…asasi tidak lari dari kewarasan sebagai seorang orang, kata Sani Sudin.

Itulah cerita dia. Kaki Bakar. Filem melayu terbaik ini dibuat berdasarkan ilmu. Bagaimana Khalid Salleh terjerit-jerit dalam gelap mempertanyakan tentang kejowoan anaknya itu, boleh menjadi satu lakonan, setakat ini pada aku, yang terbaik pernah aku tengok terjadi dalam layar lebar kita. Maksud saya sejak sinema melayu diberikan nafas baharu oleh generasi ketiga pembikin filem dengan kehadiran pengarah generasi muda seperti Rahim Razali, Nasir Jani, Adman Salleh, Shuhaimi Baba, Hishamuddin Rais dan U-Wei Haji Saari. Kaki Bakar ini U-Wei punya cerita.

Dia menceritakan tentang Kesumo. Kesumo anak Kakang. Kakang dihalau dari kampung kerana dikatakan membakar bangsal orang meskipun tidak cukup bukti untuk menjatuhkan hukuman terhadapnya. Kerana tidak boleh mewaraskan kebencian penduduk lain terutama Anuar Idris terhadap Kakang, Tok Empat mengambil jalan mudah dengan menghalau Kakang. Mungkin Tok Empat hendak jaga hati pengundinya yang mungkin merekalah yang mengundinya untuk menjadi Tok Empat. Seronok jadi Tok Empat. Selain ketua kampung. Dia boleh jadi hakim.

Kakang pun belah dari kampung ini sebab dia pun tak mahu tinggal bersama dengan orang yang letakkan otaknya di lutut. Malam itu diajarlah anaknya Kesumo yang pada hari penghakimannya tadi di kedai runcit dilihatnya seperti mahu menyebelahi pihak yang disifatkannya bodoh. Yang tidak mengerti adakah api dengan getah boleh bakar! Baguslah dia mengajar anaknya dengan ilmu akhirat. Sekurang kurangnya anaknya masih punya iman meskipun tidak berharta. Aku sangat tersentuh dengan kesyahduan filem ini. Bercerita setiap dua puluh empat framenya berdenyut.

Sungguh Kakang tidak menghantar Kesumo ke sekolah kerana masalah tempat tinggal. Dia kata dia masih boleh ajar anaknya ilmu akhirat. Azizah Mahzan kata salah tak hantar anak ke sekolah. Tak mahu panjang cerita, Kakang kata dia nak tidur sebab esok dia ada jumpa orang. Nak tengok wayang filem macam  baharu ini aku pergi. Tapi baharu ini aku ada pergi tengok wayang sebab hendak teman Sofia tengok Nur Kasih. Aku tak pernah tengok siri tv yang dikatakan mencecah 19 juta penduduk ini. Tapi filemnya tidaklah buruk terutama adegan kembara Nur di tanah atau bumi Amman di Jordan.

Kemudian sebab sudah lama aku tidak ke panggung wayang, aku pula bawa Sofia tengok KL Gangster. Tipikal sungguh. Bukan apa, setelah aku fikir balik adakah aku terlupa bahawa tujuan sebuah filem itu semata-mata hiburan? Entah. Aku tidak merasakan begitu. Aku rasa filem bukan sahaja nak tunjuk kemahiran tatacahaya atau efek tetapi gambarkan perkara tersirat yang dapat ditanggap di sebalik naratif. Kalau tak ada naratif bercerita buat apa! Baiklah beli PS 2 atau layan video game. Dekat komputer pun ada.

Aku bengang. Aku pun balik dan berfikir. Aku tahu Sofia suka Nur Kasih dan KL Gangster. Jadi untuk itu aku sudah boleh lena. Bila aku bangun, aku pergi ke dapur. Aku mengambil air. Minum. Aku teringat masa dahulu aku menonton Grand Illusion di panggung wayang. Masa itu ada Pesta Filem Perancis di GSC Mid Valley. Aku rindu nak tengok balik wayang yang sebenar iaitu kejujuran cinema. Mungkin kalau ikut pilihan aku, aku meletakkan Kaki Bakar sebagai filem melayu yang terbaik sepanjang masa, setakat ini.

Setelah pergi jumpa orang itu, Kakang dapat cari rumah baharu. Dia perlukan kerja untuk menyara hidup – dia sengaja pijak tahi ayam masa dia pergi jumpa orang ini dan salitkan di karpet yang dikatakan sangat berharga itu – dia ada masalah dengan orang kaya yang menjerut. Selain itu dia menoreh getah dengan bini, dengan anak-anak perempuan dan lelakinya untuk terus hidup. Dan punya dua ekor kamping yang sukar ditambat. Kakang kata pada Kesumo tak lama lagi Kesumo akan jadi seorang orang. Dia mahu Kesumo tahu dia pernah ikut perang perjuangan melawan Belanda semasa di Indonesia dulu. Orang sini tak tahu semua itu kerana selesa dengan subsidi. Bila dua orang anak perempuan dia bergaduh masa disuruh mencuci karpet itu – biasalah dua dua kepala batu macam bapak dia jugak – Kakang sesak kepala, dia hilang akal lalu toreh karpet itu dengan parang dia. Dia cari masalah. Dia masih tak serik naik turun mahkamah. Kali ini di balai raya.

Kakang berdegil. Dia tak mahu bayar ganti rugi karpet yang dirosakkannya. Dia beritahu Kesumo dia takkan bayar. Malam itu, dia ambil minyak tanah. Dia bakar bangsal. Tapi kali ini dia kena. Dia ditembak mati. Kesumo lari. Orang cakap bila bulan penuh alamatnya buruk. Bukankah Kesumo sudah kata jangan sampai Kakang main api lagi. Kaki Bakar atau dikenali sebagai The Arsonist di luar negara, yang mengambil cerita pendek The Barn Burning oleh William Faulkner ini sebagai inspirasi telah mengubah watak cerita melayu kepada satu persepsi baharu tentang sinema.

Justeru, aku rasa aku tidak salah meletakkan Kaki Bakar sebagai terbaik. Sebab aku sudah bosan dengan cerita melayu yang klise. Balik balik cinta, seram, lawak dan bergaduh. Tak ada perubahan! Tengoklah semalam kita dengar filem cinta dapat enam juta. Hari ini filem seram tujuh juta. Esok filem bergaduh sepuluh juta. Lusa tak tahu apa cerita. Sebab itu aku rasa masih ada masa untuk filem yang baharu hentak selagi masih ada lusa. Filem tanpa cinta.

Semua filem yang ada atau yang akan diadakan sekarang masih tak boleh lari dari cinta. Sebab cinta adalah pelaris untuk sebuah filem remaja. Tanpa cinta tidak ada produser yang hendak bagi duit. Kita tengok pengarah muda yang sebelum ini buat cerita indie bila dia buat filem untuk ke panggung wayang umum, mereka turut buat benda yang sama yang sudah dibuat semenjak industri filem dan hiburan melayu ujud lagi. Kisah cinta, kisah seram, kisah bertumbuk dan cerita kelakar.

Aku bosan dengan semua ini. Aku suka filem yang ganas habis. Bukan filem main parang atau tembak tembak tapi filem tanpa awek! Filem yang di dalamnya hanya ada lelaki sahaja pelakonnya. Bukan sebab nak pinggirkan wanita tapi sebab lelaki susah nak tangkap leleh. Payah hendak tengok lelaki menangis. Perempuan tidak. Jadi lebih baik tak payah. Tengok macam mana kerasnya filem pertama arahan Quentin Tarantino, Reservoir Dogs. Satu ini saja filem dia yang aku puji. Dia bikin sinema dunia kaget dengan imajan samseng di pekan kecil. Dia tak payah buat mereka bertumbuk dan lawan siapa lagi taiko macam filem gangster kita. Ia cuma salah faham kita orang lelaki.

Abror Rivai merupakan penulis dan sutradara filem pendek Le Diable.