I.

Kami bercakap di warong, satu-satunya warong di pekan Mesjid Tanah yang menghidangkan rendang itek. Dan hidangan itu hanya ada pada hari selasa. Isu pengkhianatan Ezam–saya tidak perlu melembutkan kata-kata–muncul, sebagaimana ianya muncul di mana saja orang-orang Keadilan bertemu.

Wahab meminta penjelasan dari saya sebagai orang yang berkongsi dengan beberapa individu lain gelaran “mantan setiausaha Anwar”. Saya memberikan jawapan yang bercampur fakta dan tafsiran. Tetapi sekarang saya perlu melengkapkan penjelasan dengan pembedahan terhadap minda Ezam.

Pertamanya beliau masih terpasung dengan minda Umno. Ezam mendapat pendidikan politik dalam Umno dan beliau terlalu berbangga dengan pendidikan tersebut. Saya tidak mahu mengatakan semuanya jelek dalam pendidikan tersebut. Tetapi apabila kita bertambah matang kita perlu melakukan interogasi terhadap pendidikan tersebut. Beliau tidak dapat membuat anjakan kepada falsafah baru politik yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Ezam masih dalam kepompong politik perkauman, baginya politik pelbagai kaum tidak punya masa depan. Maka beliau tidak punya keyakinan untuk menjadi pemimpin kepada gerakan politik pelbagai kaum.

Kedua, ilmu yang paling banyak dipelajari oleh Ezam semasa dalam Umno adalah untuk menjadi bomoh intrik politik. Dan sepanjang dalam Keadilan Ezam, selain dari orang yang paling banyak menerima sumbangan dana perjuangan, adalah orang yang pakar dalam seni sepak terajang politik. Dan beliau amat berbangga dengan seni tersebut. “Semuanya mungkin dalam politik,” kata Ezam dalam NST hari ini. Dan tabiat politik Ezam mengkotakan apa yang beliau katakan. Minggu ini dia kawan baik si Fulan, dua bulan kemudian menjadi musuh numbor wahidnya, kemudian bergabung dengan si Fulan untuk membalun si Anu, kemudian berdamai dengan Anu untuk membelasah si Alif dan seterusnya ad nauseaum.

Sebagai seorang yang bersangka baik saya lambat menangkap mainan Ezam. Tetapi setelah berlaku peristiwa Anuar Shaari saya mula mengumpul ingatan apa yang Ezam pernah katakan kepada saya. Apa yang dahulu saya fahami sebagai tersurat saya mula melihat apa yang tersirat.

II.

Bila timbul riuh beberapa bulan lalu tentang Ezam meletakkan jawatan dari semua kedudukan parti saya menerima panggilan telefon dari Liau Kok Fah. Dia mantan exco Angkatan Muda. Dia menanyakan tentang Ezam dan masalah Ezam dengan Azmin. Saya tidak mahu mengulas tentang Ezam dengan Azmin. Tetapi saya mahu bercakap tentang Ezam. “Dalam San Guo Yan Yik (Romance of Three Kingdoms) ada karektor seperti Ezam,” kata saya pada Liau. Liau hafal kisah San Guo. Ramai juga anak-anak Cina yang saya kenali jahil total tentang kisah itu. Siapa? “Lu Bu,” jawab saya. “Jangan cakap macam tulah,” kata Liau sambil ketawa. Dia kedengaran masih sayang dengan mantan ketuanya. Saya selalu menganjurkan rakan-rakan Melayu dalam Keadilan supaya membaca San Guo atau kalau malas membaca melihat DVD-nya. Sayang belum ada yang mengambil anjuran saya tersebut. Shamsul Iskandar, ketua AMK sekarang, perlu mengadakan kelas tengok video San Guo untuk menghadapi Ezam. Cukuplah AMK sahaja menghadapi Ezam, dan hanya untuk sebulan dua. Pemimpin-pemimpin lain perlu memerah minda untuk menyakinkan rakyat tentang Agenda Ekonomi Malaysia yang sering disebut oleh Anwar Ibrahim. Saya akan membuat satu dan dua lagi posting tentang Ezam kerana ada beberapa rahsia yang menarik. Dan rahsia ini tidak saya kutip dari sumber kedua. Saya terima terus dari mulutnya, tanpa perantaraan.

Bila Ezam mengulangi sebab dia keluar Keadilan kononnya Anwar kini dikongkong oleh Azmin saya teringat lagi kisah dalam San Guo. Dalam kisah tersebut Liu Bei yang mengetuai gerakan untuk menegakkan keadilan dan menyatu Cina mempunyai dua panglima yang berani dan setia — Guan Yu and Zhang Fei. Lui Bei menganggap kedua-dua panglima ini sebagai saudara kandungnya. Meskipun Lui Bei mempunyai dua orang panglima yang gagah dan berani tetapi perjuangannya tidak banyak maju kerana beliau tidak mempunyai pakar strategi. Kekosongan itu dipenuhi dengan kemunculan Zhuge Liang. Kerana Liu Bei memerlukan nasihat strategis maka Zhuge Liang menjadi penasihat yang begitu rapat. Ini menimbulkan rasa cemburu dan kemarahan Zhang Fei kerana padanya Zhuge Liang adalah pendatang baru dalam lingkaran Liu Bei. Bedanya adalah Ezam adalah pendatang paling baru dalam lingkaran setiausaha-setiausaha Anwar. Telahan saya adalah Ezam, sebagai setiausaha politik, ingin menjadi Zhuge Liang Anwar. Tetapi Azmin telah menciumnya sebelum Ezam masuk pejabat. Bagi saya kisah ini sungguh kebudak-budakan, namun menarik. Ramai yang ingin mendengarnya, maka saya tulis sedikit untuk merehatkan minda dari agenda Pencerahan yang berat. Tembakan Ezam kepada Azmin tak ubah layak rintihan adik kecil kepada ibu atau kakaknya: “Kenapa bapa asyik mendengar cakap abang long!”

