Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Suka hati dapat bertemu dan bercakap di hadapan kawan-kawan terhormat: saya berharap di depan inilah antara sosok-sosok yang bakal mengisi ruang politik-kekuasaan apabila matahari terbit esok pagi.

Adapun hari ini hendak ku sebutkan nama Al-Hakam [II] Ibnu Abdul Rahman [III]: Sang Penaung terakhir kepada “Gagasan Pencerahan”.

Al-Hakam—nama yang jarang-jarang, atau hampir tak pernah terdengar daripada ucapan-ucapan politik di Malaysia—adalah lelaki penguasa dan pemimpin tertinggi Kardoba ketika peradaban Andalusia berada pada waktu-waktu puncak.

Oleh dua penulis, Cristina Alvarez Millan dan Claudia Heide, “Pascual de Gayangos: A Nineteenth-Century Spanish Arabist” (terbit di London, 1840) memetik sejarawan Muslim—termasuk Al-Makkati—bahawa Andalusia di bawah kekuasaan Al-Hakam itu merupakan “pasar raya di mana karya kesusasteraan dari pelbagai kawasan dapat langsung dibawa pulang”.

Saudara-saudari anak-anak muda,

Suka dan kasihnya Al-Hakam—atau dikenali juga sebagai Al-Hakim—kepada ilmu pengetahuan tergambar apabila dia-nya mengirim ribuan dinar emas tulin untuk mahu miliki jilid-jilid buku karangan Abu al-Faraj Al-Isfahani (897-967) yang berjudul Anthologi. Karya berkenaan telah dibaca awal-awal lagi di Andalusia berbanding di wilayah-wilayah di mana ia ditulis sekalipun, iaitu, di Baghdad.

Jadi kebiasaan kalangan pegawai pemerintah dan orang yang dekat dengan Al-Hakam akan sifat Sang Pemimpin yang mengarah agen-agennya sama ada yang berada di Kaherah, Baghdad, Damsyik dan Iskandariah untuk mendapatkan buku-buku tanpa mempersoal berapa pun harganya. Dikhabarkan, tak ada satu pun buku daripada beratus ribu judul yang berada di dalam perpustakaan Al-Hakam, tak dibaca oleh Al-Hakam.

Dari sana, ditulisnya nota-nota pada halaman kertas akan nama-nama pengarang, gelaran, nama keluarga penulis-penulis, suku keturunan masing-masing, tahun lahir dan tahun mati; andai sudah mati. Tergambarkah oleh kita betapa besar dan banyaknya himpunan buku Penguasa Kardoba itu kalamana kalau berpindah, diambil masa sehingga setengah tahun untuk memunggah semua buku-buku miliknya.

Ingin saya beritahu di hari ini, 12 November 2011, yang barangkali julung-julung kawan-kawan mendengarnya, iaitu di abad ke-10 di Kardoba sudah mempunyai 50 buah hospital, 800 sekolah, 770 perpustakaan yang diperhitungkan menghimpun 600 ribu jilid buku selain perpustakaan-perpustakaan peribadi yang juga wujud di ceruk rantau mana sekalipun. Kardoba ketika itu mempunyai jumlah penduduk sekitar satu juta orang.

Nah! Ayuh dibandingkan dengan Kuala Lumpur, hari ini, yang dihuni hampir tiga juta warga; jumlah hospital milik pemerintah tidaklah sebanyak yang dibangun dan dimiliki di zaman keemasan Andalusia.

Lorong pejalan kaki dan aspal-aspal sama ada di kota-kota di Eropah; di London mahupun Paris dalam rentang waktu sama; belum kenal lampu-lampu jalan—ketika sesiapa yang keluar rumah di musim hujan di malam hari, kakinya pasti berselut lumpur sampai ke lutut. Di Kardoba, dari rumah ke rumah yang di pinggir jalan, sudah diterangi cahaya lampu jalan. Di sana ada 130 ribu buah rumah; ada 21 buah perkampungan atau permukiman.

Baik yang namanya “hospital”; baik yang dipanggil “lampu jalan”; tak akan wujud begitu-begitu sahaja. Bagi orang yang cetek akal fikiran akan bertanggapan sinis bahawa jumlah hospital yang banyak membayangkan banyaknya pesakit. Maknanya negeri yang banyak hospital adalah negeri yang dihinggapi banyak penyakit.

Tidak! Kemahuan untuk membangun hospital bukan semata-mata kerana ramainya pesakit, tetapi kerana kesedaran daripada kertas-kertas kajian imperikal terhadap realiti fizikal manusia pasti berhadapan dengan wabak dan penyakit. Untuk melawan kenyataan itu dalam usaha memastikan kesihatan rakyat, maka hospital sangat perlu dibangun dan dibiaya oleh pemerintah. Jumlah hospital yang cukup akan menjamin kesihatan rakyat dan negeri yang mahu maju, mahukan semua rakyatnya sihat.

Tidak sepertinya hari ini: jumlah hospital yang banyak mana sekalipun didirikan, taklah begitu bermakna andai ia dimiliki oleh Tuan Pedagang atau syarikat yang akan hanya bersedia mengubati orang-orang yang mampu membayar dengan kadar yang mahal. Si miskin sebagai majoriti dibiarkan terus di dalam kesengsaraan penyakit atau tak sepenuhnya sihat.

Sihat dan berpenyakit juga sebermula daripada kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap tafsir teks agama dan amalan harian. Lihat sahaja di Universiti Oxford, di abad ke-10 dan abad-abad sebelumnya, di mana di sana, mandi pun dikatakan akan mengakibatkan seseorang itu kufur. Faham ini digagas oleh pendita-pendita Kristian Ortodok. Di waktu sama, pemerintah Kardoba telah mendirikan 900 tempat mandi awam. Disediakan secara gratis atau percuma.

Daripada bermunculan hospital swasta yang tak mampu didatangi rakyat terbanyak, kerugian akhir adalah kepada keseluruhan batang tubuh bangsa dan negara. Kemajuan peradaban pasti terencat, terkandas—ya, apakah hal ini diperkirakan oleh pemimpin yang dalam banyak tindakan mereka, nampak sama kemaruk mengejar keuntungan; sama dengan sifat tamak sang peniaga?

Patung Al-Hakam II yang didirikan di Kordoba pada tahun 1976.

Keuntungan wang ringgit dan materi, di mata penguasa, dianggap semakna dengan “kemajuan”. Inilah kerancuan, juling atau kesesatan awal sehingga payah sekali hendak dicari para pemimpin—termasuk di kalangan yang muda-muda—mereka yang faham bahawa keuntungan diri sendiri adalah sesuatu yang berbeza dengan “kemajuan peradaban dan tamadun”. Hal-hal ini seakan dirahsiakan sementara ucapan-ucapan politik tak lebih adalah usaha untuk memukau rakyat demi undi.

Lalu, kuasa telah sepenuh diguna pemimpin politik untuk mendabik dada berkereta besar, beristana dan berkediaman mewah, pakai bergaya, mahal serta berjenama; hidup mereka dalam khayalan gilang-gemilang laksana Hikayat Seribu Satu Malam. Andalusia di tahun 711 jatuh ke tangan Tariq Ibnu Ziyad juga atas sebab Raja Goth terakhir itu, Rodigue adalah seorang yang suka berpoya-poya sehingga dia ditinggalkan oleh rakyatnya.

Kita dapat lihat, diktator-diktator dan pemimpin kuku besi di Timur Tengah yang digulingkan dalam episod “Arab Spring” sepanjang tahun ini menyerupai bukan seperti sifat Tariq, tetapi lebih menyerupai Rodique; sama ada Muammar Ghadafi (di Libya), Zine El Abidine Ben Ali (di Turnisia), Husni Mubarak (di Mesir) dan beberapa pemimpin tertinggi negara masing-masing; mereka itu telah hidup di dalam kemewahan yang tak tergambarkan. Paling tidak mereka miliki mahligai di samping mengenderai kenderaan mewah yang bukan diproduksi di negeri mereka sendiri.

Lagak seumpama itu telah menjadi gambaran tipikal dan biasa kepada penguasa Dunia Ke-3 dan kalangan pimpinan Muslim di Asia. Tidakkah mereka merasa malu dan berasa takut?

 

 ***

 Mahasiswa dan kawan-kawan pemimpin muda,

Di dalam sebuah pidato bertajuk “Megatruh Kambuh”; penyair, teaterista dan penulis Indonesia, W.S. Rendra mencemuh sifat raja-raja Jawa yang tidak memahami apa artinya “daulat rakyat”; tak peduli keadilan dan kebebasan; menganggap yang kuat adalah benar; might is right; titah raja adalah undang-undang; ucapan penguasa menjadi dasar negara sehingga Negara-bererti-Raja: Raja-adalah-Negara. Rakyat seluruhnya adalah “kawula”, atau dalam bahasa yang kita fahami hari ini maknanya “hamba-abdi”.

Dicontohkan dengan Amangkurat I, anaknya Sultan Agung yang memerintah Mataram di Karta Sura dari tahun 1646 sehingga 1677. Adapun dia adalah pemerintah yang kejam, yang memusatkan kuasa kepada dirinya.

Si Anak, barangkali telah belajar daripada si Ayah, lalu Amangkurat I yang sedang sakit di Tegal Arum setelah “lari terbirit-birit” seperti pidato penulisnya disebabkan pemberontakan Trunojoyo, telah dibunuh dengan racun oleh anaknya sendiri, iaitu Amangkurat II. Dan Amangkurat II tak cuma itu, dia juga mengkhianati sahabatnya, Trunojoyo (yang melancarkan pemberontakan ke atas Amangkurat I itu tadi), untuk menyerahkan hutan balak kepada cukong-cukong serta berkemuncak dengan menggadaikan Semarang kepada V.O.C—Persyarikatan Hindia Timur Belanda.

Kritik W.S. Rendra tidak hanya kepada Amangkurat I dan II, sementara Mataram dilihat memang sudah salah bangun sejak awal, iaitu sejak Panembahan Senopati.

Raja-raja, penguasa dan pemerintah yang tidak demokratik selalu menyangka bahawa kestabilan negara adalah apabila wujudnya pemusatan kuasa. Atas sebab itu, Undang-undang Dasar atau Perlembagaan sebagai mekanisma yang menggantikan “titah raja” harus disusuli dengan undang-undang untuk menjamin demokrasi dan kebebasan sebagai jalan untuk mencapai kesejahteraan setiap individu di dalam negara-bangsa moden.

 

 ***

Eropah yang Kristian mengambil masa tak kurang 300 tahun untuk menyadap gagasan-gagasan rasionalis yang melimpah dari kolam falsafah di Kardoba. Dengan perjanjian damai di bawah Al-Hakam bersama kaum Kristian dan Yahudi, pusat-pusat keilmuan termasuk masjid-masjid dipenuhi untuk debat dan perbincangan ilmu.

Segugus nama pun ditelaah, terutama oleh manusia di belahan Eropah-Kristian. Kita wajar kenali, atau mungkin sempat mendengar ilmuan seperti pengarang besar Ibnu Khaldun yang menuliskan karangan bertajuk “Prologomena”, atau dikalangan dunia Islam dikenali sebagai Al-Muqaddimah; juga pengembara yang berkeliling dengan jalan laut sampai ke Timur Eropah, Asia Tengah dan Tenggara, dan China, iaitu Ibnu Battutah (1304-1378); serta Ibnu Tufail sebagai seorang ahli matematik, penyair dan filasuf. Dari Andalusia ramai lagi nama pemikir yang masyhur.

Kawan-kawan, ternyata politik dan kesejahteraannya tidak dapat tidak perlu dilatari dengan falsafah dan ilmu-ilmu.

Usaha mendamaikan antara tesis teks Islam dengan tradisi kuno Yahudi, antara paling diingat di dalam sejarah ialah oleh Sa’adiyah Ibnu Yusuf al-Fayyumi yang mendirikan Akademi Sora di Baghdad. Di kalangan Yahudi, Sa’adiyah dikenali sebagai Saadiya de Fayum atau Saadiya Gaon.

Demi rapatnya hubungan tiga agama—Islam, Kristian dan Yahudi—di Andalusia, dikatakan wujud fenomena baru iaitu kahwin campur antar-agama. Di kalangan agamawan ada yang langsung tak bersetuju dengan amalan ini.

Kekaguman orang-orang Yahudi kepada para filasuf Andalusia yang berbaris ramainya itu, tak terlepas pandang kepada seorang yang dianggap pengasas rasionalis di Eropah, iaitu Ibnu Rushd. Seorang Yahudi, di majlis pertunangannya pernah menuliskan bahawa Ibnu Rushd adalah salah seorang saksi baginya. Joseph ben-Juda, anak murid Ben Ubaidillah, menuliskan:

Kelmarin, anak perempuanmu yang terkasih, Pleiad, yang cantik dan menarik, telah mendapatkan rahmat di hadapanku. Gadis itu telah membuatku tertarik, dan aku terus terang telah bertunang dengannya, sesuai dengan hukum yang diturunkan di atas Gunung Sinai. Lalu, aku menikahinya kerana tiga hal: memberinya mahar wang ikatan; menulis perjanjian cinta untuknya, kerana aku mencintainya; mendekapnya, sebagaimana seorang laki-laki muda mendekap perawan. Dan setelah mendapatkan gadis itu dengan cara-cara tadi, aku mengajaknya ke ranjang pengantin yang penuh dengan cinta; aku tidak menggunakan bujukan sedikitpun atau kekerasan, tetapi ia memberikan cintanya kepada, dan kerana aku telah tertambat jiwaku pada jiwanya. Semua itu terjadi di depan dua saksi yang sangat masyhur, sahabat Maimum dan Ibnu Rushd. Tetapi, ketika di ranjang pengantin, dalam kekuasaanku, ia mengkhianatiku dan berpaling kepada kekasih-kekasih gelapnya yang lain…”

Betapa agungnya Kardoba dan berpengaruhnya sehingga ke Eropah, memang selamanya takkan terpisah daripada nama Ibnu Rushd. Bibit-bibit kebinasaan empayar Muslim itu sudah pun terlihat apabila sosok Filasuf disingkir dari jawatannya sebagai hakim di Seville; sebelum akhirnya seluruh yang terbina mulai benar-benar luluh dan musnah.

Waktu itu, Kardoba diperintah secara de facto oleh Hajib Al-Mansor (938-1002) di bawah pemerintahan anak Al-Hakam II sendiri, iaitu Hisham [II] al-Mu’ayad—seorang pemerintah yang sangat lemah.

Keraguan terhadap para filasuf, lebih-lebih lagi pemikir yang rasionalis mulai agresif. Al-Mansor bukannya seorang yang tak pernah dekat dengan Ibnu Rushd, malah pernah di suatu ketika, dia meminta Sang Pensyarah duduk di atas pelapik bantal, di mana pelapik itu hanya diberikan duduk kepada orang-orang yang terdekat kepada penguasa sahaja.

Ketika asyik bual-bual dengan Al-Mansor, di satu waktu dikhabarkan asyiknya Ibnu Rushd berbicara sehingga terlanjur memanggil Al-Mansor secara “dengarlah sahabatku”; sedangkan Al-Mansor adalah pembesar yang telah memiliki tahkta kekuasaan daripada Al-Hisham.

Fitnah pun melarat. Seusai perjalanan perang melawan Alphonse IX dari Castille, Al-Mansor mengarah untuk memencilkan Ibnu Rushd ke kota Lucena. Kota itu bermajoriti orang Yahudi. Ibnu Rushd terpaksa menumpang di rumah seorang anak muridnya, Moise Maimonides—dan, atas sebab itu jugalah, musuh-musuh di kalangan ahli hukum dan mullah menuduh Ibnu Rushd dengan mendatangkan kata-kata bahawa Sang Pensyarah mempunyai darah Yahudi.

Umumnya, tuduhan nyaring bahawa Ibnu Rushd melawan agama semakin dan semakin tajam; dicari-cari dan direkayasa dari tulisan-tulisannya akan hal-hal yang boleh dikaitkan telah berlawanan dengan doktrin Islam.

Tak banyak beza, antara strategi di zaman Al-Mansor dengan modus operandi politik sesetengah pihak dan penguasa di Malaysia hari ini. Pemikir, ahli akademik, filasuf dan cendiakawan ada yang melulu dituduh sesat dan perhimpunan pun diadakan, cemuhan terbuka di media-media, berlangsung dengan garang dan bengis. Buku-buku pemikiran—bukan buku porno—diremeh-remehkan. Rakaman lucah, dijulang-julang.

Seketika merenung kes khusus di negeri kita bilamana Menteri Agama, Jamil Khir Baharom cuma menuduh dan melabel faham “pruralisme” dan “liberalisme” sebagai “agama baru” yang serba sesat, dengan cuba mengaitkan ucapan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Anwar Ibrahim di London School of Economis, London (18 Mac 2010) sebagai berunsur sesat. Saya secara peribadi juga pernah mendengar kata nista senyap-senyap seumpama dituju kepada kawan-kawan dalam kelompok Jalan Telawi oleh agen dan lawan politik; tak kira sama ada di dalam parti yang kami sertai, mahupun dari luar.

