Ada sebuah kajian yang menarik antara hubungan muzik dan ekonomi. Kajian yang bertajuk ‘Rockonomics: The Economics of Popular Music’ itu ditulis oleh Marie Connoly dan Alan B. Kruge, sedikit-sebanyak telah memberi gambaran yang jelas bagaimana muzik yang pada asalnya adalah Do Re Mi, berupaya menjadi suatu industri yang besar dalam perkembangan budaya manusia yang paling berpengaruh dalam dunia moden.

Bagi seorang yang cenderung kiri, jurnal ini mungkin akan dibacanya sebagai dokumen propaganda kapitalis. Dan, sememangnya kertas ini dikarang oleh pendukung sistem tersebut-harus dinyatakan juga bahawa Alan B. Kruger itu pernah menjadi Penolong Setiausaha Polisi Ekonomi dan Ketua Ekonomi di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pun begitu, bagi seniman seperti Paul Simon misalnya mengungkapkan “The fact of the matter is that popular music is one of the industries of the country. It’s all completely tied up with capitalism. It’s stupid to separate it“. Dan bagi aku yang agak konservatif, aku bersetuju dengannya, aku masih boleh menerima jurnal ini seperti mana aku menerima sebiji buah jambu yang masam dan ia bukanlah suatu yang paradoks.

Kertas kajian ini menganalisis perkembangan industi muzik Pop Amerika. Ia amat relevan kepada kita kerana industi muzik tempatan sememangnya banyak bergantung kepada perkembangan pasaran global, pemainnya tentulah Industri Muzik Pop Amerika. Ia telah memberi inspirasi terhadap bentuk muzik, perkembangan teknologi, dan segala macam perihal yang melibatkan amalan dalam industri kita. Maka praktis dalam industri tempatan, juga bersumber dari praktis muzik di Hollywood.

Di peringkat pengenalan kertas ini, penulis memberikan definisi Muzik Popular. Teorinya hanya menyenaraikan muzik Rock n Roll, Bebop, Jazz, Rap dan Blues. Walau seorang kapitalis tegar, rupanya-rupanya beliau juga seorang yang amat terbuka. Selain dari jenis-jenis muzik yang disenaraikan sebagai Muzik Pop itu, beliau juga menerima apa jua jenis muzik sebagai Muzik Pop asalkan muzik tersebut diterima ramai yakni mempunyai pengikut/peminat/konsumer dalam jumlah yang besar.

Dalam topik ‘Players’ atau pemain utama industri muzik. Terdapat fakta tentang struktur bisnes ini berfungsi. Yang menarik perhatian, di Amerika peranan seorang pengurus amat penting, kesemua sektor yang berkaitan dengan karya dan artis, hanya akan bermula apabila pengurus bekerja. Tanpa seorang pengurus yang bekerja, maka tidak akan berlaku segala aktiviti pemasaran dan proses mencari untung. Pengurus muzik di Amerika boleh dianggap sebagai individu yang paling berpengaruh dalam kerjaya sesebuah kumpulan muzik atau artis. Dengan kata lain, separuh dari kejayaan artis adalah sumbangan dari kerja seorang pengurus.

Aku ingin berkongsi dari secebis pengalaman yang pernah dilalui dalam berurusan dengan beberapa artis kita dan pengurusnya. Maaf kata, pengurus-pengurus yang pernah berurusan dengan aku rata-ratanya aku dapati mereka ini sekadar menjadi tukang sampaikan salam atau mesej kepada artis, tukang beritahu harga show dan tukang susun jadual artis, pakaian dan aturcara majlis. Itu sahaja. Bagi aku (maaf cakap), ini bukan kerja seorang pengurus artis sebaliknya ini kerja seorang ‘babu’ a.k.a lembu.

Bagi aku, kerja seorang pengurus (yang paling lekeh sekalipun), kira royalti artis, berapa artis akan dapat, bagaimana sumber itu didapati dan seterusnya pengurus akan berurusan dengan akauntan. Tetapi, inilah kenyataan yang berlaku dalam industri kita. Namun, mungkin juga ini hanya pengalaman aku seorang, barangkali pada orang lain dan dalam keadaan lain, mungkin lain lagi kisahnya.

Jurnal ini menunjukan dengan lengkap peranan dan kesan yang diberikan oleh seorang pengurus dalam kerjaya seorang artis. Menurutnya, pengurus adalah wakil artis yang akan berurusan dengan individu dan syarikat rakaman, label, penerbitan, media dan undang-undang dalam menentukan hak artis yang mereka wakili, dihormati dan ditunai menurut hak-hak yang telah termaktud dalam semua perjanjian. Dengan kata lain, pengurus bukanlah ‘babu’.

Di Malaysia, masih ada segelintir pengurus yang bukan saja dihormati malah sememangnya seorang pengurus yang mahir dalam selok-belok bisnes muzik. Antaranya, Ali Bakar dan Aziz Bakar ( mereka juga dikenali sebagai promoter konsert ). Tanpa mereka mungkin Search dan Wings tidak akan berada kukuh dalam industri hingga hari ini.

Namun, anak-anak bin Bakar ini, tidak ramai di Malaysia. Nisbah pengurus yang baik tidak setara dengan jumlah artis yang kita ada. Jumlah artis yang kita ada tidak setara dengan jumlah stesen TV dan Radio yang kita miliki hari ini. Nisbah semua ini tidak seimbang. Ibarat kata, kuantiti keledek sudah berlebihan di pasar, nisbah tawaran dan permintaannya sudah tidak seimbang, maka semua keledek ini hanya menunggu masa untuk menjadi busuk.

Inilah antara unjuran fakta yang aku fahami dari jurnal tersebut. Mana-mana industri memerlukan pakej lengkap untuk kekal berdaya saing. Ia banyak bergantung kepada kecekapan dan jumlah aset yang berfungsi secara aktif. Tanpa komponen-komponen yang ‘hidup’ ini, industri kita tidak akan berkembang cepat dan akhirnya budaya kita juga turut lesu.

Hal-hal penting yang turut dianalisis termasuk hal kontrak, promoter,harga dan trend konsert. Kesemua teori dan formula ekonomi yang diberikan tidak mampu aku hurai secara terperinci kerana kecetekan ilmu ekonomi penulis . Namun, rumusannya ialah, music is a serious bisness. Dan music means cost.

Kebetulan, akhir-akhir ini kita selalu mendengar kisah artis sukar mendapatkan penajaan untuk kosert-konsert mereka. Dan kebetulan juga, baru-baru ini berlangsung konsert tribut untuk arwah Loloq. Khabarnya, konsert ini dapat dijayakan atas inisiatif Dato’ Seri Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan. Segalanya menjadi bukti bahawa bidang muzik, juga seperti kebanyakan bidang lain – memerlukan kos yang banyak dalam usaha untuk mencari untung atau sekadar bertujuan amal. Tanpa dukungan dana yang kuat, sememangnya sukar untuk kita menggandakan keuntungan.

Yang lebih menarik dalam huraian jurnal ini, ia bukan sekadar analisis nombor atau formula ekonomi yang aku sama sekali kurang berminat. Sebaliknya, pakar ekonomi ini mampu memberi teori yang sangat signifikan sekali sifatnya dengan budaya kerja dan ‘budaya’ itu sendiri.

Tidak mungkin formula ini atau teori ini mampu berfungsi tanpa ada kefahaman pada budaya itu sendiri. Dalam erti kata lain, mereka yang berniaga atas nama muzik ini tahu apa yang mereka dagangkan. Muzik Pop adalah Superstar Industry. Dengan lambakan artis dan karya, hanya yang terbaik mampu survive, maka dia itulah – superstar.

Ini adalah siri pertama Mazir Ibrahim mengulas  kajian tersebut. Selepas ini akan menyusul tulisan-tulisan berikutnya. Mazir Ibrahim juga adalah seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.