Penangguhan

Seurat waktu yang mengalirkan
kesungguhan darah  itu tiba-tiba terhenti
di muncung kekesalan
sepasang kaki menghentak-hentak kehendak
yang jatuh tercicir di jalanan
adalah dosa bangsa yang tak terampun
lalu hujan turun selebatnya
alam pun telah bosan dengan segala
penangguhan.

17 Julai 2011

Lelaki dan Hari Esok

Bahang mentari menikam kesabaran
pohon-pohon rentung menanti
titis hujan melenyapkan
segala mimpi yang sarat
di atas pundak seorang lelaki.

Beberapa keping ringgit
renyuk di tangan tidak
mampu melunaskan semua

yang menagih dan meminta
hidup begitu sakit dan pedih
azab di kota dan di desa
tiada beza.

Malam tidak lagi asyik
untuk bermimpi tentang esok
disimbah peluh yang berterusan
mengalir saat kenaikan demi
kenaikan terpancul bertalu-talu.

Dia seorang lelaki yang
tidak akan menangis
dihenyak percaturan mereka
yang berpura menjadi pembela.

31 Mei 2011

Dingin
(Buat mereka yang pulang)

Ketika gerimis pecah di Maghrib itu
sekujur pengharapan longlai
menyusun perjalanan pulang
meninggalkan seberkas persoalan
di lantai kebenaran.

Dan malam ini kita terus terjaga
di paksi mimpi yang semakin suram,
keruh, dingin.

Dingin tanpa noktah.

15 April 2011

Di Kuburan Waktu

Kita telah kembali ke titik yang mula
talkin cinta bergetaran di bibir manismu
kuntum mawar kau taburkan di kuburan
suatu waktu yang seharusnya menjadi ingatan.

Detik ini akan hilang saat kaupejamkan mata
melangkah pergi tinggalkan segala sepi
bebayang diri menjadi teman paling setia
lupakan segala tragedi,
kemahuan pegun mengikat hakikat
yang tertikam di sekeping kepalsuan.

Telah kauhunuskan sebilah belati
tetapi aku belum mati!

16 Disember 2010

 

Kamal Sujak, penulis kelahiran Selangor ini mula menulis sejak 2007. Sehingga kini lebih 50 buah puisinya tersiar di akhbar dan majalah tempatan. Sekarang bertugas sebagai pengurus kanan di sebuah universiti swasta di Cyberjaya.

Kamal Sujak Puisi Sajak