Christopher Hitchens (1949-2011)

oleh
29 Disember, 2011 | kategori Esei | komen [0] | Cetak | kongsi  

Christopher Hitchens (1949-2011) di rumahnya.

Beberapa tahun kebelakang, saya terserempak dengan satu nama, yang pada setiap tulisannya, membawa pelbagai nada provokatif terhadap apa saja perkara yang disentuh dan diulas. Tetapi  anehnya, tulisan-tulisan itu cukup enak untuk dinikmati. Saya mula mengenali nama berkenaan dari lembaran muka surat majalah Vanity Fair – selalunya dari edisi yang luput tarikh – majalah yang menjadi tempat di mana kebanyakan tulisan mutakhirnya diterbitkan, Christopher Hitchens menjelma menjadi satu sosok penulis yang menarik untuk didekati. Suaranya kedengaran pelik. Mencemuh Tuhan dengan garang. Terjun di dalam pusar enigma yang larut dan tetap mahu cuba berenang dengan menyuarakan segala macam pertentangan dengan pelbagai pihak – dan selalu dipanggil orang sebagai kontrarian; termasuk terhadap dirinya dan fahamnya di dalam fasa hidup yang dulu.

Saya tak tertarik sebetulnya dengan perlawanan dia menentang Tuhan, tetapi di dalam waktu-waktu senggang yang ada, saya membaca debat-debat dan jawapan balas dia kepada setiap musuh-musuhnya – dengan penuh disiplin. Antaranya Terry Eagleton, akademia Marxist di Britain yang di tahun-tahun awal penglibatannya dalam dunia aktivisme sosialis pernah berganding bersama-sama Hitchens sendiri, menempelak dia sebagai pelopor kelompok ‘neo-ateisme’ yang terkeluar dari orbit perdebatan ateisme yang pernah muncul dulu, yang dihuni Eagleton sendiri. Tetapi Hitchens tidak apologetik, siap membangun jawapan balas dengan matlamat untuk menjelaskan dirinya, untuk menunjukkan bahawa pandangan-pandangannya adalah batu konkrit yang tak mungkin mudah dirobek. Ini polemik yang ditiup Hitchens melalui bukunya, God Is Not Great, yang antara lain mengundang seteru dari sektrian ateisme yang sama, selain menyemarakkan ketidak senangan penganut Kristian seluruh dunia.

Ketika Tony Blair memilih untuk beralih kepada menganut mazhab Katolik (sedang, dalam masa beberapa tempoh itu, isterinya Cherie Blair di dakwa sudah menganut Islam selepas lawatan sebagai jurnalis ke sebuah masjid di Iran), Hitchens mempelawa bekas Perdana Menteri Britain itu untuk berdebat tentang iman. Agak aneh dan mengejutkan, Blair menerima undangan itu, yang berlangsung di Toronto, Kanada; debat umum yang pertama disambut Blair selepas dia meninggalkan tampuk pemerintahan Britain. Dan, Hitchens ke Kanada dengan keyakinan yang jitu, walaupun dalam tempoh genting melawan kanser esophageal yang baru dihidap dan rawatan kemoterapi yang sudah mula memakan sel-sel sihat yang berbaki dalam tubuh. Tak lama selepas itu, beberapa bulan berlalu, Hitchens diumumkan mati – antara lain, disebabkan pneumonia.

Saya tidak berminat dengan iman Hitchens. Tetapi, saya tidak dapat menolak keterujaan saya untuk mendalami bagaimana dia dengan kesungguhan yang tidak terpecah-pecah, memilih untuk menulis dengan kerap dan sengaja memilih untuk menjadi jurnalis, kerana seperti diucapkan Hitchens sendiri pada 2010; “Saya menjadi jurnalis sebahagiannya adalah supaya saya tidak perlu bergantung kepada akhbar untuk mendapat maklumat.”

Hitchens membaca dan menulis tentang masyarakat Barat, yang kalau dilihat tercermin dari esei-eseinya, seperti sedang berada di dalam malapetaka. Dan dia juga membaca dengan dahaga, terutama kerja-kerja penulisan yang menjambatani idea-idea dan kesedaran dalam diri sendiri, antara lain dari orang-orang seperti George Orwell dan Thomas Paine. Dia membaca banyak buku-buku apa saja, paling saya tertarik tentunya dari penulis-penulis elit sastera Amerika, dan kerap menulis ulasan-ulasan yang keras di The New York Times Book Review, misalnya terhadap novel-novel John Updike, Gore Vidal, mengulas juga tentang tokoh-tokoh persuratan Inggeris-Amerika yang lain seperti Mark Twain, Saul Bellow dan Vladimir Nabokov, sekadar beberapa nama.

Hitch-22, buku memoir yang disiapkan singkat sebelum dia didiagnosis menghidapi kanser, adalah cermin yang besar dan menarik untuk mengenali sosok ini. Dan, di dalamnya dia sempat mengingati Malaysia dan umat Melayu. Daripada bapanya, seorang petugas tentera naval British, dia tertanya-tanya bagaimana keadaan sebuah negeri jauh yang disebutnya “British-run Malaya” dan dia tertanya-tanya bagaimana agaknya rupa wajah orang Melayu. Dan dia tidak membiarkan impian itu kosong. Hitchens bertandang juga ke Malaysia akhirnya, dalam periode kerancakannya mengembara dan menulis untuk penerbitan-penerbitan Amerika khususnya, negeri baru yang dipeluknya selepas berhijrah dari Britain pada 1980an. Potret Hithcens disebelah seorang wanita Melayu, yang bertulis “With an extremely moderate Muslim in Malaysia” membuatkan saya ingin membaca lagi tulisan-tulisannya yang tertinggal kini, walaupun Hitchens sudah mati pada 15 Disember 2011.

 

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.

 


Tags: Cherie Blair, Christopher Hitchens, George Orwell, Gore Vidal, John Updike, Mark Twain, Saul Bellow, Terry Eagleton, Thomas Paine, Tony Blair, Vladimir Nabokov
 

 

Tinggalkan Komen