Sore di Kuala Lumpur

oleh
11 Ogos, 2011 | kategori Wawancara | komen [0] | Cetak | kongsi  

Sore ketika mempersembahkan lagu-lagu dari dua buah album mereka di Kuala Lumpur. © Hafiz Hamzah

I.

Malam itu, lantai empat Wisma Bentley Mutiara Damansara di pinggir Kuala Lumpur perlahan-lahan mula dipenuhi. Dari pintu auditorium yang separuh terbuka, ruang dalam dibiar malap. Pentas yang tinggi dari lantai juga gelap. Di bahagian belakang dewan, beberapa orang bersiap di depan konsol audio, menunggu sebelum persembahan malam itu dimulakan.

Sebuah malam yang berbeza, ada rasa intimasi walaupun ketika itu alunan muzik belum satu pun dimainkan. Tetapi ambiennya terlebih dahulu menghantar rasa yang erat kepada audiens dan pelaku muziknya. Ruang sederhana besar, berpendingin hawa, tata cahaya ringkas tetapi aktif dan memikat serta penataan bunyi yang lebih terkawal adalah perkara-perkara yang melengkapi persembahan tiga band yang berkongsi pentas malam itu – Couple, Tilu dan yang diraikan, Sore dari Indonesia.

Atilia Haron dan Hang Dimas, selaku penggerak utama perjalanan acara malam itu membuka tirai dengan dengan celoteh ringkas sebelum memperkenalkan Couple. ”Ramai yang tak tahu, band ini sudah berusia 16 tahun,” jelas Dimas di dalam pengenalan ringkas tentang Couple. Selebihnya, band asal Malaysia yang menggelar genre muziknya sebagai ’power-pop’ itu memberikan suntikan tenaga pertama dari atas pentas melalui muzik mereka untuk terus menggerakkan momentum dan gegak-gempita instrumen yang ada dan merancakkan tempo.

Awan Garnida © Hafiz Hamzah

Di sisi sebelah kiri pentas, Awan Garnida tersenyum, ”Awesome,” katanya, dengan mata masih saja terpaku di pentas melihat aksi-aksi Couple yang sedang larut di dalam muzik mereka. Dewan itu juga, saya pasti, tetap merasakan hal yang sama, kalau pun selera muzik yang disimpan dalam diri malam itu lebih terarah untuk menikmati alun-alun melodi yang lebih tenang. Tetapi, Couple tidak mengecewakan – seperti mementaskan persembahan untuk teman-teman. Kurang lebih setengah jam mereka menghidangkan muzik cara Couple untuk dewan yang semakin dipenuhi.

Tilu kemudiannya naik memenuhi ruang pentas dengan barisan ahli-ahli dan instrumen yang membangun muziknya. Kali kedua menonton persembahan band ini, di dalam suasana yang lebih terkawal dan tertutup,  muziknya tetap sama; teratur, sedap didengar dan meriah dengan komposisi ulangan serta barisan instrumen yang pelbagai, mewarnai muzik ringkas mereka.

Sebelum dewan dan pentas gelap. Sebelum Hang Dimas memperkenal dan merasmikan jenama denim terbarunya – Easton Denim – dan sebelum Sore menggamit semua yang hadir dengan muzik segar yang melonjak nama mereka beberapa tahun ini di dalam lingkar penggemar muzik baru rantau ini.

Ketika Vrijeman membuka set, untuk seketika (atau mungkin saja berkepanjangan), suasana tak lagi sama malam itu. Bunyi-bunyian yang keluar dari setiap corong suara dan instrumen, walaupun tak sempurna, seperti bertukar menjadi cahaya dan warna-warni yang menyenangkan untuk kedua-dua mata dan telinga.

Sore tampil malam itu tidak sekadar menyanyi. Mereka bercerita, bermuzik dan menghiburkan hadirin yang ketika set mereka dimulakan, sudah memenuhi ruang dewan itu; baik yang duduk mahupun yang berdiri berhimpit-himpit di belakang. Yang bermain gitar dan bass, ketiga-tiganya kidal, dan hampir semua mereka bergilir untuk sama-sama menyanyi lagu-lagu Sore yang kebanyakannya anthemic. Terima kasih kepada Awan yang membuat persembahan Sore itu seringkali tak kering gusi, dengan jenaka-jenaka yang entah dapat ditangkap atau tidak oleh yang hadir.

Untuk sekitar dua jam berikutnya, yang ada untuk dihadapkan kepada semua adalah sebuah perjalanan muzik yang luar biasa. Emosi yang bersanding dengan energi sederhana pada setiap komposisi muzik Sore bersilih ganti untuk dinikmati. Tak banyak kata-kata yang mudah dipakai untuk mengungkap muzik yang dihasilkan Sore.

Barisan lagu-lagu seperti Mata Berdebu, Somos Libres, Bogor Biru, Merintih Perih, Setengah Lima (sekadar menyebut beberapa nama), tak pernah gagal untuk menusuk dan meninggalkan kesan untuk diingati setiap yang hadir malam itu. Dan, ia boleh difahami mengapa persembahan malam itu begitu tekun disampaikan; Itu kali pertama selepas hampir setahun Sore tidak membuat persembahan live, terakhir ketika membuka pentas ketika persembahan Belle & Sebastian tahun lalu di Jakarta.

Dan malam itu tentunya sebuah malam untuk diingati oleh semua yang menonton.

 

Dari kiri Ade Paloh, Ramondo Gascaro, Reza Dwiputranto, Awan Garnida dan Bambi Gusti Pramudya. © Hafiz Hamzah

II.

Dua album yang mengesankan. Untuk apa pun alasan, Centralismo (2005) dan Ports of Lima (2008) merupakan penawaran produk muzik yang ketika ia muncul, segera meniupkan udara baru. Sentuhan-sentuhan yang diberikan oleh lima anggota tetap band Sore; Ade Paloh (AP), Ramondo Gascaro (RG), Bembi Gusti Pramudya (GP), Reza Dwiputranto (RD) dan Awan Garnida (AG) berhasil untuk mengunjurkan lanskap muzik rantau ini ke sisi baru yang sebelum ini belum lagi dihuni, agaknya.

Dengan dua album ini, muzik Sore segera diangkat; Centralismo termasuk senarai lima album paling berbaloi dibeli oleh majalah Time Asia. Rolling Stone Indonesia juga menobatkan kedua-duanya; tangga ke-40 bagi ‘150 Album Terbaik Indonesia Sepanjang Zaman’ (Centralismo) dan Album Terbaik 2008 (Ports of Lima).

Petang sebelum persembahan, saya duduk di ruang penonton, melihat dari dekat sesi soundcheck mereka. Semuanya bersahaja, ringkas. Mungkin, sesi begini tidak terlalu merunsingkan kepala. Mungkin juga Kuala Lumpur sendiri tidak terlalu asing buat Sore. 2006, mereka muncul pertama kali bermain live di Little Havana, Changkat Bukit Bintang.

Reza Dwiputranto, gitaris dan vokalis Sore. © Hafiz Hamzah

Itu belum dikira kunjungan-kunjungan kecil ketika promosi-promosi filem yang mana Sore ikut melengkapkan filem-filem berkenaan dengan muzik dan single mereka, antaranya filem Berbagi Suami – melalui remake lagu Pergi Tanpa Pesan. Persembahan terbaru ini boleh saja dianggap showcase terbesar pernah diadakan di Malaysia untuk khalayak, setelah malam sebelumnya Sore meraikan persandingan Noh dan Nina di dalam satu majlis tertutup.

Dari bilik persalinan belakang pentas, dibawa ke bahagian veranda luar auditorium di tingkat empat itu dalam tempoh waktu yang tersisa, saya mewawancara ringkas kelima-lima anggota Sore, yang berselang-seli menyatakan pandangan sendiri-sendiri, berbicara antaranya tentang muzik dan hal-hal seputarnya. Selebihnya adalah gelak ketawa yang menyenangkan.

Beberapa batang rokok berganti di bibir. Sebuah perakam suara, kamera DSLR, suasana petang yang tenang, habuk-habuk Mutiara Damansara yang terbang naik setinggi itu dan menemani sesi seterusnya. Transkrip wawancara ini sedaya upaya dibiarkan di dalam aturan seadanya perbualan itu, tentunya dengan sedikit-sebanyak perubahan dilakukan untuk memudahkan pemahaman latar yang ada.

Bagaimana kamu melihat perjalanan Sore sebagai sebuah band?

Ade Paloh © Hafiz Hamzah

AG: Sejak perkenalan kami sebagai teman-teman sekolah, muzik adalah sarana kami untuk berseronok. Kemudian, bermula tahun 2000 sekitarnya, kami mula menulis lagu. Ketika itu, kami hanya menghasilan lagu, merakam mungkin, tetapi tak pernah dimainkan kepada orang. Sehingga satu waktu, ketika Aksara Record ingin menjayakan satu projek kompilasi muzik. Maka Sore sebagai sebuah band bermula dari situ.

Perkembangannya sehingga kini?

AG: Sore sudah punya dua album, Centralismo dan Ports of Lima. Perbezaan antara keduanya mungkin album Ports of Lima itu menurut saya lebih kelam. Nama Sore itu sendiri menjelaskan hal ini; kami amat senang dengan suasana petang (sore). Tak terlalu panas, tapi masih terang. Sibuk, akhir dari keletihan.

Kamu menyebut album kedua itu lebih ‘kelam’?

AG: Misalkan saja untuk Centralismo itu petang sekitar jam tiga atau empat, dengan Ports of Lima pula ‘sore’ semakin larut, mungkin tiba ke waktu senja, Maghrib. Boleh kamu bayangkan waktu Maghrib? Keluar rumah dan suasananya berlainan sekali.

Waktu ini Sore bergerak sendiri, tidak ada lagi Aksara Records?

AG: Ya Aksara sudah ditutup. Sekarang kami akan menerbit sendiri. Album ketiga juga masih di dalam perancangan, belum ada apa-apa yang bisa ditetapkan. Sekadar judul awal, Los Skut Leboys. Tetapi itu belum pasti. Kerana ramai yang bertanya, ”Kira-kira album ketiga namanya apa?” maka kami akan mengatakan; ”Kami memanggilnya Los Skut Leboys!” Itukan memudahkan kami juga (Ketawa…) .

Apa maksudnya Los Skut Leboys?

AG: Tak ada setepatnya. Itu saya kira sedikit Spanish, sedikit bahasa slanga Indonesia. Jadi kami menggabungkannya, mungkin kerana bunyinya lunak. Sama seperti Sore ketika menulis lagu-lagu kami.

Bagaimana proses Sore menyusun/komposisi lagu, ada yang menjadi mastermindnya?

AG: Jika ada satu materi lagu misalnya, kami tak pernah meletakkan apa-apa konsep kepadanya. Terus, sendiri-sendiri atau di studio, kami akan cuba mengisi antara satu sama lain.

RD: Jika di studio, Sore adalah sebuah usaha kolektif. Bertolak dari idea-idea komposisi yang longgar itu, Mondo yang biasanya akan bertindak selaku penyambungnya dan melengkapkan penghasilan sesebuah muzik itu.

AG: Dia chef, kami semua ini ingredients.

RD: Tapi semuanya tetap melalui proses brainstorming bersama. Masing-masing punya peran dan sumbangan antara kami.

Berjalan sebagai sebuah band indipenden di Jakarta, adakah itu mudah?

RP: Sebelum ini, kami bersama Aksara. Tetapi, untuk album ketiga yang akan datang, kami sebenarnya belum ada langkah yang pasti setakat ini.

AG: Dari album pertama, Sore mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan satu-satu album itu. Misalnya, jurang album pertama dan kedua saja sekitar tiga tahun.

RP: Kerana Sore sebenarnya bergantung mood, ketika menghasilkan muzik. Untuk itu, belum ada kepastian apa-apa setakat ini untuk album ketiga.

AG: Kalau dibilang senang (bergerak secara sendirian), itu bergantung kepada matlamatnya. Setakat ini kami semua menikmati muzik dan berseronok dengannya, mempersembahkan lagu-lagu yang ditulis dan album yang dirakamkan. Kemudian, membuat kesan yang sebaik mungkin kepada orang yang mengikuti album itu. Setakat ini juga, kita selalu saja ada jalannya untuk bergerak (dan mengembangkan muzik Sore). Jadi kalau dibilang mudah pun tidak, dan kalau nak dibilang terlalu sulit pun tidak. Terutama kami banyak juga terlibat dengan soundtrack filem misalnya. Jadi jalan itu selalu ada.

Usaha terbaru Sore dengan produksi filem khabarnya bekerja bersama Joko Anwar kini?

AG: Dia baru-baru ini ada mengumumkan di Twitter, dia ada menulis sebuah skrip yang diinspirasikan oleh muzik Sore, terutama lagu Bogor Biru dan lagu itu nanti bakal termuat dalam filem itu.

Sore akan membuat penampilan di dalam filem itu juga?

AG: Belum tahu. Ketika berbual-bual dengan dia, kemungkinan itu memang sudah bermain di fikirannya. Tetapi masih belum ada apa-apa kepastian tentang itu.

Bembi Gusti Pramudya © Hafiz Hamzah

BP: Tetapi, sebenarnya sebelum ini, di dalam setiap filem Joko, individu Sore ada membuat penampilan di dalamnya. Bermula dari Janji Joni, Kala dan Pintu Terlarang.

Bagaimana dengan lirik Sore?

BP: Untuk lirik, hampir 70 peratus di tulis oleh Ade (Paloh).

AP: Lirik kebanyakannya yang dituliskan adalah tentang keadaan manusia. Hidup mereka, emosi dan sebagainya. Tapi kami bikinnya tidak secara literal. Mungkin lebih ke metaforik.

Tentu ada inspirasi dari penulis-penulis lain?

AP: Kita lebih banyak mengambil semangat penulisan Indonesia tahun 1970an. Indonesia tahun 70an itukan ambigu dan banyak tentang metaforik-metaforik alam yang dimasukkan ke dalam jiwa manusia. Begitu juga dengan lirik Sore. Kita banyak mengambil alam untuk lirik. Matahari misalnya pasti ada, persekitaran dan sebagainya. Tapi itu menjadi seperti perangkat komunikasi bagi lirik kami.

Sore terdiri daripada pemuzik sepenuh masa?

BP: Reza – pereka dalaman. Ade berniaga. Mondo dan saya komposer. Awan – mesin pencetak wang (ketawa). Saya dan Mondo memang membuat produksi muzik, biasanya untuk iklan tv, filem-filem dan komposisi untuk persembahan muzikal. Sebetulnya saya dan Mondo baru selesai menyiapkan muzik untuk Onrop! The Muzikal, hasil tangan Joko Anwar.

Joko Anwar ini besar juga namanya untuk Indonesia dan Sore sendiri?

BP: Ya, untuk lingkungan pembikin filem independen. Kerja-kerjanya cutting-edge jika dibanding kebanyakan pengarah filem lain.

AP: Harus diingat, kebanyakan filem-filem Indonesia waktu ini membuat filem-filem yang teruk sekali. Jelek sekali. Banyaknya tentang hantu, pocong dan sebagainya. Tetapi untuk Joko Anwar itu tidak. Filem-filem suspense, thriller, slasher, noir. Dia tergolong dilingkungan pembikin filem yang edgy.

Sore sendiri menyanyikan lagu-lagu di dalam bahasa Indonesia dan Inggeris. Ada masalah untuk lagu-lagu bahasa Inggeris diterima di sana, berbanding yang berbahasa Indonesia? Kerana di Malaysia, penerimaan muzik dengan bahasa Melayu itu lebih meluas berbanding yang berbahasa Inggeris.

AP: Di Malaysia kan orang bercakap juga dalam bahasa Inggeris? Itu menjadi penghalang (kepada penyampaian muzik)?

Untuk saya, sepatutnya tidak menjadi masalah. Tetapi, penyerapan muzik untuk khalayak pendengar, adalah lebih mudah diterima jika disampaikan dengan bahasa Melayu.

AP: Saya kira di Indonesia juga sama, tetapi tidak sampai menjadi masalah besar. Cumanya di Indonesia, bahasa nasional adalah bahasa Indonesia. Semua harus bisa bertutur di dalam satu bahasa itu. Bahasa Inggeris juga banyak digunakan. Itu tak jadi masalah.

Atilia Haron ketika mengacara majlis sebelum menyampaiakan sebuah lagu duet dengan Sore. © Hafiz Hamzah

III.

Atilia Haron, penyanyi jazz tempatan duduk menyertai Sore di pertengahan  perbualan ini. Beliau sempat merakam sebuah lagu bersama Sore tak lama dulu. Malam itu adalah pertama kali mereka mempersembahkan lagu berkenaan secara live bersama. Juga, sebuah video muzik untuk judul itu turut dipertontonkan. ”Saya sendiri belum menonton hasil akhir video berkenaan.” Di dalam perkembangan terbaru, penyanyi ini akan melancarkan albumnya, Indah untuk pasaran Indonesia, direncanakan  selepas Aidilfitri nanti.

Atilia mengulas ringkas tentang muziknya dan Sore…

Atilia ada merakam lagu dengan Sore. Sudah dimainkan di Malaysia?

AH: Ya. Sudah dimainkan di Malaysia. Video muzik pun baru saja kami disiapkan. Lagunya Silly Little Things, yang dimuatkan dalam album saya, Indah yang dilancarkan Jun tahun lepas. Tapi tak pernah dipertengahkan. Waktu itu airplay ada, tetapi kurang. Cuma sekarang sudah mula kerap dimainkan. Di Indonesia pun, dari maklum balas di laman Twitter, dah ramai orang yang dengar lagu ini. Malam ini adalah kali pertama video berkenaan dilancarkan dan dipertontonkan kepada umum.

Kenapa Atilia tertarik dengan Sore untuk berduet?

A: Sebab saya rasa mereka lain daripada band-band yang ada. Ini pemuzik kedua dari Indonesia yang saya pernah bekerjasama. Pertama, Maliq & D’essentials. Menarik tentang Sore pada saya kerana mereka tak sekadar membuat lagu. Sore membawa pendengar untuk menjelajah jiwa, terutama  sebagai pemuzik. Susah nak jelaskan depan Sore sendiri, nanti mereka ‘kembang’… (Pertanyaan ini tersangkut di sini saja, dan disambut hanya dengan gelak ketawa semua yang ada.)

Atilia kenal Sore sebagai sebuah band dahulu atau kenal muziknya terlebih dulu?

AH: Saya kenal muzik mereka dulu. Saya dekati Sore pertama sekali melalui Facebook. Saya ke fanpage mereka, saya tulis saya berminat berduet dengan Sore, ini laman web saya. Kemudian mereka tengok laman web saya dan kata ‘Ok’. Lepas itu baru saya ke Jakarta, berjumpa pertama kali dengan Sore hanya untuk berbincang lanjut tentang duet ini. Lepas itu sekejap saja. Lagu tulisan Sore, saya dengar dan jatuh hati, kemudian ke Jakarta semula untuk rakaman, dalam tempoh dua hari siap dan balik rumah (KL). Dalam seminggu kemudian, Sore hantar mix lagu berkenaan. Semuanya sangat cepat. Itu saja. Selebihnya, siaplah lagu duet kami.

Lagu berkenaan bukan sebagai single (untuk radio) dari album Indah?

AH: Akan dijadikan single selepas showcase ini. Jadi, macam itulah. Macam mimpi kami akhirnya di sini untuk mempersembahkannya malam nanti.

 

IV.

Jumaat malam, 22 Julai 2011. Jam di tangan menjelang 11 malam. Saya berjalan menelusuri Jalan Thamrin, Jakarta seorangan, menuju simpang empat besar di hujung sebelah sana. Saya berencana untuk bertemu Ramondo Gascaro, selepas beliau tamat sesi latihan muzik malam itu. Oleh kerana orang-orang Jakarta gemar makan di larut malam dan kedai-kedai F&B sekitar itu penuh, kami beralih ke kompleks Sarinah, berseberangan jalan.

Di situ lebih senyap, dan lebih tenang untuk berbual-bual. Wawancara ringkas ini mengambil tempat di Dunkin’ Donuts. Saya bertanyakan kepada Mondo beberapa lagi perkara tentang Sore, sementara menunggu menjelangnya tengah malam yang sepi di tengah kota Batavia.

Ramondo Gascoro © Hafiz Hamza

Album-album Sore kini semuanya habis terjual? Tak ada lagi dalam simpanan kalian?

RG: Ya. Di dalam simpanan saya sendiri sudah tidak ada.Mungkin ada barangkali di toko-toko muzik yang masih menyimpan. Saya tak pasti.

Semuanya berapa jumlah salinan yang terjual untuk album kedua?

RG: Untuk album itu, cetakan pertama dikeluarkan 5,000 salinan. Kemudian, ia terus dicetak-semula beberapa kali. Saya tak punya jumlah akhir berapa yang terjual sebetulnya, disebabkan label itu (Aksara) sudah ditutup. Kalau mengikut perancangan, akan ada re-issue untuk album-album Sore tahun depan.

Bagaimana dengan progres lagu-lagu terbaru?

RG: Belum ada apa-apa. Masih di dalam peringkat demo. Belum ada caranya lagi untuk dikembangkan ketika ini.

Bagaimana proses Sore menulis lagu?

RG: Biasanya personil punyai metari mentah. Untuk membangunkan sesebuah lagu, biasanya dikerjakan berdua atau bersendirian antara kami. Misalnya, jika Ade punya lagu, dah tak tahu bagaimana untuk dikembangkan, terus dibawa kepada saya. Kemudian ditulis liriknya. Kemudian diperdengarkan kepada yang lain untuk diberi pandangan. Begitulah selalunya.

Kalau begitu, Sore sebagai sebuah band kerap berlatih bersama?

RG: Untuk rakaman? Sebetulnya kami jarang berlatih bersama. Lebih kepada brainstorming untuk menentukan perjalanan sesebuah lagu itu. Jamming sekali sebagai sebuah band memang kurang. Kami bertumpu lebih kepada kerja rakaman (ketika di studio). Kalau jamming paling-paling berdua, atau bertiga. Dengan gitar akustik saja, untuk mencari bentuknya. Kalau proses menulis lagu, ya begini saja. Juga, bertukar idea untuk memperkemaskan lagi bentuknya. Setelah pasti dengan semuanya, baru kita rakam.

Tempoh rakamannya juga saya kira mengambil masa yang lama?

RG: Ya, memang lama. Melihat kepada dua album Sore yang ada, tempoh rakaman saja – dari materi mentah hingga di bawa ke studio – itu memakan masa hampir setahun. Sebenarnya setahun lebih. Cumanya banyak break. Satu lagu selesai, kemudian kosong. Jadi kerjanya banyak di studio. Ada juga beberapa lagu yang saya siapkan layoutnya dulu menggunakan MIDI atau program perisian muzik yang lain. Ini memudahkan kami untuk melihat dinamik sesebuah lagu. Selepas itu baru kita rakam guide, track-by-track dengan biasanya dram yang menjadi tunjangnya.

Untuk menghabiskan waktu yang lama di studio rakaman itu tentunya melibatkan banyak wang. Jadi, untuk peringkat demo, Sore membuatnya sendiri di rumah atau bagaimana?

RG: Untuk demo, ada yang dibuat sendiri tetapi kualitinya tidak kemas. Cuma, kebetulan waktu itu Sore bersama Aksara Records, pemiliknya mempunyai studio sendiri. Jadi, untuk dua album itu sesi rakaman Sore cukup lumayan dan bebas.

Menurut kamu, apa yang membuatkan muzik Sore begitu menjadi? Lanskap muzik bagaimana yang Sore lihat banyak memberi inspirasi untuk band ini tampil dengan muzik yang lain dan segar?

RG: Kalau dikira pengaruhnya, luas ya. Apa saja kami dengar, sejak zaman dahulu sampai sekarang. Tapi paling asas yang kita dengar itu The Beatles.

Tetapi, muzik kami tidak terarah kepada The Beatles, cuma semangat dan komposisi muziknya yang bebas itu dijadi acuan. Songwriting mereka juga bagus.

Dalam konteks persekitaran di Indonesia, ada apa-apa momen yang memberi impak khusus kepada muzik Sore?

RG: Mungkin kalau untuk budaya muziknya, yang menjadi titik penting di Indonesia itu pada tahun-tahun 1950an. Tempoh itu unik untuk sejarah Indonesia. Itu zaman setelah revolusi. Kemudian Merdeka pada Ogos 1945. Maka tahun 1950an itu amat menarik; berlangsungnya nasionalisme baru yang membuka Indonesia kepada budaya dari luar. Itu juga bagi saya the first Golden Age of Indonesian music. Yang bermunculan ketika itu antaranya seperti Ismail Marzuki, dan banyak lagi bintang-bintang radio zaman dulu. Muzik Melayu juga melonjak di zaman itu. Terus, period penting yang kedua ialah tahun 1970an. Muziknya Guruh Soekarnoputra, anak lelaki Soekarno misalnya, dia punyai band dengan muzik yang progresif sekali. Kemudian ketika 1980an, ketika pemerintahan Orde Baru. Di dalam tempoh inilah di mana semua kami membesar – 1980an. Semua kami lahir sekitar tahun 1975-76 dan membesar di tahun 80an. Dan ketika tempoh itu juga lagu-lagu di Indonesia ditulis dengan baik sekali.

Kamu belajar muzik secara formal?

RG: Saya pernah belajar muzik di Los Angeles. Tapi cuma bertahan dua semester, di Los Angeles City College – untuk Ijazah Sarjana Muda. Saya sebetulnya bersekolah SMA di sana, sejak 1990 hingga 1995, saya menetap di sana bersama sanak saudara. Ade (Paloh) juga di sana, mengaji jurusan perniagaan. Tetapi dia menetap di sana lebih lama, hampir 10 tahun. Jadi, untuk saya, LA juga kuat pengaruhnya terhadap diri dan perkembangan muzik peribadi saya. Ketika itu masih zaman heavy metal, yang sedang beralih kepada muzik alternatif. Dan yang sempat saya tonton di sana antaranya malah band lama; Genesis dan Black Sabbath (dengan ahli asal). Saya berusia sekitar 15 tahun ketika mula menetap di sana. Ketika akhirnya saya disuruh balik oleh orang tua saya, itu sebelum krisis ekonomi menjadi lebih runcing.

Mondo, keyboardist dan vokalis Sore ketika di atas pentas. © Hafiz Hamzah

Tentang pengaruh kata-kata Spanish dan Latin di dalam lirik Sore. Ada apa-apa yang membuatkan kalian senang menggunakan bahasa itu?

RG: Oh, itu tidak ada apa-apa yang aneh. Cuma menurut kami bahasa Latin/Spanish itu phonetic, cara sebutannya juga tak susah dan mudah diingat; seperti Centralismo, Essensimo dan sebagainya. Terutama untuk lidah dari rantau ini. Itu saja, tidak ada apa-apa signifikan lain. Kalau Ernestito itu kebetulan nama anaknya Ade (Paloh).

Penjelasan kamu ini sedikit-sebanyak menjawab pertanyaan saya tentang bagaimana pandangan muzik band ini dikembangkan dan membentuk acuan muzik tersendiri. Seperkara lagi, mungkin soalan yang terakhir; Di dalam album kedua, ada sebuah lagu berjudul In 1997 The Bullet Was Shy. Adakah lagu itu menyentuh tentang reformasi 1998 di Indonesia?

RG: Oh, bukan,bukan. Itu Ade, yang menulis lagunya Ade. Lagu itu bercerita tentang masa kelamnya dia sewaktu di LA. Soal peribadi, tak ada apa-apa tentang period reformasi Indonesia.

Perbualan kami untuk sejam yang terakhir itu bercampur-campur. Ada menyentuh tentang kos sara hidup di Jakarta, ada menyebut tentang Goenawan Mohamad dan Komunitas Saliharanya serta tidak ketinggalan, isu berbangkit lagu Terang Bulan dan Negaraku, yang ketika di bilik hotel, saya dengan tak sengaja menonton sebuah berita dokumentari tentang sekelompok pengkaji Indonesia yang pergi menelusuri semula penghasilan lagu itu, mencari semula rakaman asal dan serba-serbi bukti lain tentang lagu katanya diciplak untuk dijadikan lagu kebangsaan Malaysia. Dan, diakhir rancangan tv itu, mereka khabarkan akan segera  membawa semua bukti dan rakaman yang diperolehi itu ke kedutaan Malaysia di Jakarta untuk diminta penjelasan. Di dalam muzik yang universal ini juga tetap ada kesempitan yang begitu.

 


Tags: Ade Paloh, Atilia Haron, Awan Garnida, Belle & Sebastian, Bembi Gusti Pramudya, Black Sabbath, Centralismo, Couple, Genesis, Goenawan Mohamad, Guruh Soekarnoputra, Hang Dimas, Indonesia, Ismail Marzuki, Joko Anwar, Maliq & D'essentials, Musik, Noh Hujan, Ports of Lima, Ramondo Gascaro, Reza Dwiputranto, Sore, Sore di Kuala Lumpur, The Beatles, Tilu, Wawancara, Wisma Bentley
 

 

Tinggalkan Komen