Di Malaysia sekarang, sensor ke atas berita, pengharaman buku dan potongan ke atas adegan yang tak ada kena mengena dengan seks dan takhyul sudah pun berlaku tanpa hujah yang jelas dan kukuh.Selain politik, larangan terhadap ilmu dan ilmuan yang bertentangan dengan faham kalangan pemerintah juga semakin melebar. Barangkali telah ditakdirkan, elit pemerintah yang berwajah kuku besi memang tak pernah mahu belajar dari sejarah.

Judul buku-buku di dalam perpustakaan, yang dihimpun di era Al-Hakam, dibakar dan dibuang ke parit-parit atas perintah Al-Mansor. Ilmuan yang diangkat, adalah ilmuan yang palsu lagi pembodek.

Beratus ribu buku telah musnah sehingga tak dapat digalang-ganti sampai kapan pun. Sekali lagi, ia dilakukan oleh Al-Mansor: atas titah-perintah Al-Mansor, demi menarik sentimen dan populariti mudah di kalangan rakyat terbanyak. Pencatat sejarah pada ketika itu, Said de Toledo di dalam buku sama yang saya petik di awal syarah ini, menyebutkannya:

Dianggap oleh para pencatat sejarah ketika itu sebagai keinginan untuk meraih populariti di kalangan orang ramai dan untuk meredakan tentangan terhadapnya dengan melemparkan momokan terhadap Khalifah Al-Hakam yang mahkotanya beliau rampas”.

Sejak itu, warga Andalusia sendiri tidak lagi mencintai dan mendukung kepimpinan di kalangan pemikir atau pemikiran itu sendiri. Politik tinggi dikalahkan: politik rendah bermula. Kardoba pun segera gelita.

 

 ***

 Kawan-kawan yang terhormat,

Dari mana sesungguhnya kepimpinan muda bagi bangsa kita seharusnya bermula? Dari mana pula gagasan peradaban untuk negeri ini harus dihubungkan? Kalau dari Barat: dari Barat yang mana? Kalau dari Timur: dari Timur yang mana? Kalau dari Barat dan Timur sekaligus: juga dari yang mana?

Begitulah sejak sekian lama, kita selalu mendengar istilah “idealisme” sehingga akhirnya begitu sukar untuk bisa dimengertikan. Apa yang mungkin dapat kita persoalkan secara imperikal, ialah, daripada sejumlah 222 kerusi di Dewan Rakyat, yang dipilih oleh parti masing-masing dan bertanding serta menang, berapa ramailah yang benar-benar kita yakin berfikir tentang idealisme? Saya tak ada jawapan langsung. Memang tak siapa punya stastistik itu.

Itu belum lagi dihitung jumlah anggota-anggota Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri di setiap negeri. Jumlah pemimpin yang dipilih ini, cukup ramai. Aneh, malang dan tragedi sekiranya di kalangan puluhan menteri, puluhan timbalan menteri, ratusan ahli Dewan Rakyat dan Senat, ratusan juga anggota Dewan-Dewan Undangan Negeri; ramai atau jangan-jangan tak seorang dapat memikirkan cara untuk memajukan peradaban bangsa kita. Minta dijauhkan daripada hanya pergeseran jawatan yang berasaskan cemburu dan sifat tidak matang.

Cita murni atau dalam istilah yang digunakan Dr Syed Hussein Alatas sebagai “cita sempurna” bukan satu idealogi. Ia bukan dasar kenegaraan. Ia tidak lain, sebermula bagi seseorang individu—termasuk yang dahulunya seseorang itu mungkin bukan seorang ahli politik—yang terkait dengan fitrah. Kasih-sayang, misalnya. Dari manakah kasih-sayang itu wujud? Ke mana pula, ia telah hilang? Lebih mudah kalau ianya dibawakan dengan contoh.

Kawan-kawan,

Baru sahaja bulan sudah, Mahkamah Rayuan membebaskan empat mahasiswa UKM. “Geng UKM4” berawal juga dari kelas Sekolah Politik IKD ini. Penghakiman 2-1 itu cukup menggembirakan. Ia menggembirakan bukan hanya apabila empat kawan kita bebas dan tak bersalah, tetapi dua hakim telah menyebutkan; Seksyen 15 (5) (A) Auku adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sepertimana ISA, kita sedar bahawa Auku 1971 adalah akta draconian. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz di dalam Dewan Rakyat 3 November lalu menyebutkan, Auku masih kekal sebagai undang-undang dan melepaskan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyemak sama ada mahu memfail rayuan ke atas keputusan terdahulu atau tidak. Kata-kata sebegini tak lebih hanya kata-kata orang yang mahu mempertahankan kedudukan menterinya; menggadai cita murni. Beliau sedang mengembangkan cita binasa.

Bagi sesiapa yang yakin kepada gagasan pencerahan sebagai tiang seri perubahan; dan perubahan adalah kewajiban kepada anak watan demi hayat bangsa ini; wajar direnungi dan perlu segera menundukkan kepala di hadapan sejarah yang kemudiannya tertimba di Kardoba dan Andalusia. Mata air cita murni pernah berpancuran dari sana. Melimpah dengan memberi inspirasi termasuk di kalangan seniman di negeri-negeri jauh.

Sesiapa yang pernah membaca teks skrip teater karangan penulis Perancis, Victor Hugo yang bertajuk Notre-Dame de Paris, akan dapat mendengar nama gadis jelita bernama Esmeralda. Esmeralda adalah gadis jalanan, yang keluarganya dikatakan berasal dari Andalusia. Demikian bagi Hugo untuk menggambarkan seorang jelita, dikaitkan dengan tempat yang indah pula.

 

 ***

 

Kawan-kawan pimpinan muda,

 

Jauh sebelum Andalusia lesu dan sistem keilmuannya ranap, penyair Ali bin Khafah (meninggal pada 533) menuliskan puji-pujian ke tanahairnya:

 

Hai penduduk Andalusia!

Demi satu bahagia bagimu

Nun air, lindungan teduh, sungai dan pohon-pohonan

Itulah syurga; kekal abadi

Sekiranya aku disuruh pilih

Niscaya tidak lain, ialah pilihanku

Jangan setelah itu; engkau anggap

Engkau akan masuk neraka lagi

Setelah syurga, neraka akan jauh darimu.

Kegemilangan Kardoba sudah berlalu seribu tahun lamanya. Keagungannya, bahkan kesilapannya tidakkah tak diketahui oleh ulama, ahli akademik dan orang bijak pandai hari ini? Kalau arif, mengapa berdiam diri? Kepada anak-anak muda, ada pesan dari penulis lirik terkenal kita, allahyahram Rosli Khamis, atau Loloq di dalam bait lagu nyanyian M Nasir, Langgam Pak Dogo: “Dari tegap bertimpuh, baik rebah merempuh”.

Kita semua mungkin sahaja tak berkesempatan untuk menikmati sebuah negeri yang seindah dan damai Andalusia—apabila di dalamnya penuh dengan syair dan kebebasan; menjadi antara tiga kota terpenting di zamannya. Namun kita perlu mulai sekarang—dengan paling tidak merenung kembali sumber-sumber keagungannya.

Eropah mengambil masa dua ratus, tiga ratus atau ratus tahun untuk memahami rahsia dari Kardoba demi menciptakan Zaman Pencerahan—kita, apakah perlu lewat tempoh selama itu? Al-Hambra, Kardoba dan Andalusia adalah jiran dekat di dalam binaan pangsapuri tamadun manusia. Cita murni sudah seharusnya di pangkal hati kita.

Sekian. Terima kasih.

*Tulisan ini asalnya merupakan syarahan penulis di Sekolah Politik Institut Kajian Dasar (IKD), di Kuala Lumpur, 12 November lalu.

Al-Hambra Al-Muqaddimah Amangkurat I Andalusia Claudia Heide Cristina Alvarez Millan Hasmi bin Hashim Husni Mubarak Ibnu Battutah Ibnu Khaldun Ibnu Rushd Ibnu Tufai Joseph ben-Juda Kordoba Loloq M.Nasir Megatruh Kambut Moise Maimonides Muammar Ghadafi Notre Dame de Paris Pascual de Gayangos politik Rosli Khami Said de Toledo Tariq Ibnu Ziyad Victor Hugo W.S Rendra Zine el Abidine Ben Ali

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan