Sweet Charity: 40 Tahun yang Manis

oleh
28 Jun, 2011 | kategori Musik | komen [0] | Cetak | kongsi  

Kompilasi terbaru Edisi Terhad – Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi.

 

Sebuah kaset berplastik putih tertutup. Dengan logo WEA. Dengan judul-judul lagu yang masih bercetak di atasnya. Lama dulu, saya menemukan kaset berkenaan, tanpa kulit, tetapi masih berkenaan baik. Di dalam bunyi tersangkut-sangkut yang kedengaran dari corong pembesar suara, pita coklat gelap yang lama tidak dimainkan itu seperti terseksa. Kulat barangkali sudah berakar di dalam.

Saya temukan kaset itu dalam bekas simpanan bapa, berserta sepasang kaca mata hitam Ray-Ban Aviator yang sebelah kantanya tercabut dan hilang. Kalau tak silap, album itu berjudul Penunggu. Atau, mungkin saya sudah tak mampu mengingatinya. Saya bersihkan serba sedikit pitanya dengan alkohol pencuci kepala radio, dan irama-irama dari dalamnya sejak itu mula meresap ke dalam diri. Nama Sweet Charity mula mendengung.

Awal sebelum itu, saya mencuri sebuah lagi kaset – Deep Purple The Greatest Hits – dari koleksi bapa juga. Dan, oleh kerana sejak awal bertemu dengan material-material serupa itu, saya akhirnya terjebak dengan virus-virus muzik. Lebih tepat, muzik-muzik dari angkatan dan generasi itu. Walaupun melangkau satu atau dua generasi dari usia saya, muzik-muzik rock Barat terasa dekat, sejuk di halwa telinga untuk terus melekat.

Saya tak pernah menonton aksi mereka sebagai sebuah band di pentas. Yang ada hanyalah cerita-cerita bapa, yang dulu katanya amat menggemari dua band ini, menyaksikan mereka di pentas-pentas kecil, mendengarkan orang menyanyikan lagi mereka di kenduri kahwin dan lain-lain. Dan memang, muzik awal Sweet Charity mengambil acuan yang sama dengan Deep Purple sebelum menjelajah jauh dengan tema-tema yang lebih berpijak di rantau ini.

Album kompilasi ini mengandungi dua buah cakera padat audio dan satu DVD konsert , juga booklet istimewa.

31 Mei 2009 adalah hari bersejarah band ini. Di Dewan Konsert, Esplanade – Theatre At The Bay, Singapura, mereka berhimpun semula untuk sebuah konsert meraikan usia 40 tahun keberadaan mereka, dengan musik yang dilagukan, tanpa lelah. Saya, sekali terlepas untuk menyaksikan Sweet Charity secara live. Saya fikir, saya meminati band ini pertama sekali kerana muziknya. Kedua kerana bapa juga meminatinya. Ketiga, kerana mereka memang menunjukkan semangat dan kecenderungan luar biasa tentang muzik. Dari dalam tv (dan DVD), saya menyaksikan rakaman live konsert berkenaan.

Ruang audiens penuh. Sorakan tak putus-putus, walaupun kebanyakan yang hadir dan duduk selesa dikerusi empuk dewan itu kebanyakannya sudah berusia. Yang datang kerana ingin mengingat kembali memori lama melalui lagu-lagu  yang dipersembahkan secara langsung. “Sweet Charity adalah permulaan perjalanan saya,” bergema sekejap dewan mendengar cerita dari salur mikrafon di tangan Ramli Sarip. Menarik juga untuk disebut, di setiap senggang persembahan malam itu, Ramli turut bercerita tentang sejarah panjang band yang menjadi separuh daripada nyawanya itu. Cerita lisan ini barangkali sangat berharga kepada penikmat-penikmat muziknya, terutama dari generasi yang lebih baru, untuk sedikit-sebanyak belajar tentang perjalanan penuh warna Sweet Charity. Dari Kampung Wak Hassan hingga ke pentas besar, barangkali semangat yang tertanam di dalam tubuh setiap mereka malam itu tak mampu ditahan-tahan lagi, walaupun usia semakin meningkat. (Dua daripada anggota asal band berkenaan telah kembali menghadap Tuhan.)

Dan persembahan malam itu diabadikan di dalam sebuah rakaman khas; Edisi Terhad – Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi. Di dalamnya, dua CD audio berserta satu DVD persembahan malam itu disediakan sebagai tanda terima kasih kepada setiap orang yang selalu mendoakan dan menyokong perjalanan mereka. 17 lagu termuat kesemuanya, dengan set sokongan oleh pemuzik orkestra pimpinan Eddie Marzuki, album ini mungkin saja merupakan tanda aras yang sukar ditolok banding, sekurang-kurangnya untuk lanskap muzik rock Malaysia-Singapura.

Sebuah booklet istimewa 64-mukasurat dengan cetakan berwarna turut termuat, dengan foto-foto aksi konsert yang dirakamkan secara rasmi oleh Syamsul Bahri Muhammad dan beberapa jurufoto lain.

Dan, paling penting, konsert serupa akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini. Dari ruang dewan tertutup Singapura di bawa ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, tempat sama konsert 2 Raksasa bersama Blues Gang pernah menggegar dulu pada 1986.

Untuk saya, tak ada nostalgia atau memori untuk diingati. Cuma, harapnya, persembahan besar kali ini tidak terlepas lagi. Kerana mungkin 40 tahun lagi Sweet Charity hanya akan meninggalkan lagu-lagu di dalam CD untuk dinikmati. Tidak lagi akan ada persembahan pentas dengan riuh adrenalin muzik rock berskala sama. Siapa tahu.

* Sweet Charity dan Blues Gang akan bergandingan di dalam Konsert 2 Raksasa, 9 Julai 2011 (menurut berita, telah ditangguhkan ke 1 Oktober 2011) di Stadium Merdeka. CD Edisi Terhad berkenaan, setakat tulisan ini ditulis, masih belum dijual di pasaran. Kalau berminat untuk memilikinya, emel ke jelirda@gmail.com. Ia dijual pada harga RM100.

 

 

 

 

 

 

 


Tags: Blues Gang, Deep Purple, Hafiz Hamzah, Ramli Sarip, Sweet Charity, Syamsul Bahri Muhammad
 

 

Tinggalkan Komen