Bahagian terakhir wawancara bersama Nasir Jani tentang teater, musik dan filem. Sambungan dari bahagian pertama.

Kuala Lumpur atau KL pada tahun seribu sembilan ratus lapan puluh lima bukanlah seperti hari ini. KL hanya sebuah ibu kota lesu yang tidak punya semangat zaman, yang nil inspirasi. Tidak keterlaluan jika ditelah, KL tidak lebih dari sebuah kota persinggahan anak muda mengejar mimpi-mimpi yang hebat. Tetapi isinya kosong.

Dalam tahun-tahun yang membosankan itulah, Nasir Jani baru pulang dari kota London. Selama tiga bulan sebelumnya, dia mengikuti kursus jangka pendek berkenaan pengarahan filem, yang dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berdasarkan potensi dan bakatnya untuk menjadi pengarah filem yang berjaya, satu hari nanti.

Pemergiannya bukanlah kerja sia-sia kerana tatkala di sana dia bukan hanya pergi belajar. Kesempatan berada di negara orang, lebih-lebih lagi kota besar seperti di London, dia memerhatikan gelagat hidup dan pertumbuhan sebuah kota seni yang membiak hingga ke isi perutnya. “Adegan busking dalam filem Kembara Seniman Jalanan merupakan ekspansion dari kenyataan (realiti). Masa itu, di KL belum ada penyanyi jalanan atau buskers yang menyanyi, melukis ataupun bersajak secara bebas di kaki lima. Abang mendapat inspirasi semasa berada di London kerana dapat melihat kejadian seperti itu (busking), yang juga merupakan aktiviti masharakat kota, yang lumrah terjadi di kota-kota seni yang hebat seperti di London ini, mahupun di kota lain seperti Paris dan New York.”

“Kalau diperhatikan dalam Kembara (Seniman Jalanan), semasa Bujang alias Jebat (M. Nasir) dan Osman Tikus (Pyanhabib) busking di jalan bawah tanah, ia seperti terjadi di London apabila abang melihat mereka busking di mana sahaja termasuk dekat subway. Masa itu, KL pun belum ada LRT lagi. Tapi abang fikir, hendak wujudkan sesuatu yang baharu di dalam filem abang sebab dengan cara itu kita dapat membawa pemikiran orang kita untuk lekas matang dan maju.” Cerita abang Nasir panjang lebar pada aku ketika menerangkan bahawa filem merupakan wadah terbaik untuk memajukan pemikiran manusia.

Oleh itu, Kuala Lumpur yang kita lihat di dalam Kembara Seniman Jalanan, yakni filem pertama arahan Nasir Jani, yang mana skrip ditulis oleh M. Nasir (sekarang Datuk) merupakan sebahagian daripada dunia impian orang muda, yang sifatnya mahu melakar sebuah sejarah hidup yang besar dan hebat. Orang muda yang menentang sebarang bentuk penindasan, pemerasan dan rampokan harta intelek yang tidak boleh diganti dengan u-wang. Bagi mereka, orang muda yang berjiwa seni, karya seni mereka adalah pegangan hidup dan dengan itulah mereka akan terus hidup!

 

ABROR RIVAI: Dari susur galur sejarah filem Melayu, yang telah dihuraikan oleh abang sebelum ini, mahupun berdasarkan pembacaan saya dalam beberapa buah makalah, buku dan penulisan rencana dan kritikan filem, jelas menunjukkan Kembara Seniman Jalanan telah membawa perubahan setapak ke hadapan lagi, iaitu terhadap kelangsungan tema perjuangan orang-orang Melayu dalam menyatakan letak duduknya pandangan hidup mereka terhadap sesuatu isu. Kemudian, disusuli dengan filem kedua abang, Rozana Cinta 87, yang mana di dalamnya tersirat suatu hal yang belum pernah dibincangkan lagi secara terbuka iaitu lesbianisme, yang sedikit sebanyak merupakan dilema orang Melayu, yang pada masa itu menganggapnya sebagai tabu atau haram untuk disentuh (apalagi dibincangkan secara terbuka di dalam filem). Sebenarnya, di manakah peralihan filem-filem abang bergerak dari zaman sebelumnya – apakah dari sudut terbukanya abang menyatakan pandangan atau dari segi kenyataan-kenyataan yang tegas, yang abang zahirkan lewat filem-filem tadi? Apa yang abang hendak katakan dan mengapa?

NASIR JANI: Sebab abang tak banyak direct filem. Abang boleh cerita setakat abang ini hanya sebagai pengarah filem yang hendak mengarah filem ketiga. Dia pada masa itu, dari segi attitude, musik adalah attitude kami pada masa itu. Kembara Seniman Jalanan sebuah filem, yang mana filem ini ada benda yang tak boleh tak disebut iaitu Kembara Seniman Jalanan (KSJ) ialah sebuah filem yang berkait dengan musik. KSJ tak boleh sama sekali berdiri sendiri sebagai sebuah filem sahaja. KSJ adalah sebuah musika dan visual, sekaligus. Untuk merumuskan KSJ dalam satu ayat, abang mengatakan; ia adalah video klip sepanjang dua jam! Itu sahaja. Sebab masa abang buat itu abang sebenarnya tidak sedar. Ia adalah pengalaman bawah sedar abang, yang ada pernyataan tapi pernyataannya apa? Itu abang tak tahu. Mulanya, KSJ bukanlah filem tentang cetak rompak. Asalnya, KSJ adalah tentang orang yang hendak cari benda yang positif, yang bermula dari bawah dan naik ke atas untuk mendaki kejayaan. Biasalah, filem pertama, jadi ikutlah semua teori semacam mana yang dipelajari seperti plot point twist dalam mencantikkan lagi naratif kita dan banyak lagilah. Kerana itu terhasillah cerita yang sebegitu mudah dan nampaklah pemahaman kita tentang apa yang telah dipelajari. Persoalannya, filem mesti ada energy dan ia bukan lahir kerana umur kita tapi bedasarkan berapa banyak input kreatif yang kita ada. Jadi, abang himpunkan semua sekali dan yang maseh belum cerna ialah masalah cetak rompak dan musik. Lepas itu, baharulah fikir hendak kembangkan skrip yang ditulis sebab mengapa tidak bukan? Skrip itu sendiri tumbuh mengikut pemikiran kita yang membesar. Baharulah tercetus idea untuk memasukkan isu cetak rompak dan menjadikan musik sebagai teras atau perkara pokok yang akan dikembangkan di dalam filem ini apabila ianya mula digambarkan. Sikit lebih kurang, dalam peringkat ini KSJ menjadi sebuah kerja sepasukan yang mantap. Semua yang korang tengok adalah apa yang sebenarnya terjadi dalam musik scene. Musik rock itu bermula dari Blues Gang dan Sweet Charity. Selepas itu baharulah lahir Search. Pernyataan itu semuanya terucap pada bahagian terakhir filem ini kerana kemudian dari itu, naskah ini berubah menjadi naskhah rakyatlah kira senang cerita.

 

Boleh tak diceritakan bagaimanakah abang menjalani proses kreatif sebagai seorang pengarah filem. Sebab perjalanan hidup abang itu sendiri amat menarik dan berliku-liku. Dari seorang penggiat teater kepada seorang pengarah filem dan juga seorang penulis lirik. Dan dalam masa yang sama sebagai seorang karyawan yang menjadi jurubicara kepada orang-orang filem dan seni untuk menyampaikan perasaan dan isi hati secara terang, jujur begitu. Akhirnya, abang dipinggirkan. Apakah perasaan abang sebenarnya? Kalau saya membandingkan dengan perjalanan hidup pengarah filem yang besar dari negara luar seperti Orson Welles, misalnya.

Begini, kita tengok dari sudut yang kecil ini dahululah. Nak mengesahkan abang akan mengarah filem ketiga pun abang tak berani. Macam yang Abror cakap itu beginilah. Hidup abang sendiri dan apa yang abang lalui itu sendiri adalah sebah filem – ia bagaikan skrip itu sendiri. Terpulanglah, Abror nak tuliskan ataupun tidak, apa yang abang cakap ini. Kalau katalah, ditakdirkan abang pergi (meninggal dunia) selepas ini, siapa yang nak direct abang punya cerita kena studylah, bacalah balik abang punya perjalanan hidup. Jadi, macam mana nak ceritakan perjalanan hidup abang sebagai pengarah filem sebab hidup abang ini sendiri boleh dijadikan filem. Di sini kita telah melihat banyak perkara terjadi. Dalam dunia ini abang boleh direct filem dan orang lain pun boleh direct filem. Jadi macam mana abang nak jawab macam mana abang punya pegangan hidup sebagai seorang pengarah filem? Itu pasal kalau dari segi karya, abang rasa kalau nak bandingkan dengan pengarah besar abang pun tak mahu sebab hal itu sangat klise. Pasal kita kena ingat, yang kita ini bukanlah Hollywood. Tapi kalau kita hendak dilihat atau hendak jadi macam Hollywood hanya ada satu cara: bajet! Eh kalau lu boleh bagi gua bajet sama macam Ron Howard buat itu Angel and Demons baharulah boleh cerita. Samalah juga macam Ang Lee yang boleh buat macam itu Hollywood bila dia ditawarkan bekerja di sana. Perkaranya di sini, apa yang lebih penting, bukanlah abang melihatnya sebagai negatif tapi jujurnya, tidaklah pernah abang ditawarkan sebegitu dan abang sendiri tidak pernah menawarkan diri untuk menjadi seperti itu. Abang rasa cukup selesa dengan apa yang abang kerjakan sekarang.

 

Jadi, filem-filem apa dan bagaimana yang pengaruhi abang pada peringkat awal sebagai pengarah filem. Berikan contoh-contoh?

Hah, cantik! Pasal part ini memang abang suka. Abang sukakan karya-karya yang dihasilkan oleh Roman Polanski, Martin Scorsese, Francis Ford Coppola. Abang rasa, abang lebih kepada pengarah-pengarah filem cult kelahiran UCLA seperti George Lucas, Steven Speilberg dan teman seangkatan mereka. Abang membesar dengan filem-filem sebegitu. Hendak pula, umur juga tak jauh beda. Mereka senior lima ke sepuluh tahun sahaja. Masa itu, kita rasa bahawa inilah yang baharu. Angkatan generasi abang yang tengok filem mereka merasakan dan nampak bahawa benarlah pembaharuan yang ada dalam filem mereka boleh dicontohi. Kemudiannya, ia termasuklah Akira Kurosawa dan Satyajit Ray yang, yang di sini perlu disebut sebab mereka ini adalah susuk yang wajib kita pelajari jika kita masuk ke sekolah filem. Merekalah yang kita gelar The Godfathers. Ada juga yang lain, yang belum sampai ke tahap godfathers tapi sangat mempengaruhi dan sealiran dengan kemampuan kita untuk membacanya seperti Brian De Palma. Berbanding dengan filem-filem dari benua Eropah pula abang gemarkan karya dari Perancis seperti yang pernah abang tengok bertajuk Diva. Banyak juga karya lain yang abang lihat sebab mungkin terpengaruh dengan stail. Sebab filem ini berbagai-bagai tarikan. Ada filem yang isinya hancur tapi stail mengkagumkan. Sebaliknya, ada juga yang kita suka sebab isinya yang mendalam meskipun stailnya hancur.

 

Okay. Tentang filem ketiga abang, macam mana, apa sudah punya skrip?

Skrip ada! Memang selama ini pun abang layan menulis (skrip), sejak lima belas tahun dahulu.

 

Hebat itu abang. Rasa saya, bagi siapa yang meminati abang, pasti menunggu sentuhan abang untuk filem yang akan datang. Baik, kita rumuskan sejak dari awal lagi dan tentunya kita harus berbalik kepada Menunggu Kata Dari Tuhan. Saya melihat teater ini satu pernyataan dan apakah yang penting bagi abang sebagai sutradara membuat sebuah teater rakyat. Sebab, sebenarnya ia akan dipentaskan kepada penonton yang bukan sahaja di kalangan peminat atau penggemarnya tetapi rakyat, yang mana ia lebih luas dari biasa dan pastilah lebih cabaran. Di sinilah kita dapat tengok karyawan turun kepada rakyat, baharulah real. Apakah jelas soalan saya?

Jelas. Pasal macam abang cakap, ini benda memang tak dirancang – tapi dapat peluang. Tak terfikirlah abang selama ini nak buat sebab macam yang Abror cakapkan tadi, inilah peluang abang berdepan dengan penonton yang tak biasa tengok teater – jadi itulah cabarannya kan? Lagi satu, ini bukan sangat nak menjadi sukses sebab mencabarnya adalah pada cara kerjanya. Ini bukan nak hasilkan untuk dapatkan benda-benda yang tak nampak macam glamour ke apa ke… tak! Ianya satu cabaran tentang bagaimana aku nak kerjakannya untuk menjadi sebuah teater rakyat. Bayangkan kalau banyak orang minta (untuk dipentaskan lagi). Itulah peliknya naskhah ini sebab ia membesar dengan caranya sendiri. Kali terakhir abang mengarah teater pada tahun 1980-an, masa itu belum ada peralatan macam hari ini. Kalau menyentuh pengarahan filem pula, yang abang lupa nak ceritakan tadi ialah macam mana payahnya pengarah yang pernah mengarah sebelum adanya video assist sebagai panduannya untuk mengarah. Lain!!!

 

Dari sisi kreativiti yang macam mana, pengarah dulu gunakan bagi mendapatkan shot sebaik pengarah yang dapat panduan video assist, seperti sekarang?

Kenalah halus. Sebab pengarah akan kerja serapat mungkin dengan jurukamera kesayangannya atau director photography-nya untuk jalinkan kesefahaman. Caranya begini, pengarah akan lihat dahulu shot menerusi viewfinder, kemudian baharu serahkan pada jurukamera untuk mengendalikan pergerakannya. Katakanlah berlaku kesilapan, maka rakaman tersebut akan diulang sehingga betul (reshoot). Kalau di Hollywood mereka akan dapat melihat rushes (keratan filem yang telah dirakam) dalam tempoh yang singkat, misalnya shoot pagi boleh tengok rushes petang hari yang sama. Di sini, dahulu, setelah seminggu kita shoot baharu boleh tengok rushes sebab lab belum ada. Tengok, berapa banyak mencabar? Jadi, perbedaannya dahulu dan sekarang adalah terletak pada kepercayaan. Sekarang, macam manakah pula letaknya kepercayaan itu? Pada abang, dahulu kita tak ada video assist jadi kita kena berikan sepenuh kepercayaan pada kita punya jurukamera atau director of photography, hilang trust kita pada mereka hilanglah apa yang kita sebagai pengarah hendakkan. Kita hendakkan shot yang terbaik! Tapi, sekarang kita sudah ada video assist jadi apa yang perlu dipercayai lagi? Adalah diri kita sendirilah!