Pilihan Raya Umum 2008 merupakan suatu sejarah untuk Malaysia. Bukan sahaja kerana perubahan lanskap politik, tetapi oleh kerana penyertaan golongan muda yang begitu memberangsangkan.

Selain daripada penglibatan mereka dalam perubahan yang dilakukan oleh sebahagian besar pengundi muda, terdapat juga kelompok anak-anak muda yang menyertai pilihan raya sebagai calon dan kemudian menang dan bergelar Yang Berhormat. Situasi dan keadaan ini adalah sangat membanggakan buat golongan muda.

Saat ini juga kita melihat peranan dan partisipasi anak muda adalah pada tahap yang tinggi dalam hal-hal kenegaraan. Lihat sahaja perubahan-perubahan besar yang berlaku di kebanyakan negara timur tengah. Sebahagiannya adalah hasil daripada penglibatan dan peranan yang dimainkan oleh orang muda.

Di Indonesia sejak 1998, penglibatan anak muda khususnya golongan mahasiswa sangat mengagumkan. Malah, kebanyakan anak muda di Malaysia khususnya mahasiswa mendambakan aksi dan pengalaman rakan mereka di sana.

Anak muda di Indonesia dilihat jauh lebih progresif dalam pergerakan aktivisme mereka. Hal ini mungkin kerana kerja-kerja advokasi yang mereka lakukan untuk membangunkan kesedaran di kalangan rakyat.

Hal inilah yang memberikan perbezaan antara pergerakan anak muda di Malaysia dan Indonesia. Namun, tiada perbezaan besar jika ditinjau dari sudut substantif.

Mana-mana gerakan atau perjuangan anak muda pastinya akan membawa jalur yang progresif sebagai tanda protes kepada nilai-nilai feudal dan status quo yang sedang berlangsung. Nilai-nilai yang dibawa oleh golongan muda ini juga adalah bersifat universal dan dilihat lebih liberal.

Begitu juga dengan politisi muda. Mereka adalah kelompok politisi yang dianggap lebih energetik, progresif dan berupaya untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang telah mereka gariskan. Perjuangan ke arah sebuah negara yang demokratik, melawan kronisme, nepotisme, korupsi dan lain-lain, semuanya dianggap perjuangan yang menjadi kekuatan politisi dan aktivis muda.

Namun begitu, pengalaman Indonesia sudah mulai menggoyahkan keyakinan itu. Kes salah guna kuasa dan korupsi yang kian galak berlangsung dalam kelompok politisi muda. Hal ini termasuk dalam kes pembinaan Wisma Atlet Sukan Sea yang mengaitkan tokoh politisi muda Indonesia.

Anas Urbaningrum, bukan nama asing bagi politik di Indonesia. Tokoh politisi muda yang dilihat naik mendadak lebih-lebih lagi setelah memenangi perebutan jawatan Ketua Umum Partai Demokrat Indonesia. Tambah gah lagi kerana partai tersebut adalah partai pemerintah dan dipimpin oleh Susilo Bambang Yudhoyono, selaku Ketua Dewan Pembina dan presiden republik tersebut.

Anas dilihat sebagai seorang politisi muda yang santai. Tambah lagi dengan pengalamannya memimpin Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) Indonesia, beliau dilihat mempunyai ketokohan selaku bakal pemimpin bangsa Indonesia. Begitu juga dengan kelompok yang mendokong Anas dari belakang.

Kebanyakan yang berada di sekelilingnya juga adalah golongan politisi muda. Hal ini termasuklah beberapa individu yang turut dibawa masuk oleh Anas untuk membantu mempersiapkan urusan politik beliau selaku Ketua Umum Partai.

Namun begitu, pandangan berikut mulai sudah mulai goyah sebaik meledak kes korupsi yang mengaitkan Anas selaku tokoh muda Indonesia.

Kes korupsi yang mengaitkannya sedang bergelora di sana. Kesemua tertuduhnya terdiri daripada kalangan politisi muda. Selain daripada Anas adalah Bendahara Umum Partai Demokrat, Muhammad Nazaruddin, seorang politisi yang baru berumur 30 an. Biar masih muda namun sudah mempunyai simpanan berjumlah trilliun rupiah di bank.

Kes ini diyakini memberi impak yang besar kepada pesepsi politik anak muda sebagai golongan lapisan kepimpinan negara. Golongan muda yang dianggap seharusnya menolak keras penyelewengan, salah guna kuasa dan korupsi, kini akhirnya terlibat sendiri dengan masalah tersebut.

Persoalan yang timbul adalah berkenaan pesepsi masyarakat terhadap politik anak muda. Apakah perihal ini akan memberi kesan kepada kepercayaan masyarakat terhadap golongan muda untuk memimpin? Justeru apakah pula yang akan berlaku sekiranya masyarakat hilang percaya kepada anak muda untuk memimpin?

Kejadian ini seharusnya menjadi pedoman buat pergerakan anak muda di Malaysia.

Lihat sahaja betapa dashyatnya korupsi di Indonesia. Tidak kurang hebatnya juga perihal korupsi yang berlangsung dalam kalangan anak mahasiswa di kampus.

Penganjuran demonstrasi sahaja di Indonesia memberi ruang buat kes suap dan korupsi berlaku dalam kalangan anak muda. Malah, ada kalangan anak mahasiswa yang menjadi kaya dengan hasil penganjuran demonstrasi.

Untung sepanjang ikut serta dalam gerakan mahasiswa di Malaysia ini, belum pernah perihal seperti itu berlaku. Harapan yang sama juga kepada golongan politisi muda yang kian meningkat dalam ruang politik negara. Moga mereka tidak tersilap langkah.

Kejadian ini benar-benar mendesak kita untuk menjadi lebih berhati-hati. Sebagai orang muda, pastinya kita yakin bahawa perjuangan dan prinsip-prinsip yang dianjurkan itu semuanya benar dan harus diperjuangkan. Namun, harus berjaga-jaga supaya masyarakat tidak hilang percaya.

Semoga golongan muda terus diberi mandat oleh masyarakat, sebagai pemimpin negara, untuk memimpin bangsa.

 

Hilman Idham, aktivis dan mantan mahasiswa Sains Politik UKM.

 

Anas Urbaningrum Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia Muhammad Nazaruddin politik Susilo Bambang Yudhoyono

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan