Profesor Dr. Abdul Aziz Bari ketika berucap di sebuah forum. © flickr.com/photos/_fbi

I

Apabila empayar Muslim Andalusia ranap oleh perang yang tidak berhati perut dan tak mengenal belas, di dalam buku A Short History of the Saracens, penulis asal India, Syed Ameer Ali (1849-1928) mengubah kata-kata ini:

“Roh-roh orang mulia yang telah mati, Ibnu Rusyd dan Ibnu Bajjah, Waladih dan Aisyah, duduk menangis di tempat kediaman keluarganya yang telah menjadi puing—rumah-rumah yang kini sepi, tidak kedengaran suara penyanyi, pahlawan-pahlawan, ahli-ahli ilmu pengetahuan dan seniman—hanya sesekali berkumandang teriak-teriakan gila pengganas-pengganas agama dan sesekali pula kedengaran suara-suara kejam orang politik yang saling membenci.”

Ya, kita sebenarnya tidak tahu, bagaimana untuk bercakap di hadapan pemerintah atau penguasa yang, untuk memakai istilah Dr Syed Hussein Alatas, sebagai “bebal”—bilamana kejahatan sudah sebati dalam darah daging kekuasaannya, sehingga ia tak merasakan sesuatu perkara zalim itu, sebagai buruk dan memalukan dirinya. Selepas sekian lama, maka penguasa dan memerintah pun bersifat haiwani, buta dan tak mengerti, bagaimana jalan ilmu dan ilmuan; pemikir dan pemikiran, bergerak dan berfungsi, walaupun mereka mencurah wang mendirikan bangunan-bangunan sekolah dan gedung-gedung universiti.

Apakah bangunan dan gedung itu dilihat sama sahaja seperti pusat-pusat beli belah? Apakah sesuatu kajian harus hanya terbekas di dalam jilid tesis akademik?

Perbahasan, bahkan kritikan terhadap batas-batas kuasa sesebuah kerajaan terhadap rakyatnya, bukan perbahasan baru. Namun, bahasa yang sekemas mana pun, lazimnya tak menjadikan penguasa, raja yang berkuasa dan kerajaan di muka dunia ini seraya insafi betapa sejarah untung nasib bangsa, baik di Timur mahupun Barat, tergantung kepada kuat-lemahnya pemikiran dan ilmu; andai, kepala negara adalah kalangan manusia yang lemah akal-budinya. Dari keunggulan ilmu dan ilmuan, sesebuah peradaban dan tamadun bangsa itu bisa muncul, berdiri, malap atau ranap.

Beberapa bulan sahaja lagi, tahun 2012, akan tiba.

 

II

Berita pada 20 Oktober lalu ialah berita seorang pensyarah universiti, Profesor Dr Abdul Aziz Bari digantung dari mengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Sehari sebelumnya, beliau diberikan surat tunjuk sebab yang perlu dijawab dalam tempoh seminggu.

Surat berupa notis kepada Dr Abdul Aziz adalah susulan kenyataannya bahawa Raja-raja Melayu boleh dikritik—diulasnya juga tanpa mengabaikan Akta Hasutan 1948 yang, memberi ruang untuk maksud kritikan berkenaan. Ulasan Dr Aziz dipetik jadi berita bertajuk “Aziz Bari: Campurtangan perlu selaras ajaran Islam” (11 Oktober 2011) di portal Malaysiakini, bahawa Sultan Selangor “sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam”.

Berita dan kenyataan berkenaan adalah merujuk kepada titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu pemeriksaan Gereja Methodist di Damansara, 3 Ogos 2011. Dr Abdul Aziz menambah, walaupun Sultan Selangor dilihat melaksanakan kuasanya, namun tindakan baginda dilihat tidak konsisten. Dibezakan keadaan sebelumnya yang mana pernah berlaku kejadian yang lebih teruk, bilamana ada bekas Menteri Besar merobohkan surau tertentu di Selangor, tetapi pihak istana tidak campurtangan.

Di dalam berita susulan bertajuk “Aziz Bari: Tidak Salah Kritik Raja-raja” (12 Oktober 2011) di portal sama, beliau mempertahankan pendirian dan hak mengkritik raja, dengan nada lebih tegas dan jelas. Kata Dr Abdul Aziz, “Saya cuma berpendapat bahawa sesetengah raja-raja telah melanggar garisan mereka dan membelakangkan Perlembagaan”.

Lantaran itu, Dr Abdul Aziz dan Malaysiakini, keduanya disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis, enam hari selepas berita pertama terbit. Dalam minggu sama, di dalam ruang perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, ada ahli-ahli parlimen yang mendesak agar keproseforan Dr Abdul Aziz—yang sudah bertugas di UIA 22 tahun—ditarik balik.

Dapat diterka, tumpuan rakyat terhadap Sultan dan Raja-raja Melayu mulai jadi perbualan sampai ke warong-warong kopi terutama selepas keadaan ‘rampasan kuasa’ yang berlaku di Perak sekitar Januari dan Februari 2009. Dalam kes berkenaan, Istana dilihat sangat berperanan kepada Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa. Sesungguhnya, kuasa dan peranan Sultan di dalam politik—bahkan perniagaan—bukan sesuatu yang asing lagi rahsia.

 

III

Selepas Pilihanraya Umum 1990, satu contoh, walaupun BN menang besar dan membentuk Kerajaan Persekutuan dengan lebih dua-pertiga majoriti anggota-anggota Dewan Rakyat, namun Umno kalah teruk di Kelantan.

Para pemimpin Umno percaya, antara faktor kekalahan ialah wujudnya campurtangan langsung Sultan Kelantan. Dua tahun selepas itu, pindaan Perlembagaan kekal antara saat yang paling diingati ketika petinggi Umno berusaha menghapuskan kekebalan atau imuniti Raja dan Sultan-sultan Melayu. Sanya, ia bolehlah dikatakan berpunca daripada “Peristiwa Bukit Serence”.

Di dalam buku “Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan” (Cetakan kedua: Februari 1993) yang diterbitkan oleh penulisnya sendiri, Dr Syed Husin Ali merakamkan bagaimana tindakan Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang memukul jurulatih pasukan hoki Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Johor Bahru, yang bernama Douglas Gomez.

Dirakamkan dengan agak terperinci bagaimana peristiwa-peristiwa latar lain sebelum kes berkenaan, termasuk pada Julai 1992 di mana Tengku Abdul Majid dikatakan telah memukul dan mencederakan penjaga gol pasukan hoki Perak selepas perlawanan antara Perak bertemu Johor. Perak menang dalam perlawanan itu. Perak menang apabila penjaga golnya, Jaafar berjaya menyelamatkan pukulan penalti yang diambil Tengku Majid. Jaafar menari-nari kegembiraan. Kelakuan Jaafar membuatkan Tengku Majid naik berang. Maka, Jaafar dibelasah.

Tindakan disiplin pun dikenakan ke atas Tengku Majid oleh Persatuan Hoki Malaysia, yang presidennya ialah Duli Yang Maha Mulia Raja Azlan Shah, yang sekaligus merupakan Yang DiPertuan Agong ketika itu.

Dikhabarkan hubungan Raja Azlan dengan Tengku Mahmud Iskandar, seperti yang ditulis Dr Syed Husin, adalah sediakala tidak begitu baik. Sewaktu menjadi Tengku Mahkota, Raja Azlan yang juga seorang hakim dikatakan pernah menjatuhkan hukuman 6 tahun penjara ke atas Tengku Mahmud Iskandar atas tuduhan menyebabkan kematian ke atas seorang yang didakwanya penyeludup dadah. Tengku Mahmud tidak menjalani hukuman itu dengan mendapat pengampunan ayahandanya, Sultan Ismail.

Kisah keburukan Sultan di hampir tiap-tiap negeri mula terdedah, termasuk oleh surat-surat khabar perdana dan TV. Antara lain adalah apa yang berlaku di Pahang pada 1980-an, apabila [mantan] Menteri Besar Pahang ke-10, Abdul Rahim Bakar telah diminta memberikan kawasan hutan balak seluas 37 ribu ekar oleh Sultan Pahang. MB tidak meluluskan permohonan itu, namun di dalam proses sementara keputusannya keluar, Sultan telah menjual hak membalak di kawasan itu kepada seorang tauke Cina dengan harga RM21 juta.

Dalam buku sama, Syed Husin menuliskan bahawa antara sebab Sultan memerlukan kawasan balak ialah bagi membiayai baginda yang selalu ke luar negeri untuk bersuka-suka sambil “bermain sejenis mainan mengadu nasib”. Waktu itu, Hussein Onn adalah Perdana Menteri. Hanya selepas Dr Mahathir mengambil alih jawatan PM, maka Najib Razak pun dilantik sebagai MB menggantikan Abdul Rahim yang menjawat jawatan MB cuma tiga tahun dari 1978 sehingga 1981. Sebagai MB baru, Najib meluluskan kawasan balak seluas 7 ribu ekar kepada Sultan Pahang.

Semua peristiwa-peristiwa ini, memaksa Umno mewujudkan apa yang dikenali sebagai “Kod Etika Perilaku Raja-raja”. Ia pertama kali dibawa mengadap oleh rombongan yang diketuai Anwar Ibrahim, namun ditolak Majlis Raja-Raja. Kemudian ditukar dengan nama “Perisytiharan Raja-raja”, yang juga ditolak; sehingga Dr Mahathir menggunakan nama “Perisytiharan Prinsip-prinsip Perlembagaan”.

Sultan Kelantan, Johor dan Kedah masih menolak dan tidak mahu menurunkan tandatangan; lima lagi Sultan tidak hadir termasuk Selangor dan Terengganu. Akhirnya perisytiharan tersebut hanya ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu, Engku Ibrahim Engku Ngah bagi mewakili Majlis Raja-raja dan menurunkan Cop Mohor Besar.

Usul yang dibentang oleh Timbalan Perdana Menteri, [allahyarham] Ghafar Baba diterima sebulat suara di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli dewan yang hadir. Seramai 69 orang yang mengundi, sama ada di pihak kerajaan mahupun oposisi. Tak ada yang menentang, meski Dewan memerlukan 120 orang untuk melengkapkan dua-pertiga daripada 180 ahli dewan sebagai syarat [juga mengikut Perlembagaan] untuk mana-mana bahagian di dalam Perlembagaan dapat dipinda. Hari itu, 10 Disember 1992, di antara ucapan Ghafar di dalam Dewan Rakyat ialah:

“Sejarah telah menunjukkan dengan jelas beberapa peristiwa telah berlaku di beberapa buah negara dalam dunia di mana rakyat telah hilang kesabaran dan mengambil tindakan di luar perlembagaan dan undang-undang untuk menjatuhkan raja-raja mereka, sehingga akibat apa yang berlaku sekarang jumlah raja-raja di seluruh dunia semakin hari semakin berkurangan jumlahnya.”

Sekiranya dibandingkan ucapan Ghafar itu, dengan komen-komen Dr Abdul Aziz, tak sepotong pun, sehingga kini, ada disebutkan Dr Abdul Aziz mahu menghapuskan institusi raja. Beliau hanya berpandangan bahawa “sesetengah raja-raja telah melanggar garisan mereka dan membelakangkan Perlembagaan” itu sendiri. Anak di sekolah rendah pun sudah diajar bahawa Malaysia adalah negara “demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan”.

Maknanya, Perlembagaan adalah tiang seri pendiri “rumah” bernama Malaysia—sepertimana banyak negara moden di dunia hari ini—betapa kuasa raja bukan lagi dengan kuasa muthlak (“absolute monarchy”) sepertimana di zaman Parameswara bertahkta di Melaka.

Di bawah Perkara 181 (2) Perlembagaan Persekutuan, berkuatkuasa 30 Mac 1993, maka pindaan tersebut pun dilengkapi begini, sepertimana adanya:

“Tiada apa-apa jua prosiding pun boleh dibawa di dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.”

 

IV

Ketika Inggeris mengembalikan sultan negeri-negeri Melayu ke tahkta masing-masing dengan tidak meneruskan cadangan Malayan Union, barang diingat sebelum itu pun tak ramai sultan-sultan Melayu yang bangun menentang penjajahan dan cadangan Malayan Union. Mana yang tidak membantah dan memberi keuntungan kepada Inggeris, maka dipelihara dan terus jadi Sultan. Mana yang melawan atau tak bekerjasama ketika diperlukan, terimalah padah disingkir dari takhta dan diganti dengan silang kerabat yang lainnya.

Begitulah di Johor, misalnya, Inggeris mengembalikan Tengku Hussain Muazzam Shah (1776-1835) sebagai sultan tatkala kekecohan selepas mangkat Sultan Mahmud Shah III. Tengku Abdul Rahman iaitu adik tiri Tengku Hussain telah seketika sempat merampas tahkta ketika Tengku Hussain berada di Pahang selepas kewafatan ayahanda mereka. Kekalutan ini memberi ruang kepada Stamford Raffles membuat perjanjian pada 1819 dengan Tengku Hussain untuk pertama kali mendirikan markas tentera di Singapura.

Lima tahun kemudian, untuk terus mendapat sokongan Inggeris, Tengku Hussain pun menandatangani satu lagi perjanjian dengan Inggeris yang sepenuhnya menyerahkan Singapura dan pulau-pulau sekitarnya kepada Inggeris apabila pulau itu juga jadi rebutan Belanda. Memang tak semua sultan bahkan kerabat diraja berpeluk tubuh dalam berhadapan dengan kuasa Inggeris. Kes penentangan direkodkan berlaku di Perak selepas pembunuhan J.W.W Birch—rentetan Perjanjian Pangkor, 1874—apabila Sultan Abdullah Muhammad Shah II telah dibuang ke Pulau Seychelles di Madagaskar, seraya digantikan dengan Raja Yusuf sebagai Sultan Perak.

 

V

Seawal abad ke-17 dan 18 lagi, di England dan seluruh Eropah sudah mulai subur perbincangan mengenai kebebasan, demokrasi, hak-hak kewarganegaraan dengan hadirnya pemikiran dan filasuf Era Pencerahan. Antaranya ialah John Locke (1632-1704) yang mashyur dengan karangan “Two Treatises of Government” sehinggalah dituruti pemikir seperti John Stuart Mill (1806-1873) yang menuliskan “On Liberty”. Dengan usaha untuk meneruskan penjajahan koloni di negeri dan wilayah-wilayah di Timur, terutama selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua, pasti akan hanya mengundang kritikan dari dalam England itu sendiri.

Dengan mengangkat gagasan Locke tentang sebuah negara yang demokratik, dalam perbincangan dan debat panjang mengenai kuasa-kuasa Pemerintah yang selamanya tak boleh menindas Rakyat. Telah dibincang sedari punca-punca tanggapan Nabi Adam sebagai manusia pertama juga tidak punya hak sewenang-wenangnya ke atas anaknya. Walau, Adam adalah manusia yang pernah bersua dengan Tuhan.

Tindak sewenang-wenangan itu juga tidak menjadi hak ibu-bapa ke atas anak, suami ke atas isteri, tuan ke atas hamba, raja atau pemerintah ke atas rakyat; mahupun sebaliknya… sama ada dalam keadaan aman mahupun perang.

Bahkan hujah Locke di dalam bahagian kedua “Two treatises of Govermenment” yang diterjemah julung kali oleh Institut Kajian Dasar (IKD) dengan buku bertajuk “Suatu Karangan Berkenaan Bidang Asal dan Sebenar Serta Matlamat Kerajaan Madani” (Kuala Lumpur, 2009). Bolehlah dikatakan sebermula kata Locke, begini:

“Adam dan Hawa, dan semua ibu-bapa selepas mereka berkewajiban, menurut Hukum Tabi’e, untuk memelihara, membesarkan, dan mendidik anak-anak, yang mereka perolehi, yang bukannya ciptaan mereka sendiri, tetapi sebaliknya ciptaan sang Pencipta mereka sendiri, Tuhan Yang Maha Berkuasa, yang mempertanggungjawabkan anak-anak itu kepada mereka.” (dalam Bab 6: Tentang Kuasa Kebapaan, muka surat 58)

Katanya lagi:

“…Bahawa semua permulaan yang damai-sentosa bagi Kerajaan terletak pada Persetujuan Rakyat.” (dalam Bab 8: Tentang Permulaan Masyarakat-masyarakat Politik, muka surat 100)

Katanya lagi:

“Barangsiapa yang berpendapat sebaliknya, dan bercakap seolah-olah Raja mempunyai Kepentingan yang tersendiri dan terpisah dari kebaikan Komuniti, maka di sinilah biang-bibit yang melahirkan hampir semua Kejahatan dan Kekacauan yang berlaku di dalam Pemerintahan-pemerintahan Beraja.” (dalam Bab 14: Tentang Hak Keistimewaan, muka surat 144)

Katanya lagi:

“…Seolah-olah apa yang telah dilakukan hanya untuk kebaikan Rakyat itu memberi hak kepada mereka (Raja) untuk melakukan sesuatu yang memudaratkan Rakyat, jika sekiranya mereka suka.” (dalam bab sama, muka surat 146)

Memanjangkan sedikit hujah Locke, raja yang memerintah dengan baik itu sekalipun adalah tetap merupakan mara bahaya. Bertambah-tambah bahaya kalau penggantinya juga baik, sampai menimbulkan tanggapan bahawa “baik” dan “adil” itu adalah laksana “hak keistimewaan Raja”.

Sebelum itu, katanya lagi:

“Matlamat agung Manusia menyertai Masyarakat, adalah untuk menikmati hak-hak Milik mereka dengan Damai dan Selamat…” (dalam bab 11: Tentang Takat Kuasa Perundangan, muka surat 118)

Tiap-tiap petikan tanpa saya hurai panjang lebar, tidak lain adalah untuk memberi gambaran sebenar pandangan Locke, khususnya berhubung fitrah atau tabi’e manusia dalam berhadapan dengan kuasa pemerintahan, termasuklah raja. Penulisnya tidak lain adalah cendekiawan dan filasuf ulung Zaman Pencerahan, atau ada yang memanggilnya sebagai “Zaman Cahaya Pencelikan”—waktu-waktu di mana gagasan-gagasan kemanusiaan dan rasional mengambil tempat untuk melorong atau melengkapi susun waktu Renaissance Eropah.

 

VI

Locke telah segigih-gigih mungkin menyatukan falsafah sebagai dasar pemikiran dan akal, dengan pesan-pesan dan keyakinan keTuhanan, tanpa mengira apa juga agamanya. Sementara tahulah kita, bagaimana doktrin Kristian Ortodok adalah lebih perit untuk teks keTuhanan itu tidak ditafsir lebih daripada maksud yang literal.

Ibnu Rusyd menyebutkan persoalan ini sebagai “hubungan antara syariah dengan falsafah” dalam karangan cukup terkenal, “Fasl al-Maqal”, yang memberi keyakinan bagi manusia berfikir dan merasai fitrahnya sendiri. Pertama kali kitab itu diterjemah langsung dari bahasa Arab ke bahasa Melayu oleh Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) pada 2006.

Kritikan utama Ibnu Rusyd adalah larangan terhadap menggunakan falsafah sebagai perkakas meraba atau mencapai kebenaran, yang mana momok-momok bahawa akal bertentangan dengan kehendak Illahi dan kebenaran telah sesungguhnya menyebabkan manusia mundur, sama ada Muslim atau penganut agama lain; sama ada di Barat atau Timur. Betapa falsafah, kata Ibnu Rusyd di dalam karangannya itu “adalah teman dan saudara sesusuan agama.” Dengan keyakinan dan hujah inilah yang mencerahkan pemikir dan filasuf di Barat khususnya, maka penguasaan dan hegemoni gereja Eropah sejak Zaman Gelap, terpecah.

Tidakkah kita tahu, Locke begitu terpengaruh dengan pemikir dan pendahulunya seperti Voltaire (1694-1778) dan Jean-Jacques Rousseau (1712-1778) di mana kedua pemikir itu pula tak akan dapat lari daripada falsafah dan gagasan rasionalis Ibnu Rusyd. Ya, siapa sebenarnya Ibnu Rusyd ini?

Dia tidak lain adalah lelaki yang antara empat nama yang dipetik Ameer di awal kalangan ini dalam membayangkan betapa luluh hati andai anak-anak watan Kardoba itu masih hidup dengan melihat kemusnahan tamadun dan tanahairnya—sebuah peradaban yang dibangunkan daripada liku-liku, dengan ilmu, tetapi dimusnahkan oleh kuasa barbarik dan tidak berhati-perut.

 

VII

Beberapa bulan sahaja lagi, tahun 2012, akan tiba… persoalan-persoalan “kebebasan” dan “harga diri manusia” yang hampir beres di Zaman Pencerahan, nampak masih rabun di mata penguasa dan pemerintah di Malaysia.

Penggantungan Dr Abdul Aziz, juga wajar dilihat sebagai sebuah hukuman yang dijatuhkan kepadanya, sebelum beliau didapati bersalah; bukan hanya melanggari mana-mana undang-undang, jauh lagi untuk dibuktikan buah fikirannya itu telah bertentangan dengan hak-hak, tabi’e dan asal-muasil mengapa manusia diciptakan Tuhan.

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

Abdul Aziz Bari Andalusia Anwar Ibrahim Dewan Rakyat Esei Ghafar Baba Hasmi bin Hashim Hussein Onn Ibnu Rusyd J.W.W Birch Jean Jacques Rousseau John Locke Mahathir Mohamad Malaysiakini Monarki politik Raja Berperlembagaan Sultan Mahmud Iskandar Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Syed Ameer Ali Syed Hussein Alatas Syed Hussein Ali Universiti Islam Antarabangsa Voltaire

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan