Sudah menjadi suatu keresmian untuk setiap parti politik khususnya di Malaysia memiliki lagu rasmi. Tidak pula dapat dipastikan sejak bila amalan ini bermula, parti mana yang memulakan dan kalau pun ada pengaruh dari manakah pengaruh itu. Tulisan ini tidak akan membincangkan aspek kesejarahan yang disebutkan itu walaupun begitu menarik sekali untuk diteroka. Tulisan ini akan memuatkan ulasan terhadap lagu-lagu rasmi empat buah parti politik yang paling berpengaruh di Malaysia.

Lagu Rasmi Parti Islam Semalaysia (Pas)

Lagu ini digubah dengan gaya nasyid. Barangkali, kerana ideologi parti ini berasaskan jalur Islam, maka pemilihan genre itu dilihat paling bersesuaian, lebih Islamik. Tidak dinafikan, irama nasyid ini agak mudah untuk dinyanyikan. Dan, mungkin juga kerana nasyid adalah genre muzik popular yang halal pada pandangan atau penerimaan orang-orang PAS. Maka, gaya ini dianggap lebih ‘selamat’ digunakan. Jika elemen-elemen dalam gaya lagu ini dijadikan kayu ukur untuk melihat minat, keyakinan dan kefahaman mereka pada seni dan budaya maka dapat dikatakan masih cetek dan simplistik. Lagu ini tidak membakar semangat, durasinya juga terlalu panjang.

Lagu PKR

Lagu ini, jika ditanggalkan muziknya, akan kedengaran seperti nyanyian kanak-kanak yang sedang menyanyi di taman asuhan. Sambil menyanyi mereka bertepuk tangan bersama-sama dengan riang gembira. Ini kerana melodinya amat langgam sekali, yakni cara nyanyian yang bersahaja, amat mudah dinyanyikan oleh sesiapa pun. Susunan muzik pula amat mendatar dengan iramanya dengan mengikut kontuar melodi. Lagu ini seakan cuba disampaikan sebagai lagu patriotik yang amat tipikal. Maknanya, lagu ini tidak ranggi mengikut selera orang muda dan zaman baru. Keadilan, Keadilan…, bukanlah attacking phrase atau attention part yang indah tetapi keras.

Lagu DAP

Dari segi teknikal rakaman, barangkali inilah lagu dengan mutu rakaman yang paling baik di antara lagu parti-parti politik yang lain. Susunan harmoninya agak kemas. Sedikit sebanyak, menunjukkan ada latar kefahaman pada mutu dan budaya kerja.  Ada nada-nada rendah untuk memujuk perasaan. Melodi pada versa tidak menarik berbanding melodi pada korus lagu. Mengapa begitu? ini adalah kerana, “Too many notes,” kata Emperor dalam filem Amedues.

Apabila menyanyi dengan melodi pada nada yang rendah dan mengunakan banyak not, maka keseluruhan lagu kurang menangkap selera orang untuk turut menyanyi. Barangkali, not yang banyak ini terjadi kerana orang politik mahu lirik itu begitu atau mahu mengikut fahamnya, secara tidak langsung not akan bertambah mengikut lirik-lirik itu. Mengapa dalam kempen pilihanraya mereka begitu bijak mencipta akronim atau slogan-slogan yang ringkas dan padat, tetapi dalam lagu tidak begitu, mengapa?

Lagu UMNO

Barangkali, inilah lagu politik paling popular di Malaysia. Melodinya sangat kemelayuan, sudah cukup untuk menarik minat semua lapisan masyarakat Melayu untuk menyanyikannya. Susunan pada nyanyian bukan secara harmoni tetapi nyanyian secara ‘beramai-ramai’ macam menyanyi di majlis kenduri-kendara. Vokal wanita sangat kedengaran dengan suara ‘makcik-makcik’ dan ‘pakcik-pakcik’ dan ia sangat ‘kampung’ tetapi semua ini sangat praktis dan kena dengan selera orang Melayu.

Kesimpulan

Jika semua lagu-lagu ini kita tukarkan temponya yang asal kepada tempo yang perlahan, atau kita tanggalkan semua instrumennya. Mungkin kita akan merasa atau akan kedengaran tidak enak lagi, paling tidak, ia tak akan seenak dari tempo asal lagunya. Ini menunjukkan, kekuatan lagu ini bukan terletak pada melodi, lirik atau iramanya, tetapi pada rentak.

Sekalipun key dan kelajuan (speed tempo) semua lagu-lagu ini berbeza antara satu sama lain, tetapi dari segi rentak, ia masih sama iaitu berasaskan rentak march. Baik lagu Keadilan, DAP, UMNO dan Pas, asas rentaknya adalah marching. Apakah ini gambaran mentaliti orang-orang politik kita yang asasnya sama?

Secara teori, lagu-lagu ini bertemakan nasionalisme atau mungkin patriotisme. Maka rentak march menjadi pilihan mereka, kerana hanya rentak itu sahaja yang mereka tahu. Atau barangkali (untuk bersangka baik), rentak march dianggap rentak paling sesuai, mudah dan popular, seperti mana lagu Internationale.

Lagu-lagu ini tidak akan membawa kita atau parti politik itu ke mana-mana. Ia kekal menjadi lagu tema atau lagu rasmi. Rasmi ini samalah dengan konsep menginstitusikan sesuatu. Berbeza dengan negara lain, di Malaysia, apa saja yang di-institusikan akan berakhir dengan kegagalan. Lihat persatuan PAPITA, SENIMAN, KARYAWAN, FINAS, Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya. Kesemua ini pada akhirnya akan menjadi sangat rigid, keras dan kaku.

Sebaliknya, lagu-lagu folk (rakyat) akan menjadi lebih bererti kepada pengikut atau rakyatnya. Kerana lagu folk adalah lagu rentas budaya, bangsa, ideologi dan agama. Lagu rakyat adalah lagu yang dihasilkan kerana rakyat ingin menghasilkannya, ia sebagai merai dirinya atau komunitinya.

Lagu rakyat tidak kira apa bangsa sekalipun, akan menceritakan hal sebenar, keinginan sebenar dan keadaan sebenar dunia mereka (rakyat). Lagu rakyat tidak mempedulikan lirik untuk apa atau untuk menarik perhatian sesiapa. Mereka mahu menyanyi irama kesukaan mereka, itulah lagu rakyat. Pernah kita dengar mana-mana parti politik kita cuba mengangkat lagu-lagu rakyat yang kita miliki? Tidak.

Zaman akan terus berubah, yang masih payah mahu berubah adalah orang-orang politik. Mereka (orang politik) harus lebih sedar tentang budaya. Jika tidak tahu harus ambil tahu. Jika ingin bertanya, tanyalah yang tahu.

Sama-sama nikmati lagu rakyat bangsa Yahudi ini. Bagi aku, irama dan lagu, termasuk liriknya bersatu menjadi sebuah nyanyian yang sederhana – indah.


Dona-dona

On a wagon bound for market
There’s a calf with a mournful eye.
High above him there’s a swallow
Winging swiftly through the sky.

How the winds are laughing
They laugh with all their might
Laugh and laugh the whole day through
And half the summer’s night.

Dona, dona, dona, dona,
Dona, dona, dona, do,
Dona, dona, dona, dona,
Dona, dona, dona, do.

“Stop complaining,” said the farmer,
“Who told you a calf to be?
Why don’t you have wings to fly with
Like the swallow so proud and free?”

How the winds are laughing …

Calves are easily bound and slaughtered
Never knowing the reason why.
But whoever treasures freedom,
Like the swallow has learned to fly.