Islam, Kristian

oleh
13 Mei, 2011 | kategori Esei | komen [0] | Cetak | kongsi  

Usia 10 tahun, saya tak punya kekhuatiran untuk didaftar-masuk ke sekolah SRB St. Teresa Padungan di Kuching, Sarawak. Masih mentah, dan seingat saya, ketika itu baru saja sembuh berkhatan. Rasa ngilu yang kadang-kadang masih terasa waktu itu.

Itu sekolah Kristian, seperti yang dicadangkan namanya. Setiap hari jam enam pagi, saya berjalan beratus meter ke pondok pengawal kuaters polis, menunggu untuk menaiki trak, bersama teman-teman kecil bermacam ragam dan lenggok bahasa untuk dihantar ke sekolah masing-masing yang berlainan. Saya punyai pilihan, kalau saya mahu memilih. Ada sekolah ‘Melayu’ lain yang boleh saya sertai dan minta didaftarkan di sana. Tetapi, saya ingin ke sekolah dengan nama Saint Teresa.

Pada usia mentah itu, yang saya takutkan bukan imej sebuah agama. Di sekolah berkenaan, yang saya resahkan adalah sebuah batang tubuh. Seorang Sister. Dia gempal, tak pernah gagal memakai seragam putih dari biara, skirt dan skaf kepala. Dan, sebetulnya, yang saya takutkan bukan dia. Tetapi rotan di tangannya.

Setiap kali sampai lewat, setiap kali berbuat bising di senggang jadual kelas, seingat saya, dia akan memberi habuan rotan itu. Berbirat tapak tangan atau betis kalau sampai dilibasnya. Tetapi, saya tahu, hatinya baik. Sebab itu, walaupun tak pernah mengingati namanya, masih ada dalam fikiran wajahnya. Kadang-kadang bila menjelma sekali-sekali, dia nampak berseri. “Kalau nak jadi Sister macam itu, mereka tak boleh berkahwin.” Antara kata-kata yang saya dengar dan ingat melalui perbualan dengan rakan-rakan kecil. Dan, waktu ini, saya faham mengapa dia begitu prihatin dengan disiplin kanak-kanak. Kerana, jika dia ingin meneruskan hasrat menjadi wanita di biara, dia tak akan ada peluang untuk punya anak sendiri.

Tidak seperti cerita sekolah-sekolah yang klise, sekolah kami tak ada hantu. Saya tidak mengingat apa-apa cerita hantu di sekolah rendah itu. Mungkin kerana di sekolah itu ada gereja. Di belakang, terentang sebuah anak sungai – atau parit besar. Ada titi yang selalu saya tenungkan dari jendela bilik darjah di tingkat atas. Arus tak seberapa. Bersih juga tak seberapa. Tetapi memadai untuk bertenggek seorang-seorang dan berharap menemukan seekor ikat comot. Dan, di seberangnya – sebuah gereja.

Di perkarangan gereja inilah saya tumpang bertedung dari terik panas matahari ketika pendidikan jasmani. Kadang-kadang, saya mencuri minum air paipnya kerana haus. Dan, di depan pintu gereja inilah saya berdiri untuk pertama kalinya melihat dengan penuh pengamatan sebuah patung yang menjadi simbol penganut agama semitik itu; patung salib Jesus – Nabi Isa A.S – dengan warna darah dan tusukan paku pada tangan dan kaki serta duri di kepalanya.

Waktu itu saya tak memahami mengapa simbol sebuah agama perlu begitu tragis. Tetapi saya tetap terpegun dengan binaan di depan mata. Dengan skala besar patung yang terperinci ukiran atau acuannya, sehinggakan saya akan terus mengintip-ngintip melalui pintu atau tingkap yang terbuka sedikit-sedikit, di waktu-waktu yang lain, untuk menatap lagi sosok itu lagi. Mengharapkan kalau-kalau dia boleh bergerak dan bercerita, untuk menghapuskan rasa ingin tahu seorang anak kecil.

Di sekolah kami, Muslim adalah segelintir minoriti. Kelas agama akan diadakan di sebuah kelas kecil di bawah bilik guru. Silingnya papan (setiap tapak kasut guru yang berjalan bersimpang siur di atas akan kedengaran), dindingnya simen. Dan, budak-budak Muslim dihimpun dari beberapa kelas yang ada untuk satu sesi sekali harung.

Dalam sendiri-sendiri, saya ingin bertanya kepada Ustazah tentang kedudukan, bpertembungan atau keberadaan sesebuah agama. Kerana kami di sekolah itu tidak hanya didorong oleh hanya sebuah agama. Tetapi, takut-takut. Dan tentunya saya sendiri tidak faham tentang semua itu. Tetapi tidak berlaku renjatan. Saya senang melayan diri sendiri, sekali-sekala bertanya dan melupakan hal itu.

Mujur, Ustazah yang baik hati tidak pernah mengajar kami untuk saling membenci. Dan saya fikir, Sister gempal itu juga tentunya mengajarkan tentang toleransi di dalam kelas Pendidikan Moral untuk yang bukan Muslim. Jadi, nilai-nilai yang dipersetujui itu mungkin sama, walaupun keyakinan berbeza-beza. Dalam usia semuda itu saya belajar satu perkara daripada persekitaran sekeliling; menghormati jika mahu dihormati.

Pada usia 12 tahun, saya bermain cinta dengan seorang teman, Jessica. Keturunan Cina-Bidayuh, dia tinggi, rambut kerinting dan bibirnya adalah sekuntum senyum yang manis. Kami ke sekolah yang sama. Waktu pagi, kadang-kadang malu-malu memandang, saya menuliskan surat-surat cinta yang berani. Agaknya itu jugalah yang membuatkan dia rasa seronok, kerana ada yang memberi perhatian sampai ke tahap itu. Saya mengajaknya keluar bersiar di pesisir tebing sungai di tengah kota. Dia bersetuju. Berjalan, ada waktunya berpimpin tangan. Dan, saya fikir, orang yang melihat juga tentu ada yang merasakan itu comel.

Di antara kami, yang ada waktu itu tidak hanya sebuah perasaan yang mentah. Tetapi mengiringi sama ialah dua lambang agama. Islam, Kristian. Kami tidak merasa begitu jauh sesama sendiri. Dan, sudah tentu, diantara Islam dan Kristian itu adalah tempat sebahagian daripada umat manusia. Bukan seluruhnya berada di bawah perlambangan yang sama.

Saya mengingat dengan jelas, kalau pun tidak terperinci. Saya pernah bertanyakan kepada Jessica; “Ibu bapa kamu tak marah kita berkawan.” Katanya tidak. Dan, dia sayup-sayup menjawab; “Soal di dalam diri (hati) saya adalah urusan saya.” Tentunya jawapan budak-budak kecil itu tidaklah bernada matang seperti yang saya nyatakan. Tetapi, maksudnya berlingkar di daerah yang sama.

Anehnya, ketika waktu-waktu singkat bersama Jessica itu saya berkenalan dengan satu situasi baru; menghargai perbezaan. Menghormati orang lain. Itu adalah satu nilai. Nilai yang selalu, di usia yang lebih dewasa, kerap diabaikan kerana kesempitan dan keangkuhan diri oleh ramai orang.

Islam ialah sejahtera. Perkara pertama yang diajar ketika menyebut nama agama mulia ini. Tetapi, bagaimana kalau itu pun sukar untuk difahami? Saya tak mampu melonjakkan imajinasi kepada sisi yang lebih jauh. Bagaimana sebuah agama, mampu menjadi alat paling tajam untuk meruntuhkan rasa hormat?

Saya kerap teringatkan Jessica sewaktu di dada akhbar menyebutkan tentang pertembungan Islam-Kristian. Saya tidak mahu faham, bagaimana agama dibayangkan sebagai predator, yang akan digunakan untuk menakluki kelompok yang satu lagi. Dari sejarah, memang kita diajar perkara-perkara seperti itu. Tetapi, di zaman millenium, ketika semua orang akan memetik kata Tuhan untuk sebuah kemenangan, dunia rupa-rupanya semakin murung. Dan, barangkali Karl Marx mampu tersenyum tenang di persemadiannya, mengingatkan kata-kata yang pernah diluahkannya dulu; agama adalah candu yang akan mengkhayalkan umat manusia. Tak ada orang lain yang mengiakan kata-kata Marx melainkan kita yang hidup waktu ini, terutama di dalam lanskap kemasyarakatan ala Malaysia.

Saya kembali teringatkan bagaimana, sebagai seorang budak mentah, kami mampu melihat perbezaan sebagai satu rahmat yang mampu saja membenihkan rasa cinta. Bagaimana dia, seorang Kristian (entah Katolik, Anglican, SIB, Methodist atau apa saja mazhabnya), ingin bertemankan saya yang secara sedar adalah seorang dari kelompok bertentangan keyakinan agama. Lagi-lagi, ketika sejarah perjalanan Islam-Kristian memang ada waktunya memedihkan. Tetapi, tidakkah masih ada nilai mulia yang sepatutnya dipertahankan oleh sesebuah agama?

Keimanan adalah keteguhan di dalam hati. Keimanan akan sentiasa teruji. Di usia mentah itu kami merasakannya, walaupun kabur-kabur. Mengapa sukar benar untuk perkara itu difahami kini oleh sebuah masyarakat terbuka, yang sepatutnya sudah matang setelah berpuluh tahun melingkari pertautan sosial sesama manusia?

Agama, yang sebetulnya menjana sebuah suasana yang mendamaikan, kini tetap cenderung untuk menjadi topeng keangkuhan. Merasakan Tuhan menyebelahi kita pada setiap masa, itu bukan iman. Kerana manusia itu rapuh. Tetapi, iman yang tetap setia di dalam hati, urusan yang paling peribadi dan paling utama, akan tetap berdiri di tempatnya walau badai menghempas, walau garuda mengepak sayap. Keangkuhan seperti ini adalah tembok yang menghalang kita untuk melihat agama, yang berbeza-beza, dari kaca mata kanak-kanak yang selalunya lebih menjernihkan.

Abdullah Munsyi ialah orangnya yang menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa Melayu. Syed Sheikh Al-Hady ialah orangnya yang kuat menggesa supaya anak-anak orang Melayu (yang di Malaysia ini secara automatiknya Islam) untuk ikut belajar di sekolah Inggeris (dengan stigma bahawa tebalnya dominasi ajaran Kristian) di Tanah Melayu dulu, termasuk anak-anak perempuan. Dan orang-orang seperti inilah yang dikecam dan dimaki hamun diwaktu mereka berbuat apa yang diucapkan. Tetapi, dua nama ini jugalah yang terus dikenang orang sampai ke hari ini. Akan saja dikenang sampai bila-bila.

Apa yang dicerminkan oleh Abdullah Munsyi dan Syed Sheikh al-Hady melalui usaha-usaha mereka? Saya fikir, kerana mereka berdua inilah, kerencaman sosial menjabat erat. Jurang keimanan – walaupun berlainan dan tak terusik – semakin dijambatani. Bukan untuk saling mengalihkan iman kepada kiblat berbeza, tetapi untuk saling belajar memaknai iman dengan keyakinan masing-masing.

Untuk Jessica, semoga kita saling dirahmati. Berdoalah.

 

Hafiz Hamzah juga mencatat-catat ringkas di ruang www.jelir.blogspot.com.


Tags: Esei, Hafiz Hamzah, Islam, Kristian
 

 

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera