Seorang anak kecil di Benut—bukan Berut!—dekat Batu Pahat, ke sekolah dengan basikal… apakah untung-nasibnya kelak? Seorang lagi sebayanya di Hartamas, Kuala Lumpur ke sekolah bekereta siap pemandu. Sebelum ke sekolah, seorang bersarapan ubi rebus cecah kelapa parut dan teh O; seorang itu dengan roti berkeju dan susu cokelat panas.

Kedua-duanya tidak punya apa-apa salah, tak ada dosa.

Tiga bab terakhir dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun, Dr Syed Hussein Alatas khusus merumus punca-punca dan gejala mundur kelas atasan di dalam masyarakat membangun. Kelas ini dinamai sebagai “elit penguasa”. Terdirilah kaum elit penguasa itu berlegar-legar di dalam lima jurusan: politik, industri, kewangan, ekonomi dan birokrasi.

Di permulaan bab ke-6, penulis dan sang pemikir pun melancarkan kritik bilamana kaum elit di beberapa negara—dicontohkan dengan Indonesia dan India—sering menuding jari dan menyalahkan [mantan] penjajah sebagai penyebab kemiskinan atau tidak seimbangnya jurang kaya-miskin. Dari satu sudut pandang, kaya-miskin juga sering difahami sebagai jurang perbezaan antara bandar dengan luar bandar.

Kenyataannya, kaum elit yang mewarisi pemerintahan dan kuasa politik, khususnya yang menata kemerdekaan dari dulang emas penjajah—sepertimana para priyayi Umno yang dianugerah kuasa politik oleh British—tidak pula mewujudkan suasana cukup baik selepas merdeka. Perselingkuhan atau “hubungan gelap” elit tempatan-dengan-penjajah bukan sahaja berlaku di Malaysia [walau selepas Merdeka], tetapi juga di Indonesia. Malah, sekedar kajian awal di India, sebagai contoh, keadaan memburuk untuk paling kurang dua-tiga dasawarsa selepas India merdeka berbanding di era penjajahan sekalipun.

Hujah Karl Marx dijadikan asas perbincangan apabila Marx dikatakan melihat pergantungan desa yang mundur ke kota yang maju, adalah tembok penghalang kemajuan keseluruhan sesebuah negara-bangsa. Dengan memakai hujah seorang cendiakawan Sri Lanka, Ralph Pieris yang mengangkat Jepun sebagai model, hujah Marx sama-sama mula dicabar:

“Sebaliknya Jepun mempunyai sumber alam yang paling miskin dan kurang mempunyai pelaburan dan hubungan dengan Barat. Namun ia berikhtiar sendiri untuk mengangkat dirinya dengan berdiri di atas kakinya sendiri…”

Munculnya Jepun selepas Perang Dunia ke-2 segera menyamai tingkat kemajuan Jerman [Barat]—sebuah bangsa yang terus mengekalkan nilai tradisional dan disertai usaha gigih melenyapkan kebebalan kaum elitnya. Hanya dengan cara itu, cita-cita pemikir bangsa di era Meiji menjelang Retosrasi tahun 1868 untuk melahirkan “manusia Jepun baru”, dapat tercapai. Gagasan “manusia Jepun baru” itu pun dimulakan oleh golongan Samurai yang pandai baca-tulis dan bermotivasi intelektual… saya tambah, juga falsafah.

Kembali dengan contoh di India, sempadan pemisah kota dengan desa, kaya dengan miskin bukan hanya disebabkan pemisahan wilayah, tetapi lebih utama ialah bencana daripada faham “kasta”. Dari situlah bersemayamnya pembodohan dan bebalisme keseluruhan bangsa. Kasta tidak hanya wujud dalam pengertian dan kepercayaan agama. Kasta tidak cuma wujud secara alami atau fitrah kejadian manusia. Kasta juga wujud dengan konspirasi senyap dan pemaksaan politik kekuasaan kaum elit.

Di Indonesia, penulis Prameodaya Ananta Teor menyebutkan akan hal itu sebagai “budaya panutan”, yang merujuk kepada pemujukan atau juga pemaksaan apa sahaja yang dikehendaki difahami rakyat oleh kelas bangsawan. Benar tidaknya sesuatu yang dikemukan itu, seakan-akan tak bisa dipertikai; dan di dada serta di dahi para elit itu pun diberikan pelbagai gelar bagi menunjukkan kebesaran dan kewibawaan mereka.

Budaya itu dimulakan oleh anak-anak kelas elit yang mendapat pendidikan di Belanda sejak sebelum merdeka. Kasta ala baru—selepas leburnya kerajaan Mahapahit di awal abad ke-16 dan melemahnya ajaran Hindu—seberangkat sebelum tercetusnya semangat kemerdekaan lagi.

Ada pun tujuan kasta yang tidak alamiah itu adalah untuk selamanya memberi untung kepada kelas atas dan yang teratas: priyai: bangsawan: elit, atau apa jugalah namanya dipanggil. Tidak kepada rakyat terbanyak—sementara rakyat terbanyak dilihat hanya sebagai keping-kepingan kertas undi kepada kuasa “politik vertikal”, selain sebagai sumber buruh.

Indonesia merdeka tiga tahun selepas Hiroshima dan Nagasaki diletupkan dengan atom, dan, seandainya diambil tempoh itu, secara logiknya tentulah hari ini kemajuan Indonesia setingkat Jepun. Malangnya tidak. Malaysia pula, sembilan tahun selepas kemerdekaan Indonesia; juga jauh jika hendak dibandingkan dengan Jepun malah semakin tercecer meski dengan Singapura yang merdeka lebih lewat ketimbang Tanah Melayu.

Wujudnya “konspirasi senyap” kekelasan (kasta) itu tadi, dapat tergambar dalam kisah si kecil di Hartamas, yang mungkin sahaja bersekolah di sekolah antarabangsa; yang barangkali bapanya seorang petinggi kantor pemerintah. Si anak memang bertutur bahasa Inggeris sejak kali pertama dia bangun untuk ke tandas di hadapan cikgunya di dalam kelas. Dia hanya meneruskan sesuatu dari keluarganya. Si anak awalnya, bukan pendosa.

Saya membayangkan, bapa kepada anak kecil itu adalah daripada generasi kedua yang datang ke ibu kota. Ibunya katakan memang orang Petaling Jaya, dan bapanya berasal dari Benut—bukan Berut! Datuk-nenek sebelah ibunya yang pertama datang ke Kuala Lumpur berbanding keluarga sebelah bapa. Pencapaian akademik yang disusuli peluang kerja di pejabat pemerintah menjadi latar pencapaian keluarga ibu-bapanya, sepertimana adanya dia sekarang.

Namun, sepertimana adanya dia sekarang tak terlepas daripada persoalan “Kaum Elit Yang Mundur dan Pemodenan” yang menjadi tumpuan perbincangan bab ke-9, buku Syed Hussein yang sekaligus menjadi permulaan tulisan ini tadi. Kaum elit langsung tidak memberi tauladan kepada kelas-kelas di bawah mereka.

Syed Hussein mengisahkan dengan mengambil pandangan seorang orang India, A. Rahman dari Dewan Penelitian Ilmiah dan Industri New Delhi, yang antara lain menyebutkan satu mata rantai besi pengikat negeri India untuk mara dan maju segagah Jepun ialah “sejumlah akibat yang timbul dari penguasaan bahasa asing, bahasa Inggeris, sebagai alat komunikasi ilmiah.”

Dilewati lagi bahawa ilmu pengetahuan moden yang datang ke India dari sumber luar tidak bersambung dengan tradisi India. Daripada kenyataan itu, Syed Hussein seakan-akan membubuhkan kesimpulan bahawa “kejayaan pemodenan di Jepun dan Rusia: ilmu pengetahuan dikomunikasikan dalam bahasa mereka sendiri”.

Bahasa ibunda mana pun akan berhadapan masalah besar apabila ia bertujuan kepada benda yang karut-marut, hal-hal takhyul dan tidak ilmiah. Seawal persediaan kemerdekaan, kedua pihak sama ada politik aliran kiri atau kanan, sama ada yang rapat dengan Inggeris atau yang berenggang, telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kerakyatan untuk negara yang bakal merdeka. Pengunaan bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kebangsaan ke-2 hanya diperlukan sekira-kira 10 tahun selepas merdeka bagi sebelumnya membiasakan diri segelintir warganegara yang belum terbiasa dengan bahasa Melayu.

Dalam satu memorandum (dipetik daripada buku “Memoranda” terbitan Oxford University Press, 1962) bertarikh 15 Disember 1953 yang diserahkan kepada Jawatankuasa Reid sebagai wakil Ratu England, Angkatan Sasterawan ’50 menyebutkan:

“Bahasa perantaraan di antara berbagai-bagai kaum di negeri ini yang berjumlah golongan yang terbesar ialah Bahasa Melayu.”

Kenyataan Angkatan ’50 bukan dek sentimen atau disebut sebagai “national chauvinism”. Ada keperluan keadilan sosial dan ekonomi bilamana lebih 90 peratus penduduk Tanah Melayu bertutur di dalam bahasa Melayu, maka difikirkan nasib dan peluang persaingan rakyat terbanyak selepas merdeka. Andai bahasa asing yang digunakan kurang 10 peratus di kalangan elit menjadi bahasa kebangsaan; tentulah terus-terusan kaum elit akan menguasai pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan politik.Rupa-rupanya, masalah bahasa komunikasi yang juga bahasa ilmiah itu hampir sama sekali tidak wujud di Jepun, di Rusia, Turki, Jerman, di China dan mana-mana sahaja negeri yang tak pernah terjajah; termasuk oleh penjajah Barat sama ada Belanda, Sepanyol mahupun Inggeris. Perselingkuhan haram yang pertama apabila kaum elit di negeri-negeri tanah jajahan berkenaan disiap-sediakan untuk menyambung tugas pentadbiran dan politik di negeri masing-masing. Lalu, status quo pun wujud, dari sana, diam-diam.

Hari ini, lebih setengah abad sosok penjajah sudah tidak ada lagi. Apakah perselingkuhan haram kaum elit di Malaysia juga sudah tamat? Saya fikir, tidak. Saya memikirkan apa ertinya Perdana Menteri, Najib Razak—yang hari ini dilihat sebagai simbol kepada semua kaum elit—membaca terjemahan Quran dari surah al-Zukhruf, ayat ke-32 di dalam perbentangan Belanjawan 2010 dua tahun lalu: tahun pertama Najib menjadi PM dan Menteri Kewangan. Antara potongan ayat itu ialah: “Kami telah menentukan antara mereka segala keperluan hidup di dunia ini dan kami juga telah meninggikan darjat sesetengah mereka melebihi sesetengah yang lain.”

Saya percaya, sejak alat penghawa dingin masuk dan dijual di Malaysia, sejak itu jugalah bilik tidur Najib selamanya dingin. Hanya takkan tergamak untuk sesiapa yang tajam nuraninya untuk membacakan terjemahan ayat Quran seumpama itu tatkala KNDK Malaysia hanya sekitar 4-5 peratus setahun dan ketika hutang negara terus meningkat. Apakah ertinya ayat itu kepada Najib sendiri ketika beliau mengabiskan RM1 juta hanya untuk sebuah lawatan ke luar negeri?

Dan, tidakkah ayat Quran itu juga tak lebih hanya jadi sebahagian dari retorik ucapan politik ketika saban tahun, Laporan Audit Negara terus menunjukkan pemborosan dan jumlah tiris yang besar dan menakutkan sekali. Terbaru, melebih RM1 bilion tiris iaitu hampir menyamai jumlah peruntukan untuk pentadbiran, pertahanan dan keamanan dalam negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-2 (1971-1975), iaitu ketika bapa Najib, [allahyarham] Abdul Razak Hussein menjadi PM.

Seawal-awal Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, kerajaan Perikatan sudah dikritik kerana membina Lapangan Terbang Subang yang menelan belanja RM50 juta: satu jumlah cukup besar ketika itu. Amaran pemborosan dan tiris akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukan baru timbul seperti dalam kes “projek lembu anak menteri”, tetapi juga jangkaan jumlah ringgit yang bocor dan tiris yang memang tak pernah berkurangan tahun demi tahun sejak 1970-an lagi.

Begitu setiap masalah yang menghambat kemajuan tak mungkin terselesai selagi mana wujudnya elit-elit yang poyo, dan sesama mereka terus berselingkuh untuk mendapatkan hasilan kotor demi menjaga status mereka. Majoriti kesetiaan golongan ini nampaknya bukan sangat kepada tanahair, malah tidak juga kepada bidang kerjaya mahupun kepada parti politik yang mereka sertai. Kesetiaan mereka sesama mereka adalah di atas kepentingan yang individualistik sekali.

Bukan salah di anak yang ke sekolah, sama ada di Hartamas mahupun Benut. Hanya enggang sama enggang, mana nak sama anak kedidi… dengan lagu lama itu, saya akhiri tulisan ini dengan kesedaran bahawa peluang kesamarataan adalah bahagian daripada erti bangsa yang merdeka.

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

Hasmi bin Hashim India Indonesia Jepun Jerman Kolum Malaysia politik Pramoedya Ananta Toer Russia Syed Hussein Alatas Tunku Abdul Rahman Turki

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan