Nomor satu; Ke-Tuhanan yang Maha Esa
Nomor dua; Kebangsaan
Nomor tiga; Peri-Kemanusiaan
Nomor empat; Kedaulatan Rakyat
Nomor lima; Keadilan Sosial

(Pantja-Sila sebagai Dasar Negara, 1958:3)

 

Berada di kota Jakarta pada tarikh 1 Jun adalah pengalaman yang cukup berharga. Melihat sendiri bagaimana Indonesia meraikan Hari Lahir Pancasila sudah cukup buat menyerap semangat nasionalisme yang berkobar.

Panca-sila itu bererti ‘lima prinsip’ sebagaimana di atas yang berasal daripada kata Sanskrit – panca yang bererti lima, dan sila yang bererti prinsip. Lima prinsip itu adalah janji bangsa yang sangat signifikan buat negara Indonesia. Tidak hairan jika kebanyakan rakyat sangat menghargai sambutan ulang tahunnya.

Lebih signifikan kerana pada tahun 2011 ini, berlangsungnya Pidato Memperingati Hari Lahir Pancasila dan Bung Karno di Gedung MPR.

Pemidatonya terdiri daripada presiden, mantan-mantan presiden serta mantan wakil presiden republik ini. Namun daripada kesemua pemidato, ternyata cuma tiga sosok tokoh yang menjadi perhatian ramai termasuk perhatian saya, iaitu Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, serta mantan presiden, Megawati Sukarnoputri dan B.J Habibie.

Membandingkan ketiga-tiga tokoh itu, ternyata sosok Bacharuddin Jusuf Habibie, adalah jaguhnya. Saya sendiri kesal dengan pidato Ibu Mega yang tidak lebih daripada sekadar memuji ayahandanya, Bung Karno secara berlebihan dan Bapak Presiden yang membaca ulang penulisan di Koran Tempo, yang terbitnya pada hari dan tarikh yang sama.

B.J Habibie biar dengan pelat Inggeris adalah jaguh dan tokoh terhormat pada tanggal 1 Jun 2011 ini.

Saya terlalu yakin kerana pidatonya membuatkan ada dalam kalangan hadirin yang hingga menitiskan air mata. Tidak seperti Ibu Mega yang menangis sendiri.

Situasi ini menandakan bahawa pidatonya memberi impak terhadap sikap dan pandangan mereka yang hadir termasuk saya. Tambah pula dengan tepukan yang gemuruh daripada khalayak yang hadir, berkali-kali mereka bertepuk tanda setuju dan hormat dengan pandangan Habibie.

Membawa pidato bertajuk Reaktualisasi Nilai-Nilai Pancasila, B.J Habibie lantas mengusik hati hadirin. Kebolehan beliau berbahasa Belanda serta Jerman adalah umpan buat khalayak untuk memberi lebih fokus kepada isi pidato beliau.

1 Juni 1945 – sudah tepat 66 tahun yang lalu, Bung Karno mengungkapkan pandangan beliau tentang filosofi serta dasar membangun bangsa Indonesia. Pancasila adalah philosofische grondslag (dasar falsafah) dan weltanschauung (pandangan hidup), canda Habibie dalam bahasa Jerman dan Belanda. Ucapan tersebut menurutnya telah dilakukan Bung Karno di hadapan Sidang Badan Penyelidik Kemerdekaan buat persediaan kemerdekaan Indonesia. Maka menurut beliau, adalah tidak masuk akal jika memisahkan Indonesia dengan Pancasila.

Setelah 66 tahun negara dan bangsa Indonesia mengecapi nikmat kemerdekaan, Pancasila itu telah menjadi sebati dengan konsep keindonesiaan. Bagi Habibie, Pancasila itu telah melewati sekian alur dialektika peradaban yang benar-benar mengujinya sebagai asas serta dasar falsafah bangsa Indonesia.

Pancasila telah melalui dan merasai kesemua fasa bernegara, daripada demokrasi berparlimen, demokrasi terpimpin, demokrasi Pancasila hinggalah kini sebagai sebuah negara demokrasi multi-parti. Melalui fasa-fasa itulah, pancasila ini terbukti sebagai sebuah dasar yang kukuh.

Pandangan B.J Habibie ini adalah persis pandangan Franz Magnis yang menganggap bahawa perkembangan masyarakat Indonesia ini adalah atas dasar pengalaman bersama. Hal tersebut adalah keistimewaan negara Indonesia.

Begitu jugalah yang diungkapkan oleh Bung Karno sebagai die au seiner Schicksalsgemeinschaft erwanchsende Charaktergemeinschaft dengan mengambil kata daripada Otto Bauer. Ayat tersebut bermakna, ‘karektor komuniti yang terbentuk hasil pengalaman bersama.’

Menurut sisi lain, jelas pandangan tersebut menyatakan bahawa proses nation building sememangnya mempunyai keterkaitan dengan sejarah lampau bangsa Indonesia. Berdasar pengalaman itulah, bangsa Indonesia sudah mulai terbentuk malah sebelum republik ini merdeka lagi.

Buktinya, dapat dilihat jelas bahawa 17 tahun sebelum proklamasi, Sumpah Pemuda sudah menggagaskan bahawa mereka hidup sebagai satu bangsa yakni bangsa Indonesia, bertanah air yang satu serta menciptakan bahasa Indonesia sebagai bangsa bersama buat seluruh rakyat. Bersandar hal itu, andaian dangkal bahawa republik ini hanyalah sekadar lanjutan daripada koloni Belanda adalah tidak tepat.

Memperlihatkan bahawa nation building berasaskan Pancasila adalah sebuah proses panjang, Habibie mulai mempersoalkan tentang kedudukan Pancasila pada hari ini. Sosok itu kemudian mempersoal lagi tentang kedudukan Pancasila setelah Indonesia berhasil mengalami era reformasi.

Melalui pertanyaan itu, jelas kelihatan kritik beliau buat mereka yang masih taksub dengan era reformasi Indonesia.

Menurut beliau, perjuangan rakyat sememangnya berhasil untuk membawa fajar reformasi serta membangun demokratisasi di pelbagai bidang. Namun apakah makna reformasi buat Pancasila yang semakin hilang daripada apa yang digelar sebagai memori kolektif bangsa ujar Habibie?

Hal ini harus diakui bahawa sememangnya ketika berlangsungnya rejim Suharto, Pancasila itu diterapkan secara lebih sistematik, terstruktur dan bersifat massive buat masyarakat. Walau bagaimanapun, Habibie menolak untuk mengaitkan pancasila sebagai alat atau kegunaan mana-mana era atau rejim.

Justeru beliau memberi tiga sebab mengapa Pancasila semakin hilang selepas era reformasi. Pertama adalah kerana situasi dan lingkungan kehidupan bangsa yang kian berkembang hasil daripada globalisasi. Kedua perubahan dan pergeseran nilai bagi bangsa Indonesia dan ketiga tentang sikap masyarakat yang kelihatan trauma terhadap masalah salah guna kuasa yang dilakukan atas nama Pancasila.

Oleh itu, Pancasila itu harus terus dipertahankan dan digilap asasnya supaya berhasil menjadi medium kepada pembinaan jati diri bangsa dan bukan di salah gunakan oleh mana-mana rejim.

Pancasila itu harus mempunyai kelanjutan untuk dipertahan dan dibumikan kepada masyarakat. Nikmat Pancasila itu akan lebih segar jika kita terus memelihara nilai-nilai yang terkandung dalamnya. Hal inilah yang dibimbangi Habibie kerana masyarakat sudah tidak lagi mendiskusikan Pancasila, apatah lagi memberi saran dan kritik buat memastikan nilai-nilai pancasila terus hidup.

Sebagai solusi kepada masalah itu, Habibie menyatakan bahawa telah menjadi tugas bangsa Indonesia untuk melakukan re-aktualisasi terhadap nilai-nilai Pancasila. Sila-sila itu adalah ideologi bernegara yang hidup, maka harus senantiasa dibangunkan semula atau melakukan proses re-aktualisasi terhadap nilai-nilai untuk memeliharanya.

Pancasila harus dianggap sebagai living ideology yang harus dipelihara asas dan dasarnya. Hal ini tambah penting buat memastikan bahawa ia selari dengan perkembangan era sebagaimana yang dilalui oleh Pancasila pada era-era serta kondisi negara pada masa lalu.

Selain itu, Habibie turut menggunakan istilah grundnorm (norma dasar) untuk menyatakan peranan Pancasila dalam kehidupan bernegara bangsa Indonesia.

Hal yang sama juga diajukan oleh Presiden Republik ini bahawa nilai-nilai yang signifikan itulah nanti yang kemudian menjadi tiga sumber; sumber pencerahan, sumber inspirasi dan sumber solusi kepada setiap permasalahan yang muncul.

Pencerahan itu adalah sebagai tauladan dengan menilai semula keberadaan Pancasila sebagai asas bernegara yang menjamin kemajmukan serta pluralisme yang damai di Indonesia. Inspirasi adalah buat mengukuhkan nilai-nilai internalisasi bangsa dengan matlamat bahawa bangsa Indonesia mampu memberi contoh terbaik sebagai sebuah negara berpersatuan kebangsaan, manakala solusi adalah sebagai rujukan buat memperbaiki keadaan hubungan sosial masyarakat serta asas buat menambah baik kerangka bernegara sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Melihat hampir kesemua pemidato memberi fokus kepada nilai Pancasila, bererti benarlah saran Habibie bahawa nilai-nilai Pancasila itu harus mengalami re-aktualisasi segera.

Bangsa Indonesia harus memastikan bahawa Pancasila kembali mengakar kuat dalam lingkungan pergaulan mereka. Pancasila perlu berkedudukan sebagai panduan dan rujukan buat penyatuan bangsa serta penyelesaian kepada setiap masalah-masalah bernegara.

Hasil daripada hal tersebut, maka bangsa Indonesia akan terus bertahan sebagai sebuah bangsa yang merdeka sebagaimana yang disebut oleh Bung Karno bahawa bangsa Indonesia adalah sebuah bangsa yang akan terus hidup dan tidak akan pernah akan musnah.

Hilman Idham, aktivis dan mantan mahasiswa Sains Politik UKM yang kini sedang menimba pengalaman di Indonesia sebagai Staff Khusus Sekretari-Jeneral Partai, Anggota Komisi I dan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR-RI).

 

 

 

 

 

Himan Idham Indonesia Megawati Sukarnoputri Pancasila politik Sukarno Susilo Bambang Yudhoyono Tempo

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan