Mari kita rakyat Singapura
Sama-sama menuju bahagia
Cita-cita kita yang mulia
Berjaya Singapura

Marilah kita bersatu
Dengan semangat yang baru
Semua kita berseru
Majulah Singapura
Majulah Singapura

Marilah kita bersatu
Dengan semangat yang baru
Semua kita berseru
Majulah Singapura
Majulah Singapura

~Majulah Singapura

Saya telah menghafal lagu rasmi negara Singapura yang digubah oleh Zubir Said ini ketika mengikuti latihan 25 hari di Outward Bound School, Lumut (kini Outward Bound Malaysia, Lumut). Dalam tempoh itu, hampir setiap pagi kami akan mendengar kakitangan Penerbangan Antarabangsa Singapura (SIA) menyanyikan lagu ini sebelum kami menyanyikan Negaraku.

Singapura bukanlah negara yang asing buat kebanyakan warga Malaysia. Setakat yang diingati, kali pertama saya mengenali negara Singapura ialah melalui Liga Bola Sepak Semi-Pro Malaysia. Waktu itu nama seperti Fandi Ahmad, V. Sundramoorthy, Malek Awab dan David Lee adalah antara nama yang cukup dikenali di kalangan peminat bola sepak di Malaysia. Lambang Singa yang sinonim dengan Singapura itu cukup dekat dengan lambang singa yang menjadi jolokan kepada pasukan bola sepak negeri Perlis, Singa Utara.

Lambang Singa ini sudah tentu berkaitan dengan nama negara Singapura yang menurut bahasa Sanskrit bermaksud “Kota Singa” dan dikatakan diambil melalui kisah haiwan yang ditemukan oleh Sang Nila Utama tatkala bersiar-siar di tepi pantai. Namun, dalam catatan C.M. Turnbull, A History of Singapore 1819-1988 menyebut bahawa ia adalah satu paradoks kerana singa tidak pernah terdapat di negara itu.

Selain itu, negara Singapura juga dikenali melalui sejumlah kisah rakyat dan sejarah misalnya Hang Nadim: Singapura Dilanggar Todak, sejarah pembukaan negeri Melaka di mana Parameswara melarikan diri dari negara itu ketika ia masih disebut Temasek dan tentulah lokasi kegemilangan filem Melayu satu ketika dulu: Studio Jalan Ampas.

Kemudian saya tahu bahawa Singapura bersama Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk sebuah negara dinamakan Malaysia pada 16 September 1963. Namun, penyatuan Singapura sebagai sebuah entiti yang membentuk Malaysia tidak lama. Persetujuan dicapai untuk memisahkan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Ramai yang tidak tahu, bahkan mungkin saya juga salah memahami akan hal-hal yang telah mendorong Singapura bersama membentuk Malaysia sebelum memisahkan diri. Namun, sedikit sebanyak kesan daripada sejarah ini masih menghantui Malaysia (dan mungkin juga Singapura) sehingga kini.

Dari sejarahnya, Singapura juga gemilang sebagaimana Melaka, kerana berada di laluan strategik untuk perdagangan. Pada masa lalu, pelabuhan memainkan peranan yang cukup besar dalam memangkin urusan perdagangan. Jika di Pulau Pinang orang ramai mengenali nama Francis Light, di Singapura pula nama Stamford Raffles lebih dikenali. Beliaulah wakil kepada Syarikat Hindia Timur yang menandatangani perjanjian dengan Sultan Hussein Shah untuk British mula menduduki dan membangunkan sebahagian kawasan di Singapura. Ia menjadi titik mula British menakluki seluruh pulau itu kemudiannya melalui satu perjanjian lain di mana Singapura dijadikan sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat (selain Melaka dan Pulau Pinang).

Sebenarnya, pada abad ke-18 hingga abad ke-20, usaha meluaskan wilayah perdagangan rancak dilakukan oleh kuasa-kuasa besar dunia waktu itu. Syarikat Hindia Timur ini berpeluang untuk membuka laluannya ke China seawal tahun 1771, ketika Sultan Kedah mencari sokongan untuk melindungi wilayahnya. Sebagai cagaran, Pulau Pinang ditawarkan kepada syarikat ini. Semua ini berlaku sebelum British mengambil alih pelabuhan Melaka dan Singapura. Negeri-Negeri Selat ini, termasuk Singapura, ditadbir oleh Residen.

Singapura juga tidak terlepas daripada tempias persaingan kuasa-kuasa besar dulu. Pendudukan Jepun di Malaya pada awal 1940-an telah memudahkan kejatuhan Singapura sebagai kubu British kepada negara Matahari Terbit itu. Waktu itu Singapura dikenali sebagai Shonanto, yang bermaksud Pulau Selatan.

Ramai tidak menyangka bahawa tentera British boleh dikalahkan oleh tentera Jepun. Ternyata kempen ‘Asia untuk orang Asia’ yang dipopularkan Jepun telah berhasil memberi mereka ruang untuk melebarkan pengaruh mereka di negara-negara Asia yang ditadbir oleh kuasa Barat seperti British. Namun, ia tidak kekal lama kerana kekalahan Jepun dalam Perang Dunia ke-2 dengan peristiwa ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki telah memaksa mereka menyerah kalah dan berundur.

Kembalinya British selepas itu tidak lagi sama. Di mana-mana terdapat pelbagai pihak mula melancarkan tunjuk perasaan menuntut pemerintahan sendiri. Persaingan kuasa besar yang tidak surut sepenuhnya pada waktu itu membuatkan British bimbang dengan kemungkinan meluasnya pengaruh fahaman sosialisme-komunisme di Singapura. Namun, British sangat sedar bahawa melengahkan tuntutan tersebut juga mempunyai kesannya tersendiri. Ia kemudian diterjemahkan pentadbiran sendiri dengan kuasa berkaitan pertahanan dan hubungan luar masih di bawah British.

Selepas itu kecenderungan British ialah menjadikan Singapura sebahagian daripada Malaysia, meliputi Sabah dan Sarawak. Ini keputusan penting yang dipersetujui oleh Lee Kuan Yew yang telah menjadi Perdana Menteri Singapura selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin beliau menang dalam Pilihan Raya di negara itu pada Mei 1959. Sebagai sebuah negara kecil dengan segala keterbatasan sumber, di samping mengelakkan pelebaran penguasaan kumpulan pro-komunis yang bersaing hebat dengan PAP, keputusan tersebut dilihat sebagai bijaksana. Ini ditambah lagi dengan perkembangan populasi yang agak mendadak di negara tersebut. Pada sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, Hospital Kandang Kerbau di Singapura mencatatkan jumlah kelahiran yang cukup tinggi dengan 1966 dicatatkan dalam The Guiness Book of World Records sebagai tahun terbanyak kelahiran bayi, berjumlah 39,856 orang!

Sebenarnya, isu hubungan kaum telah mula difikirkan pada waktu itu. Bancian pada tahun 1960 menunjukkan populasi Melayu di Persekutuan Tanah Melayu ialah seramai 3.46 juta orang manakala Cina seramai 2.55 juta orang dan India pula seramai 700 ribu orang. Tetapi bancian di Singapura pula menunjukkan orang Melayu hanya seramai 232 ribu orang sementara orang Cina seramai 1.25 juta orang dan orang India seramai 140 ribu orang. Tunku berpendapat hal ini dapat diimbangkan dengan melibatkan Sabah dan Sarawak. Hasrat Tunku ini berhasil apabila dapatan Bangsa Bersatu menunjukkan bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak cenderung bersetuju untuk bersama membentuk Malaya. Kerana kajian inilah, 31 Ogos 1963 yang merupakan tarikh asal pembentukan Malaysia telah dianjak. Selama 15 hari kerajaan Singapura diisytiharkan merdeka dengan PAP menjadi pemegang amanah sehingga pembentukan Malaysia.

Sebagaimana Sabah dan Sarawak selepas pembentukan Malaysia, Singapura tidak membenarkan penglibatan UMNO dalam politik di sana. Namun, UMNO melanggar persetujuan tersebut dengan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri di Singapura pada tahun 1963. Meskipun UMNO gagal memenangi sebarang kerusi, hubungan UMNO dan PAP mula longgar. Kemudian PAP telah membuat keputusan menyertai Pilihan Raya Persekutuan dan memenangi satu kerusi di Parlimen Malaysia.

Pelbagai isu yang kemudian timbul. Daripada tindakan Konfrontasi oleh Indonesia yang melihat pembentukan Malaysia sebagai agenda pro-British – dan diterjemahkan kepada serangan fizikal melibatkan nyawa, harta benda dan pemutusan hubungan diplomatik, layanan kaum yang tidak saksama di empat wilayah bergabung ini, pertembungan pelbagai parti politik yang membawa kepada gabungan parti-parti yang berlawanan – Perikatan Kebangsaan Malaysia dipimpin oleh UMNO dan Konvensyen Perpaduan Malaysia dipimpin oleh PAP, dan akhirnya pertembungan kaum yang semakin tidak terkawal.

Seluruh peristiwa ini telah memakan korban nyawa dan harta benda yang tidak sedikit. Lebih daripada itu, ia kekal sebagai bayang-bayang kepada masa depan negara Singapura dan Malaysia yang kini membentuk dua negara berbeza.

Baru-baru ini saya dijemput hadir mengendalikan perbincangan berkaitan keputusan Pilihan Raya di Singapura yang dilangsungkan pada awal Mei 2011. Saya tidak dapat hadir pada saat akhir kerana diserang alergi. Namun, dalam perbualan lain dengan seorang rakan, saya ditanya apakah kesan keputusan Pilihan Raya Singapura kepada Malaysia. Untuk saya, ia tidak memberi banyak kesan kepada Malaysia sebaliknya keputusan Pilihan Raya di Malaysia-lah yang sedikit sebanyak menyumbang kepada keputusan Pilihan Raya di Singapura itu.

Saya berpandangan sedemikian kerana umumnya rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, tidak melihat Singapura sebagai satu kayu ukur kepada apa yang mahu dicapai oleh mereka. Ini mungkin disebabkan oleh sentimen yang lama dikobar oleh Dr. Mahathir dulu. Di kalangan orang Melayu, Singapura adalah model bagaimana masyarakat Melayu ditindas dan itu menjadi sebab kenapa UMNO dilihat sebagai wadah penting di samping DAP adalah cerminan PAP.

Dengan sentimen itu, orang Melayu tidak berminat untuk melihat bagaimana misalnya:

  • Singapura berkongsi tangga pertama dalam Indeks Persepsi Rasuah (bermaksud negara itu paling kurang rasuah berbanding negara-negara lain di dunia) bersama Denmark dan New Zealand.
  • Negara itu juga boleh dilihat sebagai contoh dalam perlindungan harta intelek di mana mereka telah diiktiraf sebagai negara terbaik dalam hal tersebut.
  • Karenak birokrasi di negara itu juga disenaraikan sebagai paling kurang.
  • Ekspatriat melihat negara itu sebagai pilihan utama di kalangan negara Asia jika mereka ingin bekerja. Kebebasan pekerjaan menjadikan ia negara terbaik untuk bakat luar masuk.
  • Meskipun berada di tangga ketujuh dalam senarai negara paling berinovasi, Singapura dianggap sebagai antara negara yang paling berdaya saing.

Banyak lagi yang boleh dipelajari daripada negara itu boleh disenaraikan. Sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber terbatas, pencapaian Singapura itu boleh dipuji.

Namun, ada yang menarik untuk dilihat selain daripada kekayaan ekonomi.

Semasa saya di Amerika Syarikat pada tahun 2008, Singapura menjadi satu subjek perbincangan menarik di kalangan peserta kursus musim panas yang saya ikuti. Sebelumnya saya agak terkejut kerana tidak ramai yang mengenali Malaysia berbanding Singapura. Mereka yang tahu mengenai Malaysia juga mempunyai gambaran terhad – mengetahui Mahathir, Anwar Ibrahim dan KLCC. Mereka lebih mengenali Singapura kerana kemakmuran ekonomi di negara itu.

Dalam kursus musim panas itu saya mendalami sedikit sebanyak falsafah, sejarah, perundangan dan ekonomi kebebasan. Dilema sering berlaku di kalangan pendokong kebebasan kerana realiti menunjukkan terdapat negara mempunyai kebebasan ekonomi yang baik tetapi tidak mempunyai kebebasan politik yang baik. Singapura adalah contoh yang sering dikutip. Meskipun ekonomi negara itu dilihat makmur, persekitaran politiknya dikategorikan sebagai hibrid rejim. Singapura ditempatkan pada kedudukan ke 82 dalam Indeks Demokrasi di mana Bangladesh berada di tempat ke 83 dan Bolivia serta Hong Kong berkongsi tempat ke 81.

Hakikat kesempitan ruang demokrasi di Singapura ini dapat saya rasakan semasa berkunjung ke sana. Ketika menaiki teksi untuk ke beberapa destinasi di negara itu, saya seringkali diajak oleh pemandu di sana berbual tentang politik. Kelihatan mereka mengikuti perkembangan politik di Malaysia. Menurut mereka, di Singapura sukar untuk berbual politik di tempat awam kerana ada ejen pemerintah berpakaian biasa yang boleh menangkap sesiapa saja dengan tuduhan subversif. Mendengar tentang itu, saya terkenangkan bagaimana ejen Nazi mengukuhkan kawalan Hitler terhadap rakyat mereka. Ia saling tidak tumpah sama. Saya tidak pasti akan kebenaran cerita pemandu teksi itu tetapi berpendapat itu sangat tidak wajar.

Bagi sesetengah kenalan semasa di Amerika Syarikat dulu, mereka juga percaya bahawa dengan kebebasan ekonomi, kebebasan politik akan diperolehi. Maksudnya, lebih baik ada kebebasan ekonomi berbanding kebebasan politik berbanding adanya kebebasan politik tanpa kebebasan ekonomi.

Saya fikir itu ada asasnya tersendiri.

Ia mengingatkan saya kepada pertembungan idea Nilai Asia yang dipegang oleh Dr. Mahathir dan Lee Kuan Yew dengan pandangan Kebangkitan Asia yang dipopularkan oleh Anwar Ibrahim. Sambil Nilai Asia tebal dengan pandangan skeptikal kepada demokrasi, Kebangkitan Asia pula mengangkat wacana demokrasi sebagai nilai yang sebenarnya ada dalam tradisi Asia.

Pertembungan ini masih belum berakhir. Ramai pemikir dan ahli ekonomi terus mencari jawapan kepada hubung-kait pertumbuhan ekonomi dan kebebasan politik. Saya fikir persoalan ini tidak harus dilihat sebagai permainan kalah mati tetapi mesti dilihat sebagai satu sinergi, sebagaimana cuba diterangkan oleh Amartya Sen melalui karyanya Freedom as Development.

Singapura telah menunjukkan kemampuannya dalam mendorong pertumbuhan ekonomi. Kuasa masih di tangan PAP dalam Pilihan Raya yang diadakan awal Mei lalu. Namun, hakikat bahawa 81 daripada 87 kerusi yang dimenangi itu tidak mencerminkan realiti perolehan sokongan dalam pengundian (di mana PAP hanya mendapat 60.14% undi) adalah sesuatu yang perlu difikirkan secara serius oleh semua yang menghargai erti hidup bernegara, di mana pun kita berada.

Sebagai seorang warga dunia yang melihat isu kemanusiaan, keadilan dan kebebasan melangkaui sempadan geografi, saya mendoakan kemajuan Singapura – tidak terbatas kepada pengertian ekonomi, tetapi mencakupi seluruh medium yang dapat mengangkat martabat manusia ke tahap lebih baik.

Amin Ahmad, 29 mahu memahami lebih lanjut dinamika ASEAN+3 sebagai wilayah berbudaya yang maju dalam segenap aspek.

 

 

Amin Ahmad British C.M. Turnbull David Lee Fandi Ahmad Indonesia Jepun Konfrontasi Malaysia Malek Awab politik sejarah Singapura V. Sundramoorthy Zubir Said

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. TERIMAKASIH UTK TULISAN INI,KARENA TELAH MENAMBAH WAWASAN SY TENTANG NEGARA JIRAN KAMI,SINGAPORE.JIKA ADA TULISAAN LAIN YG BERKAITAN DGN SINGAPORE,SPT ISSUE TTG PERAN JAHUDI DALAM KEBIJAKAN POLITIK SINGAPORE TLG DIMUAT YA!SY TUNGGU!