Beberapa minggu yang lalu, saya bertemu dengan Salem, adik kepada penjual  buah Tunisia yang telah membakar dirinya. Peristiwa itu mencetuskan kebangkitan Arab. Apabila saya bertanya kepadanya apakah yang abangnya di syurga akan berkata jika kita bertanya apa harapannya dengan pengorbanan yang telah dilakukan itu terhadap Dunia Arab, Salem tanpa teragak-agak menjawab: “Bahawa orang-orang miskin juga mempunyai hak untuk membeli dan menjual.”Kata-kata itu patut dikenang tatkala para pakar sedang sibuk berdebat tentang cabaran masa depan revolusi Arab dalam soal bagaimana negara mengimbangi ikhtiar untuk demokrasi, kesetiaan kepada Islam, dengan sekularisme dan tribalisme.Ekoran tumbangnya  tiga autokrat, tidak cukup kredit telah diberikan kepada konsensus yang besar yang mencetuskan kebangkitan ini–keinginan rakyat bawahan yang besar untuk bekerja dalam ekonomi pasaran yang sah. Di Timur Tengah dan Afrika Utara yang mempunyai pelbagai kebudayaan, persamaan yang dikongsi bersama ialah ekonomi tidak rasmi. Ini adalah kunci kepada pertumbuhan masa depan dan sudah tentu juga kestabilan.

Peralihan besar ini bermula selepas seorang pemuda berusia 26 tahun Tarek Mohamed Bouazizi, membakar dirinya di hadapan pejabat gabenor di bandar Sidi Bouzid pada Disember lalu, selepas barangan jualan beliau dirampas.

Sehari selepas beliau menyalakan api pada tubuhnya, beribu-ribu orang di bandar dan kampung-kampung bersebalahan telah turun ke jalanan. Beberapa minggu kemudian, ramai di kalangan rakyat Arab yang berjumlah 180 juta yang bekerja di dalam dan sekitar pasaran tidak rasmi di Timur Tengah dan Afrika Utara yang begitu kenal dengan ketidakdayaan beliau, turun dan meneriakkan suara mereka ke langit.

Berjuta yang berarak dengan keinginan untuk pembaharuan. Menurut penyelidikan oleh rakan-rakan saya, sekurang-kurangnya 35 orang peniaga lain mengikut perbuatan terdesak itu dan membakar diri mereka (13 orang lagi di Tunisia, 17 orang di Algeria, empat di Mesir, tiga di Maghribi dan sebagainya).

Mereka kenal dan turut merasai situasi deritanya: seperti 50 peratus daripada rakyat Arab lain yang berkerja, beliau adalah seorang usahawan. Walaupun tidak sepenuhnya sah secara undang-undang, beliau mati ketika cuba untuk mempertahankan hak miliknya dan menjalankan perniagaan tanpa diganggu oleh pihak berkuasa yang makan suap.

Jika pemimpin-pemimpin baru di rantau ini mahu membuat perubahan, mereka perlu menghargai kelas bawahan yang merupakan calon untuk menjadi kapitalis itu. Ia adalah pergerakan supranasional yang menjangkau pelusuk dunia Arab, dengan bahasa, persekitaran politik dan budaya yang berbeza. Ini akan menjadi daya penggerak dalam bulan-bulan yang akan datang.

Jika Marx ada mengajar kita apa-apa, ia adalah bahawa yang lemah boleh bertukar menjadi kelas revolusioner apabila mereka sedar bahawa mereka berkongsi penderitaan yang sama–dan terutama sekali apabila seorang syahid yang mewakili penderitaan itu. Tidak syak lagi bahawa berjuta-juta orang Arab melihat Bouazizi sebagai ikon mereka. “Kami semua Mohamed Bouazizi,” Mehdi Belli, seorang graduan IT universiti yang bekerja sebagai peniaga di pasar L’Ariana di Tunis, memberitahu saya.

Untuk memahami hal ini perlu untuk kita menghargai perkara yang lebih terperinci: Bouazizi menyalakan api pada tubuhnya pada 11:30 pagi, satu jam selepas seorang polis, dibantu oleh dua pegawai perbandaran, telah merampas dua kotak buah pear beliau ($ 15), satu kotak pisang ($ 9), tiga kotak epal ($ 22) dan penimbang elektronik ($ 179, terpakai). Walau jumlah $ 225 tidak mungkin untuk mewajarkan perbuatan bunuh diri itu, namun hakikatnya, sebagai seorang peniaga Bouazizi serta merta kehilangan semuanya.

Tanpa barang-barangnya, Bouazizi tidak akan dapat memberi makan kepada keluarganya hingga bulan depan. Oleh kerana barangannya telah dibeli secara kredit dan dia tidak dapat menjual untuk membayar pemiutangnya, beliau kini muflis. Kerana alat kerjanya telah dirampas, dia telah kehilangan modal. Sudah menjadi kebiasaan untuk beliau membayar pihak berkuasa tiga dinar setiap hari bagi meletakkan kereta sorongnya di  ruang awam seluas dua ela persegi. Tetapi apabila tidak dibenarkan lagi, dia kehilangan akses tidak formal kepada pasaran. Tanpa barang niaga dan transaksi jual-beli, reputasi beliau sebagai pengurus barang niaga kini menjadi lemah di dalam satu-satunya pasaran yang beliau tahu.

Beliau tidak bergaji. Beliau adalah seorang usahawan yang baru tumbuh. Menurut ibu dan adik perempuannya, matlamatnya adalah untuk mengumpulkan modal untuk mengembangkan perniagaan. Tetapi ini adalah suatu yang mustahil apabila apa yang kami dapati setelah mengkaji rekod-rekod dan undang-undang yang harus dipatuhi beliau.

Untuk mendapatkan pinjaman untuk membeli trak yang diperlukan, beliau perlu mempunyai beberapa jenis cagaran di sisi undang-undang yang diiktiraf. Satu-satunya cagaran yang sah di sisi undang-undang yang dipunyainya adalah sebuah rumah keluarga di Sidi Bouzid. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah mendaftar ikatan hak milik terhadap rumah itu. Satu hal yang perlu dilakukan jika ingin menggunakan rumah sebagai jaminan. Untuk mendaftar rumahnya itu dia perlu mengambil masa selama 499 hari disebabkan oleh pita merah birokrasi dengan kos $ 2.976.

Untuk mewujudkan perusahaan yang sah di sisi undang-undang, beliau perlu menubuhkan sebuah pemilikan tunggal yang kecil. Ini menyebabkan beliau harus mengambil 55 langkah pentadbiran dalam tempoh 142 hari dan membelanjakan kira-kira $ 3,233 (sama dengan 12 kali pendapatan bulanan bersih Bouazizi, tidak termasuk kos penyelenggaraan dan kos keluar). Jika pun beliau mempunyai wang dan masa untuk mewujudkan sebuah syarikat perniagaan milik tunggal, undang-undang tidak membolehkan beliau untuk mengumpulkan sumber dengan membawa rakan-rakan kongsi baru. Beliau juga tidak dapat menghadkan liabiliti untuk melindungi aset keluarganya dan juga untuk menerbitkan saham bagi mendapatkan pelaburan baru.

Kuasa-kuasa pasaran telah datang ke dunia Arab–walaupun para pemerintahnya tidak menjemput. Pemimpin-pemimpin politik perlu sedar bahawa, sejak Bouazizi membakar diri dan rakan-rakannya tekah bangkit untuk protes, rakyat Arab yang miskin tidak lagi berada di luar tetapi di dalam pasaran, betul-betul di sebelah para politikus itu.

Konsensus Arab di masa hadapan sudah pasti lebih daripada sekadar membebaskan semangat keusahawanan masyarakat miskin. Tetapi pemimpin-pemimpin di Timur Tengah dan Afrika tidak seharusnya lupa dengan apa yang berlaku semasa revolusi perindustrian. Jika tidak ada di dalam agenda mereka soal menangani kelemahan institusi yang membuat kebanyakan orang-orang Arab miskin, mereka akhirnya akan membuka pintu kepada anti-demokrat dan musuh-musuh modeniti yang kononnya menjadikan demokrasi dan modeniti sebagai agenda perjuangan mereka.

 

Hernando de Soto, pengarang buku “The Mystery of Capital” dan “The Other Path”.

 

Tulisan ini diterjemahkan daripada tulisan yang bertajuk The free market secret of the Arab revolutions.