III.

Jika ingatan saya tidak bercelaru, Henry Kissinger dalam White House Years menulis tentang kegemaran bosnya, Presiden Nixon, mengadu-dombakan antara satu pegawainya dengan yang lain. Bila Nixon mahu melantik Kissinger sebagai penasihat pertahanan (National Security Advisor) dia mengatakan ketidakpercayaannya kepada Jabatan Negara (State Department). Nixon mahukan, di bawah pentadbirannya, seorang penasihat pertahanan yang setia kepadanya sebagai presiden. Maka Kissinger beranggapan dia bakal menjadi orang yang paling berkuasa di kalangan anggota kabinet Nixon di White House. Tetapi dalam sidang akhbar mengumumkan perlantikan Kissinger sebagai penasihat pertahanan Nixon, yang ketika itu belum lagi melantik setiausaha negara, bercakap lain. Nixon mengatakan dia mahukan seorang setiausaha negara yang kuat. Penasihat keselamatan tidak akan menjadi orang tengah antara presiden dengan setiausaha negara. Dia mahukan penasihat keselamatan memberi tumpuan kepada isu-isu jangka panjang dan bukan isu-isu taktikal.

Kissinger hanya menyingkap tabir kepada politik dalaman, tikam menikam, singgung menyinggung, dalam istana sebuah kuasa besar. Apa yang disebutkan oleh beliau bukanlah sesuatu yang unik. Mana-mana pejabat, besar atau kecil, purba atau moden ada politiknya. Liu Bei membuat sumpah mengaku bersaudara kandung dengan Guan Yu dan Zhang Fei di bawah pohon mulberi. Tetapi bila Zhuge Liang muncul sebagai penasihat strategi ketegangan dan rasa cemburu muncul dalam lingkaran Liu Bei. Guan Yu dan dan Zhang Fei bergabung untuk engkar dengan arahan Zhuge Liang.

Ada pemimpin yang membiarkan politik malacanang ini berlaku dan tidak menghiraukannya. Pemimpin jangan masuk campur dalam persengketaan anak-anak buahnya. Tetapi kalau politik itu keterlaluan ia boleh melumpuhkan pejabat. Atau setidak-tidaknya timbul masalah koordinasi. Dan sepanjang ingatan saya perkataan keramat yang paling kerap digunakan oleh Anwar Ibrahim tatkala dalam kerajaan bila bermesyuarat dengan setiausaha-usahanya adalah “koordinasi” — “you all must coordinate”. Satu peristiwa berlaku, saya tidak dapat melupakannya, akibat dari kegagalan koordinasi di pejabat Anwar Ibrahim semasa beliau Menteri Pendidikan. Beliau dijadualkan hadir di majlis makan tengahari di Hotel Hilton. Pemandu telah diberitahu untuk membawa menteri ke Hotel Hilton dan menteri dibawa ke sana. Bila tiba di sana tidak ada jamuan makan tengahari. Pasti tidak ada kerana menteri dibawa ke Hotel Hilton Kuala Lumpur. Majlis tersebut berada di Hilton Petaling Jaya.

Apabila Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri jumlah setiausaha-setiausahanya bertambah kerana dia bukan sahaja TPM tetapi ketika yang sama Menteri Kewangan. Setiap kedudukan tersebut beliau diperuntukan Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit, Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Akhbar. Ada juga jawatan pegawai khas. Apabila bertambah jumlah setiausaha masalah koordinasi pasti meningkat. Sering berlaku setiausaha mempunyai individu dan jaringan yang ia mahu dirapatkan dengan TPM. Dan individu dan jaringan tersebut punya kepentingan. Setiap setiausaha akan mengatakan individu-individu dan jaringan di bawahnya adalah yang paling setia pada bosnya. Tetapi jaringan itu kadang kala berseteru dengan jaringan yang mengisytiharkan kesetiaannya kepada Anwar Ibrahim melalui setiausaha yang lain. Kelompok Anu akan mengatakan geng Fulan munafik, geng Fulan akan mengatakan kelompok Anu tidak mempunyai pengaruh, tim Alif akan mencerca jaringan Ba ad nauseam.

Dalam sejarah politik Malaysia Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang punya paling banyak jaringan. Jaringan politik sahaja berlapis-lapis. Kemudian jaringan gerakan Islam, bukan sahaja tempatan tetapi juga antarabangsa. Jaring MCKK, NGO, jaringan korporat. Kemudian ada jaringan kebudayaan dan intelektual. Jaringan intelektual ini mungkin yang paling kecil tetapi paling banyak mazhab. Ada mazhab IIIT, ada mazhab ijmali yang diketuai oleh Ziauddin Sardar, dan dalam mazhab ijmali ini pula Ziauddin Sardar bertelagah dengan Munawar Anees. Dan IIIT dikuasai oleh orang Arab, bukan sahaja orang Arab, hampir kesemuanya orang Iraq, dan dari sebesar-besar Iraq itu kesemuanya kecuali seorang berasal dari Mosul (baik sedikit dari Tikrit – kota kelahiran Saddan Hussein!) Seorang Arab yang lain itu, Dr. Ahmad Totonji, adalah orang Kurdi. Tetapi bangsa Kurdi, bangsa Salehuddin al-Ayubbi, nyaris-nyaris pupus digas oleh si melaun Saddam Hussein, bukan Arab. Mungkin Ahmad Totonji adalah satu-satu orang Kurdi yang mengaku Arab.

Bila pendekar Jawa kita masuk ke pejabat Anwar Ibrahim sebagai Setiausaha Politik (supol) di Kementerian Kewangan saya fikir, saya orang yang paling kuat melobi untuk beliau mendapatkan jawatan tersebut, dia agak kaget dan bingung. Dari segi protokol jawatan supol adalah jawatan tertinggi dalam mana-mana pejabat Menteri. Hanya supol mendapat kereta kerajaan dan pemandu. Seharusnya beliau adalah orang yang kedua kuat selepas Salamon Selamat, supol TPM ketika itu. Tetapi pejabat Anwar Ibrahim hampir tidak mengikut protokal seperti ungkapan kegemarannya: “no protocal, no alcohol, no colesterol”. Kuasa dan pengaruh bukan pada supol, sua, pk, sus atau susk. Kuasa di pejabat Anwar Ibrahim adalah pada siapa yang memegang “Diari Merah”!

IV.

Sehingga sekarang saya tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku di Pejabat Anwar Ibrahim sepanjang saya berkhidmat di sana selama 10 tahun, di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan pejabat Timbalan Perdana Menteri. Pejabat itu adalah yang paling kompleks, mengatasi kompleksiti pejabat PM. Selalu ada orang yang mengejutkan masuk ke pejabatnya. Setiausaha-setiausahanya akan bertanya-tanya: siapa orang itu? Bagaimana dia boleh dapat appointment jumpa TPM? Orang itu tidak akan dapat menemui TPM jika namanya dan waktunya tidak dituliskan dalam Diari Merah, ditulis oleh TPM sendiri atau orang yang memegang diari tersebut. Dan hanya seorang yang memegangnya.

Sebagai contoh: Suatu hari saya ternampak sami Buddha memasuki pejabat TPM. Saya tahu itu sami Buddha kerana kepalanya botak dicukur, memakai jubah kuning kunyit dan berselipar Jepun. Hanya ada seorang lain yang berjubah datang menemui Anwar di pejabatnya. Tetapi dia tidak pakai jubah kuning kunyit, selalunya cokelat muda, berserban dililit cara Hadhramaut dan memakai sepatu murah. Orang itu adalah Haji Ismail Mina. Setiausaha-setiausaha di pejabat tidak memandang serius haji ini yang rupanya hanya seperti orang kampong dan tidak melayannya sebagaimana mereka melayani Menteri-Menteri atau tokoh-tokoh korporat. Hanya saya yang melayaninya dibilek tetamu atau di bilik saya sendiri. Saya senang berbual dengannya dan dia pandai berseloroh. Bila dia akan menyatakan pendiriannya yang serius dia akan berkata: “Ya akhi, enta kena faham, ana ……”

Kawan-kawan di pejabat hanya mengenalinya sebagai salah seorang “geng Abim”. Mula-mula saya juga menjangka beliau salah seorang dari kawan lama Anwar yang datang membawa business proposal. “Sheikh pun kena tolong orang-orang kita,” kata haji tersebut. Akhirnya saya tahu beliau adalah orang perantaraan antara Anwar Ibrahim dengan Uztaz Fadhil Nor yang ketika itu Presiden Pas. Rahsia itu pecah pada suatu malam. Saya datang ke rumah bos untuk berbincang tentang ucapannya yang akan datang. Perbincangan dipendekkan dan Anwar berbisik meminta saya meninggalkan rumahnya. Tidak ada orang lain ketika itu dan saya heran kenapa dia tergesa-gesa. “Ismail Mina nak datang bawa Ustaz Fadhil. Dia tidak akan masuk rumah kalau ada orang lain.” Maka saya pun beredar segera.

Saya faham apa urusan haji berjubah cokelat menemui Anwar. Tetapi sami Buddha berjubah kuning kunyit? Setelah beberapa saat sami itu masuk dan pintu ditutup saya baru terlintas bahawa saya mengenalinya. Saya berlari dan masuk ke pejabat TPM untuk menyapanya. “How are you Timi,” kami bersalaman intim. Dan perbualan tersebut saya menanya soalan yang sekarang saya kira agak bodoh. “Sudahkah kamu sampai ke Nirwana?” Dia menjawab dengan nada yang tawadhu, dan saya meninggalkannya berbual dengan TPM, dan saya tidak tahu apa yang mereka perbualkan.

Timi adalah anak lelaki tunggal orang terkaya Malaysia, Ananda Krishnan. Kami bertama kali bertemu di Andalusia, Sepanyol, September 1994. Pada waktu itu ada persidangan tahunan IMF dan Bank Dunia di Madrid yang perlu dihadiri oleh Anwar sebagai Menteri Kewangan. Selepas itu beliau perlu pergi ke Washington untuk menerima anugerah presiden Universiti Georgetown kerana sumbangannya terhadap dialog antara kebudayaan dan memberi ucapan. Paul Wolfowitz, ketika itu dekan SAIS (School of Advanced International Studies), juga mengundang Anwar untuk memberi pidato di universitinya. Acara begitu padat maka Pak Menteri membawa tiga setiausaha bersamanya selain dari tim keselamatan. Yang pertama, dan tidak boleh tidak, adalah pemegang Dairi Merah. Tanpa dia acara Menteri akan jadi puting beliung. Keduanya Muhammad Ahmad (Allahyarham) setiausaha sulit kanan di Kementerian Kewangan kerana urusan IMF-Bank Dunia dan akhir sekali saya untuk menjaga penyediaan ucapan dan membuat pindaan saat-saat akhir yang dituntut oleh Menteri.

Merancang perjalanan dan penerbangan bukanlah mudah. KL ke London, London ke Paris, Paris ke Madrid, Madrid ke Washington. Dan di setiap kota ada acara dan temu janji. Di London menemui Gordown Brown, di Paris menemui Jacques Chirac, dan orang Malaysia yang ikut serta juga ingin menemui TPM. Maka untuk memudahkan penerbangan pemegang Diari Merah menyewa jet milik Ananda Krishnan untuk penerbangan beberapa sektor. Kami sampai beberapa hari lebih awal sebelum persidangan IMF-Bank Dunia di Madrid. Anwar Ibrahim mahu melihat kesan-kesan peninggalan tamadun Islam di Andalusia. Ananda membawa Timi kerana anak muda itu tahu berbahasa Sepanyol untuk membantu kami berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Timi adalah seorang intelektual dan ketika itu menjadi penulis pada Men’s Review, sebuah majalah kosmopolitan yang telah menjadi mendiang. Dia juga seorang yang sangat idealis dan dalam berjalan-jalan di Andalusia Anwar sempat membisikkan kepada saya bahawa Timi sering mengkritik periagaan bapanya. Hati kecil saya berbisik dan menyindir: memang mudah anak jutawan menjadi idealis, mereka punya wang dan waktu untuk itu. Aktivis gerakan sosialis hampir semuanya datang dari keluarga borjuis yang selesa, mereka punya masa untuk mencerca penindasan di pasaran, sementara orang miskin cuma ada masa untuk bergelut dalam pasaran untuk mendapatkan sesuap nasi.

Saya tidak ingat lagi apa yang dibualkan dengan Timi. Beliau belum jelas apa yang beliau buat dalam hidup. “Men’s Review bagus, majalah untuk golongan bercita rasa canggih” kata saya. “Tetapi editingnya lemah,” kata Timi. Saya ingatkan hubungan Timi dengan TPM akan tamat di Andalusia kerana dia tidak berminat dengan perniagaan bapa dan tidak mahu menjadi pewaris tahta empayar Ananda. Di kalangan kroni-kroni Mahathir, Ananda, kata bosku, adalah yang agak celik intelektual dan tidak tuli kebudayaan. Dalam sebuah restoran saya menjadi saksi kepada perdebatan antara sang taikun dengan sang politikus. Perdebatan agak panas. Anwar menyebutkan kritik-kritik sosial yang dibuat oleh John Kenneth Galbraith terhadap sistem ekononomi dan industri. Galbraith kini tidak lagi dibaca tetapi dekad-dekad 70an dan 80an, tokoh ekonomi dari Universiti Harvard itu merupakan antara public intellectual dunia sebagaimana Amartya Sen hari ini. “Semasa saya di Harvard,” kata Ananda untuk menumpulkan hujah Anwar, “Galbraith tidak dilihat sebagai ekonom.” Anwar tidak menerima gugatan sang kapitalis kroni itu dan melancarkan kuliah pendek tentang krisis disiplin ekonomi semasa yang mengabaikan aspek sosial, kebudayaan, alam sekitar dan keadilan. Kak Wan, Timi dan saya hampir-hampir hilang selera untuk makan. Mujur Ananda, dengan amat diplomatis, membrek hujahnya dan memberikan kemenangan kepada orang yang beliau lihat ketika itu sebagai bakal pengganti Mahathir dan dia sebagai usahawan yang memerlukan naungan politik tidak boleh berkelahi dengan orang yang bakal menduduki kerusi PM. Saya tidak tahu apakan kesan perdebatan itu pada Timi. Tetapi beberapa bulan selepas itu saya mendengar dari mulut Ananda sendiri bahawa Timi telah menyertai sangha sebagai persediaan untuk menjadi bhikku. Ini samalah seperti orang Islam menyertai tarekat. Tetapi orang Islam yang menyertai tarekat boleh berkahwin, berkeluarga, kena juga bekerja atau berniaga supaya dapurnya berasap. Menjadi seorang bhikku bermakna hidup menjalani disiplin rohani dan meditasi untuk sampai ke nirwana dan keperluan hidup jasad diperolehi dengan minta sedekah. Bila Timi memberitahu bapanya dia ingin menyertai sangha untuk menjadi bhikku, Ananda merasakan tujuh petala langit akan runtuh. Seperti krisis yang melanda Hastinapura yang dibabadkan dalam Mahabharata. Santanu, raja Hastinapura, telah mati meninggalkan empat orang putera. Seorang putera mati muda sebelum berkahwin. Dua orang lagi sempat berkahwin tetapi mati sebelum menghasilkan zuriat. Seorang lagi, Bhisma, putera sulung dan seharusnya menjadi putera mahkota, telah membuat sumpah yang menggegarkan langit untuk tidak berkahwin sepanjang hayat dan tidak akan mempunyai anak. Takhta Hastinapura digugat kepupusan. Mungkin begitu juga fikir Ananda pada takhta korporatnya. Ananda menghantar Timi berjumpa Anwar dan meminta TPM menasihatkan anaknya. Apa yang Anwar nasihatkan pada Timi saya tidak tahu tetapi yang jelas adalah putera mahkota empayar Ananda makin ghairah untuk menjadi sami.

Setelah pertemuan pendek di pejabat TPM saya tidak lagi menemui Timi. Dewasa ini bila saya minum dan ngobrol di Jalan Telawi, baik di Nirwana Maju atau Devi’s Corner atau Coffee Bean, pernah juga didatangi oleh bhikkuni (bhikku perempuan) yang minta sedekah. Maka saya akan bercerita kepada kawan-kawan tentang kisah Timi yang telah meninggalkan kekayaan duniawi untuk menempuh jalan ke Nirwana. Di manakah Timi sekarang? Kenapa dia tidak datang ke Nirwana Maju untuk minta sedekah. Baru-baru ini saya diberitahu oleh Eddin Khoo, Timi hanya minta sedekah di KLCC, simbol empayar dan kekayaan duniawi bapanya.

Pembaca budiman, apakah saya telah tenggelam punca? Apa kaitan kisah Timi dengan babad Pendekar Jawa? Sahabatku pendekar politik Masjid Tanah, Abdul Wahab Ibrahim, sampai bertanya: “Tajuk ceritanya Pendekar Jawa tetapi kenapa sampai masuk cerita pendekar Cina?” Yang saya babadkan hanyalah sekelumit dari apa yang berlaku di Pejabat Anwar Ibrahim. Ezam memasuki Pejabat Anwar Ibrahim tatkala Anwar Ibrahim berada di penghujung era Anwar Ibrahim 2.0. Anwar Ibrahim 2.0 itupun sudah cukup kompleks, lebih kompleks dari Pejabat Mahathir meskipun beliau Perdana Menteri. Pejabat Mahathir hanya mempunyai tiga dimensi: dimensi pentadbiran kerajaan, dimensi politik dan dimensi korporat. Di tahun-tahun akhirnya pejabat Mahathir dikuasai oleh dimensi korporat, dan ramai yang menyalahkannya pada Aziz Ismail (Setiausaha Sulit PM) sebagaimana mereka yang tidak dapat menembusi pejabat tpm menyalahkan pemegang Diari Merah.

Ezam memasuki Kementerian Kewangan sebagai pendekar politik. Padanya yang paling penting pada Anwar Ibrahim 2.0 adalah aspek politiknya. Dimensi lain Anwar Ibrahim, dimensi intelektual, kebudayaan dan lain-lain, perlu tunduk kepada keperluan dan tuntutan politik. Pendekar Jawa kita tidak mahu tahu mengapakan bosnya membaca The Name of the Rose , novel tulisan Umberto Eco dan mentelaah novel-novel Primo Levi dan Italo Calvino, mengapa begitu sayang kepada Prof. al-Attas, meskipun banyak menimbulkan masalah, mengapa boleh berbual berjam-jam dengan Ziauddin Sardar, mengapa sanggup duduk tekun dan mengambil nota di depan Sheikh Taha Jabir al-Elwani.

Dari seorang pendekar politik Ezam kini menjadi seorang political desperado. Dari sanad-sanad yang saya tidak punya alasan untuk meraguinya Pendekar Jawa kita sampai ke Masjid Tanah, bukan untuk makan rendang itek kerana dia datang bukan hari selasa, tetapi untuk berjumpa pendekar-pendekar politik di sana untuk mengajak mereka keluar dari Keadilan dan menyertai Gerak. Dari sanad-sanad yang juga boleh dipercayai dia menalipon Din Bijai, dan si penerima panggilan merakamkan perbualan. 2008 Anwar Ibrahim akan kalah, tetapi 2012 saya akan menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, kata Pendekar Jawa itu. Apakah strategi Pendekar Jawa untuk menjadikan Anwar Ibrahim Perdana Menteri? Dengan keluar Keadilan berbondong-bondong dan masuk berduyun-duyun menyertai Gerak. Apakah misi Gerak? Menyerahkan dokumen-dokumen rasuah menteri-menteri kepada Perdana Menteri yang memberikan kontrak kepada anaknya untuk membekalkan makanan tentera selama 15 tahun. Skandal Scormi? Dan kisah menantu PM yang dibabadkan di sana sini? Namun pendekar politik ini amat percaya dengan Perdana Menteri yang menjaminkan belanjawan defisit sehingga 2010. Maka pendekar ini pun menyerang orang yang dianggapnya bapa, mengatakan bapanya “diktator”, “lemah kerana dikuasi kumpulan elit.” Gamaknya seperti Lu Bu dalam San Guo yang membunuh Ding Yuan, orang yang pendekar itu anggap sebagai bapa, untuk berpaling tadah kepada Dong Zhuo. Kemudian Lu Bu memanggil Dong Zhuo sebagai bapanya yang baru. Apakah pendekar Jawa kita mencari bapa politik yang baru?

V.

Kawan-kawanku, ada suatu pelajaran terpenting yang saya perolehi dalam tiga puluh tahun berdampingan dengan Anwar Ibrahim, Anwar Ibrahim dalam ketiga-tiga jelmaannya dalam ruang awam: Anwar Ibrahim 1.0, Anwar Ibrahim 2.0 dan Anwar Ibrahim 3.0 — Politik itu pendek, tetapi perjuangan itu panjang.

Politik, kata Anwar dalam jelmaan 1.0, merupakan “uncharismatic and low morale profession.” Politik yang kelam dengan intrik, sepak terajang, fitnah dan adu domba, memburu kuasa, harta dan kedudukan. Dua minggu yang lalu, di Kota Bharu, Anwar memberikan wacana tentang “guiding ideas” atau ide pendorong dalam perjuangan dalam perjumpaan Angkatan Muda Keadilan. Beberapa hari selepas itu wacana tersebut diulangi di Ampang. Amat bertepatan beliau mengulangi wacana idea pendorong itu kepada AMK kerana ramai pemuda-pemuda Keadilan yang telah tidak dapat membedakan antara politik dengan perjuangan akibat dari gaya politik tidak cerah yang dibawa oleh Pendekar Jawa kita semasa menjadi Ketua AMK.

Konsep idea pendorong datangnya dari pemikir Algeria Malik Bennabi. Idea-idea Malik Bennabi sungguh mengesan pada Anwar kerana saya mendengar beliau mengupasnya di dalam Abim. Pemikiran Malik Bennabi beliau sebut dalam ucapan dasar pertamanya sebagai Ketua Pemuda Umno. Dan sekarang dalam jelmaan 3.0 Anwar sekali lagi mengangkat pemikiran Malik Bennabi. Dan siapa yang mahu setia dengan perjuangan Anwar Ibrahim perlu mengunyah pemikiran Malik Bennabi. Dan tulisan-tulisan pemikir itu keras, sukar dikunyah. Pemegang Diari Merah bukanlah orang yang gemar membaca. Maka bos kami menyediakan program tanwiri, iaitu pencerahan, untuk Setiausaha Sulitnya. Jika ingatan tidak mengkhianati saya buku pertama yang beliau paksakan kepada Azmin adalah buku Malik Bennabi. Akibatnya kawanku itu mengalami intellectual indigestion.

Dari segi pembacaan pendekar Jawa kita lebih baik. Tetapi pembacaannya tidak mengikut cara gaya Anwar Ibrahim. Mungkin lebih dekat kepada Sanusi Junid. Sedikit masa dahulu dalam Umno hanya tiga orang membaca: Mahathir, Anwar dan Sanusi. Mahathir gemar membaca buku-buku pengurusan dan suatu masa mewajibkan pegawai-pegawai kerajaan membaca The Mind of the Strategist yang tulis oleh Kenichi Ohmae. Ketika Mahathir sibuk mempromosi Ohmae saya sedang asyik membaca FA Hayek dan ahli-ahli ekonomi dari Mazhab Chicago yang membuka ufuk baru pemikiran saya dan membawa penemuan kepada liberalisme. Dari dulu saya tidak melihat Ohmae seorang pemikir serius yang perlu dicanangkan oleh seorang Perdana Menteri. Maha Firaun itu juga gemar membaca buku-buku spy maka otaknya penuh dengan konspirasi. Buku-buku yang dibaca oleh Sanusi menggerunkan saya. Kebanyakkannya biografi diktator – Hitler, Stalin dll. Semasa menjadi wartawan saya selalu hadir dalam sidang akhbarnya dan satu hari dia dengan bangganya mempamirkan buku yang beliau sedang baca, biografi Napoleon. Sanusi juga dengan kembang ketiak mengatakan Lew Kwan Yew telah mencuri ideanya tentang eugenic selection dan melaksanakannya di Singapura. Maka saya tidak hairan bila ada mendengar orang mengatakan ada satu satu skrew longgar di kepala Sanusi.

Pembacaan Anwar Ibrahim, pada telekan saya, boleh adukan padanya kalau saya silap, adalah satu amalan humanistik. Maka buku-buku bacaannya adalah tentang sejarah, sastera dan sejarah falsafah dan idea. Dia pernah datang ke sekolah saya di Seremban ketika saya di tingkatan empat. Saya tidak ingat lagi satu apapun yang beliau syarahkan. Namun saya ingat dia menyebutkan nama Arnold Toynbee, ahli sejarah agung abad ke-20. Semasa beliau memimpin Abim beliau banyak membaca tulisan-tulisan tentang Islam dari tokoh-tokoh gerakan Islam. Kebanyakan aktivis Islam, termasuk pemimpin-pemimpinnya, membataskan bacaannya kepada buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh gerakan seperti Syed Qutb, Maududi, Fathi Yakan dan sebagainya. Tatkala belajar di ITM saya sering ke pejabat Abim yang ketika itu di Jalan Pantai Baru. Bila saya ke pejabatnya saya selalu mendapati di meja buku-buku sains sosial yang ditulis oleh Gunnar Myrdal, kritikan sosial dan suara-suara Dunia Ketiga. Maka ideanya tidak datang dari satu sumber. Satu hari saya membuat liputan ucapannya. Dia ketika itu menteri pendidikan. Saya terperanjat dia berwacana tentang novel, dan novel-novel itu memang hasil sastera yang terbaik, hasil tangan Umberto Eco, Primo Levi, Italo Calvino. Tentang novel sastera semasa saya agak, mungkin amat, terkebelakang. Hanya novel-novel Philip Roth menjadi tumpuan saya. Memang suatu yang menakjubkan bagi seorang pemimpin gerakan Islam membaca novel. Membaca novel memang satu amalan humanistik dan amalan tersebut menuntut toleransi terhadap hak imaginasi.

Dalam Umno sekarang kita tidak tahu siapakan yang masih membaca. Dalam kabinet Mahathir PM sekarang terkenal sebagai orang tidak tidak membaca kertas kabinet. Harap-harap ada wartawan menanyakan tajuk buku terakhir yang beliau baca. Tentang orang nombor dua sekarang boleh saya babadkan satu kisah yang saya terima dari sanad yang agak sahih. Anwar Ibrahim, ketika itu TPM, membeli beberapa naskah edisi kulit keras Diplomacy yang ditulis oleh Henry Kissinger untuk diberikan kepada beberapa orang kawannya dan antara penerimanya adalah Najib Tun Razak. Mantan Setiausaha Negara Amerika itu datang ke Kuala Lumpur untuk mempromosi bukunya. Anwar menjemput kawan-kawannya, termasuk Najib, untuk meraikan Kissinger dengan sarapan pagi. TPM itu memberitahu kawan-kawannya supaya bersedia kerana Kissinger akan membicarakan bukunya. Najib tiba dengan rungutan bahawa Diplomacy terlalu tebal, dia hanya sempat membaca pengantar dan penutupnya sahaja. Bila Kissinger sampai dia memulakan wejangannya dengan menyebut kritikan terhadap bukunya. Ianya terlalu tebal dan kebanyakkan pembaca hanya membaca pengantar dan penutupnya sahaja. Katanya Najib tersipu-sipu.

Saya yakin pembacaan Ezam tidak seburuk pembacaan Sanusi. Dia suka membaca biografi . Namun bacaannya tidak bersifat humanistik yang merupakan tunggak bacaan orang yang beliau anggap sebagai mentor atau bapa. Apabila saya mula mengikuti Anwar Ibrahim, saya masih di awal 20an, saya membaca semua tulisan-tulisannya dan semua buku-buku yang disebut dalam nota kakinya. Maka saya membaca Ivan Illich, Paulo Freirei dan Franz Fanon. Namun saya tidak memanggil Anwar mentor saya.

Saya telah menyaksi begitu ramai yang mencium tangan Anwar dan memanggilnya mentor, kesemunya lesap. Hishamudin Tun Hussein menghadiahkan Kamus Wilkinson yang dibelikan oleh Karim Raslan dari sebuah kedai buku antiquarian di London kepada Anwar pada hari jadinya. Tidak perlu saya kemukakan sanadnya. Saya terserempak sendiri dengan Karim ketika dia membelinya dan dia membisikan untuk siapa dia membeli kamus lama itu dan kepada siapa orangnya kamus itu akan diberikan. Bila kami kembali ke tanah air saya membertahu pemegang Diari Merah yang ketika itu sahabat intim Hishamudin. “Min, Hisham akan berikan hadiah untuk hari jadi bos. Aku dah tahu apa hadiahnya.” Hishamudin kadang-kadang datang lepak di pejabat Azmin. Begitu sayangnya Azmin dengan Hishamudin sampai dia sanggup derhaka dengan bosnya. Dalam pertandingan untuk jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Anwar Ibrahim menyokong Fatah dari Selangor. Tetapi dalam diam-diam Azmin memandai-mandai membisikan kepada Pemuda supaya menyokong Hisham. Dan Hisham menang. Akibatnya tiga bulan TPM tidak bercakap dengan sus-nya. Selama tiga bulan Azmin seperti hidup dalam neraka. Namun Diari Merah tidak jua lepas dari tangannya.

Bila Kamus Wilkonson sampai Azmin menunjukkannya kepada saya. Dalam kamus itu, dengan tulisan tangan yang amat feminin, Hishamuddin menuliskan kata-kata sanjungan kepada Anwar setinggi petala langit ke tujuh untuk Anwar. Anwar adalah gurunya, sanjungannya, ikutannya dan lain-lain kata munafik.

Dua tahun lalu, di Ipoh, Pendekar Jawa kita berkata di perhimpunan AMK bahawa dia masuk Umno kerana Anwar Ibrahim dan dia keluar Umno kerana Anwar Ibrahim. Perwakilan AMK memberikan tepukan gemuruh. Kawan-kawanku, baru-baru ini apabila Ezam memanggil Anwar sebagai “mentor” dan “bapa” maka saya teringat apa yang ditulis oleh Hishamudin dalam Kamus Wilkinson.

VI.

Pada 2 Januari 2007 saya menulis ini tetapi tidak saya kirimkan. Meskipun saya mendapat permintaan bertubi-tubi supaya babad ini saya tulis hingga habis dan saya telah tahu bagaimana untuk menutupnya tetapi hati saya berat untuk menjadikannya sebagai posting. Maka saya savekan sahaja. Nah ternyata masa untuk menutupnya sudah benar-benar tiba.

Saya akan memulai penutupan babad ini dengan satu wejangan pada gambar di sebelah yang saya tangkap dengan Nokia 3600 semalam. Lelaki dalam gambar ini yang kelihatan seperti Ho Chin Min memang seorang Vietnam, seorang intelektual dan seorang anti komunis. Thai adalah sumber saya kepada kehidupan awal Lai Teck di Vietnam sebagai sebagai seorang ejen periskan Perancis. Biar saya segarkan kembali ingatan kawan-kawan bahawa Lai Teck ejen Kampetei semasa Jepun menguasai Malaya dan Singapura dan juga ejen British yang menjadi menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya. Bagi orang kiri Lai Teck adalah pengkhianat agung. Namun bagi saya beliau adalah penyelamat agung, orang yang menyelamatkan Malaya dari jatuh ke tangan komunis, maka peranannya lebih besar dari yang dimainkan oleh C C Too. Apakah relevannya intelektual Vietnam ini pada Pendekar Jawa kita? Thai adalah salah seorang mentor awal Ezam. “Kenapa Ezam keluar Keadilan?,” tanya beliau tatkala kami menghirup kopi di Starbucks yang hanya beberapa langkah di sebelah kiri gambar ini. “Dia sudah tidak punya keyakinan terhadap perjuangan Keadilan,” jawab saya rengkas.

Sekarang biar saya sambung dan kunci ketat-ketat babad ini. Lihat sebelah atas gambar itu betul-betul, nama hotel nampak jelas:”Orchard Parade Hotel.” Di Singapura, lebih tepat di Orchard Road. Di hotel inilah bermulanya babad dan dengan gambar hotel ini saya akan mengakhirnya, mengakhirnya dengan menceritakan awal mula cerita. Hanya tiga orang yang tahu kisah ini, sang pendekar, sang penulis, dan sang ketiga telah meninggal dunia– Datuk Nasaruddin Abdul Jalil (Nasa).
Anwar Ibrahim telah dibawa ke mahkamah, dan matanya lebam. Seluruh dunia menjerit. Tetapi siapa yang memukulnya? Tidak siapa yang berani menyebutnya, bahkan ramai tidak berani mengesyakinya. Semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri tim keselamatannya adalah terdiri dari anggota UTK, dan seorang pengawal peribadi Nasa adalah bekas UTK. Dari mereka Datuk Nasaruddin mendapat maklumat bahawa orang yang memukulnya adalah Tan Sri Rahim Nor. Dan Nasa telah mengetahui, dan dia memberitahu saya, bahawa bos kami telah dipukul sehari selepas kejadian itu berlaku.

Gambar mata lebam kami lihat di hotel Orchard Parade dan kami bertiga berbincang. “Kita mesti beritahu dunia yang memukulnya adalah IGP,” kata saya. “Kita di luar negeri, kita boleh lakukan, kawan-kawan dalam negeri tak boleh lakukan, bahaya,” hujah saya lagi. “Setuju, kau tulis statement,” kata Nasa. “Aku boleh tulis, tapi Ezam kena sain, sebab dia Setiausaha Politik,” kata saya. “Setuju, Ezam sain,” kata Nasa. Kami bersurai dan bertemu kembali bila kenyataan selesai saya derafkan. Nasa membacanya dan sambil itu saya mengulas lagi.”Kena keras, tak boleh lembut. Kalau lembut mereka tak akan siar. Kalau mereka tidak siarkan mereka terpaksa nafikan, jadi orang tahu ada tuduhan IGP membelasah bekas TPM.” “OK,” kata Nasa, “Ezam, kau sain.” Ezam tidak mahu menandatanginya, tidak dengan serta merta. Dia minta masa untuk menelitinya. Selepas 24 jam dia menandatanganinya dan kenyataan itu kami fakskan kesemua media. Seperti yang saya jangkakan tidak ada akhbar yang melaporkannya. Tetapi A Kadir Jasin kemudiannya mengeluarkan dengan menyindir Ezam dalam kolumnya “Other Thots”. Mulalah Ezam dibalun kiri dan kanan, maka lahirlah seorang pendekar. Tetapi pendekar yang baru lahir itu, ini beliau beritahu saya lama sesudah itu, lemah longlai tidak bermaya. Mengapa? Dia tahu akibat menandatangi kenyataan yang saya tuliskan. Dia akan disingkirkan dari Umno, itu baginya adalah satu mala petaka yang maha dahsyat.

Yusmadi, peguam Ezam semasa di bawah ISA dan kini ahli parlimen Balik Pulau, memberitahu saya Ezam pernah menulis surat kepada Abdullah Badawi dari dalam penjara Kajang. Dan dari beberapa sumber lain saya membuat kesimpulan Ezam telah di’turn over’ semasa di Kamunting. Selepas dibebaskan dari ISA Ezam tidak aktif dan tidak sama sekali berada dalam satu platform dengan bekas-bekas tahanan ISA. Ini saya kira adalah janji beliau dengan pegawai-pegawai yang melakukan turning over terhadap beliau. Kemudian dia melakukan banyak kontak dengan pemimpin-pemimpin Umno, termasuk dengan Khir Toyo yang ketika itu Menteri Besar Selangor. Dan dia mula berbangga-bangga dengan kontaknya dengan pemimpin-pemimpin Umno. Suatu hari dia memberitahu saya kata-kata seorang Umno: “Ezam, kau cepatlah masuk Umno, aku dah tak tahan melihat kebahlulan yang ada dalam Umno sekarang.” Wah Ezam bukan main terkesan dengan pujian tersebut. Bila berlaku siri tindakannya, meletak jawatan dari Ketua AMK dan lain-lain saya telah yakin bahawa dia membina jambatan untuk kembali kepada Umno. Tetapi Ezam juga melakukan diversion, mengingat jalinan dengan pemimpin-pemimpin tertentu Pas dan melontar khabar-khabar angin akan menyertai Pas. Dan ada pemimpin Pas yang termakan dengan diversion tersebut.

Walhasil Ezam telah kembali ke zaman pra-peristiwa Orchard Parade Hotel. Maka tamatlah kisahnya sebagai Pendekar Jawa. Selepas ini kita akan menyaksikan Ezam sebagai Lu Bu. Saya sudah sarankan supaya membaca San Guo Yan Yik. Kalau masih belum membacanya maka tidak akan faham. Pagi tadi saya memanggil Liau Kok Fah, bila dia mengangkat panggil dia terus bertanya: “Bagaimana dengan kawan awak?” “Satu tahun dahulu saya sudah katakan dia Lu Bu, kau tak mahu percaya,”jawab saya.”Betul apa yang awak katakan, dia memang Lu Bu, sekarang saya percaya,” tambah Liau.

Bagi Ezam segala-galanya adalah politik. Dia tidak pernah mengerti apa itu reformasi. Ezam memasuki semula Umno tatkala Mahathir keluar. Hakikatnya adalah beliau adalah jelmaan muda kepada Mahathir. Pada umur yang agak muda Ezam telah menjadi sifu, sifu politik adu domba, meastro of factional politics. Nasib baik ramai yang jujur dan tak suka adu domba dalam Keadilan maka tidak ramai yang mahu menari menurut gendangnya. Dalam Umno memang ramai yang suka menari tarian perpecahan. Inilah telahan: Ezam masuk melalui saluran Khairy dan diterima oleh Badawi. Tetapi dia tidak akan mahu menari dengan tarian Badawi-Khairy sepenuhnya. Dia juga akan menghantar orangnya membawa pesan kepada Najib, kepada Mukhriz, kepada Hishamudian. Badawi-Khairy memerlukan Ezam pada saat lemah mereka, tetapi kalau kubu lain boleh menawarkan kemajuan politik kepadanya dalam Umno dan kemajuan itu memerlukan dia membawa kepala-kepala Badawi-Khairy kepada Najib, atau Muhyiddin atau Hishamudin, dia akan lakukan. Dua ribu tahun yang lalu bukankah ini yang dilakukan oleh Ezam sebagai Lu Bu? Sudah saya katakan baca San Guo!

Tamat muktamad dan tiada sambungan lagi!

 

Catatan ini ditulis dan diterbitkan bermula Jun 2007 sehingga Mei 2008 ini diambil dari blog Khalid Jaafar yang telah tiada.