Abstraksi Syed Ahmad Jamal

oleh
16 Ogos, 2011 | kategori Seni | komen [5] | Cetak | kongsi  

Datuk Syed Ahmad Syed Jamal (19 September 1929 - 30 Julai 2011) © Hafiz Itam

September 1998 ~ jauh sebelum seniman lain mampu berdiri rentetan tragedi yang menimpa Anwar Ibrahim, Syed Ahmad Jamal sudah di sana bersama isterinya, Halimah Mohd Noor.

Sejurus Anwar dipecat dari semua jawatan dalam pemerintahan, ketika orang mula berduyun ke rumah Anwar di Jalan Setiamurni, KL; Syed Ahmad Jamal bersila di depan. Dia jadi ‘orang biasa’, sama mengamat pidato yang bersilih-ganti, termasuk dari Anwar. Kata Anwar, “dengan kuasa yang ada pada saya, saya lantik Dato’ Syed Ahmad Jamal sebagai wakil dan jurucakap kepada pelukis-pelukis Malaysia.”

Bagaikan orang bersahut sirih bertepuk, sudahnya malam itu, tiap-tiap orang dapat ‘jawatan’ masing-masing.

***

Gunung Ledang, 1978

Ada sebuah lukisan yang saya ingat hanya sebagai Gunung Ledang. Digantung di satu halaman dinding dalam dewan pameran di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) lama: bangunan kolonial yang dahulunya Hotel Majestic. Ia berhadapan Mahkamah Syariah Wilayah, tak jauh daripada Stesyen Keretapi lama Kuala Lumpur.

Di tingkatan tiga umur saya kala pertama kali melihat lukisan cat minyak itu membikin rasa kagum luar biasa. Dengan warna dan bentuk asas segi-tiga; lukisan itu sudah diperkira mewakili makna sebuah gunung: Gunung Ledang. Macam tak masuk akal, bukan?

Adapun Gunung Ledang itu tak jauh letak duduknya dari bandar Maharani—tempat Syed Ahmad dilahirkan pada 1929. “Maharani” adalah jolok-jolokan untuk bandar mukim Muar; dan Muar dipanggil “Muar” kerana geografinya di muara arus sungai yang mencecah Selat Melaka; bermata air dari Gunung Ledang.

Pernah dari jauh dan dekat saya lihat gunung itu; tidaklah bentuknya tepat-tepat segi tiga seperti diukur-ukur dengan pembaris. Lukisan Syed Ahmad masih tak saya faham. Hanya dengan bentuk tiga segi seperti tudung saji, sudah dikatakan Gunung Ledang. Tak mungkinkah ia benda-benda yang lain, atau barangkali juga gunung-gunung yang lain? ~ Begitu saya tertanya-tanya.

Cikgu Tumian Jasman adalah cikgu lukisan di sekolah. Dia yang memujuk fikiran apabila menyebut lukisan Syed Ahmad adalah “lukisan abstrak”. Hanya dengan perkataan “abstrak”—istilah baru yang saya tak faham—maka saya diam memendam kebingungan.

Lalu ditunjukkan juga sekeping lagi catan dengan tajuk, Sidang Ruh (1970). Kali ini lebih rumit. Bagaimanakah bentuk ruh itu? Kalau bentuk tiga segi dikatakan “gunung”, mungkin sahaja ada persamaan; tetapi bentuk ruh saya tak tahu… bagaimanakah ia?

Kata cikgu, lukisan ruh dipetik daripada sajak Kassim Ahmad. Nah! Selain perkataan “abstrak”, satu lagi nama terpaku dalam benak, iaitu nama Kassim yang menulis Sidang Ruh. Semakin membaca sajaknya, saya resah. Antara rangkap ditulis begini:

Akan bersidang segala ruh
Anakmu hari ni makan apa
Nasi atau beer
Ketawanya palsu tangisnya tanpa suara.

Cikgu tak berkata apa-apa lagi. Jalan pun jadi sendiri.

***

Bapa Syed Ahmad ialah Syed Jamal. Ibunya bernama Sharifah Alwiah. Daripada buku autobiografi Kunang-kunang (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1997), dapat kita tahu perkahwinan ibu-bapa Syed Ahmad adalah dari susur keluarga yang sama. Terkenal dahulu di Johor Bahru nama orang kaya Syed Sahil. Dia adalah datuk sebelah bapa yang berasal dari Gresik, Jawa. Keluarga ini bukannya orang Jawa asal, namun dari negeri Yaman.

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk ‘memutuskan’ dan mengalih kemudi daripada “keluarga dagang” kepada “keluarga seni”. Mungkin sahaja hubungan bapa Syed Ahmad, iaitu Syed Jamal Sahil dengan Onn Jaafar memberi arah baru. Onn ketika itu bukan lagi penubuh Umno, jauh lagi sebagai orang politik. Onn hanya seorang wartawan. Dari pengenalan dan persahabatan ini, satu titik lencong dalam sedar tak sedar, telah berlaku.

‘Kekaguman’ Syed terhadap penulis, barangkali paling ketara apabila beliau menghasilkan sebuah karya judulnya Chairil Anwar pada 1958, iaitu 12 tahun lebih awal daripada Sidang Ruh. Kita tahu, Chairil adalah seorang penyair yang sepenuhnya gelandangan hidupnya, mati muda; yang meninggalkan bait kata seperti “aku ini binatang jalang”. Puisi “Aku” terasa langsung tak cocok dengan kemunafikan moral politikus Malaysia.

Ada beberapa lukisan Syed Ahmad yang tak dimashyurkan oleh media perdana selepas September 1998. Ketika membuat temuramah untuk majalah Siasah, sekitar 2002, saya ke rumah Syed Ahmad di Gombak. Waktu malam. Di sana dapatlah saya melihat beberapa keping yang terkait gerakan Reformasi 98. Banyaknya tak terbit dalam media perdana. Perbuatan itu kita tahu sebagai conspiracy of silent: mendiamkan kerana ia tak sepadan dengan selera pemerintah.

Begitu juga selepas kematian Syed Ahmad, surat-surat khabar perdana tak memberitahu bahawa pelukis itulah yang mencipta logo ADIL: sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuh selepas Anwar dipecat. ADIL kemudiannya ditukar menjadi sebuah parti politik yang hari ini kita kenal sebagai Parti Keadilan Rakyat.

Lagi fakta cuba ditutup. Betapa laku keanak-anakan begini akan menyebabkan anak-cucu kemudian hari jadi kabur dengan kebenaran. Samalah seperti sulitnya saya untuk mengerti maksud Sidang Ruh sama ada sajak Kassim mahupun catan Syed Ahmad. Puncanya apabila latar sejarah ditutup; konteks dicabut.

Sayup-sayup terdengar bagaimana ketika Malaysia yang merdeka memasuki fasa awal pembangunannya, kekayaan negara tidak tercurah ke serata negeri. Isu kemiskinan di Baling, Kedah, setinggan Telok Gong, Tasik Utara di Johor Bahru dan banyak lagi, yang jadi antara perjuangan mahasiswa 1970an dulu itu adalah antara persoalan dan pengamatan Kassim untuk menuliskan Sidang Ruh.

Keadilan yang bagaimana, apabila di tengah-tengah hitamnya kemiskinan dan barangkali juga kelaparan, bangunan megah dibangunkan. Termasuk ketika itu pemerintah mendirikan Mesjid Negara yang siap pada 1965. Mungkin sebab itu, seperti kata Kassim di hujung sajak sama, “dan Tuhan sudah mati”.

Tuhan tentunya takkan mati. “Mati” yang dimaksudkan Kassim, pada telahan saya, tak lebih daripada sifat politik yang salah menentukan keutamaan sehingga memilih membangun mesjid ketimbang menyelesaikan soal kelaparan dan kemiskinan yang parah. Dalam kata pada rangkap akhir, begini:

Nanti akan padamlah dengan sendirinya
Lampu dari menara tinggi
Karena di bawahnya orang kian mabuk
Dan Tuhan sudah mati.

Dari sana, takkan sesiapa tahu bagaimana bentuk ruh. Tak juga cikgu saya. Tak juga guru-guru di universiti. Bahkan tak juga Syed Ahmad sendiri. Lukisan dan bentuk ruh dalam catan yang hampir penuh disapu warna merah itu tak lain adalah dugaan pelukis terhadap bentuk dan paras ketidakadilan ketika itu.

***

Semangat Ledang yang diabadikan dalam setem sempena 50 tahun Balai Seni Lukis Negara.

Hal yang lebih utama bukan ruh yang sedang bersidang. Isu dan tema keadilan adalah arus bawah yang bersuara di dalam karya Syed Ahmad. “Abstrak” akan selamanya bernama “abstrak” selagi tak jadi bentuk dan kefahaman nyata di hadapan kita.

Ambillah contoh begini. Sejak bila bentuk rumah tidak abstrak? Bagi orang yang tinggal dalam gua, bentuk rumah adalah abstrak dan tak difahami sedangkan fungsi rumah sama seperti fungsi gua, iaitu jadi tempat tinggal dan tempat berteduh. Hanya selepas sekian lama, barulah orang-orang di gua mengerti bentuk rumah itu datang dengan fungsi sebagai tempat tinggal. Sama atau barangkali lebih baik daripada tinggal dalam gua.

Di hari itu, benda-benda seperti rumah, kereta, pinggan-mangkuk atau apa sahaja yang tak terdapat di dalam atau zaman gua, sudah tidak lagi jadi sesuatu yang abstrak. Ia jadi sesuatu yang benar nyata, sama ada dengan “fungsi fizikal” seperti rumah, mahupun “fungsi pemikiran” seperti lukisan dan arca.

Melabelkan atau membakulkan karya kepada sesuatu aliran (atau disebut juga sebagai “isme”) tak lebih mustahak daripada melihat latar suasana mengapa lukisan itu dihasilkan. Apakah persoalan atau pemikiran sehingga misalnya Gunung Ledang, Sidang Ruh, Umpan dan Pohon Nipah (1959), arca Perhubungan (1964) dan banyak lagi terhasil. Dengan latar apa?

Demikian semua yang dilahirkan, sedar tak sedar adalah reaksi kepada persekitaran: politik, ekonomi, isu dalam dan luar negeri dan sudah tentu tak lepas daripada persoalan budaya.

***

Tiga tahun lalu, Semangat  Ledang diberi penghormatan sebagai antara setem khas sempena 50 tahun  BSLN. Tiga orang pelukis mendapat kesempatan itu, iaitu selain Syed Ahmad, dua lagi ialah Chuah Thean Teng (Musim Buah, 1969) dan Latiff Mohidin melalui Pago-pago (1965).

Sebagai seorang yang perlu hidup seperti manusia lain, Syed Ahmad juga merupakan seorang guru yang pernah mengajar antaranya di Sekolah Tinggi Batu Pahat dan di beberapa pusat pengajian tinggi serta maktab; seorang pentadbir yang pernah jadi pengarah di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM: 1979-82); bahkan Pengarah BSLN selama 8 tahun mulai 1983. Namun di hujung-hujungnya, Syed Ahmad tetap seorang pelukis.

Tugas pelukis paling asas adalah membuat bentuk-bentuk di atas kertas atau permukaan apa sahaja. Mungkin di atas kanvas. Dengan bahantara apa sahaja. Mungkin cat minyak. Demikian, persoalan yang begitu abstrak—iaitu persoalan keadilan—wajar juga dilukiskan bentuk dan rupanya. Abstrak juga perlu wujud. Kalau ia umpama ‘kemiskinan’, ia hitungan yang tak boleh ternafikan.

Bukan kerja pelukis untuk menggolongkan atau mengkategorikan sendiri aliran karyanya. Di sana-sini, kita dengar kata orang pandai-pandai menyebutkan bahawa lukisan Syed Ahmad tergolong sebagai “abstrak ekspresionis”. Ada juga yang kata “abstrak impresionis”. Apapun alirannya, soal kemanusiaan adalah tunggak di dalam karya Syed Ahmad. Terjelma bukan sekadar dalam karya, namun melalui sikap Syed yang menjadi antara seniman paling awal duduk bersila di rumah Anwar apabila Anwar ditimpa musibah.

Yang kini ditinggalkan Syed Ahmad bukan mimpi atau hampas angan-angan. Bukan tanpa konteks dan latar persoalan. Dia berfikir mengenai sesuatu yang barangkali belum nyata iaitu soal keadilan; sesuatu yang belum jelas wujud di Malaysia. Lalu ia masih dianggap abstrak dan membingungkan ramai orang.

Dua hari menjelang Ramadan tahun 2011, di rumahnya kira-kira jam 9:45 malam, Syed Ahmad menghembus nafas akhirnya.

 

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.


Tags: Anwar Ibrahim, Chairil Anwar, Gunung Ledang, Halimah Mohd Noor, Kassim Ahmad, Mesjid Negara, Onn Jaafar, Parti Keadilan Rakyat, politik, Sidang Ruh, Syed Ahmad Jamal
 

 

5 komen-komen
Tinggalkan komen »

  1. Al Fatihah untuk Allahyarham…setiap karya beliau adalah rujukan untuk generasi.

  2. salam. saya meminati seni dan sedang belajar ilmu – ilmu asas tentang seni. saya tertarik dengan isu yang diutarakan dan sudah pasti ada sesuatu yang ingin diperkatakan secara halus oleh pelukis dalam karya gunung ledang. namun saya sukar mentafsir karya yang berbentuk abstrak. gunung sesuatu yang teguh dan kukuh. bermula lebar pada tapak dan tirus di kemuncak. kenapa warna gunung dipalit hitam dan sedikit kuning di atas sebelum tiba di kemuncak. adakah itu simbolik rakyat ramai mendokong kuasa pemerintah tetapi berada dalam kehidupan yang kelam. pemerintah yang berada di puncak kelihatan kabur tenggelam dalam warna biru langit adakah tanda mereka alpa atau dikaburi megah dan sombong diri ? atau apa….. bolehkah bantu saya memahaminya

  3. Salam, Hanum Bani. Tak usah buru-buru menafsir nama. Paling utama adalah menyelesaikan soal formalistik (asas dan prinsip seni lukis/visual) terlebih dahulu.

  4. *mentafsir makna (bukan nama)

  5. sy amat mngagumi kbolehan allayarham dan amat mnyanjunginya selain berbangga dengan beliau.beliau menjadi sumber anak remaja kini belajar mengenai kesenian.Al-fatihah,,,,

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera