka, dengan itu, mereka berilusi bahawa idea pemerintahan terbatas akan dapat menjadi penawar terhadap segala kemelut politik (dan sosial) yang sedang negara kita alami dewasa ini. Buat saya, inilah utopia-nya Libertarianisme.

Seraya mengenang kedangkalan ini, marilah kita ingat sejenak; ketika mana kalangan Libertarianisme menyerang Sosialisme –yang memperjuangkan salah satu makna kebebasan dalam erti kesetaraan– sebagai sebuah utopia, tapi ternyata dalam waktu yang sama kalangan Libertarianisme-lah yang sebenarnya berutopia. Mereka berutopia bahawa lewat idea pemerintahan terbatas, maka negara akan makmur; dan segala masalah berupaya diselesaikan. Inilah yang menjadi mazmur mereka.

Padahal, menerusi utopia sebegini, maka pada saya lengkaplah hidup sekelompok mereka yang pemalas. Bukan saja kalangan Libertarianisme malas untuk berfikir lebih seni, bahkan gigih pula mereka mengajak masharakat untuk sama-sama menjadi pemalas. Dan, memang, kalau sudah malas sifatnya, justeru “lampu ajaib” atau “tongkat sakti” manapun takkan dapat membantu lagi. Hanya saja titah yang “turun dari langit” jadi jalan-pintas untuk menutup kemalasan mereka.

Aqil Fithri dapat dihubungi lewat aqilfithri@gmail.com.

Amerika Syarikat Aqil Fithri Ekonomi Hannah Arendt IDEAS Ideologi Kapitalisme Libertarianisme Malaysia Maoisme Max Horkheimer Medecci Lineil politik Sosialisme

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Jika voluntaryisme dalam libertarianisme itu satu sifat kemalasan, penidakan voluntaryisme itu mungkin satu tidakan memaksa. Sosialisme dan komunisme juga sampai satu tahap menjadi satu pemerintahan diktator, sejarah telah membuktikannya. Perjuangan kelas dalam libertarianisme juga lebik realistik dari sosialisme, tidak perlu mengubah sifat semulajadi manusia dan masyarakat.

    minta pencerahan.