Mantan Presiden Mesir, Hosni Mubarak juga mengatur perhimpunan untuk segelintir warga Mesir berdemontrasi menyokong dirinya. Di suatu ketika, kumpulan penyokong Mubarak sempat bertembung dengan kumpulan yang menentang beliau. Jumlah yang lebih ramai tentunya di kalangan kumpulan yang menentang Mubarak.

Akhirnya “pendemonstran gadungan” yang ditaja Mubarak itu mengalah—maka tak hairanlah kalau Perkasa dan Pemuda Umno juga mahu turut serta di dalam demontrasi yang dirancang Bersih pada 9 Julai depan. Sepertimana di Mesir, para pendemonstran yang menyokong Mubarak melabelkan lawan mereka sebagai “pro Amerika”, “pengkhianat negara” dan sebagainya.

Tuduhan sebegini sama sahaja dengan mainan ala-Perkasa mahupun Utusan Malaysia yang cuba mengaitkan rakyat yang pro-demokrasi dan mahu menganjurkan demontrasi Bersih 2.0 sebagai terpengaruh dengan ‘ideologi’ pengganas. Termasuk komunis.

Barang diingat, Presiden Libya, Muammar Gadafi juga menggunakan hujah sama iaitu menuduh rakyat yang menentangnya dan berdemontrasi sebagai al-Qaeda. Gadafi nampaknya tak pernah mahu belajar daripada tragedi yang menimpa Mubarak di mana kebangkitan kesedaran dan kuasa rakyat tak tertahan oleh strategi licik dan propaganda apa sekalipun.

Ternyata rejim Mubarak-lah yang mempunyai hubungan langsung dengan Amerika dengan Polis Mesir mendapat bantuan kewangan terus berjumlah USD50 bilion selama 30 tahun daripada Amerika. Semakin hari semakin besar jumlah orang yang keluar rumah sehingga di suatu waktu pertarungan sebenar adalah di antara rakyat dengan aparat polis dan tentera.

Anak-anak gadis yang cantik mula berani berdemontrasi dan mengibar bendera kebangsaan di tangannya meski ada jiran pada mulanya memandang serong perbuatan itu. Jalan demontrasi sebagai jalan untuk menukar pemerintah lazimlah kalau memakan korban—hukum perjuangan memang begitu.

Kita ingat bagaimana tiga mahasiswa Universiti Trisakti tumpas ketika demontrasi menuntut Seoharto berundur di Jakarta tiba-belas tahun lalu. Begitu juga dengan kebangkitan rakyat di Bangkok dan Manila—tiga negara yang seiring kebangkitan rakyatnya dengan perjuangan Reformasi di Kuala Lumpur pada September 1998.

Sepertimana di Mesir, ada yang ditembak dengan peluru hidup. Ada yang dilanggar dengan kenderaan polis pencegah rusuhan. Air mata cucur, tetapi itu semua tak mengecilkan slogan agar rejim dan pimpinan yang korup melepaskan jawatan segera.

Semakin ramai yang tumpas, semakin ramai pula yang keluar ke jalan raya. Ini mengingatkan kita bait lagu patriotis dari Ismail Marzuki, “Gugur Bunga”: Telah gugur pahlawanku, tunai sudah janji bakti, gugur satu tumbuh seribu, tanahair jaya sakti.

Arakian, demontrasi Bersih menuju ke Istana Negara 9 Julai ini bukan demontrasi pertama dianjur di Kuala Lumpur sejak Reformasi ’98. Paling tidak pada Sabtu 10 November 2007, iaitu lima bulan sebelum Pilihanraya Umum ke-12 lalu, perarakan sama dianjur. Juga dengan tujuan menuntut proses pilihanraya yang adil dan bersih.

Semburan air gatal dan tembakan gas pemedih mata di dalam renyai-renyai petang itu berlaku di sisi Mesjid Jamek. Tentulah pihak polis perlu waras dan bertanya kepada diri sendiri, siapakah yang memulakan huru-hara? Ternyata bukannya rakyat yang berhimpun, tetapi mereka sendiri.

Kalau polis tak melakukan provokasi dan tembakan awal, maka saya kira demontrasi Bersih julung kali itu adalah demontrasi terbesar paling aman dan berjaya dianjur di tengah-tengah ibu negara sejak 1998. Sementara polis patut mendapat pujian sewajarnya.

Dalam banyak demontrasi sebelum itu, tembakan gas pemedih mata mahupun cemburan air asid mencemari demokrasi negara ini. Peluru tak pernah berhati perut apabila ia turut mengenai makcik-makcik dan lelaki tua.

Saya saksikan sendiri dalam “Perhimpunan Sejuta Rakyat” di Lebuh Raya Kesas, 2001 akan seorang ibu tua terpaksa minggir ke pinggir jalan apabila dia sesak nafas akibat peluru asap. Bila mendekati dan bertanya keadaannya, dia kata, “makcik OK… anak teruskan!” Ibu itu duduk sambil mengusap dada.

Air mata jadi seperti irama yang bersenandung. Bukan sekali keadaan seumpama itu berlaku. Entah apa yang difikirkan oleh pegawai polis apabila mengarahkan agar tembakan dilepaskan? Begitu juga apakah yang berada dalam benak fikiran pegawai polis ketika memetik senapang ke arah orang ramai yang mungkin sahaja di sana ada adik-beradiknya, atau keluarganya sendiri?

Perlu sahaja diingatkan bagaimana hari ini individu polis di Mesir sedang satu per-satu kesnya dibongkar dan akan dihadapkan ke mahkamah akibat kebrutalan yang mereka lakukan sendiri. Ia nantinya akan dikenang sebagai sebuah jenayah sepertimana ‘jeneral’ mereka, Mubarak juga sedang dibongkar kesnya satu persatu termasuk tuduhan merencana pembunuhan terhadap pendemonstran; selain dalam kes kematian kepada lawan politiknya, Anwar Sadat pada 1981.

Jejak dan pengalaman yang terlakar itu tentulah menjadikan ramai yang mencemek apabila ada segelintir pemimpin dan aktivis dibeli pemerintah Umno-BN sama ada dengan wang, gelaran mahupun jawatan. Tak kurang di antara mereka yang dahulunya diberi peluang dan diangkat sebagai pemimpin, namun akhirnya menggadai diri apabila ada yang mereka idamkan tak terpenuhi.

Amanah rakyat dengan mudah dihkianati hanya dengan wang, diberi kedudukan sehingga ada yang menjadi senator, mendapat gelar “Datuk” dan kini masing-masing membesarkan tembolok kerakusan mereka. Andai difahami, perjuangan rakyat sama sekali bukan untuk itu; meski sekali lagi pada 9 Julai ini akan ada politikus yang cuba menonjol diri sebagai ‘hero’ di tengah-tengah gerombolan rakyat.

Pengajaran lalu menunjukkan tak semua “hero yang bertempek” itu adalah kalangan yang jujur dan boleh diharap. Rakyat tak pernah terhutang dengan pemimpin, sementara pemimpinlah yang terus-terusan terhutang dengan rakyat.

Sesungguhnya di Jakarta, di Manila, di Bangkok dan semalam di Medan Tahrir, Mesir sama sekali tak meninggalkan nama-nama hero perkasa di atas kebangkitan rakyat. Rakyat berhimpun bukan untuk mengangkat mana-mana individu sebagai jagoan tetapi hanya untuk memastikan agar makna demokrasi sebagai janji kemerdekaan terpenuhi oleh pemerintah. Yang mahu berlagak sendiri elok dicampakkan sahaja ke dalam perigi buta sejarah.

Panglima sebenar tak lain adalah rakyat itu sendiri: adalah orang seperti makcik tua yang saya temukan di pinggir jalan sedekad lalu yang entah di mana dia kini. Demikian saya tersentuh hati apabila menonton rakaman perjuangan rakyat Mesir apabila seorang tua dengan mata yang merah dan bibir terketar akibat geram bercakap ke arah kamera. Katanya, “saya dan anak-anak saya siap untuk mati hari ini!”

Jemaah muslim pun bersembahyang di tengah-tengah jalan raya. Mereka dijaga dan dikelilingi oleh orang-orang Kristian sementara polis terus mengasak, menyembur air asid dan gas pemedih mata. Tak siapa menyangka, selepas 30 tahun Mubarak tersungkur juga; barangkali seperti mana kita tak menyangka, apakah mampu selepas lebih 50 tahun, Umno-BN ditumbangkan…

Kedua kisah ini sama ada di Cairo mahupun di Kuala Lumpur adalah kisah bagaimana anak manusia mencari arti kebebasan dan kemuliaan. Selepas berdemontrasi, masing-masing akan kembali ke kampung halaman dan rumah masing-masing. Mungkin ada di antara kita akan kembali menolak gerai goreng pisang, menjadi nelayan, petani mahupun buruh demi sesuap nasi.

Pastinya antara ribuan yang hadir nanti, mereka tak perlukan jawatan dan imbuhan wang ringgit. Perjuangan rakyat di mana pun akhirnya adalah untuk menuntut kebebasan dan keadilan. Sebab itu rakyat tetap akan menang. Rejim yang punya wang, senjata dan penjara tetap akan tumbang.

 

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

BERSIH Hasmi Hashim Husni Mubarak Ismail Marzuki Mesir politik Reformasi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan