Bagi Dr Mahathir Mohamad, dalam politik, tak ada kawan dan musuh yang kekal. Sewaktu berada di tampuk kuasa, keyakinan itu beliau ulang-ulangkan. Kalau hendak disebut sebagai “Mahathirisme”, itulah antara makna dan faham “Mahathirisme” yang paling jelek yang terpaksa ditelan rakyat Malaysia. Di sana, arti “persahabatan” dan “setiakawan” musnah sama sekali.

Orang Asia Tenggara, khususnya bangsa Melayu seakan-akan lebih 350 tahun tak pernah menikmati dan tahu sesungguhnya apa artinya kebebasan. Dijajah 300-400 tahun, sama ada di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia oleh Inggeris dan Belanda. Malang sekali apabila sejurus menikmati kemerdekaan, semua wilayah-wilayah ini dikongkong pula oleh kekuasaan politik kalangan anak watannya sendiri.

Rejim Orde Lama (Orla) mahupun Orde Baru (Orba) di Indonesia tak ubah hanya sebagai penyambung kepada era penjajahan Belanda. Begitu juga di Malaysia; cuma seketika di awal kemerdekaan, negara ini diperintah oleh pemimpin yang punya hati perut dan berbaik sangka kepada rakyatnya—namun, semua itu musnah terutama di era Dr Mahathir.

Begitu juga di Singapura, yang kemerdekaan tak lebih hanya pada kertas. Apatah lagi di Brunei yang memilih sistem monarki muthlak, yang jauh panggang dari arti demokrasi.

Baik Soekarno mahupun Soeharto; keduanya pemimpin itu sedari awal menjadikan Barat dan Komunisme, misalnya sebagai sentimen menyatukan rakyat tatkala merekalah yang menjadi pengancing kebebasan dan demokrasi. Lee Kuan Yew di Singapura, lebih-lebih lagi—dengan ratusan penentangnya ditangkap tanpa bicara selain membungkam media sepenuhnya.

Malaysia pula tak lebih baik daripada kedua negara tetangga itu apabila 30 tahun rakyat negeri ini hidup di bawah apa yang disebut sebagai “soft-dictatorship”, atau “kediktatoran yang lembut”. Lembut-tak-lembut, diktator tetap diktator.

Persaingan untuk menjadi jagoan Asia Tenggara di antara tiga watak (Mahathir-Lee-Seoharto) telah benar-benar mengorbankan masa depan kebebasan serantau. Sesungguhnya tafsir “Mahathirisme” tak jauh beda dengan apa yang kita kenal sebagai “Thesis Lee”—keduanya memakai “politik pembangunan” untuk mengaburi mata rakyat terhadap kongkongan dan sistem kuku besi mereka.

Krisis ekonomi-politik 1998 sewajar jadi pengajaran, atau apa yang disebut sebagai “saat pentakrifan”—menilai semula jejak masa lalu demi menggaris lorong masa depan. Ternyata di mana-mana negara di dunia, ekonomi boleh turun-naik.

Pengalaman Malaysia sekitar 1980-an dan 90-an (sebelum Krisis ’98), kini sedang ‘dinikmati’ negara seperti China. Ekonomi negara itu tegar terpacu laju, namun kecepatan pertumbuhannya adalah tanpa makna demokrasi. Bayangkan sahaja bagaimana suatu saat andai pertumbuhan ekonomi China terkelecok; maka malapetaka berganda pasti menimpa.

Kita sudah belajar bahawa demokrasi dan kebebasan sangat penting tak kira di saat ekonomi sedang pesat mahupun tidak. Dua elemen ini tak boleh digadai atas keperluan dan alasan apa pun. Strategi mengaburi dan menutup mata rakyat dengan graf pertumbuhan hanya sebenarnya menangguh bencana. Hakikatnya takkan ada satu negara pun yang pertumbuhan ekonominya akan selamanya makmur dan tak mengalami gangguan dan masalah. Yang sangat dibimbangi ialah kala ekonomi merudum, di kala itulah rakyat terbanyak akan sengsara.

Dua perdana menteri selepas Dr Mahathir mengalami dilema ini—untuk membuka pintu demokrasi atau semakin menutupnya. Abdullah Badawi terbukti tak cukup cerdas untuk melihat persoalan ini. Agak malang bagi beliau apabila struktur politik dan pemerintahan kala menjadi PM, namun terus dicengkam Dr Mahathir. Lihat bagaimana Dr Mahathir mempengaruhi orang-orang Umno untuk menjatuhkan Abdullah.

Akhirnya kita faham bagaimana memang Dr Mahathir memilih penganti yang lemah. Dengan itu, dia akan sendirinya terlihat hebat. Dengan sendirinya, pengantinya [dia kira] akan mengikut sahaja telunjuknya demi menjaga segala kepentingan Dr Mahathir.

“Lingkaran setan” itu kini membelenggu Najib Razak. Beliau lebih dua tahun masih berbulan madu sebagai PM ke-6. Demonstrasi Bersih 9 Julai lalu sedikit sebanyak menyentap Najib dari mimpi indah di Putrajaya. Sejak seawal berkuasa, Najib tampak yakin bahawa rakyat menaruh harapan baru kepadanya apabila kapal yang dikemudi Abdullah sebelum ini terumbang-ambing sekali.

Arakian menjelang dan sesudah Bersih 2.0, kita menilai Najib yang mengurus isu dan demonstrasi Bersih tak ubah sepertimana era Dr Mahathir. Retorika yang muncul dari lubuk-lubuk kekuasaan, misalnya oleh mantan Ketua Polis Negara, Rahim Noor adalah retorika era Perang Dingin dengan menjadikan pihak luar (misalnya bayang-bayang konspirasi Yahudi) untuk memomok-momokkan rakyat. Bahkan kedangkalan ini juga terbit daripada mulut Najib. Memang semua ini sudah kita dengar sejak era Dr Mahathir lagi…

Apa yang lebih malang ialah amalan politik kotor, dengan fitnah sebagai hujung tombak politik tak terhentikan. Fitnah jadi senda-gurau sampai ke bawah-bawah; ke dalam kehidupan orang awam. Ia seiring dengan rasuah yang berlaku dari peringkat tertinggi sampai ke pegawai atau orang biasa sekalipun.

Fitnah dan rasuah inilah yang akan membinasakan bangsa dan negeri ini. Tak ada satu bangsa pun di dalam sejarah dunia di mana bangsa itu hancur kerana demonstrasi. Sesuatu bangsa itu binasa tak lain kerana fitnah dan rasuah.

Rentetan dari dua gelaja itu, orang Malaysia (khususnya orang Melayu) kini berada di dalam apa yang saya tanda sebagai “krisis moral” dan “krisis nilai”. Antara baik dan buruk tak dapat dibezakan lagi. Sebagai contoh: fitnah seakan-akan dibolehkan hanya kerana alasan untuk mempertahankan bangsa sepertimana banyak dilakukan oleh pemimpin elit Umno masa ke masa.

Kita boleh membaca secara terang-terangan, daripada media semikro twitter dan facebook sehinggalah ke media perdana yang cenderung mengiyakan fitnah. Waima, ada manusia yang terang-terang menyebutkan aib orang di blog-blog. Melambak pula foto-foto yang diubah-suai dengan photoshop… imej yang cukup jijik dan mengaibkan.

Beginilah apa yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu kepada anak Malaysia hari ini. Kebebasan dan demokrasi dicemari, hak rakyat dipijak-pijak, amanah dikhianati—daripada kehancuran inilah, bangsa kita perlu bangun untuk membina negeri ini kembali.

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

Abdullah Badawi Brunei Indonesia Mahathir Mohamad Malaysia Najib Razak Singapura Soeharto Soekarno Tahim Noor

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan