Pelakon Teater Juta-juta, dari kiri: Fazleena Hishasmuddin, Anas Ridzuan dan Aloy Paradoks. © hilalazmi.com

Sekumpulan anak muda graduan dan penggiat seni sedang merancang untuk mengadakan persembahan di Keraton Seni, sebuah panggung terulung yang menjadi idaman semua penggiat teater. Namun usaha itu tidak semudah yang disangka hingga akhirnya mereka bertelagah sesama sendiri.

Banyak perkara yang berlaku semasa zaman belajar dahulu terimbau kembali dan membangkitkan suka-duka mereka. Pengarah sebolehnya tetap mahu tegak dengan pendiriannya. Produser cuba untuk menjadikan persembahan itu lebih bersifat komersial untuk berdaya saing dan lain pula yang sedang difikirkan oleh sinografer. Sementara itu Hang Lekiu, Lekir dan Kasturi pula enak memancing ikan di kolam larangan istana semasa pertarungan Tuah dan Jebat.

Plot teater Juta-juta merupakan satu garis lurus (linear) yang sengaja dibikin berbukit-bukau. Ia tidak mengelirukan, malah menghiburkan dan membuat penonton berfikir. Watak produser, lakonan Fazleena Hishamuddin mengambil sedikit sikap stereotaip pembikin teater masa kini yang lebih mengutamakan keuntungan ringgit berbanding pengkaryaan idea kreatif dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Watak pengarah, lakonan Aloy Paradoks mewakili suara lantang yang sudah jemu melihat kesamaan dan mahukan perubahan. Manakala watak sinografer lakonan Anas Ridzuan merupakan watak putih yang lebih suka mengambil jalan tengah.

Menggunakan teknik cerita dalam cerita, plot utamanya berkisar sesi pembentangan oleh produser, pengarah dan sinografer di Keraton. Kemudian, cerita diselang-selikan dengan mini subplot sedutan babak beberapa genre teater yang sudah klise dipentaskan oleh pengarah teater tempatan. Subplot turut melibatkan proses perbincangan antara tiga watak tentang projek yang ingin mereka pentaskan, imbas semula kenangan mereka sewaktu belajar serta pertelagahan idea.

Teknik penceritaan ini dilihat amat menarik. Walaupun bermain dengan plot, penonton dapat menyaksikan kepelbagaian dalam satu tontonan, misalnya apa itu teater bergenre eksperimental, queer, komedi dan tidak lupa, muzikal.

Teater Juta-juta jujur meluahkan keinginan generasi muda yang mahu melihat transformasi dari aspek mentaliti, stereotaip sikap golongan atasan dan pertengahan serta permasalahan dalam institusi, tidak terkecuali sistem pentadbiran. Pembaharuan yang cuba dibawa sering mendapat kekangan pelbagai pihak.  Itu yang cuba disuarakan menerusi hasil karya pengarah muda, saudara Fasyali Fadzly ini.

Teori Minimalis 101

“Forget expensive sets and lavish costumes. The only thing a theatre needs is a little ingenuity.”– Stephen Bottoms

Teater minimalis bukanlah satu pergerakan seni bawah tanah. Ia memperihalkan estetika sebuah karya. Minimalisme mula wujud penghujung tahun 1960-an dan awal 1970-an, banyak dipraktiskan dalam karya seni visual di Amerika sebelum menular dalam muzik dan seni lain. Melalui konsep ini, Teater Juta-Juta menampilkan hanya tiga orang pelakon, penggunaan set dan props paling ringkas iaitu sebuah meja, tiga buah kerusi, beberapa papan latar mudah alih serta kostum yang serba sederhana.

Ia mungkin terlihat sebagai sebuah teater miskin, namun inilah minimalis, merayakan prinsip ‘less is more’ dengan persediaan material sehabis fundamental untuk tujuan dan kesan persembahan dalam skala besar. Ia kaya dengan idea-idea matang. Pelakon berfungsi untuk semua – bertukar watak sambil menukar kostum bagi babak berbeza, mengubah posisi props dan menukar latar cerita. Transisi babak berlaku tanpa sedar.

Teater Juta-juta amat santai, komikal, sarkastik dan tidak terikat dengan hukum/teori persembahan yang mengada-ngada. Seperti yang pernah disebut oleh Bertolt Brecht, “From the start it has been the theatre’s business to entertain people. It needs no other passport than fun.” Teater ini telah melaksanakan tanggungjawab hakikinya iaitu menghiburkan khalayak. Kreativiti pengarah telah menjentik kotak fikiran penonton dan mengubah pendapat sejarah yang selama ini dibukukan dan disumbat menjadi satu kepercayaan. Kisah Hang Kasturi, Lekir dan Lekiu merupakan satira yang padat dengan konotasi makna, mengkritik pihak tertentu.

Salah satu babak menunjukkan Hang Kasturi, Lekir dan Lekiu sedang bertelagah tentang perihal di istana. Sebahagian dialog:

Lekiu: Sultan Melaka menghidap penyakit angin pasang. Tiada angin dalam istana dan sentiasa panas keadaannya. Maka Tuah dipanggil kerana dia manusia perkasa seluruh Melaka.
Lekir: Tapi mengapa Tuah yang dipanggil olehnya?
Kasturi: Tidakkah adinda terfikir dengan kepantasannya itu, dia dapat mengipas Raja menggunakan
tangannya sahaja! Menyebabkan seluruh istana berhawa dingin!
Lekir: Maka dipecatnya dayang yang selalu mengipas di singgahsana?
Kasturi: Benar, adinda.
Lekir: Barulah adinda mengerti. Ternyata Tuah bukanlah seorang yang adinda kagumi lagi!

Petikan di atas adalah antara contoh babak dengan dialog penuh tersirat, mempersoalkan institusi kepimpinan (mungkin juga korupsi).

Dalam babak akhir pula, watak sinografer menerangkan idea pementasan mereka dengan kelengkapan besar lagi hebat melibatkan kos ratusan ribu. Ini secara sinis mengkritik penggiat-penggiat seni teater, khasnya teater muzikal yang sering membanjiri ‘Keraton Seni’ dan menelan kos jutaan ringgit, sedangkan isinya tiada.

Teater Juta-juta memberikan satu tamparan sekaligus membuka mata umum, bahawa dunia teater memerlukan pembaharuan. Sudah tiba masanya masyarakat disajikan dengan karya seni yang lebih baik isi dan penyampaiannya. Teater ini memenuhi keperluan tersebut. Ini bukan teater avant garde, namun seperti ditegaskan pada akhir cerita, ia berjuta-juta kali lebih baik dari apa yang dipentaskan di Keraton.

Salah satu babak dalam teater tersebut. © hilalazmi.com

Ruang Penambahbaikan

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian. Pertama, persembahan yang lebih kemas. Walaupun mengaplikasi gaya Brechtian, peralihan props dan penukaran kostum harus dirancang dengan lebih teliti agar tidak menjejas pandangan penonton.

Kedua, pengulangan kata dalam dialog oleh pelakon. Ia paling jelas kedengaran dalam dialog watak sinografer. Perkataan ‘dan’, ‘jadi’ serta ‘selain itu’ diulang berkali-kali dalam ayat yang sama, menjadikan dialog kelihatan lemah dan hambar. Mungkin ia tidak disengajakan pelakon, namun jika dibiarkan, ia boleh mengganggu penyampaian makna, malah menggugat pace cerita.

Ketiga, penggunaan ruang yang lebih efisyen. Kedudukan pelakon tidak harus terlalu dekat dengan penonton kerana ia menghapuskan garis pemisah antara ruang sedar dan dunia penceritaan.

Dengan kekuatan pengaruh seni, teater mampu menggoncang kebobrokan sistem, lalu membuka mata umum agar dapat melihat lebih luas sudut-sudut kemanusiaan mereka. Percayalah, anda tidak mahu terus menjadi zombi yang mengharapkan antidot dari sistem berbentuk subsidi.

Memetik kata-kata Carl Jung, “From the viewpoint of analytic psychology, the theatre, aside from any aesthetic value, may be considered as an institution for the treatment of the mass complex.” Teater sebagai salah satu cabang seni dilihat mampu ‘merawat’ minda masyarakat yang terbelenggu dan menyebabkan  wujudnya mentaliti ‘miskin’ yang diwarisi zaman-berzaman. Mungkin sudah tiba masanya kita memecahkan kepompong ‘kemiskinan’ itu.

Noor Zahara Suryani Abdul Razak, pelajar, pemerhati, pengulas, penulis. Alumnus Akademi Pak Sako.