Nada Segar Kuala Lumpur

oleh
9 Jun, 2011 | kategori Blog | komen [0] | Cetak | kongsi  

Lab The Rat semasa persembahan di Laundry Bar © Hafiz Hamzah

I.

(19 Mei 2011 @ Laundry Bar, The Curve)

Guba © Hafiz Hamzah

Beberapa minggu ini, saya merasakan seperti ada tenaga dan nada-nada segar yang bermunculan dengan sedikit kesedaran untuk bermuzik dari tengah Kuala Lumpur. Dari Kota Kinabalu, khabarnya, Guba mengarang lagu-lagu lunak, dekat dengan ambien ala Yuna, tetapi tetap mengesankan. Di bawah label Laguna Records, Guba (seorang singer-songwriter) dibantu pada set Khamis malam itu oleh pemuzik-pemuzik tulang belakang label berkenaan lainnya; antara lain Duan Seven Collar T-Shirt (gitar) dan Jeffrey Little (dram).

Sebuah lagi band di bawah label sama, Lab The Rat (LTR) juga mengasyikkan. Ada waktu muziknya kedengaran bernuansa British pekat. Di waktu lain, terutama pada suara Syahrul (yang juga bersama Love Me Butch) meranduk memori Robert Smith (The Cure), yang sedikit sebanyak meletakkan muzik LTR pada peta yang sedikit aneh. Saya paling tertawan dengan projeksi suara Syahirah (kalau tak tersalah namanya), penyanyi wanita yang aneh-aneh juga gestur tubuhnya ketika bermain suara. Ketika itu, saya teringatkan Portishead. Ini sekurang-kurangnya imej-imej yang terpancar di dalam bayangan saya, yang pertama kali berkesempatan menonton persembahan live mereka. Tetapi, saya fikir LTR tidak sama dengan nama-nama besar yang saya sebutkan. Jika sempat matang, mungkin kita bakal dengarkan warna-warna muzik segar dari kota ini, ketika proses rakaman album debut mereka yang sedang diusahakan waktu ini berhasil.

* Pada 2008, Lab The Rat terpilih ke final bagi The Global Battle Of The Bands (GBOB) di London mewakili Malaysia.

 

 

 

Album debut Society bertajuk Berani Bercinta.

II.

(28 Mei 2011 @ Dalam kereta)

Saya terlewat tiba untuk menyaksikan persembahan debut Society, band yang disuntik semula nyawanya, yang saya fikir pasti berbeza lenggok muziknya berbanding versi terdahulu band dengan nama sama yang digerakkan oleh Meor Yusof Aziddin. Kali ini yang diletak di depan ialah Daiyan Trisya, gadis kecil molek yang sekali gus menghantar isyarat yang sedikit berbeza berbanding kerja-kerja muzik Meor sebelum ini. Dan, Amin Iskandar menyertai Meor untuk projek terbaru ini (sebagai penyanyi). Sebelumnya, saya belum sempat mendengarkan muzik mereka.

Di luar pagar Rumah Pena, malam minggu itu, Meor memberikan CD single dua lagu Society; Berani Bercinta dan Emas Bertatah Permata. Di dalam kereta, saya mendengarkan – dengan harapan yang bercampur – menunggu entah bagaimana muzik yang akan keluar dari corong speaker. Dengan Society, saya fikir saya tidak kecewa. Masalah saya dengan kebanyakan lagu-lagu Meor dalam rakaman-rakamannya yang terdahulu sedikit sebanyak terlerai. Muziknya tidak lagi kering. Melodinya kini lebih ke depan. Terima kasih kepada suara merdu Daiyan, yang bagi saya banyak memberikan impak untuk mengendurkan sedikit ketegaran faham muzik gaya Meor. Society lebih bertenang, lebih terarah untuk meniti muzik seadanya. Sederhana tetapi memikat. Dan usaha rakaman ini juga lebih bersungguh-sungguh. Bersih dengan alunan yang tak berlebihan kalau saya katakan membuai rasa.

Jangan kau harap dapat maduku wira cinta

Tanpa emas bertatah permata

Aduhai jejaka

(Emas Bertatah Permata)

Kredit juga perlu diberikan kepada Jimadie Shah Othman, yang berhasil menemukan kata-kata yang boleh larut di dalam mulut Daiyan sebelum diluahkan untuk halwa telinga yang mendengar. Saya boleh faham kalau ramai yang senang dengan dendangan Society.

Selamat menikmati muzik-muzik mereka.

 

 


Tags: Amin Iskandar, Daiyan Trisya, Guba, Hafiz Hamzah, Jimadie Shah Othman, Lab the Rat, Love Me Butch, Meor Yusof Aziddin, Portishead, Society
 

 

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera