Diskusi filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Dari kiri, Shoffi Jikan, Abror Rivai dan Rasidan.

Petang itu lalu lintas sibuk menuju Padang Merbok. Aku dan Sofia dalam perjalanan ke Aswara menghadiri tayangan dan diskusi filem-filem pendek “Imaginasi”. Saga kami yang berwarna putih itu tersalah ambil jalan. Kami hampir tersesat menghala ke Parlimen.

Aku yang memandu kereta petang itu keluar dari jalan yang salah. Setelah mengikut tanda arah, barulah aku dapat berpatah balik ke Jalan Tun Ismail. Kami tiba di Dewan Kuliah Utama di mana tayangan dan diskusi akan berlangsung, setengah jam sebelum waktu program disebut akan berlaku, jam empat sore.

Sebelum ini, aku telah menyaksikan tayangan dan diskusi filem beberapa kali di dewan ini.Tetapi semua dibawa oleh orang lain. Ini kali pertama aku memandu sendiri dan sebab itu aku tidak cekap mengambil jalan. Namun, kesilapan itu maseh tidak menjadikan aku datang lewat ke acara yang aku sendiri diperlukan untuk menjadi salah seorang ahli panel diskusi. Inilah yang selalu aku amalkan semasa belajar dan membuat filem. Menepati waktu.

Sebenarnya, “Imaginasi” adalah himpunan tiga buah filem pendek yang menampilkan Zaleha Ayam Patah, yang diarahkan oleh Shahrul Azli, Bintang Ragut Bulan oleh Shoffi Jikan dan Le Diable yang disutradarai oleh aku dan Rasidan. Ketiga-tiga filem pendek ini telah dibuat dalam waktu yang tidak sama. Zaleha diterbitkan pada tahun 2005, Bintang Ragut Bulan setahun kemudian dan Le Diable pada tahun 2007. Tidak pernah terfikir bahawa bakal begini jadi-nya.

Walaupun begitu, ketiga-tiga filem pendek ini disatukan atas semangat dan pandangan kami yang sama tentang imaginasi. Pada kami, dunia yang kami huni sekarang adalah dunia yang kami bayangkan, suatu waktu dahulu. Begitulah juga halnya dengan dunia yang kami ceritakan dalam Imaginasi. Pada kami, isu dan persoalan yang dibentangkan tidak lain merupakan percikan dari fikiran kami yang bebas, yang menerawang bak helang, yang bermimpi dalam indah-nya berfantasi. Tentulah memilih judul Imaginasi untuk kompilasi ini lebih positif bunyi-nya dari Halusinasi yang turut pernah dicadangkan oleh aku. Lagi clear kalau aku cakap, Zaleha Ayam Patah merupakan “imaginasi” tentang budaya yang telah pupus. Manakala Bintang Ragut Bulan dan Le Diable menceritakan dunia “imaginasi” itu sendiri yang digambarkan rakus, jahat, benci, dendam dan berkesudahan kejam. Apakah prediksi kita tentang masa depan itu terlalu pasti? Tentulah tidak, bukan?

Zaleha Ayam Patah berdasarkan skrip yang ditulis oleh Shahrul Azli sendiri yang telah memenangi pertandingan penulisan skrip kategori filem pendek pada tahun 2004 yang dianjurkan Finas. Berdasarkan reputasi tersebut, beliau dianugerahi geran penerbitan filem pendek menerusi dana kerajaan dan dibantu oleh Uniputra Production iaitu sebuah produksi di bawah kendalian Universiti Putra Malaysia. Difahamkan Shahrul membelanjakan kos sebanyak RM 100 ribu untuk menerbitkan filem ini yang dibuat dalam 35 mm iaitu format sebenar pembuatan filem bagi layar lebar secara profesional. Shahrul ada alasan yang kuat untuk menggunakan celluloid daripada format yang lebih ringkas seperti High Definition atau digital. Zaleha Ayam Patah merupakan sebahagian daripada dokumentasi penting kita tentang seni tari Zapin, juga tentang sejarah dan perkembangan-nya yang telah dibunuh oleh budaya baru, yang dibawa masuk dari luar.

Secara ringkas, filem ini berkisar pada tahun 1950-an di beberapa daerah di Johor, yang mana tarian Zapin sudah mula popular di kalangan masyarakat di negeri itu. Zapin menjadi pengisi aktiviti sosial secara formal dan tidak formal, membentuk citra budaya dan pemikiran generasi secara halus. Gerak tubuh dan langkah tari-nya membina keunikan interaksi antara penonton dan penari. Lalu, Zapin secara keseluruhan-nya mencipta kehidupan dan harapan yang dapat kita ikuti menerusi kisah kehidupan Zaleha yang mengharungi zaman remaja yang penuh mencabar apabila jiwa-nya amat akrab dengan Zapin. I

bu dan Bapa-nya adalah penari Zapin yang handal, namun Zaleha dilahirkan capik. Bagi penduduk kampung, kegigihan Zaleha adalah lambang perpaduan, yang menonjolkan ketinggian nilai hidup bermasharakat di kampung itu. Melalui berzapin, kehidupan bagi mereka adalah rentak dan ragam. Ia perlu seiring supaya terbentuk sebuah kehidupan yang sempurna. Namun kehadiran budaya luar mengundang kecacatan kepada pengembangan tarian tradisi ini. Apatah lagi ia menimpa kepada masharakat kita yang goyah dan mudah terpengaruh!

Bintang Ragut Bulan pula merupakan sebuah filem pendek yang bersemangat cereka eksperimental. Shoffi Jikan selaku produser dan sutradara filem ini mempunyai beberapa versi suntingan dalam bentuk filem cereka pendek berdurasi 70 minit, filem pendek 30 minit dan filem pendek 10 minit. Semasa tayangan ini tempohari, versi filem pendek 30 minit diputarkan. Shoffi memakai RM 50 ribu untuk membuat-nya. Dia paling berdikari kerana menggunakan dana peribadi termasuk sokongan kuat dari keluarga dan kawan-kawan. Bintang Ragut Bulan sebuah cerita yang rumit difahami berdasarkan lakonlayar yang ditulis oleh Shoffi sendiri bersama Sobri Anuar, Nusrat dan AlJefri. Ia berkisar tentang peristiwa silam yang menghantui fikiran sehingga mencetus perasaan dendam untuk membunuh. Kehidupan yang sempit menjadikan manusia sanggup berbuat apa saja. Institusi keluarga yang pincang melahirkan masharakat yang tidak pedulikan keadaan manusia sekeliling. Lalu lahirlah cerita seorang lelaki iaitu Pak Cik, nama gelaran bagi seorang pesakit mental, yang telah pulih, yang dirawat di sebuah pusat mental, yang keluar bersama-nya dendam yang maseh membara.

Peluang bekerja di sebuah gudang mengimbau peristiwa hitam semasa dia maseh kecil. Apa yang disaksikan-nya semasa di gudang membuatkan keinginan Pak Cik untuk membunuh bagi menamatkan sejarah hitam hidup-nya. Manusia, di mana-manapun sama. Jika diberi waktu untuk memilih antara yang baik atau buruk, manusia memilih yang baik. Pada aku, Shoffi nampak akan hal ini dan sebab itu dia sanggup mengambil jalan susah untuk menerbitkan Bintang Ragut Bulan. Filem dalam format High Definition ini mendapat sentuhan sinematografi Raja Mukhriz, yang telah diiktiraf sebagai Pengarah Fotografi Terbaik Festival Filem Malaysia untuk beberapa buah filem termasuk yang paling sensasi, Kala Malam Bulan Mengambang arahan pengarah filem Mamat Khalid.

Le Diable sesuatu yang istimewa, pelik dan daring. Istimewa kerana ia berdasarkan novel pendek dari Perancis, yang ditulis oleh Guy De Maupassant. Pelik sebab jalan cerita-nya telah disesuaikan dengan budaya dan cara hidup orang Melayu yang serba aneh di sebuah kampung terpencil. Disebabkan oleh kesejagatan tingkah laku dan persoalan hidup manusia adalah sama di mana-mana, Le Diable menjadi sebuah filem pendek yang daring kerana gaya dan persembahan-nya yang luar biasa lain macham! Kalau dahulu filem Melayu banyak disadur dari India, Arab, Cina dan Jepun, barangkali Le Diable sebuah filem Melayu yang disadur dari Perancis dan Inggeris. Pembuatan filem ini dapat direalisasikan apabila diberi peruntukan dana dari Malaysia Development Corporation atau MDEC sebanyak RM 48 ribu berdasarkan proposal yang dirangka oleh Nik Abdul Halim dan Sheridan Mahavera. Halim dan Sheridan telah membuat terjemahan naskhah ini dari Inggeris ke Bahasa Melayu. Aku dan Rasidan menulis semula cerita ini untuk layar lebar dan menjadi sutradara-nya. Kami bekerja dalam satu pasukan yang kuat, di mana proses pembikinan-nya sarat perbincangan dan olahan yang berkajang-kajang. Cerita asalnya berlatarkan tahun 1820-an, tetapi persoalan-nya maseh relevan dengan kehidupan manusia sehingga ke hari ini.

Iaitu manusia yang rakus dengan kehidupan dan harta dunia sanggup melakukan apa sahaja kerana Nyawa bukan harga lagi – hanya wang dan kuasa menjadi tujuan untuk hidup. Di sebalik tabir hidup yang nampak dalam sisi gelap inilah lahir watak atau seorang manusia yang bernama Jahel. Dia seorang anak kepada seorang Ibu yang sedang nazak sanggup mengupah Lara bagi menjaga Ibu-nya sehingga riwayat si Ibu berakhir.

Kepedulian Jahel pada harta yang dikejar-nya dengan alasan kesibukan bekerja merupakan keuntungan bagi Lara dan Doktor Jiwa untuk menjalankan konspirasi mereka untuk membunuh pesakit lalu memberi keuntungan pada aktiviti busuk mereka di dalam masharakat yang sering meletakkan kepercayaan pada golongan elit. Di sisi lain, bersama Tok Ketua yang juga tidak mempedulikan anak-anak buah-nya, Doktor Jiwa merancang konspirasi untuk menjatuhkan Lara pula. Pelik-nya, konspirasi mereka bertiga tidak dapat dihidu oleh masharakat sekeliling kerana kelicikan dan kedudukan mereka sebagai kumpulan elit di dalam kampung yang terpinggir itu, di mana kepada mereka-lah masharakat meletakkan kepercayaan-nya.

Le Diable dibuat dalam format High Definition. Buat pertama kali, kami bereksperimen dengan kamera Panasonic yang tidak menggunakan tape. Aplikasi tapeless ini mirip cara pembuatan filem dengan bantuan teknologi komputer kerana kami harus percaya dengan ketahanan perisian dan memori-nya yang halus. Kami membayangkan pada masa depan, ada kemungkinan filem boleh dinikmati secara langsung aka live, di mana penyuntingan boleh dilaksanakan seiring dengan waktu pengambaran. Ya, barangkali ada baik-nya filem dapat diputarkan terus ke rumah anda daripada menyaksikan-nya di pawagam! Diskusi kita tentang perkara ini mungkin dapat diperpanjangkan pada masa lain.

Pasca-Diskusi

Sebuah filem diputarkan, kemudian aprisiasi. Sesudah itu untuk apa? Mari kita berbalik kepada waktu yang telah lalu.

Azlim Ibrahim, pensyarah Fakulti Filem dan Video di Aswara yang juga merupakan moderator diskusi pada petang itu telah menunggu di luar dewan sejak 30 minit yang lalu sebelum aku dan Sofia tiba di sini. Dia nampak resah menunggu anak murid-nya, yang kehadiran mereka kelihatan maseh lesu. Pantas aku teringatkan zaman mahasiswa.

Sebagai mahasiswa, aku dan teman-teman sangat dahaga ilmu. Pada kami, program aprisiasi filem setiap hujung minggu di Panggung Mini P.Ramlee dekat Finas adalah kesempatan terbaik untuk lebih mendalami bidang perfileman kerana dapat menonton filem secara percuma, ditambahi dengan sesi apreseasi, diskusi dan bedah karya bersama pengarah, pengkaji, pemerhati dan karyawan filem yang terlibat secara langsung dengan industri filem tanahair pada masa itu.

Di situ kami dapat mendengar secara langsung tentang bagaimana sebuah filem harus dimengerti-kan dari cara sebuah filem itu dibaca berdasarkan ilmu. Ia ibarat kuliah percuma dan apa yang lebih menarik, pembelajaran lebih banyak diperolehi di luar kuliah kerana di situ-lah tempat sebenar karyawan filem memperdebatkan falsafah, pegangan dan pemikiran serta kepercayaan mereka terhadap medium yang mereka ceburi ini. Lantaran mereka sendiri telah mendapat pendidikan yang formal dan tidak formal menerusi pengajian dan pengalaman bertahun-tahun. Dalam program-program seperti ini, aku dapat mendekati pengarah filem yang berpengalaman untuk mengenali pandangan dan lontaran pemikiran mereka terhadap filem dan kehidupan.

Semasa tayangan dan diskusi berlangsung, aku melihat Adman Salleh, susuk penting dalam pertumbuhan sejarah filem Melayu sejak tahun 1980-an sehingga kini, yang merupakan Dekan Fakulti Filem dan Video di Aswara memerhatikan kami dari jauh saja. Banyak persoalan yang terlintas dan yang paling mustahak, aku teringatkan masa lalu dan kini sekaligus. Inikah masa yang telah dijanjikan? Bahawa pada generasi kamikah letak-nya harapan bagi meneruskan hayat filem Melayu bernafas?

Aku dan teman-teman lain melihat keperluan kita untuk memperbanyak-kan hasil karya sangatlah penting dan perbincangan tentang filem haruslah diperluaskan lagi terutama di kalangan mahasiswa perfileman agar pertumbuhan filem sebagai media baharu dalam menemukan bentuk cinema akan datang itu tadi dapat digarap secantik boleh. Oleh itu, mahasiswa hendak-lah peka dengan keperluan mereka untuk menambahkan ilmu kerana mereka bakal mengambil alih peranan karyawan filem masa kini di masa depan dan supaya ia dapat dilakukan dengan semangat atau gagasan yang seiring dengan kebutuhan kita mencipta imaginasi filem sebuah media baharu yang lebih praktikal atau releven, barangkali.

 

Abror Rivai merupakan penulis dan sutradara filem pendek Le Diable.