Tahun ini, genap 500 tahun sejak Melaka jatuh ke tangan tentera laut Portugis dan berakhir era kesultanan Melaka. Kuasa Barat menjajah bersilih ganti di negeri-negeri Melayu dan wilayah-wilayah lainnya di Nusantara. Negeri yang kini kita kenal sebagai Indonesia, juga jatuh ke tangan Belanda sementara Inggeris kemudiannya di sebahagian besar negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu selain di Sabah dan Sarawak.

Sejak itu seolah-olah tidak wujud konsep “merdeka” di dalam benak fikiran pribumi. Hanya pada Mei 1908, sekelompok anak-anak muda berkumpul dan berbincang di sebuah daerah terpencil di Jogjakarta dan mula membicarakan tentang kebangkitan kebangsaan. Perkumpulan itu dikenali sebagai “Boedi Oetomo”. Gagasan kemerdekaan pun digariskan lahir dan menjalar dari sana.

Bukan sahaja di Indonesia dengan organisasi seperti “Angkatan 45” yang membawa semangat merdeka, malah sampai ke Semenanjung Tanah Melayu yang terjelma dengan pelbagai nama seperti “Angkatan 50” selain pertubuhan-pertubuhan politik lainnya. Api kesedaran ini bertambah marak oleh anak-anak watan yang berpeluang belajar di Timur Tengah mahupun di Eropah.

Slogan-slogan gagah pun berkumandang, misalnya “merdeka dengan darah” dan “merdeka atau mati”. Ini semua bagi menunjukkan bagaimana semangat untuk mempunyai negeri yang berdaulat berkobar-kobar dan menjadi keutamaan waktu itu. Lalu jejak kemerdekaan adalah jejak dengan korban jiwa, di samping Asia Tenggara juga pernah menjadi medan tempur ideologi.

Parti Komunis di ketiga-tiga negara sempat mendapat tempat, selain kemasukan Jepun untuk menawan sehingga ke hujung peta Nusantara. Meski berkongsi musuh yang sama iaitu kuasa Barat, namun masing-masing juga melihat bahawa Asia Tenggara seakan-akan ladang subur baru untuk dikuasai.

Perang ideologi begini, walaupun selepas masing-masing melewati garis kemerdekaan, tetap sahaja berterusan. Kita mendengar bagaimana ramuan ideologi ala presiden pertama Indonesia yang cuba mengadun tiga fahaman iaitu Nasionalisme, Agama dan Komunisme menjadi “NASAKOM”. Pergeseran seumpama tak hanya di Indonesia, dan melarat juga ke Malaysia di dalam menentukan dasar-dasar negara. Singapura pula mengumumkan dirinya sebagai negara sosialis.

Republik itu yang begitu kencang menjana ekonomi sejak merdeka, apabila di dalam soal ekonomi, Lee Khuan Yew sedari awal menyatakan bahawa beliau pro kepada pasaran terbuka. Lee tidak terbawa-bawa dengan sentimen dan retorika anti-Barat berterusan seperti mana pemimpin-pemimpin di Indonesia dan Malaysia.

Dengan itu, daripada sebuah ‘pulau kosong’ apabila dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, Singapura antara lain begitu gigih untuk mendapatkan pelaburan dari Amerika Syarikat. Ketika pemimpin Asia Tenggara lainnya mengecam perang di Vietnam yang melibatkan Amerika, Lee tidak berbuat demikian. Pendirian berbeza Lee tak lain kerana mahu menjaga hubungan dagang dengan Amerika.

Walaupun gaya pengurusan ekonomi berbeza-beza, namun kemerdekaan yang setengah abad ini tidak menjadikan demokrasi dan kebebasan dapat terjamin dan menjadi hal yang tertinggi. Sekarang pun, hanya Indonesia yang bisa menghirup ruang dan udara demokrasi lebih segar. Malaysia semakin mundur dan Singapura tak banyak berubah.

Sama ada di era Seokarno mahupun Seoharto; sama ada sepanjang pentadbiran Lee mahupun Dr Mahathir Mohamad, kekangan terhadap demokrasi di kalangan rejim hampir serupa. Walaupun Dr Mahathir sering mengecam Lee, namun mereka juga menggunakan hujah bahkan strategi sama apabila berhadapan dengan penentangan politik dalam negara. Contoh mudah ialah kedua pemimpin itu pernah menggunakan ISA untuk mengekang penentangan oposisi.

Lee sampai hari ini cuba menafikan bahawa rakyatnya, termasuk di kalangan orang muda berada di dalam keadaan takut, kesan daripada “politik ketakutan” yang beliau serapkan ke bawah. Kita tahu, ramai penentang Lee ditangkap pada 1963 sehingga ada yang ditahan tanpa bicara sehingga lebih 20 tahun. Bagi Lee, cara mengawal oposisi ialah dengan ‘membunuhnya’ sebelum ia tumbuh.

Tak siapa menyangka, negara seperti Indonesia kini melakar pertumbuhan lebih baik daripada Malaysia, bahkan dalam tahun-tahun tertentu lebih baik juga berbanding Singapura. Kita sedari, tanpa demokrasi, Indonesia takkan mampu mencatat pertumbuhan sehingga lebih 6 peratus setahun. Dalam waktu sama, apakah Malaysia dan Singapura sudah siap untuk sekali ini belajar daripada Indonesia, sedangkan dahulunya Indonesia jauh ketinggalan berbanding kedua negara jirannya ini?

Seraya Seoharto digulingkan dengan kebangkitan rakyat September 1998, selain BJ Habibie, presiden Indonesia yang paling memelihara demokrasi tak lain ialah Gus Dur. Jika diteliti, beliau kembali digulingkan kerana mukanya cemeh dan matanya buta. Betapa di saat pasca Reformasi sekalipun tetap sahaja punya ruang di mana benih rejim kuku besi tetap bisa kembali tumbuh.

Kestabilan di dalam kongkongan tak akan memberi banyak erti. Kadang-kala kestabilan hanya ibarat bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa. Hujah “kestabilan” masih terus berkumandang di Malaysia dan Singapura, namun tidak lagi di Indonesia seperti yang pernah menjadi tema utama politik pembangunan di zaman Soeharto.

Fasa kedua selepas 50 tahun, tak lain adalah fasa di mana demokrasi tak dapat dielak untuk menentukan jaya tidaknya gagasan pembangunan dan kesejahteraan. Sekaligus ia memperingatkan kembali akan maksud, cita-cita dan janji kemerdekaan untuk memberi hak kepada setiap warganegara merasai nikmat kebebasan; tidak lagi hidup di bawah ketakutan seperti mana era penjajah Barat; di waktu pendudukan Jepun; mahupun ketika darurat.

Kita pernah mempunyai seorang pemimpin tertinggi negara dari seorang Melayu, dari seorang Cina, dari seorang Jawa, juga dari darah campur; namun asas bangsa dan kaum tak menjamin keadilan dapat terlaksana. Keghairahan berkuasa, menjadi perdana menteri rupa-rupanya adalah sejenis ‘penyakit’ yang berjangkit ke negara-negara muda yang baru bebas dari penjajah.

Soeharto di Indonesia, Lee di Singapura dan Dr Mahathir di Malaysia; semuanya mengeluarkan taring kuku besi mereka terutama apabila kuasa tercabar, walaupun mereka juga mengkritik satu sama lainnya dahulu. Semua pemimpin itu sebenarnya terlepas peluang untuk mencipta sejarah yang berasaskan kemuliaan insan.

Hujah dan omongan politik cara era ketiga pemimpin itu, terutamanya yang bersifat tertutup seperti “nilai Asia” misalnya, tak dapat dipertahankan lagi. Nilai baru yang lebih sejagat sedang mengambil tempat di dalam ukuran dan pertimbangan politik Asia Tenggara. Fasa baru sesungguhnya sudah bermula. Selamat hari kebangsaan kepada semua, di ketiga-tiga negara.

 

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

Belanda Hasmi Hashim Indonesia Lee Kuan Yew Maharhir Mohamad Malaysia Merdeka politik Singapura Soeharto Soekarno

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan