Siri yang lalu, Linda menerima emel yang mengandungi aksara ganjil dan pesan yang pelik. Dan kebetulan Nora juga mendapat perkara yang sama. Mereka berdua memutuskan untuk menyelidik di Arkib Negara. Ikuti sambungan berikutnya…

 

Kertas ini mempunyai bau yang khas mungkin kerana jarang terusik di dalam gerobok yang biasa berkunci. Kertas yang dikait bebenang linen ini masih utuh menyimpan ilmu padat antara tenunan halus dan kesat-licin itu.  Huruf-huruf yang tercetak atasnya tidak serupa langsung kepada mana-mana tipografi moden. Lengkungan hurufnya seiras Sanskrit.

“Buku ini dicetak dengan mesin cetak tangan. Ada ura-ura bahawa pelan membina mesin ini telah diseludup keluar daripada Belanda pada kurun ke-17 dan dibawa ke Asia Tenggara, tapi disimpan kemas oleh satu Orde yang ditugaskan untuk menterjemahkan kesemua ilmu sains yang terbit dari empayar Abbasiah sampai ke zaman pasca Renaissance di Eropah. Selain itu, Orde ini juga menghantar penjelajah ke tamadun-tamadun di Timur untuk mencari rahsia ilmu di sana dan merekodkan semuanya dalam kod yang telah diubahsuai daripada Sanskrit. Lagi satu versi bahasa yang kita andai mungkin merupakan bahasa Melayu kuno yang tidak lagi digunakan dan tidak ada rekod yang menunjukkan penggunaannya pada sesuatu masa.”

“Bagaimana boleh tiada rekod?” tanya Nora dengan dahi berkerut.

“Mungkin rekodnya telah dihapuskan supaya capaiannya terkawal. Tetapi ura-ura juga mengatakan ada satu buku yang mengandungi kata-kata kunci yang boleh merungkai sistem bahasanya tetapi buku ini tersimpan  dalam pustakaan Orde itu, tidak ramai yang pernah melihatnya.”

“Kenapa mereka begitu berahsia. Apa yang bahayanya tentang ilmu tersebut?”

“Bukan itu yang bahaya. Yang bahayanya ialah mereka tengah membina ilmu daripada ilmu-ilmu yang dikumpul ini.  Ramai yang tidak tahu yang mereka yang terlibat dengan penerokaan ilmu-lmu yang merevolusikan dan mengubah kefahaman kita tentang dunia, dari pujangga-pujangga zaman kegemilangan empayar Islam sampailah ke era mekanik kuantum,” terang Kiara yang telah memberi penerangan panjang tentang latar kitab yang terpampang di meja buatan kayu merbau yang terukir motif dedaunan di keliling hujungnya.

“Jadi logo itu apa kaitannya?”

“Yang di halaman tepi kertas Schroedinger itu?”

“Ya.”

“Ada kemungkinan besar, sebab orde itu kerap menukar lambangnya setiap abad baru, tetapi setiap lambang itu merupakan naratif bergambar kepada sejarah dan misi Orde itu pada setiap abad.”

“Bagaimana mereka boleh mengetahuinya?”

“Setiap akhir abad, akan ada majlis mewariskan ilmu, iaitu menghantar ilmu zaman sebelumnya bersama dengan teka-teki yang perlu dijawab untuk memecah rahsia ilmu abad berikutnya. Lambang itu merupakan salah satu penunjuk kepada teka-teki itu.”

“Ini dah macam kisah Iluminati ni.”

“Tidak, amat berbeza. Orde ini lebih agnostik, semua tindakan bersifat warak. Objektif mereka adalah untuk lebih mendalami hermeneutika kejituan dan kebenaran…”

“Tetapi bagaimana mereka boleh tahu bagaimana nak lakukannya? Bagaimana mereka tahu apakah yang bakal menjadi pembawa idea penting zaman itu?” tekan Nora.

“Mereka bukan ahli nujum. Mereka mengkaji dengan teliti segala ilmu yang pernah terbit di dunia, dan mereka mengkaji juga  corak dan arah gerak ilmu-ilmu itu….mereka telah menerbitkan jalan-kerja mereka dalam buku ini, dan jilid-jilid lain, dan akhirnya, zama sekarang, di capaian maya….”

“Bagaimana kau boleh dapat jilid ini?”

“Dari kutub khanah  yang menyimpan buku-buku berharga dan jarang didapati di Belanda. Kami ada beberapa jilid buku-buku sedemikian dalam simpanan, juga beberapa manuskrip, semua dari koleksi sama. Ada pakar-pakar yang sedang membuat kajian dan dokumentasi kepada jilid-jilid ini. Kami juga sedang cuba memecah aksara kod buku-buku ini. Pengkajian terhadap cara  kerja mereka merupakan pengkajian kepada sejarah dan falsafah keilmuan. Orde ini menghimpunkan cendekia-cendekia yang teragung di dunia, yang sanggup bekerja tanpa gaji hanya kerana mereka menyokong falsafah dan arah gerak orde itu. Orde ini bukan cuba merahsiakan ilmu yang terjumpa atau yang berjaya terhasil. Orde ini cuba menentukan bilakah masanya yang paling sesuai untuk mendedahkan ilmu-ilmu itu sebab pendedahan pada masa yang kurang sesuai boleh memudaratkan…”

“Boleh kau dapatkan aku buku tentang sejarah Orde ini, mungkin salinan?”

“Boleh cuba. Pernah ada sebuah buku yang mengkaji mereka tapi sudah tiada lagi terbit. Nanti aku cuba tanya. Kau tunggu seorang lagi kawan datang, kan?”

“Ya, Linda. Dia pasangan aku, seorang ahli fizik, di universiti yang sama. Aku ajak dia ke sini sebab sesuatu yang telah diterimanya yang kami harap kau boleh bantu kami dengan. Tapi entahlah dia di mana. Dah banyak kali aku telefon tapi tak berjawab. Pagi tadi dia ada hal keluarga, maka aku ajak dia ke sini. Mustahil dia cepat lupa, dia amat prihatin biasanya.”

Nora dan Kiara berada di sebuah bilik yang terletak di bahagian belakang sebuah perpustakaan lama yang mempunyai bentuk senibina antik seperti rumah kayu kurun ke-19 di Tanah Melayu, tetapi dalamnya dipasang dengan penebat untuk mengawal suhu  agar buku-buku dan perkakasan akan terjamin keadaan asal mereka. Bilik itu penuh rak-rak lama yang diisi buku-buku tersusun kemas. Perhatian terhadap keselamatan buku-buku itu tinggi.

Rak-rak ini bukan jenis yang biasa, tetapi jenis yang boleh digerakkan agak lebih banyak rak baru boleh dimasukkan dan disusun secara lebih rapat, namun masih mudah dicapai bila ada buku-buku yang diperlukan hanya dengan menekan punat yang boleh meluncurkan keluar mana-mana rak yang mengandungi buku-buku yang diperlukan.  Kebanyakan buku-buku ini sudah dijilidkan dengan kadbod keras agar tidak mudah terurai. Yang tidak boleh dipegang dan diselak dengan mudah telah disalin ke dalam format digital sebelum dimasukkan ke dalam pengkalan data yang tersebar merata dunia.

Linda rasa musykil yang amat sangat. Mustahil telefon bimbitnya boleh hilang begitu sahaja. Baru tadi dia jawab telefon daripada seorang rakan sejawatnya tentang sedikit masalah dalam kiraan yang telah mereka lakukan semalam sebelum dia masukkan balik dalam beg galasnya. Macam mana boleh hilang?

Linda geram. Sepanjang pagi, dia telah melayan adik perempuannya hampir empat jam mencuba pelbagai pakaian sebelum berkeputusan untuk tidak mahu menempah mana-mana baju, walaupun sebelum itu dia telah yakinkan Linda yang kedai itu tempat yang paling bagus dalam pilihan yang ada. Linda fikir adikinya sebenarnya sangsi dengan keputusan mahu berkahwin tetapi enggan mengaku. Sekarang, dia sudah lambat berjumpa Nora di alamat yang diberikan dan dia tidak dapat menelefon untuk khabarkan. Tempat itu tidak ada langsung telefon awam. Untuk mencari telefon akan lebih melewatkan lagi.

Dia mula berjalan laju ke tempat letak kereta di belakang pusat membeli-belah setelah berpisah dengan adiknya. Jika adiknya mengajak makan pun, dia pasti menolak kerana mahu segera beredar. Tetapi, dia dapati dirinya berjalan keliling mencari keretanya yang juga seperti sudah ghaib. Puas dia mengelilingi dan bergerak antara tiga tingkat dengan tanggapan yang dia mungkin lupa tempat asal letak keretanya tapi tidak terjumpa juga. Akhirnya, setelah mencari selama lebih 10 minit tanpa hasil (kawasan letak kereta itu bukan luas sangat), dia segera ke pejabat yang menguruskan tempat letak kereta.

Setelah menghabiskan lebih kurang lima minit menerangkan kerumitannya, akhirnya, seorang pengawal mengikutinya untuk cuba mencari keretanya. Bila mereka pulang kepada tempat asal yang dia ingat sebagai tempat letak keretanya, Linda nampak  keretanya  parkir di tempat itu. Linda bungkam dan berasa malu. Dia meminta maaf berbanyak kali dengan pengawal itu. Tetapi, keanehan yang dirasanya tidak hilang. Dia telah mundar-mandir di tempat letak kereta itu hampir 10 lebih kali dan dia boleh bersumpah yang keretanya tidak ada di situ selama 10 minit.

Petak yang kini diisi keretanya telah kosong dalam masa itu. Bagaimana keretanya boleh muncul kembali? Bagaimana pula boleh hilang dan balik ke situ begitu sahaja? Linda telah kembali ke pejabat dan bertanya sama ada mereka boleh menyemak kembali rekod dalam komputer dan juga video mereka sama ada sesiapa telah keluar masuk dengan memakai keretanya, sama ada ada sesiapa yang membawa pulang keretanya dalam masa 10 minit itu. Lelaki yang bertugas melayannya di pejabat itu memandangnya dengan rasa takjub.

“Pejabat kami takda maklumat sebeginilah, kak. Itu central office yang simpan.”

“Takpa. Terima kasih.”

Dia pulang ke keretanya yang masih di situ, membuka pintu dan masuk ke dalamnya.  Sebelum dia dapat menghidupkan enjin, dia terpandang sekeping kertas di tempat duduk sebelahnya.  Kertas itu ada rupa seperti telah dikoyak dari sebuah buku.

Di atas kertas itu ada satu siri lambang-lambang yang bagai dicetak atasnya. Kertas itu juga bertulis, dalam dakwat hitam, semua dalam huruf besar.

KAMU DI BAWAH PEMERHATIAN KAMI. JIKA PEMERHATIAN DIHENTIKAN, KEWUJUDAN KAMU TIDAK TERJAMIN. BERWASPADA KERANA KAU BOLEH HANCUR KERANANYA. NOMBOR-NOMBOR ITU SATU PENUNJUK. CARI MAKNA TERSIRAT DALAM KATA-KATA INI.

Tangan Linda berketar sedikit memegang kertas itu. Perasaan bingung berasa risau berkecamuk di hatinya. Dengan rasa tawar, dia hidupkan enjin kereta itu dan mengundur keluar, dan hampir melanggar sebuah kereta yang berlalu belakangnya ketika itu jika dia tidak menjeling ke cermin pandang belakangnya. Tetapi apa yang membuat dia terhenti bukan kerana keselamatan; dia nampak tunang adiknya di dalam kereta bersama seorang perempuan yang seiras Chinta.

Pelbagai kemungkinan dan pertanyaaan menubi di benaknya. Adiknya bagi tahu yang tunangnya telah ke luar negeri atas alasan kerja. Tetapi dia baru melihat bakal adik iparnya di dalam kereta yang hampir dilanggarnya dengan seorang perempuan lain. Rasa ingin tahunya begitu kuat sehingga dia mahu terus mengekori pasangan dalam kereta itu.  Dia tahu Romero tidak mengenali keretanya sebab keretanya baru dibeli sebulan lalu dan dia sudah lebih sebulan tidak menyapa lelaki yang bakal menjadi ahli keluarganya.

Linda dengan gopoh mengeluarkan cermin mata hitam dari laci papan pemuka keretanya dan sebuah topi yang telah didapatkanya di sebuah pesta di universiti dua minggu lalu. Setelah kereta itu berjarak 5 kaki di depannya, Linda terus mengekorinya dan terlupa terus akan temujanjinya dengan Nora. Dia mesti tahu sama ada si Romero itu bermain kayu tiga dengan adiknya itu. Kalau niatnya halal, kenapa perlu menipu?

Sudah lebih setengah jam Linda mengekori Romero dan Chinta. Mereka seperti tengah memandu ke suatu tempat di luar bandar. Sarang maksiat? Dia tidak tahu berapa lama dia boleh terus mengekor mereka tanpa disedari, terutamanya jika mereka membelok ke kawasan jalan yang lebih sunyi.  Tiba-tiba, Romero memusingkan kereta ke arah kiri, keluar dari jalan utama, ke arah sebuah bangunan yang ada rupa seperti kilang yang dipagari dawai kawat.

“Mana datangnya bangunan itu? Aku pernah lalu tempat ini sebelumnya dan setahu aku, lalang saja ada, dan bangunan yang tidak habis pembinaannya. Itu baru seminggu lalu. Sekarang dah ada kilang yang habis dibina? Rupanya pun lain sedikit.”

Sebaik sahaja kereta itu masuk ke perkarangan kilang itu yang dikelilingi dawai kawat tebal itu, Linda tidak dapat masuk disebabkan ada penhadang yang hanya membuka dan menutup kembali sebaik kereta Romero melalui jalannya. Disebabkan ketebalan dawai itu, Linda sukar memandang ke dalam. Tetapi dalam kurang seminit, dia lihat kereta Romero keluar kembali melalui penghadang yang dinaikkan untuknya. Kali ini dia keseorangan. Dia terus memusing kereta kembali ke jalan utama.

Linda kaget. Kemudian dia memandang jam. Alamak, dia sudah lewat sejam. Tetiba, bunyi deringan yang biasa didengar  berbunyi  keluar daripada tepi tempat duduk penumpang di sebelahnya. Dia cuba mengesan arah datang deringan itu dan ternampak telefon bimbitnya di rekahan kiri tempat duduk penumpang depan.  Dengan perasaan yang pelik, dia mengangkat telefon itu dan ternampak yang panggilan itu adalah daripada Nora.

“Mana kau ni?? Aku dah sini lebih sejam tunggu kau datang. Jangan menyesal kelak kalau kau terlepas banyak maklumat-maklumat penting yang aku dapat!”

“Kalau aku terangkan sekarang, kau akan ingat aku cuba perbodohkan kau…”

 

 

Clarissa Lee mahu jadikan mimpi-mimpinya yang dasyat sebagai asas inspirasinya. Dia juga bergelar @normasalim di dunia Twitter.