Tersungkurnya rejim Hosni Mubarak di Mesir mahupun presiden Zine el Abidine Ben Ali di Tunisia awal tahun ini telah jadi igauan ngeri pemerintah Malaysia. Umat Islam khususnya di kedua negara tersebut membuktikan bagaimana kuasa rakyat adalah kuasa keramat. Perubahan politik di Timur Tengah tak dapat tidak telah merangsang umat di negara-negara Islam lain untuk berjuang mendapatkan demokrasi dan hak kemerdekaan mereka.

Memang Tunisia dan Mesir bukan negara majoriti umat Islam yang pertama melakukan perubahan seradikal dan seberani itu—dengan ratusan orang awam terbunuh dimamah aparat pemerintah, khususnya polis. Dalam sejarah dan peta politik negara-negara Islam lain kita akan mengenang, misalnya, peristiwa “Jumaat Hitam”: hari di mana tumbangnya monarki Iran, dengan terusirnya raja Shah Mohammad Reza Pahlavi, pada 1979.

Begitu juga saat perjuangan demokrasi di negara tetangga, Indonesia—negara majoriti umat Islam terbesar di dunia. Kebangkitan rakyatnya pada September 1998 berjaya mengungsur Seoharto daripada jawatan presiden. Tiga orang mahasiswa Universiti Trisakti yang tumpas di Jakarta ditembak aparat jadi pemangkin kepada gelora kebangkitan rakyat yang tak tertahan-tahan lagi oleh rejim Orda Baru (“Orba”).

Benih Reformasi ‘98

Seiringan itu, di Kuala Lumpur juga berlangsungnya episod perhimpunan dan demonstrasi sebermula penyingkiran Anwar Ibrahim dari kabinet oleh Dr Mahathir Muhamad. Tak siapa menyangka bagaimana demontrasi besar terjadi di Mesjid Negara dan Dataran Merdeka pada petang 20 September 1998—sebelum pada sebelah malamnya Anwar ditangkap.

~ Peristiwa ini perlu saya tulis-ceritakan berulang-kali sejak tiga-belas tahun lalu kerana ia tak termasuk di dalam mana-mana buku sejarah di sekolah sehingga ada generasi muda yang baru habis sekolah mahupun lepasan universiti langsung tidak tahu bagaimana suasana kebangkitan rakyat ketika itu.

Demonstrasi bukan lagi jadi perkara asing khususnya di Kuala Lumpur apabila hampir tiap minggu ada sahaja orang berhimpun menyatakan protes terhadap pemerintah. Perdana Menteri, Dr Mahathir cuba bermain perang psikologi apabila dengan enteng berulang kali berkata “demontrasi bukan budaya kita”. Maksudnya demontrasi bukan budaya Timur; bukan budaya orang Malaysia; bukan budaya orang Melayu.

Beliau [dan orang-orang yang memakai hujah “Mahathirisme” itu] lupa bahawa kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi antara lain adalah dengan jalan demontrasi; bukannya jalan peperangan mahupun keganasan. Beliau juga tidak dapat menutup fakta bagaimana orang Melayu lazim dengan demontrasi bila mana merasakan hak mereka tercabar seperti mana yang pernah ditunjukkan di dalam “kes Natrah” dahulu.

Dengan suara protes yang terus berkumandang dan demonstrasi terus berlangsung sehingga Pilihanraya Umum 1999, Barisan Nasional (BN) menerima tamparan kehilangan banyak kerusi di Parlimen di samping hilang kuasa di Terengganu. Demikian Dr Mahathir seakan-akan menjadi hilang pertimbangan sehingga semua penentangan cuba dihapuskan sejurus selepas beliau memperolehi kembali kuasanya selepas PRU ke-10.

Bayangkan sahaja bagaimana gementarnya penguasa dan elit [khususnya] Umno hari ini apabila di dalam PRU-12 lalu, mereka kehilangan dua-pertiga suara di Parlimen beserta kehilangan lima negeri di Semenanjung. Mereka percaya antara penyumbang dan pemangkin gelombang penolakan terhadap Umno-BN tak lain ialah Perhimpunan Bersih yang pertama, iaitu kira-kira lima bulan sebelum Pilihanraya Umum, Mac 2008.

Elit Umno, termasuk Perdana Menteri Najib Razak semakin sukar menafikan bahawa diri dan kuasa mereka kini di hujung tanduk. Belum pernah sepanjang lebih lima-puluh tahun Umno-BN memerintah, nyawa kekuasaan mereka segenting sekarang. Benang kekuasaan itu bila-bila sahaja boleh putus.

Pengalaman “Jalan Kebun”

Bersih 2.0 ini bukan ulangan Bersih pada November 2007 dahulu. Melihat keadaan pemerintah yang tindakannya semakin tak rasional, perhimpunan kali ini kalau pun boleh disamakan ialah barangkali seperti “Perhimpunan Seratus Ribu Rakyat” yang pernah dianjurkan di Jalan Kebun, Klang pada 2001.

Pengalaman “Jalan Kebun” mengajar oposisi (sama ada parti politik mahupun badan sivil lainnya) bagaimana permohonan untuk menganjurkan perhimpunan di dalam stadium ditolak mentah-mentah. Begitulah Najib tak perlu berpura-pura konon menawarkan stadium untuk rakyat berhimpun. Dahulu pun tak ada rundingan sama sekali yang boleh dibuat; dan, atas sebab itulah sekeping tanah milik individu dipilih untuk menganjurkan perhimpunan.

Pada sebelah malam, beberapa jam sebelum perhimpunan, tuan tanah ditangkap—ini juga memberi pengajaran menjelang 9 Julai hadapan, bagaimana mungkin sahaja akan ada tangkapan besar-besaran di kalangan pemimpin dan panitia Bersih. Terdengar gendang ke arah itu sudahpun dipalu apabila Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein melabelkan Bersih sebagai “organisasi haram”.

Pengerusi Bersih, S. Ambiga dilihat bijak mengilas apabila menyatakan bahawa Bersih kini sudah menjadi bahagian daripada “hati rakyat” yang menuntut pilihanraya yang adil dan bersih; dan Bersih bukan lagi tertumpu pada mana-mana individu atau organisasi. Ringkasnya, “Bersih adalah rakyat dan rakyat adalah Bersih.”

Namun pengisytiharan Hishamuddin bukan kosong-kosong. Penahanan di bawah Ordinan Darurat beberapa pemimpin dan aktivis adalah fasa pertama kepada sesuatu yang lebih menggila termasuklah selepas 9 Julai nanti. Barang diingat, tangkapan besar-besaran bagi menghapuskan terus penentangan terhadap Umno-BN dibuat selepas perhimpunan Jalan Kebun. Dakyah diputarkan dengan kononnya pemimpin dan aktivis Reformasi akan menggulingkan kerajaan dengan cara militan dan mempunyai senjata seperti bom buatan tangan dan pelancar roket.

Operasi tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu dikenali sebagai “Ops-Omega” dan antara individu yang ditangkap—kemudian ditahan dua tahun—termasuklah aktivis Hishamuddin Rais dan Saari Sungib yang kini adalah ADUN Hulu Kelang. Media perdana kemaruk memomok-momokkan kononnya oposisi dan aktivis Reformasi sebagai ganas, militan mahupun pengkhianat negara; sama seperti apa yang boleh kita baca di akhbar mahupun saksikan di TV dalam seminggu-dua ini di mana dakyah anti-Bersih sampai tak dapat diterima akal.

Waima di “Jalan Kebun”, tangkapan dibuat hanya pada hari perhimpunan itu berlangsung, iaitu kira-kira hampir 150 orang yang ditahan. Bersih kali ini, belum pun sampai tarikh 9 Julai; belum pun demonstrasi berlangsung; sudah hampir jumlah yang sama ditangkap sejak lebih seminggu lalu di seluruh negara.

Era kuku besi ala Dr Mahathir berulang. Selain tuduhan yang terkait dengan keganasan, apa yang lebih malang ialah pemerintah sendiri akan mengizinkan beberapa kelompok tajaan mereka untuk meniupkan bara perkauman serta “gadungan Reformasi” yang kini berwatak pertualang.

Demonstrasi di hadapan pejabat kerajaan negeri Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan perkara tersebut. Perkasa dan Pemuda Umno yang sebelumnya dilihat berlaga angin, akhirnya bersuara sama iaitu cuba berlagak sebagai jagoan Melayu. Mereka ke jalan raya dengan slogan rasis memprotes Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di samping hinaan terhadap exco kerajaan Pulau Pinang lainnya.

Tentulah Guan Eng jadi sasaran kerana dia Cina—sedangkan kenyataannya di zaman BN berkuasa pun, ketua menteri Pulau Pinang juga adalah berbangsa Cina. Menyerang Guan Eng dianggap jadi jalan mudah untuk membakar sentimen Melayu.

Begitu juga politik lapuk yang diputarkan iaitu menuduh “Pas dan Keadilan jadi alat DAP”. Di sudut lain, mereka berkata Pas jadi alat Keadilan, atau di tempat Cina mereka tuduh pula DAP jadi alat Pas. Strategi ini seingat saya hanya laku dan berkesan sewaktu Umno-BN menghadapi cabaran Parti Melayu Semangat 46 (S46) penghujung 1980-an dan seawal 90-an dahulu. Tidak lagi selepas itu.

Sejak Reformasi ’98, lebih-lebih lagi selepas 8 Mac 2008, bahasa politik “alat-memperalat” tak lagi lut termasuk kepada orang-orang Melayu yang di atas pagar sekalipun. Anak-anak muda khususnya tak bisa mengerti apa artinya tuduhan “menjadi alat DAP”. Ia tak lebih hanya sebagai khayalan tukang fikir lapuk Umno yang tak habis-habisnya dengan igauan konspirasi ala-PAP Singapura puluhan tahun lalu, sementara PAP sendiri sudah menerima tamparan hebat dalam Pilihanraya Umum di Singapura beberapa bulan lalu.

Yang tak disedari oleh penguasa yang semakin kerasukan itu ialah, perhimpunan Bersih 9 Julai ini akan lebih abstrak daripada apa yang mampu mereka bayangkan. Arus maklumat dan analisa politik di dalam jaringan Facebook (FB) dan Twitter jauh lebih pantas berbanding berita TV mahupun surat khabar pagi. “Gelombang kuning” di FB, misalnya, meninggalkan jauh “lencana merah” yang cuma beberapa kerat. Sesiapa pun boleh sedar realiti ini. Tangkapan aktivis yang mengedar risalah cetakan kertas takkan dapat mengalahkan maklumat yang bergerak jauh lebih pantas di ruang maya.

Agaknya begitulah nasib yang pernah menimpa Seoharto, Mubarak, Ben Ali dan ramai lagi rejim otokratik dan diktator yang tak dapat membayangkan bagaimana rakyat mampu bangkit segagah gelombang laut tengkujuh. Sang penguasa yang mempunyai media, wang ringgit berkepuk, senjata pembunuh dan penjara yang menakutkan pun akhirnya tenggelam, lemas dibawa deras. Terdamparkan mereka di desir sejarah yang kotor lagi hina. Selama-lamanya.

 

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

 

Anwar Ibrahim BERSIH DAP Hishamuddin Rais Hosni Mubarak KeADILan Lim Guan Eng Mahathir Mohamad Ordinan Darurat PAP PAS Penuda Umno Perkasa politik S. Ambiga Saari Sungib Shah Mohammad Reza Pahlavi Singapura Zine el Abidine Ben Ali

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan