Kisah ini benar berlaku 15 tahun dahulu, apabila tujuh kepala pendeta Cisterian-Trappists* dipenggal selepas dua bulan diculik sekumpulan pengganas bersenjata di Tibhirine, Algeria. Ketujuh-tujuh pendeta  itu diculik pada 26 Mac 1996 dan kepala mereka ditemui 30 Mei, tahun yang sama.

Kepala mereka ditemui di atas jalan raya berdekatan Médéa, yang terletak kira-kira 90 kilometer dari selatan ibu negara, Algiers. Insiden menggemparkan itu dikatakan menyebabkan hubungan antara Algeria dengan negara bekas penjajahnya, Perancis menjadi dingin.

Pembunuhan para pendeta itu berlaku di kala kemuncak kehadiran pengganas selepas situasi politik Algeria tidak menentu. Hal demikian mula berlaku selepas beberapa peristiwa yang dianggap ‘luar biasa’ berlaku di negara yang terletak di utara benua Afrika itu.

Bermula dengan kemenangan parti Front Islamique du Salut (FIS) dalam pilihan raya legaslatif dibatalkan pada 26 Disember 2001 dan pembunuhan presidennya Mohamed Boudiaf kira-kira sebulan kemudian.

Selepas peristiwa tersebut menyebabkan suasana politik tidak stabil dan kehidupan sosial masyarakat serta tahap keselamatan mereka terancam susulan ancaman keganasan terhadap penganut agama khususnya Kristian.

Paling menyedihkan apabila kehadiran ‘Kumpulan Tentera Islam Bersenjata’ (GIA) yang memberi amaran supaya orang asing mesti meninggalkan negara tersebut. Hal demikian berlaku setahun selepas pembunuhan Mohamed.

Itulah latar yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan filem Of Gods and Men, arahan Xavier Beauvois. Beliau berjaya mengadaptasi kisah benar kehidupan paderi tersebut beberapa minggu sebelum mereka dibunuh kumpulan pengganas di Algeria.

Ada dua perkara yang menarik perhatian saya terhadap filem, pertama jalan cerita dan latar dari kisah benar yang berlaku di negara tersebut pada awal 1990-an.

Pertama, Xavier bijak mengadaptasi dan menggambar hakikat kehidupan paderi itu dalam sebuah masyarakat Islam khusus partisipasi mereka dalam keberagaman masyarakat tanpa sebarang prejudis.

Contohnya, terdapat shot yang memaparkan bagaimana mereka berurus niaga di sebuah pasar sehari menjual madu dan sayuran. Malah salah seorang paderi, Brother Luc Duchier, merupakan pengamal perubatan merawat dan memberi preskripsi kepada lebih seratus pesakit Muslim setiap hari.

Pada pandangan saya, Xavier berjaya memaparkan kehidupan majmuk dalam masyarakat Arab ketika itu yang hidup dalam toleransi, tolong menolong dan berkasih sayang. Malah partisipasi dan asimilasi dapat diraikan tanpa sebarang syak wasangka walaupun berbeza agama dan budaya.

Memetik kenyataan penulis skrip filem ini Etienne Comar sebagai berkata filem ini amat menarik kerana memaparkan semangat para pendeta dalam peristiwa-peristiwa yang berlaku serta keterlibatan mereka dalam komuniti Islam berbanding perincian dalam realiti sejarah.

“Jalan cerita filem ini bermula beberapa minggu sebelum kumpulan pengganas mengeluarkan tempoh mengarahkan semua orang asing keluar daripada negera itu. Malah kumpulan pengganas yang bersenjata itu turut memecah masuk gereja pada Hari Krismas.

“Paderi berada dalam dilema sehingga kepada satu situasi yang jelas sama ada tetap di situ dan keluar? Keputusan mesti dibuat secara kolektif.

“Tetapi bagi mereka sama ada tetap atau keluar sekalipun menerima ancaman adalah bergantung kepada keadaan. Apabila mereka menolak perlindungan daripada askar, dan kerajaan Algeria pula mengarahkan mereka berundur,” kata Etienne.

Dalam babak menuju ke kemuncak, Xavier turut memapar suasana ketakutan bagaimana beberapa pendeta diselebungi kebimbangan selepas pendatang asing dibunuh kumpulan pengganas itu.

Susulan itu mereka bertemu dengan ketua masyarakat membincangkan bagaimana nasib dan keberadaan mereka di kampung. Bahkan lebih mengejutkan apabila babak pengganas mengunjungi klinik kerana untuk mendapatkan rawatan selepas cedera ditembak askar Algeria.

Pada suatu lewat petang, mereka hampir sahaja diculik atau dicederakan oleh pengganas, mujurlah ketua pendeta Father Christian de Cherge (Lambert Wilson) memujuk dan menenangkan keberadaan mereka di bumi itu. Pengganas akhirnya akur dan beredar.

Selepas kejadian itu, mereka bermesyuarat dan hasilnya mereka tidak akan berganjak walau seinci dari tanah Algeria kerana tuntutan ‘Tuhan dan manusia’.

Babak kemuncaknya apabila modus operandi menculik tujuh daripada lapan paderi itu. Xavier dengan bantuan pengarah fotografi Caroline Champetier berjaya mewujudkan suasana cemas dan meremang bulu roma penonton.

Mereka diculik dan diikat sebelum diheret ke kawasan bukit yang bersalji, dan dalam kesejukan mereka dibunuh.

Perkara kedua yang dilihat menarik kepandaian dan kekreatifan pengarah jurugambar dan komposer mengubah lagu-lagu untuk lagu tema dan latar bagi filem ini menjadikan penonton semakin teruja menonton filem ini.

Ia termasuk lagu ‘Swan Lake’ yang menjadi lagu latar dalam filem ‘Black Swan’ arahan Darren Aronofsky. Lagu yang ini dimainkan oleh pendeta sewaktu ‘last supper’ sebelum mereka diculik.

Malah, shot-shot yang menarik dari kawasan pergunungan di Meknes dan Ifran di Maghribi yang hampir menepati ‘bahasa visual’ membuatkan penonton benar-benar merasai ‘kebangkitan dan kebersamaan’ suasana aman, cemas dan kesejukan dalam filem tersebut.

Berita pembunuhan pendeta itu menjadi panas dan pada 9 Disember 2003 satu semakan kehakiman dibuat oleh salah seorang ahli keluarga mangsa tersebut di Perancis dan tuntutan pihak Cistercian yang mempersoalkan ketulenan kenyataan rasmi berhubung perbunuhan paderi dari kerajaan Algeria.

Pada 20 November 2009 berberapa dokumen sulit berbahasa Perancis dideklasifikasikan, selepas bekas pegawai pertahanan Perancis mengesahkan bahawa ketujuh-tujuh pendeta itu menjadi mangsa pembunuhan ekoran kesilapan yang dilakukan tentera Algeria.

Jadi tidak hairan jika filem ini dianugerahkan dengan beberapa anugerah berprestij antaranya sebagai filem asing terbaik tahun lepas di beberapa sirkit festival filem antarabangsa seperti di Cannes dan Palm Spring serta dicalonkan di festival filem Toronto, Tellirude dan New York.

* Nota:

Kehidupan penganut Cisterian-Trappists menjadikan Bible, peraturan Saint Benedict yang ditulis pada abad ke tujuh dan tulisan-tulisan paderi yang lain sebagai sumber ajaran itu.
Mereka menggunakan sumber itu khususnya dalam Pslams yang digunakan dalam ucapara peribadatan dalam gereja sebanyak 7 kali sehari.
Peribadatan dengan cara menanyi merupakan sebahagian perkara yang penting dalam kehidupan sami berkenaan. Mereka bernyanyi dalam satu suara untuk menguatkan spritual.
Dalam filem ini terdapat banyak babak mereka bernyanyi dalam gereja melalui satu suara khususnya sewaktu mereka dalam ketakutan.

 

A Sabri, 31, penulis dan penggemar filem Eropah dan Amerika Latin. Menulis karya kreatif seperti cerpen, skrip drama pentas dan artikel.

A. Sabri Algeria Black Swan Caroline Champetier Darren Aronofsky Etienne Comar Filem FIS Front Islamique du Salut Of Gods and Men Swan Lake Xavier Beauvois

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan